RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Friday, November 30, 2012

Berikut adalah tulisan terbaru Dato Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(Mantan mufti Perlis)
Sama-sama kita renungkan dan berbuat koreksi diri.


Bingkisan perjalanan buat yang demam 'kuasa'

Dr Mohd Asri Zainul Abidin
9:11am Nov 30 2012

Sekarang ini demam Pilihanraya ke-13. Ia dijangka pilihanraya yang benar-benar akan mendemamkan sama ada BN ataupun Pakatan Rakyat. Maka sekarang parti-parti politik dalam negara kita sedang sibuk dan menyibukkan diri untuk menghadapi demam tersebut. Ucapan dan slogan politik kedengaran di sana-sini. Kuasa, kuasa, dan kuasa. Itulah mimpi sebahagian manusia politik. Saya tidak ingin mengulas pada minggu ini. Saya hanya ingin memetik pelbagai ucapan beberapa tokoh umat Islam berkaitan dengan perjuangan dan kepimpinan. Harapnya ia boleh menjadi bekalan dan renungan untuk semua pihak yang terbabit. Ia boleh menjadi koleksi dan koreksi untuk mereka yang merasa diri berada di medan perjuangan dan siasah.

Akur kesilapan

Nabi Musa a.s berjuang menghadapi Firaun. Namun Nabi Musa a.s pernah membuat kesilapan sebelum menjadi rasul iaitu telah memukul seorang warga Mesir keturunan qibti sehingga mati. Semasa dialog antara Musa dan Firaun, Firaun mempertikaikan tindakan Musa a.s. tersebut. Nabi Musa a.s mengakui kesilapan tersebut, namun meneruskan perjuangan yang benar. Allah menceritakan hal ini dalam al-Quran dengan firmanNya: (maksudnya )“Maka pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: “Sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam. Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami”. Firaun menjawab: “Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau (Musa) kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (kesalahan) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dalam kalangan orang yang tidak mengenang budi?” Nabi Musa berkata: “Aku melakukan perbuatan demikian sedangkan aku ketika itu dalam kalangan orang yang belum mendapat petunjuk. Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan, dan menjadikan daku seorang RasulNya. Adapun budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil.” (Surah al-Syu‘ara: 16-22). Inilah sikap perjuang yang ikhlas dan benar!

Pohon maaf dan betulkan kesilapan

Apabila fitnah berlaku di zaman pemerintahan Saidina ‘Uthman bin ‘Affan, beliau menulis surat kepada rakyat memohon kemaafan dan membuka ruang agar dibetulkan kesalahan pentadbiran. Beliau menyebut dalam suratnya: “Aku mengambil pegawai-pegawaiku dengan persetujuanku pada setiap musim. Sejak aku memerintah, aku telah jadikan umat ini dikuasai oleh al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy ‘an al-Munkar. Tidak dikemukakan suatu kes kepadaku atau kepada para pegawaiku melainkan aku berikan kepada mereka itu akan haknya. Tiada bagiku atau keluargaku hak yang menyentuh rakyat jelata melainkan ianya ditinggalkan untuk rakyat. Penduduk Madinah telah memaklumkan kepadaku bahawa ada golongan yang dicerca dan ada pula yang dipukul. Sesiapa yang dicerca ataupun dipukul secara sembunyi atau sesiapa yang mendakwa sesuatu, apabila cukup tempohnya maka ambillah kembali haknya di mana sahaja dia berada, daripadaku atau pegawaiku ataupun dia bersedekahlah (maafkanlah). Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersedekah (memaafkan)”.

Apabila surat ini dibaca di setiap negeri maka rakyat jelata pun menangis dan mereka berkata:
“Sesungguhnya telah bergerak di kalangan umat ini kejahatan” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 342) iaitu fitnah telah menular di tengah-tengah umat.

Maksud ‘Rakyat Didahulukan’

Jika kita ingin mendengar contoh rakyat didahulukan, maka bacalah Sirah ‘Umar bin al-Khattab ini: Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun kemarau melanda Madinah lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr). Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).

Awasi pengampu

Syaiban al-Ra‘i berkata kepada Harun al-Rasyid: “Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau merasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan”. Tanya Harun al-Rasyid: “Jelaskan maksudnya untukku”. Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada engkau: “Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah” lebih baik dari orang yang berkata “Kamu daripada kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!”. Maka menangislah Harun al-Rasyid sehingga mereka yang berada di sekelilingnya bersimpati kepadanya. Kata Syaiban lagi: “Wahai Amirul Mukminin, apabila saya bercakap, saya bimbangkan tindakan kamu terhadap saya. Jika saya diam, saya bimbangkan bahaya menimpa kamu. Maka saya utamakan kebimbangan bahaya menimpa kamu lebih daripada kebimbangan tindakan kamu ke atas saya”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/198, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Menyedari bebanan amanah

Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan terngamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti kemunculannya setelah dilantik, mereka berbisik bertanya anaknya, mengapa ayahnya belum keluar ke khalayak ramai. Kata anaknya: “Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila ditanya, dia berkata: “Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis” (lihat: Mahmud al-Baji, Muthul ‘Ulya min Qada al-Islam, 144).

Dalam Sifat al-Safwah karya Ibn al-Jauzi yang meriwayatkan bahawa ketika Khalifah Harun al-Rasyid menaiki Bukit Safa, seorang tokoh umat bernama ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Aziz al-‘Umari berkata kepadanya: “Lihatlah ke arah Kaabah.” Harun al-Rasyid menjawab: “Aku sedang lihat.” Kata beliau lagi: “Berapa jumlah mereka yang kau lihat?” Jawab Harun: “Siapa yang mampu membilangnya.” Kata beliau pula: “Berapa jumlah manusia yang seperti mereka?” Jawab Harun: “Hanya Allah yang mampu menghitungnya.” Kata al-‘Umari lagi: “Ketahuilah engkau bahawa setiap mereka itu hanya akan ditanya pada hari kiamat tentang diri mereka sahaja, hanya engkau yang akan ditanya tentang diri mereka semua, maka hati-hatilah engkau tentang nasib engkau nanti.” Maka terduduk dan menangislah Harun al-Rasyid mengenangkan masa depannya di akhirat kelak.

Menyedari kemampuan diri

Saidina ‘Umar bin al-Khattab r.a. pada usianya yang lanjut, ketika dia pulang dari menunai haji, beliau berdoa sambil mendongak ke langit dan mengangkat tangannya: “Ya Allah! Sesungguhnya telah lanjut usiaku, telah rapuh tulang belulangku, bertambah ramai rakyatku, maka ambillah nyawaku sebelum aku mensia-sia tugas dan tanpa ditimpa fitnah”. Lalu tidak sampai sebulan selepas pulang ke Madinah beliau wafat dibunuh. Demikian Saidina ‘Ali bin Abi Talib r.a, walaupun usia belum lanjut, namun apabila rakyatnya kucar-kacir tidak mahu tenteram walaupun telah diusahakan, beliau meminta agar Allah merehatkannya dari kedegilan rakyatnya. Lalu beliau pun mati selepas itu. Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz apabila merasakan rakyat sudah tidak mampu mentaati keadilan dan kebenaran yang ditegakkannya, dia meminta daripada insan yang mustajab doanya ketika itu agar memohon Allah mengambil nyawanya. Lalu tidak lama kemudian dia pun meninggal. (lihat: Ibn Rajab, al-Jami’ al-Muntakhab, 103, Lebanon: Muassasah Fuad).

Banyak lagi ungkapan yang baik tentang kuasa dan jawatan untuk direnungi oleh mereka yang merinduinya. Saya petik sedikit daripadanya sebagai bingkisan buat yang lantang berbicara tentang keinginan kepada kuasa.

Friday, November 23, 2012

As Syahid Ahmed Al Jaabari


                                Perhatikan walaupun tubuhnya sudah terkulai,
                            namun tangannya kukuh menggenggam Al Qur'an,
                      jari telunjuk memberikan isyarat seakan dalam bertasyahud
                                                    ...Allahu Akbar !!

Cubaan bunuh dari pihak berkuasa Israel sudah bermula semenjak tahun 2004. Namun ketika itu Allah belum menganugerahkan SYAHID kepadanya, walaupun dalam serangan udara ketika itu, Mohammed, anak lelaki sulungnya gugur sebagai syuhada. Turut SYAHID adalah abangnya dan beberapa anak saudaranya.


Mengambil alih komandan Briged Izzad-Din al-Qassam kurang dari dua tahun sebelumnya, selepas komandan sebelumnya Mohammad Deif telah cedera parah, juga dalam satu serangan udara oleh pihak Israel. Sementara pimpinan sebelumnya Salah Shehadeh juga SYAHID dalam serangan roket pada awal 2002.


AS SYAHID Ahmed Jaabari bertemu Shehadeh dan beberapa pimpinan mujahideen lain antaranya, Abd al-Aziz Rantissi dan Nizar Rayyan, semasa menghabiskan 13 tahun di penjara. Dari situ bermula titik perjuangan jalanan bertukar kepada perjuangan bersenjata dengan strategi utama untuk menghadapi sebarang serangan dan melakukan serangan terhadap Israel durjana.


Berperanan besar bagi membolehkan Hamas menguasai Semenanjung Gaza, dan antara yang terlibat dalam penangkapan tentera Israel Gilad Shalit. Dibawah komandannya Briged Izzad-Din al-Qassam menjadi bertambah professional. Bertanggungjawab dalam memperkuat dan memajukan persenjataan Hamas sehingga berkeupayaan memiliki senjata roket yang mampu menembusi jauh ke dalam Israel. Terkenal kepada pendokong Hamas dan ‘ Gazan sympathisers ’ sebagai “the general” . Selain berkedudukan tinggi dalam kepimpinan Hamas, AS SYAHID juga pelopor kepada tertubuhnya Pertubuhan Nur, yang berperanan membantu ‘syuhada dan yang terpenjara’.


Kini jiwa perkasa ini telah dikurniakan SYAHID pada hari Rabu, 29 Zulhijjah 1433 bersamaan 14 November 2012 dalam operasi ‘Operation Pillar of Defense’, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dan Shin Bet semasa memandu di Jalan Omar Mukhtar Street dalam bandar Gaza pada usia 52 tahun.


Ribuan mengiringi jenazah syuhada Ahmed Jaabari bermula dari Hospital Shifa sehinga disemadikan di tanah perkuburan Sheikh Radwan pada 15 November 2012.


Walaupun ribuan bersedih dan menitiskan air mata di atas pemergiannya, namun sebenarnya sekian banyak bidadari sudah lama bersiap dan tidak sabar untuk bertemu dengannya.


Allahu Akbar !!!


Allahu Akbar !!!


Allahu Akbar !!!


Kepada Israel,


Kamu usah ketawa terlalu gembira atas gugurnya Ahmed Jaabari seorang, kerana akan lahir lagi ratusan Ahmed Jaabari yang akan menghancurkan kamu.





Selamat berangkat keharibaan Rabb kita Yang Maha Penyayang dan nikmat kurniaNYA yang tiada bertepi. Kami insyaAllah akan menyusul tuan. Ameen....!


Thursday, November 22, 2012

Ya Allah...ALLAHU AKBAR !!!















Sekian lama sudah anak-anak Palestine ini menangis.....kita tidak peduli.
Juga sudah lama darah mereka tumpah membasahi bumi suci Baitulmaqdis .......kita juga tidak peduli.
Kini sebahagian mereka sudah tidak menangis lagi...kerana .......kita masih tidak peduli.

Bilakah kita akan ambil peduli?
Ataukah kita memang jenis manusia yang tidak akan ambil peduli?

Ya Allah
ALLAHU AKBAR !!!
ALLAHU AKBAR !!!
ALLAHU AKBAR !!!

Ya Allah ...lemahnya aku, tidak berbuat apa-apa



" Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita maupun anak-anak yang semuanya berdoa: " Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Mekah) yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau !"
An-Nisaa :75

Sunday, November 11, 2012

Wahai anak-anakku - Azam (3)

Wahai anak-anakku;

Sedikit lagi untuk kita berazam mengamalkannya.


Terjemahan :

Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekelian makhlukNya. Yang tidak mengantuk dan tidak tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi pertolongan melainkan dengan izinNya. Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).

(al-Baqarah ayat 255)

Nabi s.a.w bersabda: “ Barangsiapa yang membaca ayat Kursi setiap penghujung solat wajib, maka tidak ada yang mencegahnya masuk syurga kecuali kematian, dan tidak ditetapkan padanya kecuali sebagai siddiq (benar atau jujur) dan abid (tekun beribadah).”

(HR Ibn Mardawaih)

Abu Umamah menuturkan bahawa Rasulullah saw. bersabda, "Barangsiapa yang membaca ayat kursi pada setiap akhir solat fardu, tidak akan ada yang mencegahnyanya dari masuk syurga hingga dia meninggal."

(HR An-Nasai, Ibnu Majah, Ibn Mardawaih & Ad-Daraqutni)

Nabi saw. bersabda, "Sesiapa membaca ayat kursi setelah setiap solat fardu, tidak ada yang menghalangnya dari masuk syurga selain kematian."

(HR ath-Thabrani no.7532 disahihkan oleh al-Albani)




Wednesday, November 7, 2012

Wahai anak-anakku - AZAM (2)


Anak,
Setiap hari kita akan diusahakan untuk ditipu dan diperdaya oleh syaitan laknatullah. Kerap kali juga kita tewas dan tertipu. Dari sekecil-kecil perbuatan hingga kepada sebesar-besar perkara. Hatta gerak hati kita juga sering cuba untuk dipesongkannya dari ikhlas dalam amal-amal soleh.

Seumpama dalam tiap sembahyang diusahakannya dengan berbagai kaedah supaya kita terlalai samada dalam perbuatan, bacaan apatah lagi hati. Tak tahu berapa peratus sahaja dari keseluruhan sembahyang kita yang bulat semuanya kepadaNYA, sedangkan kita telah maklum bahawa yang dipandang Allah terhadap sembahyang kita hanyalah bahagian yang kita tidak terleka lalai itu.

Manakala selepas sembahyang pula kita kerap dibisikkan tidak perlu menyempurnakan keperluan istighfar, zikir dan lainnya kerana konon ada urusan yang perlu disegerakan untuk diselesaikan. Hakikatnya apabila kita bangun dan berpergian, tidak juga kita melaksanakan apa-apa yang ‘urgent’ itu.

Begitulah kita dengan segala kelemahan kita.

Oleh itu wahai anak…,
Mari kita berazam untuk tidak terpedaya lagi. Betapa sibuk dan suntuk pun waktu jangan tinggalkan semuanya istighfar, zikir dan bacaan lainnya.

Azam (2) bacaan….

Daripada Muslim bin Al-Harith al Tamimiy daripada ayahnya;
Bahawa Nabi saw telah membisikkan kepadanya dengan sabda Baginda: “Apabila engkau selesai sembahyang Maghrib, maka hendaklah engkau sebut “Allahumma Ajirnee Minan Naar "
( Ya Allah lindungi aku dari Neraka) sebanyak tujuh kali.”

Lagi Sabda Rasulullah saw;
“ Sebelum engkau bercakap dengan sesiapa, sekiranya engkau menyebut demikian kemudian engkau ditakdirkan mati pada malamnya, maka ditentukan engkau terhindar darinya (neraka). Apabila engkau mengerjakan sembahyang Subuh, maka katakanlah juga demikian, kerana jika ditakdirkan engkau mati pada hari itu, maka engkau akan dihindarkan daripadanya.”
Hadith riwayat Abu Daud, Ahmad dan Ibn Hibban

YA - ALLAH


Ya Allah …. Berilah aku kekuatan, istiqamah dan segala yang memungkinkan penerusan segala yang baik.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.