RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Sunday, May 13, 2012

Wahai anak-anakku : AZAM (1)


Wahai anak-anak ku

Abah tahu kalian semuanya ketika ini, amat disibukkan dengan tuntutan pembelajaran yang sangat menekan, kuliah yang padat, 'assignment' yang berbukit, kerja kursus, projek dan berbagai, selain kewajipan sebagai seorang pemuda, pelajar dan individu Muslim yang telah merelakan dirinya bersama dengan gerakan Islam, yang tiada kunjung habis. Namun betapa pun kesuntukan masa kalian, ingat-ingat jugalah akan apa yang bakal kita persembahkan padaNYA. Kita wajib sedar bahwa hari akhir kita semakin mendekat lantaran umur kita yang semakin menyusut.

Anak-anak ku,
Berbanding para sahabat Baginda saw, Ilmu kita tidak banyak, ‘amal kita amat sedikit, azam kita untuk beramal amat lemah, sedang takut dan tidak sanggup kita menghuni nerakaNYA dan harap serta keinginan kita untuk menetap tinggal di SyurgaNYA tidak kurang juga (walaupun ketakutan dan harap kita tidak sehebat perasaan para sahabat Baginda saw sehingga mampu berbuat sesuatu yang hebat).

Dari lautan suruhan perintah Tuhan, serta padoman tunjukan Ar-Rasul saw, hanya sedikit kita mampu buat, walaupun mungkin pernah terdetik di hati kita untuk berbuat dan patuh semuanya. Hakikatnya hanya sedikit yang kita terdaya, lantaran longlainya upaya kita.

Lalu bagaimana kita ?
Dalam kita bercita-cita berbuat yang banyak, tak terbuat , apa kata kita memfokus pada yang sedikit dahulu asal kita mampu berbuat. Untuk itu mari kita kutip sebahagiannya untuk kita ambil dan tiada tinggalkan lagi selamanya insyaAllah.

Berikut : AZAM (I) Membaca Sayyidul Istighfar

Daripada Syaddad bin Aus, Nabi shollallahu ’alaih wa sallam bersabda:
Penghulu Istighfar ialah kamu berkata: “Allahumma anta rabbi laa ilaha illa anta kholaqtani wa ana ‘abduka wa ana ‘ala ‘ahdika wa wa’dika mastatho’tu a’udzubika min syarri ma shona’tu abu-u laka bini’matika ‘alaiyya wa abu-u bidzanbi faghfirli fa innahu laa yaghfirudz-dzunuuba illa anta (Ya Allah, Engkau adalah Rabbku.  (Tiada ilaha selain Engkau. Engkau telah menciptakan aku, dan aku adalah hambaMu dan aku selalu berusaha menepati ikrar dan janjiku kepadaMu dengan segenap kekuatan yang aku miliki. Aku berlindung kepadaMu dari keburukan perbuatanku. Aku mengakui betapa besar nikmat-nikmatMu yang tercurah kepadaku; dan aku tahu dan sadar betapa banyak dosa yang telah aku lakukan. Karenanya, ampunilah aku. Tidak ada yang dapat mengampuni dosa selain Engkau).” Barangsiapa yang membaca doa ini di waktu pagi dan dia benar-benar meyakini ucapannya, lalu dia meninggal dunia pada petang harinya, maka dia termasuk penghuni Syurga. Barangsiapa yang membaca doa ini di waktu petang hari dan dia benar-benar meyakini ucapannya, lalu dia meninggal dunia selepas itu, maka dia termasuk penghuni Syurga.”

(HR Bukhary 5831)

Thursday, May 10, 2012

Cahaya Tuhan...boleh dipadam?

Rahsia Bible £ 14million di mana Nabi 'Isa meramalkan kedatangan Nabi Muhammad saw' ditemui di Turki.



Bible lama, di mana Nabi Isa dipercayai telah meramalkan kedatangan Nabi Muhammad saw ke Bumi telah mencetuskan minat yang serius dari pihak Vatican. Pope Benedict XVI didakwa mahu melihat buku yang berusia 1,500 tahun itu, yang mana ramai yang percaya ianya adalah Injil Barnabas, yang telah disembunyikan oleh kerajaan Turki sejak 12 tahun yang lalu.

Kitab yang bernilai £ 14million, dengan tulisan tangan huruf keemasan, yang ditulis dalam bahasa pertuturan Nabi Isa, asli Aramaic, dikatakan mengandungi ajaran awal dan ramalan tentang kedatangan Nabi yang akan datang.

Teks kulit berjilid, yang ditulis pada kulit haiwan itu telah ditemui oleh polis Turki semasa operasi anti-penyeludupan pada tahun 2000. Ia dikawal dengan rapi sehingga tahun 2010, sebelum ia diserahkan kepada Muzium Etnografi Ankara. Dalam waktu terdekat ia akan di pamerkan untuk tatapan awam selepas usahan pemulihan dilakukan.

Menteri Kebudayaan dan Pelancungan Turki, Ertugrul Gunay berkata kitab lama itu kemungkinan adalah merupakan kitab Injil sebenar, yang dinafikan oleh Gereja Kristian lantaran kandungannya yang selari dengan pandangan Islam berkaitan dengan Nabi Isa.

Beliau juga mengesahkan bahawa pihak Vatican telah membuat permintaan rasmi untuk melihat kitab tua itu, (teks yang dianggap kontroversi). Umat Islam mendakwa ia merupakan tambahan kepada injil asal Mark, Matthew, Luke dan John. Selaras dengan kepercayaan Islam, Injil berkenaan menganggap bahawa Nabi Isa adalah manusia, bukannya Tuhan.

Ia menolak idea-idea Trinity dan Penyaliban dan sekaligus mendedahkan ramalan Nabi Isa tentang kedatangan Nabi Muhammad saw. Dalam satu versi yang terdapat didalam Injil berkenaan, Nabi Isa dikatakan telah memberitahu pengikutnya : ' Bagaimana Mesias seharusnya dipanggil? Muhammad (saw) ialah namanya yang diberkati '.

Professor teologi Omer Faruk Harman berkata, hanya imbasan saintifik terhadap kitab berkenaan, yang mungkin menjadi satu-satunya cara untuk menentukan akan usianya yang sebenar-benarnya.

Friday, May 4, 2012

Kata-kata hati (37) Dikejauhan


Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2 (UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan. Lapuran kejadian anda boleh dapati dibeberapa blog, antaranya http://haneefsyah.blogspot.com

Oleh kerana terlalu lama di asak dengan penggunaan tarikh masehi, dalam banyak hal abah juga terbawa-bawa banyak perkara yang merujuk kepada tarikh masehi. Hari ini 4hb Mei 2012, genap 2 tahun sudah pemergian anak meninggalkan kami.

Barang-barang peninggalan anak masih banyak yang belum dapat abah teliti. Namun segalanya terasa masih segar dalam ingatan kami semuanya. Walaupun kami semuanya semakin kuat dan tabah, namun dalam beberapa siri cuti semester yang baru berlalu, setelah semua adik beradik anak pulang ke rumah, ketiadaan anak tetap juga sangat meruntun kalbu. Mujur ummi anak kuat, jadi semua kami terdorong untuk perlu lebih kuat.

Dalam pada itu, Abah, Ummi dan lainnya saban hari tidak pernah lupa, (dan mudah-mudah Allah lindungi kami dari sifat lupa) dari mengirimkan anak hadiah bacaan ayat-ayat suci, zikir dan sebagainya. Moga adalah kiranya diperkenankan Allah dan sampai pahala bacaan semuanya.

Kitab-kitab yang anak tinggalkan kerap juga menjadi bahan rujukan dan bacaan untuk kami yang tinggal, dan ada waktunya abah jadikan bahan tazkirah pada setiap pagi diwaktu perhimpunan pekerja ditempat kerja abah. Abah tetap pohonkan mudah-mudahan Allah berkenan terus mengalirkan pahala dan rahmat serta kasih sayangnNya kepada anak di sana, lantaran bahan yang anak tinggalkan itu.

Mungkin secara kebetulan atau memang rencana Allah Yang Maha Pengatur, Allah nak memujuk kesedihan kami, dalam waktu yang hampir-hampir dengan tarikh 4hb Mei 2012 ini, didalam siri-siri majlis ta’alim yang ummi buat, kami memilih kitab ‘Ziarah ke Alam Barzakh’ karya Al Imam Jalaluddin As Sayuti. Tak pasti tajuk apa yang hendak dibaca, namun dari senarai tajuk-tajuk yang banyak kami tertarik untuk memilih tajuk, ‘Langit dan Bumi Menangisi Kematian Seorang Mukmin’.
Antaranya Imam As Sayuti menukilkan seperti berikut:-
Syuraih ibn ‘Ubaid al Hadhrami menuturkan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda, “ Tidaklah seorang mukmin itu meninggal dikejauhan, sementara keluarganya tidak menghadirinya, melainkan langit dan bumi akan menangisinya.”
Kemudian Baginda membaca ayat Surah ad-Dukhaan : 29 bermaksud; ‘ Langit dan bumi tidak menangisi mereka.’
Lebih lanjut Baginda saw mengatakan, ‘ Sesungguhnya keduanya tidak menangis atas orang kafir.’ Hadith riwayat Ibn Jarir, Ibn Abi ad Dunya dan al Baihaqi dalam Syu’ab al Imam

Dari al Hassan juga disebutkan, ‘ Sesungguhnya jika Allah mewafatkan seorang mukmin di negeri asing, Dia tidak mengazabnya. Hal itu merupakan rahmat atas pengasingannya itu. Dia memerintahkan malaikat, sang malaikat pun menangisinya kerana ketidakhadiran keluarganya disisinya.’

Tersentak juga kami semuanya. Walau sedih, tapi lega. Moga anak mendapat apa yang dijanjikan oleh ar Rasul saw itu. Ameeen.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.