RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Wednesday, January 16, 2013

Kenapa ke HKR KL112

Justifikasi mengapa saya ke 1 Juta Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112  - secara ringkas.

Saya orang biasa, tidak mengerti banyak perkara. Namun saya maklum dan faham bahawa Al-Quran mengajar kita, jika kita tidak tahu, tanya pada ahlinya.

Firman Allah
“Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan, jika kamu tidak mengetahui .“
(An-Nahl : 43)

Firman Allah lagi
“Maka kamu tanyakan (kepada) ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui.”
 (Al-Anbiyaa’ : 7)

Lalu saya tanyakan kepada sebahagian ulama yang saya yakin jujur dengan ilmunya, lalu saya dapati semuanya tersimpul dan selari dengan kenyataan-kenyataan Dr. Yusuf Al Qaradhawiy, walaupun beliau bercakap ditempat lain, ditujukan kepada manusia ditempat lain, namun konteks isunya adalah sama.

Berikut kami kemukakan sebahagian kecil dari ucapan Dr Yusuf Al-Qaradhawiy dalam rentetan peristiwa panjang kebangkitan rakyat di Mesir.

Ucapan pada tarikh 2hb Feb 2011.

1. “ Islam meletakkan syarat ketat untuk bangun menentang pemerintah, apatah lagi sekiranya penentangan menggunakan senjata….. Adapun menzahirkan penentangan dalam bentuk lain tanpa mengangkat senjata adalah dibenarkan dan dianjurkan dalam Islam. Bahkan ada ketikanya menjadi suatu kewajipan kepada setiap individu yang berkemampuan agar semangat dan cita-cita rakyat sentiasa membara di dalam hati kecil setiap yang bernyawa , serta mampu untuk berkata ‘tidak’ kepada penindasan dan kezaliman dengan sepenuh hati. Dalam sebuah hadith sabda Nabi saw;"

“ Sebaik-baik jihad ialah menyatakan kebenaran pada penguasa yang zalim.”
(Riwayat Imam Ahmad, Imam An-Nasa’I dalam al-Bai’ah (4209) dari Toriq bin Shihab.)

Dalam hadith lain yang bermaksud;
“Penghulu golongan syuhada adalah Hamzah bin Abdul Muttalib dan juga seorang lelaki yang bangun menuju kepada pemimpin yang zalim, lalu ia menyuruh pemimpin tersebut (berbuat baik) dan menegahnya (dari kezaliman), lalu lelaki itu dibunuh (kerana perbuatannya itu).”
(Riwayat Al Hakim jilid 3, hlm 195 al Khatib dalam Tarikh Baghdad jilid 6 hlm 53, disahihkan oleh al-Bani.)

2. " Turun ke jalan raya pada hari Jumaat (hari perarakan sejuta umat - 4hb Feb 2011) nanti untuk sama-sama menunjuk perasaan menjadi kewajipan syar’ie yang mesti dilakukan bagi yang berkemampuan untuk berbuat demikian. Inilah satu-satunya cara untuk bebas dari belengu cengkaman ‘Firaun’ demi mengelakkan banyak lagi kezaliman dan nyawa terkorban. Sesuatu yang tanpanya menyebabkan perkara wajib itu tidak sempurna, maka ia turut menjadi wajib."

3. " Islam meletakkan tanggungjawab besar kepada rakyat keseluruhannya untuk memperbetulkan kesilapan pemerintah, dan menentang kezaliman, agar segala bentuk penindasan dapat dihentikan dan bertaut kembali kepada kebenaran dengan kuasa yang ada di tangan, lidah dan hati mereka sekadar yang termampu. Jika itu tidak dilakukan, bersedialah dengan azab dari Allah untuk semua umat manusia, sama ada yang zalim atau yang berdiam diri."

Firman Allah dalam Surah Al-Anfaal : 24
“ Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.”

Sabda Rasulullah saw;
“Sesungguhnya manusia sekiranya mereka melihat kezaliman berlaku, sedangkan mereka tidak berbuat apa-apa, maka bersiap-siaplah dengan balasan Allah yang akan mengenai semua orang.”
(Riwayat Imam Ahmad dan Abu Dawud dlm kitab al-Malahim (4338) Imam At-Tirmidzi ( 3057) dan Ibn Majah dlm kitab al-Fitan (4005). Menurut ulama, takhrij hadith ini adalah sahih bertepatan dengan syarat al-Bukhari dan Muslim.)

4. Dalam menjawab suatu persoalan, beliau menjawab;

“ Saya tidak pernah menyokong revolusi yang bekerja untuk Baradei, atau siapa sahaja, tetapi saya menyokong revolusi yang bertujuan menjatuhkan kerajaan yang zalim dan perosak."

Firman Allah
“(Semuanya itu ialah) orang-orang (melampaui batas )yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu.”
(Surah Al fajr 11 & 12)

"Sesiapa yang berhenti (berdiam diri) – padahal dia mampu untuk mendukung kebangkitan ini , maka dia tergolong dalam kumpulan yang lemah dan berdosa. Sekurang-kurangnya sokonglah dengan kata-kata, memberi semangat dan doa."

Thursday, January 10, 2013

Jom...1 JUTA HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT.

Sabda Rasulullah saw;
“Sesungguhnya Aku telah menyaksikan satu sumpah setia [ perjanjian ] yang dimeterai di rumah Abdullah bin Jad'an . Aku tidak akan suka bahawa aku menerima unta yang hebat sebagai ganti untuk menyalahi sumpah setia itu . Jika Islam mengajak dengan perjanjian yang serupa nescaya aku menerimanya .”
(Sirah Ibnu Hisyam, diriwayat di dalam Musnad Imam Ahmad)

Hadis tersebut menunjukkan sikap Nabi saw yang sangat prihatin terhadap sebarang pakatan atau tindakan untuk menentang kezaliman . Biarpun sumpah setia ini berlaku sebelum kebangkitan Nabi saw sebagai Rasul akhir zaman , tetapi naluri seorang nabi sangat terkesan dengan sebarang tindakan yang dilakukan untuk menentang kezaliman .

Sewajarnya kita memahami bahawa sikap positif Rasulullah saw terhadap Hilful Fudhul itu adalah suatu penegasan betapa Islam mendukung sebuah perjanjian yang sarat dengan nuansa perlindungan dan pembelaan hak asasi manusia, walaupun inisiatif dari perjanjian tersebut datang dari kalangan non muslim, dan bahkan sebelum masa kerasulan Nabi Muhammad saw lagi.

Sabda Rasulullah saw;
"Ketika aku bersama para bapa sedaraku turut sebagai saksi dalam persekutuan di rumah Abdullah bin Jud'an, betapa senang hatiku menyaksikan hal itu. Seandainya setelah Islam datang, aku diajak mengadakan persekutuan seperti itu, pasti kusambut dengan baik.”
(Muhammad Al-Ghazali - Fiqhus Sirah)

Begitu, Rasulullah saw telah menjelaskan mengenai keterlibatan beliau di dalam peristiwa Hilful Fudhul di zaman jahiliyyah, Baginda saw menyatakan, jika peristiwa Hilful Fudhul (dimana mereka bahu-membahu untuk kemenangan) terjadi di masa kenabian maka Rasul saw memilih untuk ikut serta didalamnya. Dalam kesempatan lain Rasul saw pernah meminta pertolongan Muth’am bin Ady seorang Nasrani untuk kemanfaatan da’wah. Gambaran tersebut menunjukkan sejauhmana semua peluang dan kesempatan digunakan untuk kemaslahatan dakwah.

Apa disebalik Hilful Fudhul

1. Keadilan adalah nilai sejagat yang harus dipertahankan. Penyertaan dan dokongan nabi Muhammad saw  terhadap peristiwa tersebut bertujuan untuk memperkukuh sendi-sendi keadilan. Nilai-nilai kebenaran mesti didukung sekalipun muncul dari kaum jahiliah.

2. Kezaliman dengan segala bentuk dan tipunya bertentangan dengan ajaran Islam. Keadilan hendaknya ditegakkan tanpa memandang warna kulit, agama, dan suku.

3. Keizinan hukum bolehnya melakukan perjanjian dan kesepakatan antara perbezaan agama dalam hal-hal yang membawa kepada kebaikan dengan mempertimbangkan pencapaian maslahat (kebaikan) dan mafsadat (kerosakan) dari segala aspek.

4. Seorang muslim mesti memiliki nilai positif untuk merealisasikan kebaikan dalam lingkungan dan masyarakatnya, bukan sebagai penonton yang kagum atau terpana melihat hasil yang muncul dari proses tersebut.

5. Diantara bentuk komitmen keimanan seseorang adalah kepekaannya terhadap masalah-masalah yang ada di sekitarnya. Ia dituntut untuk menjadi pelaku dan penggerak dalam segala aspek kebaikan bukan sekadar pemerhati, apatah lagi sebagai pengganggu dan penghalang.



Tuesday, January 8, 2013

Kata-kata hati (39) Mari peduli...


Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2 (UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan. Lapuran kejadian anda boleh dapati dibeberapa blog, antaranya http://haneefsyah.blogspot.com

Sewaktu kita bermukim di Jalan Kalabakan, Sabak Bernam, syukur…, anak diberiNYA kekuatan dapat konsisten ke surau yang terletak di sebelah belakang pondok kita. Sebuah surau yang kukuh indah, dengan penduduk persekitaran yang boleh tahan padat. Seperti dikebanyakan tempat lain, yang hidup beragama tidak subur, surau hanya kelihatan meriah setiap kali ada jamuan kenduri tahlil pada malam Jumaat. Diwaktu-waktu lain, sembahyang berjamaah kerap kali gagal untuk didirikan. Waktu Subuh, Zohor dan Asar adalah waktu-waktu yang sangat kritikal.

Segala pujian hanya bagi Allah, ketika ada waktu terluang, anak usahakan mendekati masyarakat, menziarahi mereka serta diajak untuk memakmurkan surau berkenaan.

Begitu juga sewaktu di UMT, diberitakan, anak sewaktu tiada kuliah atau apa-apa kerja yang berkaitan dengan pelajaran, anak menemui penduduk sekitar, dirayu dan dipujuk untuk sama-sama kembali menghayati semua tinggalan Rasul saw serta mendakap kemas Allah, Tuhan sekalian ‘alam – Pencipta kita. Sahabat akrab anak, Ranzi (Pelajar Sarjana, juga di UMT) memberitahu abah, bahawa disubuh terakhir, sewaktu berjalan menuju ke sungai (sungai dimana anak lemas, dan kembali kepangkuanNYA) anak mengutarakan azam untuk sessi semester yang berikutnya, untuk menghidupkan kehidupan beragama dibeberapa institusi pengajian sekitar UMT.

Namun ditakdirkan tiada kesampaian….tak mengapalah anak.

Sewaktu-waktu cuti semester, dengan kemampuan kewangan yang sangat terbatas, mencatu duit belanja sendiri, serta belanja pembelajaran, anak ke Malaysia Timur. Cuba mengambil tahu hal agama yang amat kita sayangi ini. Memikirkan kegawatan kehidupan beragama yang amat gersang, aqidah umat Islam yang terancam dan Islam yang dikesampingkan.  Sebahagian masih dengan nama yang beridentitikan Islam, namun amalan dan syiar sudah jadi sejarah. Ada peristiwa sebahagian penduduk warga emas yang ikut bersembahyang (dek kerana malu dipujuk untuk turut serta sama-sama bersembahyang) berbuat kelakuan sembahyang tanpa mampu menyebut apa-apa bacaan. Usah ditanya persoalan-persoalan lain dalam agama. Namun mereka tetap ada keinginan untuk kembali kepada agama, namun tiada tangan yang dapat memimpin mereka untuk kembali dekat.

Namun Allah Maha Tahu dan Maha Pengatur. Sedang anak di sana, anak dipanggilNYA. Redhalah anak dan kami redha. Moga Allah redha pada kita semuanya. Walau tidak banyak yang sempat anak usahakan, namun syukurlah anak masih dalam rangka menghayati pesan Ar-Rasul saw berikut ;

Sabda Rasulullah saw;

“ Sesiapa yang tidak mengambil berat urusan kaum muslimin, maka dia bukanlah daripada kalangan mereka, dan sesiapa yang tidak menasihati untuk Allah (mengamalkan perintahNya), Rasul (mengamalkan sunnahnya), KitabNya (mengamalkan isi kandungannya), pemimpinnya (menasihati yang terbaik utk mereka) dan umat Islam, maka dia bukanlah dari kalangan mereka.”
Diriwayatkan oleh al-Tabarani (sebagaimana disebutkan oleh Ibn Rejab dalam Jami' al-Ulum wa al-Hikam) iaitu dalam al-Mu'jam al-Saghir dan juga al-Mu'jam al-Awsat sebagaimana disahkan oleh al-Haithami dalam Majma' al-Zawaaid.

Memang kita agak jauh dari dapat melaksanakan tuntutan hadith tersebut semuanya, namun abah percaya anak sedang meningkatkan upaya serta azam untuk menurutinya. Rasanya di mata, disekeliling, di dalam hati dan darah anak seakan tersembul keinginan menuruti semuanya.

Moga Allah mengampuni kita, atas upaya kita yang terbatas itu. Kemudian moga Allah sudi memandang amal kita yang terlalu sedikit ini.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.