RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Monday, August 30, 2010

Kata-kata hati (20) Ujar Rasulullah saw..." Wajabat..."

Suasana sayu saat van jenazah meninggalkan jamaah dan Masjid Sri Petaling
(persinggahan terakhir di Masjid yang anak mendapat tarbiyyah
& kerap 'iktikaf di dalamnya)

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Anak ...

Tiada satu hari yang berlalu tanpa kami seluruhnya teringatkan anak. Semakin jauh....tapi tetap di hati. Dan terdetiknya abah menulis blog ini pun lantaran teringatkan anak. Ia seakan perantara bicara kami semua dengan anak.

Di 'maya' juga kami dapati bukan sedikit yang memberikan ruang kepada kisah anak. Alhamdulillah moga apa yang mereka cuba sampaikan ialah, agar semuanya menjadi iktibar serta mudah-mudahan dapat mendatangkan manfaat. Antaranya dalam http://umu6point.blogspot.com/, http://chromosome.wordpress.com/, http://hans-ryder.blogspot.com/, http://best1of4.wordpress.com/, http://syukri-abdullah.blogspot.com/, http://meit-habib.blogspot.com/, http://wirapendang.blogspot.com/, http://bfs131.blogspot.com/, http://haneefsyah.blogspot.com/, http://mancismenyala.blogspot.com/, http://campus-pj.blogspot.com/, http://haticantik.blogspot.com/, http://www.tranungkite.net/, http://shah8074.blogspot.com/, http://norish77.blogspot.com/, http://saifulmerah.blogspot.com/, http://shafriza.blogspot.com/, http://kabusbumi.blogspot.com/, http://cintaindah.blogspot.com/, http://ohislam.com/ dan banyak lagi yang tak mampu nak dicatitkan semuanya.

Pastinya, tak terjumlah juga komen dan ulasan masing-masing pengunjung. Alhamdilillah semuanya baik dan positif. Syukur juga dalam sebahagian ulasan dan komen mereka tidak lupa mengirimkan bacaan Al-fatihah untuk anak. Ameeen.....

Kepada sekalian yang mendoakan serta sudi mengirimkan untaian Al-fatihah buat anak, abah ingin menyampaikan ucapan 'jazakallahu khairan' .

Sekadar ingin mencatit sedikit dari catatan yang mereka tinggalkan berikut abah salin semula sebahagiannya.

nadia 13/08/2010 pd 8.26 pg. (dalam http://ohislam.com/)
sememangnya arwah huzaifah memiliki akhlak yang sangat baik. al-fatihah buat mu sahabat, abg homeroom. semoga syurga yg kau cari menjadi milikmu.......amin..

ct 16/08/2010 pd 1.58 pg. (dalam http://ohislam.com/)
1 batch dgn sy 2...... suka tgk dia dlm kelas......baik sgt2. sjok mata mmndg....xsgka plk Allah telah memanggilnya lbih dahulu......patutla x prnah nmpk dia masuk sem baru ni....slalunya tgk dia naik basikal pergi kuliah....berkopiah......sdih bila mengetahui pemergiannye......Al-fatihah utk arwah....smoga beliau ditempatkan disamping org2 yg Allah kasihi.....amin......

hafiz 17/08/2010 pd 9.40 ptg. (dalam http://ohislam.com/)
die dulu senior aq kt yayasan selangor. sedhnye.....smoge rohnya dicucuri rahmat......

atiqah 20/08/2010 pd 10.56 ptg. (dalam http://ohislam.com/)
subhanallah,,,,arwah merupakan skulmate sye di SMKSUA sabak bernam...,takziah kpd keluarga arwah, kami semua tahu yang arwah mmg seorang yang baik dan beriman,, bangga memiliki sahabat sepertinya,, Al-fatihah buat alahyarham muhammad huzaifah bin mohammed huzazi.

zul 20/08/2010 pd 5.37 ptg. (dalam http://ohislam.com/)
salam.
arwah merupakan sahabat saya di umt....arwah juga duduk serumah dgn saya dan course mate..... sememangnya arwah org yang baik akhlaknya, mulia pekertinya dan menjaga tingkahlakunya dan arwah sendiri pernah berkata pada saya bhw beliau berharap mati syahid di jalan Allah... Al-fatihah.

Tahniah-lah anak kerana keupayaan dan kesungguhan anak dan dengan bantuan serta izin Allah menjadi orang yang baik, tidak menyusahkan dan menyakitkan hati orang lain. Dengan pernyataan mereka mudah-mudahan anak kini memperoleh sebagaimana yang di sabdakan oleh junjungan Rasulullah saw.

Dari Anas ra berkata;

Ketika ada jenazah lalu, maka sahabat-sahabat memuji mayyit itu atas kebaikan kelakuannya. Maka Nabi saw bersabda : " Wajabat (Pasti baginya). Kemudian ada lain jenazah berjalan dan orang-orang menyebut-nyebut kejahatannya. Nabi pun bersabda: " Wajabat " (Pasti baginya). Maka Umar bin Al-Khattab bertanya; " Apakah erti Wajabat ?" Jawab Nabi saw : " Itu tadi kamu memuji kebaikannya maka pasti ia masuk syurga. Dan yang ini kamu sebut-sebut kejahatannya, maka pasti ia masuk neraka. Kamu sebagai saksi Allah di atas bumi ini ".
Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Abul Aswad berkata:

Ketika saya datang ke kota Madinah, saya duduk bersama Umar bin Al-Khattab, tiba-tiba ada jenazah melintasi kami, maka orang ramai memuji-muji mayat itu. Berkata Umar ; " Wajabat " Kemudian ada lain jenazah juga orang ramau memuji-muji kebaikannya. Umar berkata ; " Wajabat " Kemudian ketiga kalinya ada jenazah dan orang ramai menyebut kejahatannya. Umar juga berkata: " Wajabat " Abul Aswad bertanya; "Apakah erti 'Wajabat' wahai Amirul Mu'minin ?" Jawab Umar; " Saya berkata sebagaimana yang pernah diucapkan oleh Rasulullah saw. Tiap muslim yang disaksikan oleh empat orang bahawa ia baik, Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga." Kami bertanya ; " Kalau tiga orang ? " Jawab Nabi; " Juga tiga." Kami bertanya ; " Kalau dua orang ? " Jawab Nabi ; " Dan dua orang." Kemudian kami tidak sampai bertanya satu orang."
Hadith riwayat Bukhari

Ameeen..............

Friday, August 27, 2010

Kata-kata hati (19) Moga benar kau terima anugerah itu

Ruang 'iktikaf - pertemuan terakhir kita
di Masjid Sri Petaling

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Anak...

Pada 20hb Ogos 2010 (10 Ramadhan1431) abah ke Masjid Sri Petaling lagi. Sembahyang Maghrib berhampiran kipas nombor 16. Di bawah kipas itulah anak menyantuni abah, abang dan Napi (Hanafi) buat kali terakhir iaitu pada 24hb April 2010 (9 Jamadilawwal 1431) malam, 9 hari sebelum anak berangkat menemui Rabb kita. Anak sediakan alas tidur dan bantal untuk abah. Padahal abah tahu itulah satu-satunya yang anak ada.

Berbetulan pada kali ini abah terserempak dengan Maulana Imam Abdul Hamid. Pastinya abah dahulu yang menyapanya. Abah ambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana sudi mengimamkan sembahyang jenazah anak tempohari.

Beliau masih dapat mengingatinya. Terus beliau mengulangi lagi kata-kata yang pernah beliau ucapkan sejurus sebelum van yang membawa jenazah anak bertolak ke Sabak Bernam.

"Kalau tengok pada fizikal jenazah, InsyaAllah Allah terima. Bukan semua orang dapat macam tu. Dia bergantung pada amalan sesaorang. InsyaAllah diakhirat besok dia akan dibangkitkan dikalangan para syuhada'. Antara sebabnya orang yang mati tenggelam (lemas)"
"Cuma urusan jenazah di dunia diurus seperti orang biasa, tidak seperti yang syahid qital fi sabilillah."

Lega sedikit hati abah mendengarnya.

Lalu teringat abah akan beberapa hadith seumpama;

Dari Abu Hurairah ra. bersabda Rasulullah saw.

" Syuhada itu ada lima, iaitu orang yang meninggal kerana penyakit tha'un, orang yang meninggal kerana penyakit perut, orang yang mati tenggelam (lemas) orang yang meninggal kerana tertimpa reruntuhan, dan orang yang gugur di jalan Allah."
Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah saw lagi dari Abu Hurairah ra;

" Siapa yang terhitung syahid menurut anggapan kalian? Mereka menjawab; " Wahai Rasulullah (saw), siapa yang terbunuh di jalan Allah, maka ia syahid." Beliau (saw) menanggapi, " Kalau begitu, syuhada dari kalangan umatku hanya sedikit." " Jika demikian, siapakah mereka yang dikatakan mati syahid wahai Rasulullah (saw) ? " tanya para sahabat. Beliau menjawab, " Siapa yang terbunuh di jalan Allah maka ia syahid, siapa yang meninggal di jalan Allah maka ia syahid, siapa yang meninggal kerana penyakit tha'un maka ia syahid, siapa yang meninggal kerana penyakit perut maka ia syahid, dan siapa yang tenggelam (lemas) ia syahid. "
Hadith riwayat Muslim.

Ameen.........................

Monday, August 23, 2010

Jika sudah begini....

" Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya.
Itulah yang kamu selalu lari daripadanya."
(Firman Allah Surah Qaf : 19)

disembahyangkan...

diusung ke kubur....

dimasukkan ke liang lahat

beberapa saat sebelum ditutupi tanah....

Apakah kita akan seperti yang Allah gambarkan
dalam Surah As-Sajdah : 12 - 14

" Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepala di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami , kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin."

" Dan kalau Kami menghendaki niscaya Kami akan berikan kepada tiap-tiap jiwa petunjuk (bagi)nya, akan tetapi telah tetaplah perkataan (ketetapan) daripadaku. " Sesungguhnya akan Aku penuhi neraka Jahannam itu dengan jin dan manusia bersama-sama."

" Maka rasailah olehmu (siksa itu) disebabkan kamu melupakan akan pertemuan dengan hari ini (hari qiamat) ; sesungguhnya Kami telah melupakan kamu (pula) dan rasakanlah siksa yang kekal, disebabkan apa yang selalu kamu kerjakan."

(Surah As-Sajdah : 20) " Dan adapun orang-orang yang fasik (kafir), maka tempat mereka adalah neraka. Setiap kali mereka hendak keluar daripadanya, mereka dikembalikan (lagi) ke dalamnya dan dikatakan kepada mereka: "Rasakanlah siksa neraka yang dahulu kamu mendustakannya."

Atau kita sukacita dan bergembira dengan panggilan Tuhan
sebagaimana juga Allah gambarkan dalam Surah As-Sajdah : 19

" Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka bagi mereka Syurga-syurga tempat kediaman, sebagai pahala terhadap apa yang telah mereka kerjakan."

(Surah As-Sajdah : 17) " Seorangpun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan."

Wahai diriku, dan sesiapa yang inginkan kebahagian di 'sana' masih ada sedikit waktu untuk kita.

Aduhai.....ya Allah berilah aku kekuatan untuk bersiap bagi menghadapi hari 'itu'.

Anugerah Al-Qadr - rebutlah

Firman Allah Surah Al-Qadr (Kemuliaan) : 1-5

" Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu ? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar."

Firman Allah Surah Al-Dukhan : 1-6

" Haa Miim. Demi Kitab (Al-Quran) yang menjelaskan, sesunguhnya Kami menurunkan Al-Quran pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dibuat ketentuan segala urusan dengan penuh hikmah, (iaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami yang mengutus rasul-rasul, sebagai rahmat dari Tuhanmu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar Lagi maha Mengetahui."

Sabda Rasulullah saw dari Abu Hurairah ra.

" Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan kamu berpuasa pada bulan ini. (Dalam bulan ini) Pintu-pintu syurga dibuka. Pintu-pintu neraka pula akan ditutup. Syaitan-syaitan dibelengu. Pada malamnya terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan. Maka barangsiapa yang dijauhkan dari kebaikan dan kelebihan pada malam berkenaan, maka ia benar-benar rugi."
Hadith riwayat Imam Ahmad & An Nasai.

Sabda Rasulullah saw dari Abu Hurairah ra.

" Barangsiapa yang mendirikan solat (qiyamu-al-layl) pada malam Al-Qadr dengan penuh keimanan dan kesungguhan, maka akan diampunkan dosa yang telah dilakukannya."
Hadith riwayat Imam Bukhari & MUslim.

Menurut Dr Wahbah Al-Zuhaily malam Al-Qadr adalah malam kesejahteraan dan keselamatan, malam kebaikan dan keberkatan dari Allah SWT. Allah tidak akan menentukan sesuatu yang lain kecuali keselamatan. Malam itu adalah malam yang serba selamat, aman, sejahtera, baik dan berkat, malam ketentuan rezeki dan mendapat manfaat agama serta manfaat keduniaan. Tidak ada sebarang keburukan, bermula dari gelincir matahari sehinggalah terbit fajar. Pada malam itu diturunkan kabaikan dan keberkatan yang tidak putus-putus, para mu'min dan mu'minah selamat dari gangguan syaitan, manakala malaikat rahmat turun secara berkumpulan sehingga fajar menyinsing.


Tambah beliau lagi , beramal dan berbuat kebajikan pada malam Al-Qadr adalah lebih baik dari beramal dalam seribu bulan yang tidak ada malam Al-Qadr, kerana pada malam tersebut Allah Swt menyediakan kebaikan yang banyak, yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain. para malaikat akan turun dari tujuh petala langit dan dari Sidrah al-Muntaha, begitu juga malaikat Jibril akan turun dari tempat tinggal perdananya ke bumi. Mereka akan mengaminkan doa orang-orang yang berdoa kepada Allah SWT sehingga fajar menyinsing dengan perintah Allah SWT.

PERSOALANNYA....bilakah malam Al-Qadr itu ?

Dalam menjelaskan perkara ini, terdapat satu riwayat dari 'Ubadah Ibn al-Samit, bahawa bersabda Rasulullah saw;


" Malam al-Qadr berlaku pada sepuluh malam terakhir. Barangsiapa yang menghayati (dan memakmurkan) malamnya dengan penuh kesungguhan, maka Allah akan mengampunkan segala dosa yang telah lalu dan akan datang. Malam al-Qadr berlaku pada malam yang witir; malam kesembilan, malam ketujuh, malam kelima atau malam ketiga atau malam terakhir."
Hadith riwayat Imam Ahmad.

Menurut Dr Wahbah al-Zuhaily lagi, kebanyakan ulama' berpendapat bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 27 Ramadhan setiap tahun. Ini berdasarkan hadith Zirri Ibn Hubaish yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan al-Tarmizi, (hadith hasan sahih).

Berkata Zirri; " Aku telah bertanya Ubay Ibn Ka'ab: Sesungguhnya saudara kamu 'Abdullah Ibn Mas'ud berkata: Barangsiapa yang berterusan mengerjakan ibadah (malam Ramadhan), dia akan bertemu malam al-Qadr. Jawab Ubay: Moga-moga Allah mengampunkan Abu Abdul Rahman ('Abdullah Ibn Mas'ud) ! Sesungguhnya dia mengetahi bahawa malam al-Qadr adalah malam dalam lengkongan sepuluh malam terakhir dan dia adalah malam 27 Ramadhan. Akan tetapi dia tidak mahu orang ramai hanya beribadah pada malam itu sahaja. Kemudian beliau bersumpah secara biasa (tanpa ucapan Insya' Allah) . Bahawa masa berlakunya ialah pada malam 27 Ramadhan. lalu aku bertanya: " Apakah alasan anda berkata demikian, wahai Abu Munzir ? " Jawabnya: " Berdasarkan ayat yang telah disampaikan oleh Rasulullah saw atau melalui tanda bahawa matahari muncul pada pagi tersebut dalam keadaan redup."

Jumhur ulama' berpendapat bahawa malam al-Qadr adalah malam yang akan berulang saban tahun. Ianya
berlaku hanya pada bulan Ramadhan.

Namun demikian menurut Imam Nawawi dalam Majmu' & Fatawa, beliau menegaskan bahawa al-Qadr tidak tetap, bahkan bertukar-tukar, tetapi turut mengemukakan jangkaan panduan tarikh jatuhnya malam al-Qadar mengikut tarikh awal jatuhnya hari puasa sebagaimana berikut :-

Awal puasa hari Jumaat, al-Qadr malam 29
Awal puasa hari Sabtu, al-Qadr malam 21
Awal puasa hari Ahad, al-Qadr malam 27
Awal puasa hari Isnin, al-Qadr malam 29
Awal puasa hari Selasa, al-Qadr malam 25
Awal puasa hari Rabu, al-Qadr malam 27
Awal puasa hari Khamis, al-Qadr malam 21

Tanda-tanda Malam al-Qadr

Dari Ibn Abbas ra. bahawa Rasulullah saw bersabda;
" Malam al-Qadr adalah malam yang penuh nyaman dan penuh ketenangan, tidak terlalu panas juga tidak terlalu sejuk, matahari muncul di waktu paginya dalam suasana kemerahan yang samar-samar."
Hadith riwayat Abu Daud al-Tayalisi.

Dari Jabir Ibn Abdilla ra. bahawa Rasulullah saw bersabda;

" Sesungguhnya akau telah melihat malam al-Qadr, tetapi aku lupa masanya. ia berlaku (sekitar) sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Ia adalah satu malam yang tenang, nyaman, tidak terlalu panas dan juga tidak terlalu sejuk, malamnya cerah bagaikan berbulan. Para syaitan tidak keluar pada malam tersebut sehinggalah cahaya fajar menyinsing."
Hadith riwayat Ibn Abi Asim al-Nabil

Bagi pecinta yang sangat merindui al-Qadar, pasti mengidam untuk bertemu dengannya. Oleh itu demi al-Qadr, jika kita jayakan Ramadhan sepenuhnya dari awal sehingga akhirnya, apakah mungkin al-Qadr akar terlepas juga ?


Saturday, August 14, 2010

Kata-kata hati (18) Murni cita-citamu - MOGA ISLAM GEMILANG

Catatan dari buku kecil 555 bertanda Ipah Sandakan


Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Beberapa hari lalu abah selak lagi beberapa catatan anak dalam buku kecil 555 yang anak tandakan sebagai Ipah Sandakan. Terdapat satu catitan dalam bahasa Arab. Pagi ini abah rujuk tulisan anak itu kepada Uzt Alfian 'pengetua' maahad tahfiz dari Kampar.

Dapatlah abah fahami maksudnya ;

" Bilamana umat ini mementingkan dunia, maka akan terhapus dari umat itu kehebatan Islam.
Apabila ditinggalkan 'amar ma'aruf dan nahi munkar, maka ketika itu akan dikurangkan keberkatan wahyu.
Apabila mereka melalaikan perintah-perintah Allah, mereka terjauh dari pemeliharaan dan rahmat Allah."

Anak...

Berbetulan sekitar dua minngu yang lalu di masjid yang kita pernah sama-sama berjamaah, diadakan ceramah oleh Al-Fadhil Utz Abd Halim Din. Diantara yang disebut oleh beliau adalah satu hadith riwayat Abu Daud (disahihkan oleh Al-Bani) bermaksud;

" Hampir tiba masa dimana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni hidangan mereka." Salah seorang sahabat bertanya; "Apakah kerana kami sedikit waktu itu? " Nabi saw menjawab; " Bahkan kamu pada hari itu ramai, tetapi kamu umpama buih diwaktu banjir, dan Allah mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan kedalam hati kamu penyakit wahan." Seorang sahabat bertanya; Apakah wahan itu wahai Rasulullah?" Rasulullah saw menjawab; " Cinta dunia dan takut mati. "

Anak ....

Benarlah segalanya. Umat ini hina lantaran hati mereka sudah terpenuh dengan keindahan dan kehebatan dunia, tugas 'amar ma'aruf dan nahi munkar sudah dikesampingkan, malah ditinggalkan, manakala perintah-perintah Allah dilalaikan, dan lantaran kecintaan dengan dunia itu, mereka tidak bersedia untuk mati hatta kerana Allah.

Akhirnya mereka dikeronyok semahu-mahunya, saban waktu dan ketika, dimana-mana. Jumlah umat yang ramai tidak upaya berbuat apa-apa. Semuanya hanya mampu memerhati sahaja, sekadar simpati cuma.

Rasa gerun musuh sudah tiada, lantaran umat ini sudah terjauh dari pemeliharaan dan rahmatNYA.

Berlainan sekali dengan umat terdahulu, mereka digeruni walau sekadar disebut nama, lantaran di hati mereka tidak bertahta dunia walau sebesar hama. Perintah-perintah Allah mereka laksanakan semuanya, manakala 'amar ma'aruf menjadi tugas mereka yang utama. Akhirnya Allah berikan mereka kekuatan. Kehidupan mereka seluruhnya dalam rahmat dan peliharaanNYA.

Sekadar suatu contoh dari sekian banyak suri teladan yang telah dipaparkan oleh manusia hebat dahulu, ucapan Saad bin Abi Waqas sewaktu memasuki daerah Tanah Besar Cina dengan mengatakan;

" Kami adalah kaum yang mencintai kematian seperti kamu cintakan kehidupan."

Satu penegasan terhadap prinsip dan keseriosan umat Islam terhadap visi dan misi hidupnya. Memikul tugas 'amal ma'aruf dan nahi munkar, sedang semua perintah-perintah Allah sentiasa dijunjung. Walau negeri yang dituju jauh ribuan batu, namun demi dan keranaNYA jiwa dan raga sedia digadaikan. Maka Islam gemilang.

Thursday, August 12, 2010

RAMADHAN - khazanahnya.... ambillah

Ramadhan amat menakjubkan. Didalamnya tercipta tak terbilang sejarah gemilang, dilakar manusia hebat cemerlang. Mereka merobah dunia, meninggalkan tinta-tinta emas sejarah yang sukar diulang. Mereka digeruni walau hanya sekadar disebut nama. Dan kecemerlangan itu juga sebahagiannya tercipta kerana Ramadhan.

Sejarah tidak pernah lupa
peperangan penentu, berakhir atau masih ada lagi benih dan tunas Islam, yakni BADAR AL-QUBRA , pada tanggal 2 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah. Kemenangan gilang gemilang 313 mujahidin pemburu syahid pimpinan Rasulullah saw menghancurkan 1000 tentera kuffar Makkah. Demi kegemilangannya Allah rakamkan dalam Surah Ali Imran : 123-127

" Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuriNya."
"(Ingatlah) ketika kamu mengatakan kepada orang mu'min; Apakah tidak cukup bagi kamu Allah membantu kamu dengan tiga ribu malaikat yang diturunkan (dari langit) ?"
" Ya (cukup), jika kamu bersabar dan bertakwa dan mereka datang menyerang kamu dengan seketika itu juga, nescaya Allah menolong kamu dengan lima ribu Malaikat yang memakai tanda."
"Dan Allah tidak menjadikan pemberian bala bantuan itu melainkan sebagai khabar gembira bagi (kemenangan)mu, dan agar tenteram hatimu kerananya. dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
"(Allah menolong kamu dalam perang Badar dan memberi bala bantuan itu) untuk membinasakan segolongan orang-orang yang kafir, atau untuk menjadikan mereka hina, lalu mereka kembali dengan tiada memperoleh apa-apa."

Begitu juga kempen Rasulullah saw ke Tabuk diwaktu musim panas dengan kekuatan 30,000 mujahidin, sehingga Herkulis (Maharaja Rom Timur) terpaksa mengundurkan tenteranya, juga dalam bulan Ramadhan.

Tidak kurang dengan kejayaan Islam membuka kota Makkah tanpa tentangan pada Ramadhan tahun ke 6 Hijrah.

Diikuti oleh peristiwa Khalid Al Walid menghancurkan patung al Uzza atas perintah Rasulullah saw pada Ramadhan tahun ke 9 Hijrah.

Kemudian pada tahun ke 10 Hijrah, kejayaan Saidina Ali Kw. membuka Yaman, atas perintah Rasulullah saw, dan berakhir dengan kesemua penduduk Yaman menerima Islam cuma dalam tempoh 1 hari.

Terkemudian dari itu, pada 28 Ramadhan tahun ke 92 Hijrah, Tariq bin Ziyad membakar kapal armadanya dengan mengumandangkan kata-kata membakar semangat; " Wahai tentera Muslimin dihadapan kamu sudah terbentang Syurga, sedang kapal armada kita telah terbakar hangus. Sekarang kita cuma ada 2 pilihan, samada syahid atau kemenangan." Akhirnya Andalusia berjaya ditawan dengan jayanya.

Pada 15 Ramadhan 1294 Hijrah, bala tentera Dinasti Uthmaniah yang dipimpin oleh Ahmad Mukhtar Basya dengan kekuatan cuma 34,000 mujahidin, menumpaskan sejumlah 740,000 tentera Rusia, dengan pihak Rusia mengalami korban seramai 10,000 orang tentera.

Begitu juga keupayaan mujahidin pimpinan Imam Masjid bandar Suez, Al Marhum Syeikh Hafiz Salamah, yang berhasil menewaskan yahudi Israel dalam perang Yon Kippur, pada 10 ramadhan tahun1390 Hijrah, bersamaan 6 Oktober hingga 24 Oktober 1973.

Demikian sebahagian dari sekian banyak kejayaan yang tercipta di dalam Ramadhan. Kejayaan demi kejayaan mereka didalam Ramadhan itu adalah kerana mereka berupaya mengutip seluruh khazanah dan manfaat yang Allah sediakan dalam Ramadhan.

Bermula dengan keikhlasan yang dituntut pada setiap orang yang berpuasa, kerana puasa adalah merupakan rahsia diantara hamba dengan Tuhannya. Sesaorang bisa saja membohongi orang lain tentang puasanya, namun keikhlasanlah yang menjadikan sesaorang berpuasa sebenar-benarnya. Jika demikian latihan keikhlasan yang disediakan dalam Ramadhan pasti besar manfaatnya dalam semua amal lainnya, dan terlebih bermanfaat keikhlasan waktu sesaorang berada dalam medan jihad, lantaran Allah hanya akan menerima hanya yang ikhlas keranaNya. Pujian sebagai pemberani tidak membekaskannya, apatah lagi maksud lain seumpama inginkan harta rampasan perang. Keikhlasan di medan jihad adalah 'vital', kerana diwaktu itu maut bisa datang bila-bila, dan keikhlasan adalah penentu samada mendapat anugerah syahid atau sekadar mati 'konyol'. Dengan keikhlasan bisa mengundang bantuan dari Allah.

Dalam Ramadhan juga terhidang mujahadah, perjuangan memerangi keinginan hawa nafsu, keselesaan diri, menahan diri dari yang halal saban hari sepanjang Ramadhan. Jika yang halal mampu ditahan, betapa lagi yang haram. Kelak kebiasaan ini sangat berguna terutama waktu kritikal seumpama jihad fi-sabilillah. Bagaimana mungkin jadi mudah meninggalkan keseronokan tinggal di istana bersama yang dicintai, atau seumpamanya untuk berangkat ke medan jihad yang serba payah, mengharung risiko kematian. Persiapan jihad sukar, perjalanannya sukar, apatah lagi bila sudah di medan.

Selain itu di madrasah Ramadhan tidak kurang disajikan latihan kesabaran yang sangat penting bagi para dai, pendokong da'wah dan terlebih penting mereka yang sedang berjihad fi-sabilillah. Sabar menghadapi kesulitan dan kesusahan, sabar mengharung tribulasi, mehnah dan fitnah, gangguan serta halangan yang bukan kepalang. Tidak merasa lemah atau mundur menghadapi ujian yang tidak berkesudahan.
Firman Allah Surah Ali Imran : 146

" Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar."

Dan dengan kesabaran mampu mengundang pertolongan dariNya.

Firman Allah Surah Al-Anfaal : 65-66

" Hai Nabi Kobarkanlah semangat para mu'min itu untuk berperang. Jika ada duapuluh orang yang sabar diantara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (yang sabar) di antaramu, mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang-orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti."

" Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan Dia telah mengetahui bahawa padamu ada kelemahan. Maka jika ada diantaramu seratus orang yang sabar, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang; dan jika diantaramu ada seribu orang (yang sabar) , nescaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang dengan seizin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar."

Firman Allah Surah Al-Anfal : 46

" Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar."

Ramadhan juga mencerna manusia menjadi penyantun, sentiasa berlapang dada, berjiwa besar serta pemaaf, sebagaimana yang ditunjukkan oleh An-Nasr Solehuddin Al Ayubi tatkala perang salib masih memuncak, masih sanggup menziarah dan merawat musuh yang sedang sakit. Cocok dengan Firman Allah Surah Ali Imran : 158

" Maka disebabkan rahmat Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari kelilingmu."

Di dalam Ramadhan disunatkan beriktikaf, atau dengan erti kata lain sebentar melakukan 'uzlah dan khalwat, waktu yang sangat bermanfaat bagi hati. Waktu itu hati dapat memasuki wilayah 'fikir'. Sebentar diupayakan mengosongkan hati dari segala cerminan 'alam, di gantikan dengan segala jalan menuju Tuhan, akrab dan bercengkerama denganNya.

Syaikh Ibnu 'Atha'illah mengatakan;

"Bagaimana mungkin hati bersinar, sementara gambaran-gambaran 'alam terlukis dicerminnya."
"Bagaimana mungkin ia pergi menuju Allah, sementara ia terpasung oleh syahwatnya."
"Bagaimana mungkin ia berhasrat masuk ke hadhiratNya, sementara ia belum mampu meninggalkan kelalaiannya."

Benar, selama gambaran-gambaran 'alam ini terlukis di cermin hati kita, maka hati itu tidak akan bersinar. Lalu bagaimana caranya agar cermin hati kita terang, beragam lukisan 'alam tidak kelihatan, dan cahayanya bersinar memancar, melainkan dengan 'uzlah dan khalwat waktu 'iktikaf. Begitu juga hati tidak akan dapat berpindah kepada Allah selagi ia terpenjara dan menjadi hamba syahwat. Lalu bagaimana caranya agar boleh bebas dan tidak bergantung kecuali hanya kepada Allah. Hati lalai dari Allah, bagaimana ia dapat memasuki gerbang hadhirat Allah, melainkan dengan 'uzlah dan khalwat waktu 'iktikaf. Bagaimana pula sesaorang dapat keluar dari kelengahan, berbuat keliru dan kesalahan, lalu dapat merasakan kehebatan dan keagungan nama-nama dan sifat-sifat Zat Allah, melebur diri dengan kehendakNya Yang Mutlak melainkan dengan 'uzlah dan khalwat sewaktu 'iktikaf.

Jika hati dapat dibentuk selama Ramadhan, maka bekalan yang mampu dibawa dalam kehidupan, dalam medan da'wah dan dalam medan jihad, pasti ia mendatangkan impak yang bukan kepalang.

Selain itu adalah menjadi galakan Ar-Rasul untuk memperbanyak bacaan Al-Quran, berzikir, dan perkara-perkara yang seumpamanya. Rasulullah saw sendiri bertadarrus bersama Jibril as. sepanjang Ramadhan. Dengannya, curahan nurNya akan bisa melimpah, beroleh hikmah, hidayah, pengajaran dan penawar segala penyakit jiwa, manakala hati tidak akan bisa kering dan gersang. Latihan sepanjang Ramadhan pasti akan menjadikan diri terbiasa dengan segalanya itu, sepanjang waktu, dalam susah dan senang. Bagi yang berada dalam medan da'wah dan jihad kebiasaan ini menjadi lebih mustahak, kerana Allah berfirman dalam Surah Al-Anfaal : 45

" Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung."

Lagi, sepanjang Ramadhan dengan puasanya, perut dikosongkan dari makanan dan minuman. Sewaktu perut kosong tubuh menjadi ringan untuk beramal, jiwa meningkat tinggi, manakala hati menjadi jernih dan hijab tabir diantara hamba dengan Rabbnya bisa disingkap luas. Jiwanya jadi bersih , sedang hatinya mampu menerima sinaran CAHAYA ILAHI. Lalu jiwanya mampu melazimi serta mengambil manfaat dari segala zikir, pembacaan Al-Quran, istighfar, taubat dan doa. Itulah kebahagiaan yang hakiki, kelazatan rohani yang qudus dan mengecap kenikmatan berdampingan dengan Allah.

Sebenarnya masih terlalu banyak lagi yang dapat dihirup dari Madrasah Ramadhan, seumpama galakan memburu Al-Qadr, disiplin waktu yang ada dalam amalan puasanya, kekuatan ikatan jamaah, kesedaran manusia dengan 'alam cakerawala, selain manfaat yang tidak terjangkaukan oleh akal manusia. Dan pastinya hikmah sebenar hanya Dia (ALLAH) Yang Maha Mengetahui



Wednesday, August 11, 2010

kata-kata hati (17) Ramadhan terakhir

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Hari ini bertepatan 1 Ramadhan 1431 bersamaan 11 Ogos 2010 genap sudah 100 hari pemergian anak. Terasa masa terlalu pantas beredar meninggalkan kita semua. Ramadhan datang dan pergi, namun kita seperti dahulu juga 'consistent' dengan amal-amal 'routine' .....rasanya tidak juga bertambah-tambah. Lemahnya diri abah... terutamanya.

Dimasjid yang kita selalu kesana, Masjid Jamek Sultan Hisyamuddin, Pekan Sabak baru-baru ini diadakan ceramah untuk persediaan Ramadhan, dengan menampilkan penceramah muda yang hebat. Banyak mutiara yang dapat diraih darinya.

Antara lain diperingatkan agar semua berazam untuk mengimarahkan Ramadhan secara bersungguh-sungguh, seolah-olah inilah ramadhan yang terakhir.

Memanglah anak.....

Seandainya kita diberitahu olehNYA, bahawa Ramadhan ini adalah yang terakhir untuk kita sebelum kita menerima jemputanNYA, pasti kita akan lakukan yang tersangat baik yang kita mampu upayakan. Mungkin ketika itu kita tidak akan peduli lagi akan makan minum dan apa-apa keperluan seumpamanya.

Ialah anak....

Penghujung umur, kita tidak tahu. Dalam rahsiaNYA. Dalam penghujung Ramadhan yang lalu kita sama-sama bertarawih, kemudian anak habiskan malam-malamnya dengan i'tikaf di masjid. Rupanya itu adalah Ramadhan terakhir anak. Di Ramadhan yang baru menjelma ini..... anak sudah tiada.

Giliran kami belum tahu bila...........?

Moga kami dapat menyambut bulan yang penuh keberkatan ini dengan sepenuh hati dan jiwa, (walaupun hati tetap berdoa, semoga diberikanNYA kesempatan lagi untuk menemui Ramadhan seterusnya). Mana tahu ia adalah yang terakhir.

"Ya Allah berikan kami kekuatan untuk meraih semaksima khazanah Bulan Yang Agung ini."

Saturday, August 7, 2010

Tazkirah (1) Mati

Lihatlah.... dimana-mana ada kematian





Kerana..............

Firman Allah Surah Al-Imran : 185

" Tiap-tiap yang benyawa pasti akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya ia telah beruntung. Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya."

Firman Allah Surah Al Jumaah : 8

" Katakanlah; Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya itu akan tetap menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang Mengetahui segala yang ghaib dan segala yang nyata. lalu Ia akan memberitahu kamu apa yang telah kamu kerjakan."

Itulah lumrah 'alam , ketentuanNya. Besi akan berkarat, makanan akan basi, batang kayu mati akan reput, bunga yang mekar akan layu, tubuh yang sihat akan sakit, kulit yang tegang gebu akan berkedut dan dunia ini akan juga berakhir dengan kiamat. Apabila sampai ajal kita juga pasti akan melalui kematian. Berpisahlah kita dengan dunia yang fana ini. Semuanya akan berpindah ke sana.

Lalu bagaimana kita.............?

Maka sewajarnya kita berusaha untuk mati dengan cara sebaiknya dan terhormat. Tuhan memerintahkan kita sebagaimana firmanNya, " Janganlah kamu mati melainkan di dalam keadaan beragama Islam. (Surah Ali Imran : 102)

Kata Maulana Muhammad In'amul Hasan rahmatullah alaih ;

"Matilah kamu dalam agama, jika tidak kamu pun akan mati tapi bukan untuk agama."

Ya Allah kurniakan kami kematian syahid .......

Friday, August 6, 2010

Kata-kata hati (16) Moga anak mendapat sahamnya

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Abah sempat beberapa kali berbual dengan Ramzi (senior anak di UMT), teman dalam misi da'wah anak di Sandakan, teman iktikaf sepanjang malam-malam terakhir di Bluran, Sandakan. Beliau mengatakan, anak bersaing dan beriringan berjalan dengannya ke sungai pada pagi, 4hb Mei 2010, (pagi hari kejadian) itu. Bererti cuma sekitar beberapa minit sebelum anak berangkat menemui Rabb kita. Katanya anak sempat berbual dan menyatakan azam dan niat anak kepadanya untuk menghidupkan usaha da'wah di Maktab Perguruan Kuala Terengganu @ Maktab Perguruan Dato Razali.

Namun itulah anak.... kita merancang, ketentuan dariNYA.

Anak dipanggilNYA beberapa minit selepas itu.

Tapi tak mengapalah anak.....kini cetusan idea anak itu diteruskan oleh kawan-kawan anak di Terengganu. Walaupun anak tak berkesempatan melakukannya, namun mudah-mudahan anak mendapat juga sahamnya kini, sebagaimana yang Junjungan kita pernah nyatakan dalam sabdaan Baginda saw.

Dari Abdullah bin Abbas ra,

" Sesungguhnya Allah mencatat hasanat (kebaikan) dan sayyi'at (kejahatan), kemudian menjelaskan keduanya. Maka siapa yang berniat akan berbuat hasanat kemudian tidak dikerjakannya, Allah mencatat untuknya satu hasanat, dan jika berniat kebaikan, kemudian dikerjakan, dicatat sepuluh hasanat, mungkin ditambah hingga tujuh ratus kali lipat atau lebih dari itu. Dan apabila berniat akan berbuat sayyi'at (kejahatan), dan tidak dikerjakan, Allah mencatat baginya satu hasanat. Dan jika niat itu dilaksanakan, maka ditulis baginya satu sayyi'at."
Hadith riwayat Bukhari & Muslim.

Thursday, August 5, 2010

JIHAD - Kewajipan yang diabaikan (6)

Persediaan JIHAD

Apabila disebut bahawa berjihad membebaskan bumi umat Islam itu fardhu ain, maka bukanlah berarti bahawa sesaorang itu mesti keluar ke medan perang dengan segera tanpa membuat sebarang persiapan. Persiapan atau persediaan itu sebenarnya sangat perlu, kerana jihad itu sendiri mempunyai beberapa marhalah atau peringkat.

1. I'dad

Membuat persediaan diri dengan segala bentuk kekuatan zahir dan bathin.

Firman Allah Surah Al Anfaal : 60
"Dan bersiap sedialah untuk menentang mereka (musuh-musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan kuda yang lengkap bersedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh-musuh Allah dan musuh-musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya...."

2. Ribat

Bersiap-siaga di medan perang sebelum berlakunya pertempuran.

Sabda Rasulullah saw, dari Usman bin Affan :

"Sehari 'berribat' (berjaga ) dijalan Allah adalah lebih baik dari seribu hari yang lain.
Hadith riwayat An Nasai.

Sabda Rasulullah saw lagi dari Anas,
" Sepagi atau sepetang 'berribat' (berjaga) dijalan Allah adalah lebih baik dari dunia dan segala isinya."
(Mirqat)

3. Qital

Peperangan atau pertempuran. Allah swt berfirman menjelaskan perkara ini.
" Kamu diwajibkan berperang (qital) sedangkan peperangan itu adalah satu perkara yang kamu benci. Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ianya baik bagi kamu dan boleh jadi juga kamu suka kepada sesuatu, padahal ianya buruk bagi kamu. Dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (baik buruknya) sedang kamu tidak mengetahui."
Surah Al Baqarah : 216

Saidina Umar Al Khattab mengatakan :

" Ajarlah anak-anak kalian berenang dan memanah dan perintahkanlah mereka melompat ke kuda yang sedang berlari untuk menonggangnya....."

Sementara As Syahid Dr Abdullah Azzam menegaskan bahawa membuat persediaan adalah lebih penting dan lebih wajib daripada qital (pertempuran) kerana mereka yang tidak ada persiapan iman dan ilmu peperangan serta tidak tahu menggunakan senjata sudah pasti tidak mampu untuk berhadapan dengan qital.

Sehubungan itu beliau pernah berwasiat ;
" Wahai kaum wanita.... Didiklah anak-anak kalian dengan sifat-sifat kepahlawanan dan biasakanlah mereka dengan keriuhan medan tempur serta gegak gempita dentuman peluru-peluru dari senjata apai. Jadikanlah rumah-rumah kalian itu sebagai kandang singa; dan bukannya reban ayam yang menunggu gemuk untuk disembelih oleh taghut."
Bersambung..................
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.