RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Friday, August 26, 2011

Wahai yang diberi amanah... AMANAHLAH ........!!!

Pemohon bantuan pejabat zakat bukan pengemis

Berikut adalah tulisan Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Mantan mufti Perlis
Ogos 26, 20011 : 11:56am

Minggu lepas saya dan beberapa orang sahabat pergi menemui salah seorang dari 12 individu yang dikaitkan dengan isu murtad baru-baru ini. Dia seorang janda yang mempunyai tiga orang anak.

Usianya masih muda. Latar pendidikannya saya rasa 'amat sederhana'. Saya tidak pergi untuk mempersalahkannya kerana pergi ke gereja dan terjebak dalam usaha kristiansasi.

Saya pergi untuk membolehkan dia merasakan bahawa masih ramai yang ingin mengambil berat tentangnya. Lebih penting lagi, saya pergi untuk mengetahui apakah yang membawa dia sehingga terpaksa meminta simpati dan bantuan hidup dari pihak gereja.
Saya sedih mendengar ceritanya. Menurutnya, dirinya seorang janda yang ditinggalkan suami. Terpaksa menanggung hidup tiga orang anak. Dalam kesempitan hidup yang amat, diminta keluar dari rumah sewa dan tenat mencari sesuap nasi untuk diri dan anak-anak dia pergi merintih di pejabat zakat.

Dia tidak dilayan. Bahkan pegawai bertugas dengan tegas memberitahunya peruntukan sudah habis. Rayuannya tidak diendahkan. Dia keluar berusaha lagi. Dia berjaya mendapatkan surat sokongan ahli politik.

Kembali ke pejabat zakat membawa surat tersebut, terus sahaja dia mendapat peruntukan zakat. Peruntukan yang kononnya sudah habis sebelum itu, kembali ada untuknya.

Dengan berbekalkan wang zakat itu dia berusaha survive. Dia juga pergi ke bahagian kebajikan masyarakat, juga tidak dilayan. Dia bekerja untuk meneruskan hidupnya yang sempit.

Mesra dan sayang

Di tempat kerja, melihatkan keadaannya yang susah dan miskin maka ada rakan sekerja yang beragama kristian mencadangkan untuk dia pergi ke suatu tempat yang mudah dan mesra dalam memberikan bantuan.

Di situlah bermula hubungan dia dengan pihak gereja. Apa tidaknya, dia susah, kehidupan terhimpit dan anak-anak yang masih kecil memerlukan makanan dan perlindungan. Pihak gereja membantu keperluan hidupnya. Diberikan wang serta menziarahi keluarganya.

Mereka tidak menjadikan dia peminta sedekah, tetapi mereka menggunakan pendekatan 'mesra dan sayang'.

Hatinya terpaut dengan kehalusan budi. Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya.

Bagaimana mungkin untuk dia merasai kehebatan Islam di saat penganut yang seagama dengannya tidak memperdulikannya. Bahkan enggan membantunya. Bagaimana pula dia dapat melihat kesilapan pihak gereja secara lahiriahnya sedangkan ternyata merekalah menolongnya?

Orang mungkin berfalsafah dan berceramah secara retorik, namun jiwa insani terpengaruhi dengan apa yang dia rasai. Sakit demam anak-anaknya pihak gereja yang mengambil berat.

Makan-minum mereka, pihak gereja yang membiayai. Bahkan keperluan rumah juga diberikan satu persatu.

Menurutnya, dia tidak menukar akidahnya, tetapi dia terus ke gereja membawa anak-anaknya. Anak-anaknya diterapkan ajaran Kristian oleh pihak gereja. Diajar nyanyian keagamaan dan nilai-nilai budi tertentu.

Kekal keIslaman

Baginya, dilakukan semua itu untuk hidup. Rupanya ramai lagi yang senasib dengannya berada di bawah bantuan pihak gereja. Sebahagian mereka memang menukar agama kerana kecewa dengan sikap masyarakat Islam dan terpengaruh dengan budi pihak gereja.

Menurutnya juga, tiada paksaan dari pihak gereja. Cumanya, pendekatan mereka amat mempengaruhi.

Akhirnya, apabila pihak berkuasa agama mengetahui dia ke gereja, dia ditangkap untuk kali pertama dan beritanya disiarkan dalam akhbar. Menurutnya, sebaik sahaja ditangkap dan beritanya tersiar di media barulah pejabat zakat tergesa-gesa datang ke rumahnya. Begitu juga pihak kebajikan masyarakat.

Dia memberitahu kepada pihak zakat bahawa dia ingin membuka taska. Mereka menyuruh dia mendapatkan rumah yang sesuai dan mereka akan bantu.

Dia pun mendapatkan sebuah rumah yang mereka setujui yang agak besar dan sudah pasti sewanya agak tinggi. Malangnya, selepas dia menyewa rumah tersebut, selama tujuh bulan pihak zakat tidak menghulurkan bantuan kepadanya.

Terkapai-kapai ketika itu. Pihak gereja jugalah yang datang dan melangsaikan kesempitannya untuk menjelaskan sewa rumah tersebut.

Sehinggalah apabila timbul isu, pegawai zakat menghubungi dan meminta agar dia memaklumkan kepada pihak yang bertanya bahawa pegawai zakat memang ada datang.

Ya, selepas itu memanglah pihak zakat memberikan satu jumlah bantuan yang agak besar kepadanya dengan 'tukaran' yang tidak dapat saya maklumkan di sini.

Semasa pihak berkuasa agama membuat penyiasatan ke atas gereja berkenaan, dia berada dalam gereja berkenaan bersama dengan sejumlah orang Islam yang lain yang senasib dengannya.

Walaupun, kali kedua media menyiarkan dia termasuk dalam senarai murtad dalam peristiwa itu, hakikatnya dia tidak murtad, cumanya ada di situ bersama dengan mereka yang senasib dengannya. Namun, menurutnya memang ada yang murtad.
Alhamdulillah dia masih kekal dengan keislamannya. Semuanya itu kerana desakan hidup. Terus-terang dia sebut 'semua untuk wang kerana saya ingin membesarkan anak-anak saya.

Semasa saya menziarahinya - tanpa notis awal - dia baru sahaja selesai menunaikan solat terawih.

Menurut dia memang ramai lagi yang terpengaruh dengan usaha kristianisasi yang dilakukan. Mereka yang banyak terlibat terdiri dari kalangan ibu tunggal yang miskin, saudara baru muslim yang tidak dipedulikan, wanita yang mengandung tanpa suami, pesakit Aids dan juga muslim dari Sabah dan Sarawak yang dalam kesusahan.

Apa yang hendak dipelikkan, begitulah tabiat agama yang merasakan mereka berkhidmat untuk Tuhan. Apa yang hendak pelik jika gereja mengajar ajaran Kristian kerana itu memang kerja gereja. Tak mungkin gereja hendak berdakwah kepada Islam.

Namun yang pelik apabila ada negeri yang puluhan individu yang mempunyai PhD dan sarjana dalam pengajian Islam yang disahkan oleh kerajaan tetapi tidak dibenarkan mengajar Islam di masjid dan menyampaikan Islam kepada orang Islam.

Salahkan gereja

Jika kita ingin melepaskan diri, mudah sahaja, kita letakkan kesalahan ini kesemua di pihak gereja. Kita tuduh merekalah punca segalanya. Kemudian kita buat demonstrasi, kita bakar semangat orang awam untuk bangun menentang gereja yang melakukan aktiviti bantuan dan 'dakwah'.

Adapun kita yang tidak membantu dan berdakwah ini, tidak perlulah disalahkan. Begitukah kita? Supaya orang dapat melupakan kesilapan kita, kita letakkan segala dosa ke atas orang lain semata.

Cubalah bayangkan jika ada sebuah rumah yang didiami oleh satu keluarga yang besar dan kaya tiba-tiba salah seorang ahli rumah itu lari ke rumah jiran atas atasan tidak diberikan perhatian dan mendapat perlindungan serta makanan.

Sementara si jiran sebelah pula menghulurkan bantuan dengan pelbagai tawaran. Apakah suatu penyelesaian yang tuntas dengan hanya kita mencadangkan agar dibakar rumah jiran, atau ditangkap si jiran atau dihukum si jiran kerana mempengaruhi ahli keluarga kita.

Dalam masa yang sama kita, kita tidak persoalkan tanggungjawab kekeluargaan yang kita abaikan selama ini.
Saya tidak menafikan usaha-usaha baik pengurusan zakat yang telah pun berjaya dilakukan. Kita tahu, zakat kita banyak. Jika dihimpun seluruh negara, mungkin mencecah lebih satu bilion. Itu setiap tahun.

Cari, bukan tunggu penerima zakat

Bangunan-bangunan zakat cantik dan indah. Iklan-iklan mengutip zakat juga canggih dan mahal. Gaji-gaji yang terlibat mengurusnya jangan ditanya lagi. Cara membayar zakat juga dipermudahkan dengan pelbagai kaedah dan teknologi. Tiba-tiba si miskin kita terpaksa merintih simpati dari gereja?

Sesetengah pegawai zakat bersifat begitu meterialistik. Berwajah manis jika hadir di depannya pembayar zakat, tetapi berwajah suram jika yang hadir itu pemohon zakat. Tiada semangat dakwah dan ukhuwah Islamiah.

Pemohonan menjadi sulit dan sukar. Apatah lagi jika mak cik tua yang uzur disuruh mengisi borang. Maka, pemohon zakat bagaikan peminta sedekah. Sebab itu barangkali ramai fakir yang tidak sanggup ke pejabat zakat.

Jika program "Bersamamu" boleh menemui si fakir saban minggu, kenapa pula pihak zakat gagal mengesan mereka. Jika usaha mengutip zakat begitu hebat, alangkah baik dihebatkan juga usaha mencari mereka yang layak menerima zakat.

Mencari orang miskin itu penting, bukan menunggu mereka datang. Bukan semua yang miskin sanggup atau dapat datang kepada pihak zakat. Menurut al-Quran, yang miskin tidak meminta itu lebih patut diutamakan.

Firman Allah (maksudnya): "(Pemberian sedekah itu) adalah untuk golongan fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); orang yang jahil menyangka mereka kaya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) tanda-tanda mereka, mereka tidak meminta daripada orang ramai secara mendesak-desak, dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang baik maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya". (Surah al-Baqarah ayat 273)
Berilah zakat kepada mereka, kerana itu memang hak mereka. Jangan jadikan mereka pengemis di pejabat zakat. Berilah dengan kasih dan perancangan agar mereka keluar dari daerah kemiskinan.

Kata Saidina 'Umar RA: "Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka."

Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): "Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini." (Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-'ilmiyyah).
Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan muslim yang miskin atas peruntukan fakir dan untuk dakwah atas peruntukan muallaf. Lihatlah perbahasan fekah yang lebih luas.

Jika zakat berfungsi, bukan muslim akan tertarik dengan Islam. Jika ia tidak berfungsi, yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam!

Wednesday, August 24, 2011

Badar Al Kubra : Izzah Perjuangan

1. Peristiwa besar yang diulang sebut saban Ramadhan ini adalah merupakan Daurah Tarbiyyah yang paling efektif dalam usaha melahirkan individu yang kental imannya dan kesatuan yang padu semangat jihadnya .


إنما المؤمنون الذين إذا ذكر الله و جلت قلوبهم و إذا تليت عليهم آياته
زادتهم إيمانا و على ربهم يتوكلون


Sesungguhnya orang - orang yang beriman ialah mereka yang gementar hati mereka apabila disebut nama Allah dan apabila dibacakan ayat - ayat Allah ke atas mereka maka bertambahlah iman mereka dan kepada tuhan mereka , mereka bertawakkal .

Surah al Anfaal : 2


2. Inilah peristiwa yang mengangkat martabat ummat setelah sekian lama ummat Islam dianjing kurap dan dituding bangsat oleh kuffar Musyrikin , kuasa besar dunia pada waktu itu . Tanggal 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah , di bawah kepimpinan Musthafa saw . telah menjadi detik gemilang Islam sebagai Kuasa baru yang menghempas kebejadan musyrikin di muka dunia dengan tercetusnya Ghazwatul Badar .


و يريد الله أن يحق الحق بكلماته و يقطع دابر الكافرين

dan Allah swt mahu membenarkan kebenaran dengan ayat - ayatNya dan membinasakan orang - orang kafir hingga ke akar umbinya .

Surah al Anfaal : 7


3. Sejak dari tarikh bersejarah itu , Islam tidak lagi hanya sebagai prosedur peribadatan seperti yang difahami oleh mereka tetapi Islam yang mula menzahirkan cara hidup yang mengatasi sistem dan cara hidup ciptaan manusia .


ليظهره على الدين كله و كفى بالله شهيدا


Islam selepas Ghazwatul Badar adalah Islam yang tidak boleh dicabar dan dipermainkan . Samaada dicabar oleh musuh atau dipermainkan oleh penganut - penganutnya sendiri .

Islam selepas Ghazwatul Badar adalah Islam yang amat sensitif terhadap maruahnya . Mempertahankan Islam menjadi suatu kewajipan yang tiada pilihan lagi . Sikap teragak - agak dan penakut adalah 2 sikap yang asing dalam Islam .

Islam selepas Ghazwatul Badar adalah Islam yang mengenakan tindakan keras dan tegas kepada mereka yang tidak memperjuangkan Islam dan bersambil lewa .

[ Rujuk ayat 38 - 39 dari surah at Taubah dan perbahasannya ]

4. Demikianlah Ghazwatul Badar merubah situasi perjuangan setelah 13 tahun meredah sejarah pahit dan getir di tanah gersang Makkah al Mukarramah segersang aqidah penghuninya ketika itu . Peristiwa agong yang berlaku pada peringkat awal pembinaan daulah Islamiyyah ini adalah suatu peristiwa yang mengajar ketololan kuffar durjana , sehingga akhirnya musuh menjadi perit dan gerun terhadap Islam . Justeru itu , usahlah takut dan bimbang lagi kepada musuh tetapi takutlah kepada Allah swt .


اليوم يئس الذين كفروا من دينكم فلا تخشوهم و اخشون

Hari ini , orang - orang kafir telah berputus asa terhadap agama kamu maka janganlah kamu takut kepada mereka tetapi takutlah kepadaku .

5. Namun malangnya kita ditaqdirkan hidup dizaman ini . Suatu zaman berlakunya kecelaruan peradaban . Agama ditunggangterbalikkan , juhala' bermaharajalela dan ulama' bersandiwara . Agama digunakan hanya apabila perlu dan dibuang sekehendak laku mereka . Jihad dianggap out of date , mujahid dilabel ekstrim , prejudis dan fundamentalis . Sementara proses pemurtadan ummat melalui kebebasan media cetak dan elektronik kian memuncak .

6. Kita ditaqdir hidup dizaman ini . Di zaman tiada lagi ruh Ghazwatul Badar . manusia memburu harta dan perempuan dengan memperkudakan nafsu serakah . Persaudaraan ummat kian lebur dek bahana egoistik yang menular . Hukum hakam Islam dijadi bahan lelucon umum .

7. Kita ditaqdir hidup di zaman ini . Zaman ummat Islam kian lesu . Dhomir [ sanubari ] untuk mempertahan maruah Islam telah pudar . 1001 jenis alasan ummat kini untuk mengelak diri dari tugas jihad ini . Roh Ghazwatul Badar tiada lagi .

8. Akhirnya dunia menyaksikan penguasaan ummat Islam gugus berantakkan . Ummat menjadi hina di bumi sendiri , ummat dijajah dalam kerajaan sendiri dan ummat miskin dalam pemilikan hasil mahsul sendiri . Ummat islam lemah dalam jumlah mereka yang ramai berbanding jumlah tentera Badar hanyalah 313 ketika berdepan dengan kuffar Musyrikin yang memiliki lebih 1000 orang .

9. Kekuatan ummat terdahulu adalah kerana mereka banyak bergantung kepada kekuatan Allah swt dan pertolonganNya . [ boleh rujuk ayat 9 hingga 12 dari surah al Anfaal dan perbahasannya untuk mendapat penjelasan . ]

10. Ghazwatul Badar adalah sejarah yang memberitahu dunia bahawa Islam tidak sendirian tetapi memiliki Nusrah daripada Allah swt . namun soalnya sekarang , kenapa ummat ini lemah ? di manakah Nusrah itu ?

Nusrah [ pertolongan Allah ] diangkat kerana 6 perkara :

a. Tidak thabat dalam perjuangan
b. Tiada ketaatan kepada Allah dan RasulNya
c. Berlaku tanazu' [ perselisihan faham ] sesama sendiri
d. Tidak sabar
e. Angkuh dan Riya'
f. Halang orang lain berjuang sedang diri tidak mampu .

Rujuk ayat 45 - 46 surah al Anfaal

Ditulis oleh Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi pada 5:52:00 PM

Tuesday, August 23, 2011

Syabas...Teruskan buruan itu.


Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda:
وَمَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang bangun menghidupkan lailatul qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah, diampunkan dosanya yang telah lalu”. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari no. 1910)
Daripada ‘Aisyah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda:
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنْ الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
Maksudnya: "Carilah lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari no. 710)
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ أَحْيَا اللَّيْلَ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ
Maksudnya: “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila telah masuk sepuluh malam terakhir, Baginda menghidupkan malam, membangunkan keluarganya dan menjauhi isteri-isterinya”. (Hadis riwayat Imam Muslim no. 1174)
Hadis daripada Saidatina ‘Aisyah r.a.:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ
Maksudnya: “Adalah Rasulullah s.a.w. bersungguh-sungguh pada sepuluh malam yang terakhir di dalam Ramadan lebih daripada hari-hari yang lain”. (Hadis riwayat Imam Muslim no. 1175)

Sebahagian orang yang ‘arif berujar, sesiapa yang mencari Lailatul Qadar, sukar untuk menemuinya. Tetapi sesiapa yang mempersiap dan menyediakan diri untuk bertemu Lailatul Qadar bermula Rejab, Sya'aban dan menunaikan puasa dengan sempurna, Allah yang akan uruskan dan temukannya dengan Lailatul Qadar walau di mana dan bagaimana keadaannya.

Syabas….anak-anak ku

Teruskan usaha dan pemburuan kalian. Ikhlaskan niat, kemaskan amalan, harap hanya padaNYA. Moga kita memperoleh juga apa yang di janjikanNYA itu.

Wednesday, August 17, 2011

DISEBUAH PONDOK USANG, DIBULAN PUASA

Gambar diambil dari Berita Harian 7 Jun 2010

BATU PAHAT: Daif dan usang, begitulah keadaan rumah sepasang suami isteri,
Mohd Yusof Alam, 55, dan Halimah Abdullah, 49, di Kampung Parit Lapis Batu Puteh, Simpang Lima, Parit Sulong, di sini.



Di sebuah pondok usang di mamah usia,
Di Ulu sana dibulan puasa
Beratap rumbia, namun malam boleh saja terus mengharap cahaya bulan purnama
Cahaya neon masakan ada…
Kan letrik dan semua tu perlukan belanja
Apa nak kata mereka bukan sesiapa..
Rakyat marhein sahaja…harus terima, bersyukur lebih utama..
Itulah ujar pemimpin di atas sana..

Di sebuah pondok usang dimamah usia
Di Ulu sana dibulan puasa
Bertiang perdu pohon dari belukar saja.
Apa nak kata mereka kan bukan sesiapa
Pokok balak dibelantara untuk habuan kroni sahaja.
Walau hasilnya entah dibolot siapa.

Di sebuah pondok usang di mamah usia
Di Ulu sana dibulan puasa
Berdinding, tapi berlubang di mana-mana.
Memang begitulah hidup orang desa…
Mana ada istana, harga berjuta-juta
Walaupun diperah dari keringat simiskin juga.

Di sebuah pondok usang di mamah usia
Di Ulu sana dibulan puasa
Terlantar anak kecil kerana sedang berpuasa
” Mak petang ni kita berbuka apa..? ”
” Nak…Apalah juadah yang kita ada..”
” Lempeng pisang je yang ada..”
Pada ibu tua …..itu sudah terlalu istimewa.
Mana ada lagi seumpama Saidina Umar yang peka
Derita rakyat dirasa sama
Dipikulnya gandum di atas pundaknya yang mulia
Untuk anak dan siibu, juga rakyatnya semua.

Di sebuah pondok usang di mamah usia
Di Ulu sana dibulan puasa
Anak-anak kecil yang belum kenal dunia
Hidup menderita sudah terbiasa
Mengikat perut dan selera
Kan kita disuruh berhemat berbelanja…
Ujar orang di atas sana.
Padahal mereka berbelanja sesuka rasa
Asal terpadang mata….walau berjuta-juta peduli apa
Kan rakyat… kita boleh tutup mata mereka

Di sebuah pondok usang di mamah usia
Di Ulu sana dibulan puasa
Sikecil tak sabar menanti saat takbir bergema
Saat orang lain sudah berpesta berbelanja
Pakaian serba baru aneka warna
“ Mak... Raya nanti pakai baju lama ?”
“ Yelah Nak.. kan baju raya tiga tahun dulu tu kubas warnanya belum ketara”
“ Kalau senteng pun sedikit sahaja”
“ Engkau bermain dan berlari-lari sentengnya tak nyata”

Di sebuah pondok usang di mamah usia
Di Ulu sana dibulan puasa
Sikecil hanya diam menundukkan kepala
Dalam hati pasti hiba tak terkata
Padahal orang-orang besar di luar sana
Berbelanjanya saja diluar negara
Mengangkutnya saja guna beberapa kereta
Belum dinilai berapa harga
Sebentuk cincin mereka menelan juta
Gelang, tas tangan dan lain-lain eksesori belum dikira
Boleh tampung entah beratus atau ribuan rumah PPRT untuk rakyat gelandangan di kota dan desa

Di sebuah pondok usang di mamah usia
Di Ulu sana dibulan puasa
Siibu tua memendam rasa mententeramkan sikecil manja
“ Nak… kita kan orang biasa ”
“ Usah meminta dan mengharap apa yang kita tiada ”
“Ayah engkau kan dah tak berupaya ”
“Sehari pencariannya hanya cukup untuk mengalas perut sahaja”
“ Tapi bersyukurlah Nak….kita masih boleh berbangga”
“ Kita bukan jenis yang menjual Agama”
“ Walau hanya dengan sehelai kain pelikat cuma”
“ Sekilo dua gula, atau sehelai wang kertas kelabu warnanya”
“ Kerna redha Allah-lah yang perlu di utama, diambil kira”
“InsyaAllah apa yang kita terlepas di dunia akan diganti di Syurga sana”

Di sebuah pondok usang di mamah usia
Di Ulu sana dibulan puasa
Siibu merenung sikecil yang sudah melelapkan mata
Didinihari disamping suami tua yang merengkut sejuk tanpa gebar tuala
Menanti esok yang entah bagaimana..
Akhirnya manik-manik air jernih tak terbendung jua
Melepasi kelopak kendur matanya….
Kepada Allah ia sujud, mengadu hiba…..
Wahai orang di atas sana, apa semua tu tidak diambil kira
Waktu dihitung kira bicara
Tertanggungkah nanti, tuan semuanya
Yang menunggu di sana hanya dua……
SYURGA atau NERAKA.

Monday, August 15, 2011

BAGAIMANA..?

Ramai....bukan seorang...
Semakin kerap......bukan jarang-jarang…
Sumpah seakan satu trend untuk membela, membersih dan menyucikan,

membenarkan diri rupanya sekarang…

Wahai orang-orang agama tersayang, ulama’-ulama’ terbilang….
Moga hal demikian tidak dilepas pandang….
Jelaskanlah secara terang….
Usah peduli sesiapa memandang….
Peduli sahaja Allah yang memandang….

Kami orang kebanyakan sudah keliru bukan kepalang….
Masyarakat lintang-pukang….
Tiada cahaya walau siang….
Sebelum dihitung di Mahsyar luas yang tiada terjangkau mata memandang….


" Mereka menjadikan SUMPAH-SUMPAH mereka sebagai perisai, lalu mereka halangi (manusia) dari jalan Allah; kerana itu mereka mendapat azab yang menghinakan. "
(Al-Mujaadilah : 16)

" Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan SUMPAH-SUMPAH(mu) itu, sesudah meneguhkannya, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpahmu itu). Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu perbuat. "
(An-Nahl :91)

Kenapa dibezakan ?

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana puasa itu diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa [Al- Baqarah : 183]


Berbetulan dengan kita berada dalam bulan Ramadhan ini, dimana-mana kita akan dihidangkan dengan ayat yang menjadi dalil kewajipan berpuasa, yang membawa maksud seperti di atas. Oleh kerana kerapnya, kita pun menjadi hafal, faham dan akur akan hukumnya. Semua orang merasakan kehadirannya. Semunya bersedia dengan cara yang berbagai. Diraikan, disambut dan sebahagian besarnya menunjukkan kesungguhan untuk menepati maksud kehendak puasa itu, yakni agar dapat mencapai darjat TAQWA.


Tetapi bagaimana pula bila disebutkan, dibacakan, di serukan ayat yang berbunyi hampir sama........;


“ Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qishaash berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba dan wanita dengan wanita. Maka barang siapa yang mendapat suatu pemaafan dari saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula). Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu dan suatu rahmat. Barang siapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya siksa yang sangat pedih.”[Al- Baqarah : 178]


Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” [Al- Baqarah : 216]


.....sebahagian manusia bermuka masam. Tidak sedikit menolak tuntutannya. Tidak terbilang mencemuh dan mempersenda. Direkakan alasan yang berbagai rupa.


Aduhai manusia…..Semuanya dari Qur’an yang sama, dari Allah Yang Satu, Pencipta yang sama, kenapa penerimaan kita terhadap semuanya boleh berbeza ?

Sunday, August 14, 2011

Inginkan Syurga .....

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 183:
“Wahai orang yang beriman!, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu berTAQWA”.


Kenapa berpuasa ?
Supaya kita mencapai TAQWA...

Apa itu TAQWA ?
Saidina Umar aL-Khattab r.a ketika ditanya oleh seseorang apakah itu TAQWA... jawabnya,
"taqwa itu umpama kamu berjalan di atas satu jalan yang penuh dengan onak dan duri...pastinya kamu akan berhati-hati agar tidak tercedera dengan duri tersebut"

....TAQWA itu ialah berhati-hati dari segala segi....
Kenapa perlu TAQWA ?


Kerana firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 133:
Maksudnya: “ Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu, dan Syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang berTAQWA.”

Firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 73:
Maksudnya: “Dan orang yang berTAQWA kepada Tuhan mereka dibawa masuk ke Syurga dengan berpasuk-pasuk, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga itu dibuka pintu-pintunya dan berkatalah penjaganya: Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan kekal.”


Akhirnya bolehlah kita bertanya kepada diri kita masing-masing.

Cerahkah harapan kita tentang Syurga itu?

Jawapannya masing-masing kita mengetahuinya, kerana belum pasti kita mampu mencapai TAQWA.

Jadi tahulah kita nilai puasa kita....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.