RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Thursday, April 3, 2014

Kata-kata hati (42) ' Berangkatlah...'

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2 (UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan. Lapuran kejadian anda boleh dapati dibeberapa blog, antaranya http://haneefsyah.blogspot.com

Sekitar lebih 3 tahun yang lalu, abah merelakan dan meredhakan anak untuk diambilNYA. Terasa beban yang maha berat, dan kesan kehilangan yang amat, waktu itu. Seakannya tiada orang lain yang terpaksa menghadapi ujian segetir itu di alam ini.

Namun sekitar pertengahan Julai tahun 2013, rupa-rupanya, ibu-ibu dan bapa-bapa Mesir juga telah merelakan bukan seorang anak, malah ratusan dan mungkin ribuan, dijemputNYA atas anugerah syuhada’. Sebahagiannya juga adalah mahasiswa beberapa Universiti ternama Mesir. Hampir tidak dapat dicatitkan senarai panjang nama-nama anak belia yang mendapat gelar syuhada itu.

Sekadar menyebut beberapa nama, mereka telah menyerahkan Abdul Ghani Muhammad, pelajar tahun akhir jurusan perubatan, dari Universiti Al Azhar, Solah Adil Abu Humaidah, fakulti bahasa, Universiti Asy Syuhada (Universiti Al Azhar), Abdurrahman Al Abidin, Univerisiti Manufiyyah, Suhaib Al Bastawisi, Abdurrahman Sami, Muhammad Usamah Muhammad At-Tabakh dan Hasan Hamam. Perlu disebutkan, bahawa Universiti Al Azhar sahaja, telah menyumbang lebih dari 85 orang syahid, sementara ratusan lagi tercedera dan ditahan.

Kini ditahun 2014, senarai anak-anak Mesir yang gugur sebagai syuhada, berterusan bertambah saban hari .
Terakhir sekitar November 2013 Al-Akh Ahmad Azam, senior abah di UITM, dan merupakan salah seorang pimpinan gerakan pelajar Islam ketika itu, juga terpaksa merelakan anakandanya dipanggil kembali kepangkuan Si Pencipta, juga dalam misi untuk menjulang tinggi kalimahNYA.

Sedang di Palestin, sudah sekian lama dan sekian banyak telah menyerahkan anak-anak belia mereka untuk agama Allah. Manakala terkini di Syria, di Mynmar, dan di Bangladesh mereka sudah juga menyerahkan anak-anak belia mereka untuk agama tercinta ini.

Baru abah benar-benar tersedar, bahawa disana ramai lagi jiwa-jiwa yang terpaksa memujuk hati demi haq dan perjuangan. Terpaksa merelakan orang yang mereka sayang demi agama dan kebenaran. Tidak mengapa anak, moga–moga kalian semuanya menepati apa yang Allah gambarkan lewat firmannya, bermaksud :

" Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya) "
[Al Ahzab : 23]

Sunday, December 15, 2013

Harummu Semerbak

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS 10 Safar 1435/ 13 Disember 2013
PERJUANGAN ISLAM TIDAK BERAKHIR DENGAN SYAHIDNYA ABDUL QUADER MOLLA
DARI JAMAAT-E-ISLAMI BANGLADESH

Pada hari ini sejarah mencatatkan syahidnya saudaraku Abdul Quader Molla (14 Ogos 1948 – 12 Disember 2013) yang juga merupakan Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e-Islami Bangladesh di tali gantung yang tidak mengenal erti kebenaran. Perbicaraan as-Syahid adalah satu momokan terhadap sistem keadilan, apabila disabitkan kesalahan dengan fakta yang meragukan dan penuh dengan sentimen politik dalaman Bangladesh. Ianya bukan sahaja mendapat bantahan dalam negara Bangladesh sendiri tetapi juga turut dikecam oleh komuniti Islam di peringkat antarabangsa. Jelas sekali tindakan menukar hukuman asal terhadap as-Syahid dari penjara seumur hidup adalah di atas desakan politik dalaman menerusi demonstrasi jadian seperti protes Shahbag pada Februari 2013 lalu yang menjadi tulang belakang agenda jahat kumpulan sekular yang bencikan Islam. Kepada pendokong Jamaat-e-Islami Bangladesh dan ahli keluarga as-Syahid, serta bakal as-Syahid yang lainnya yakinlah bahawa kehidupan akhirat adalah kekal abadi dan syurga adalah janji dari Allah. Teruskan perjuangan menentang kezaliman, mengikut al Quran dan as Sunnah serta sirah para Nabi A.S., di mana fajar kemenangan Islam akan menyinsing jua dengan izin Allah. Allahu akbar !.
Saudaramu, Abdul Hadi Awang Presiden PAS Malaysia

Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat al-Hakim:

سَيِّدُ الشُّهَدَاءِ حَمْزَةُ بْنُ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ وَرَجُلٌ قَامَ إِلَى إِمَامٍ جَائِرٍ فَأَمَرَهُ وَنَهَاهُ فَقَتَلَهُ

Maksudnya: Penghulu orang-orang yang mati syahid ialah Hamzah bin Abdul Muttholib dan lelaki yang berdiri kepada imam/pemerintah yang zalim maka ia menyuruh dan menegahnya (pemerintah) lalu ia dibunuh.

Friday, September 13, 2013

Allah yang naikkan harga barang?

Berikut adalah tulisan Prof Madya Dato Dr Mohd Asri Zainul Abidin  - Mantan Mufti Perlis (13 Sept 2013)

Apabila artikel ‘Kenaikan Harga Barang Ketetapan Allah' muncul di saat rakyat sedang merasai ancaman kenaikan harga barang akibat potongan subsidi minyak oleh kerajaan, majoriti rakyat memang tidak puas hati.

Saya tidak tahu, apakah hasrat sebenar penulis berkenaan. Mungkin niatnya hendak meredakan perasaan rakyat terhadap kerajaan ataupun meredhakan kerajaan terhadapnya, itu tidak pasti. Kata penulis, dia bercakap dalam konteks sabar. Mungkin itu maksudnya.

Menariknya saya terbaca satu komen yang menyebut: ‘Kalau begitu pegawai-pegawai penguatkuasa kawalan harga barang sedang menentang ketetapan Allahlah!' Ringkas, tapi penuh makna.

Akidah

Sebelum kita pergi kepada hadis yang diguna pakai dalam penghujah isu ini, saya suka menyebut bahawa dalam sejarah umat Islam pernah muncul aliran Jabariah yang menganggap bahawa semua perkara adalah ketetapan Tuhan, manusia sama sekali tiada pilihan.

Jabariah tidak termasuk dalam kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah, sebaliknya mereka termasuk dalam golongan Ahlul Hawa (pengikut hawa nafsu). Saya percaya penulis berkenaan tidak demikian.

Nabi Muhammad SAW mengajar kita tentang takdir dan usaha dalam masa yang sama. Apabila manusia berusaha, namun gagal disebabkan aturan perjalanan alam yang membabit pelbagai pihak; iklim, manusia, masa dan lain-lain, maka manusia hendaklah akur dengan kehendak Allah dalam hal itu.

Segala yang berlaku dalam alam ini dengan izin Allah. Tiada apapun yang boleh berlaku tanpa izin-Nya. Namun, apa yang DIA izinkan, bukan semestinya DIA redha. Demikian, apa yang DIA redha bukan semestinya DIA izinkan. Dia tidak redha kezaliman Firaun, tetapi DIA mengizinkan kewujudan Firaun atas sistem alam yang dicipta-Nya.

Dia redha hamba-hamba-Nya bersedekah, tapi bukan semua mereka DIA izinkan memiliki harta yang banyak, atas sistem alam ciptaan-Nya. Maka, di situlah adanya pahala bagi niat yang baik. Maka, DIA juga menetapkan Hari Pembalasan selepas kematian untuk membalas kebaikan dan keburukan.

Usaha

Kita disuruh berusaha kerana keizinan Allah itu sering berkaitan dengan usaha yang menuruti sunnah ataupun tabiat ciptaan alam. DIA boleh memenangkan para nabi-Nya dalam sekelip mata, namun itu tidak berlaku. Semua para nabi terpaksa berjuang dan mencari sebab musabab untuk membolehkan mereka menang.

Lihat Maryam ibu Nabi Isa, ketika dia dalam keadaan lemah hendak melahirkan Nabi Isa a.s., Allah menyuruh dia menggoncang pokok tamar. Rutab (tamar masak) pun jatuh berguguran. Firman Allah yang bermaksud:

"(Ketika Maryam hendak melahirkan Isa) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar; dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan jadilah aku dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! lalu dia diseru dari sebelah bawahnya:" janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan goncanglah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur ke atasmu buah tamar yang masak." (Surah Maryam 23-25).

Lihat, padahal Allah Pemberi Rezeki, tidak bolehkah DIA gugurkan sahaja buah tanpa perlu Maryam bersusah payah menggoncangnya? Jika pun dia goncang, sekuat mana sangat wanita yang sarat mengandung dapat menggoncang pohon tamar? Tidakkah dia sedang mengandung dengan pilihan Allah terhadap dirinya. Ya, namun, Allah mahu hidup ini berjalan menurut tabiatnya, usaha tetap disuruh dan bantuan Allah akan mengiringnya.

Takdir

Sama halnya dengan sakit demam, walaupun segalanya ketentuan Tuhan, namun Nabi SAW menyebut:

"Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kita kena berusaha, kita tidak boleh cakap "ini semua takdir" lalu membiarkan penyakit merebak. Allah itu al-Syafi (Penyembuh). Benar, tapi kita kena berusaha mengatasi penyakit.

Sabda Nabi yang bermaksud: "Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah." (Riwayat Muslim).

Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H) ketika mensyarahkan hadis ini memetik kata-kata al-Qadi ‘Iyadh yang menyebut:

"Hadis-hadis ini juga menolak golongan sufi yang melampau, yang membantah berubat dan berkata: "Kesemuanya dengan qada dan qadar Allah, tidak memerlukan kita berubat". Hadis-hadis ini adalah hujah para ulama dalam menolak mereka." (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 359/14, Beirut: Dar al-Khair).

Jika seseorang jaga kesihatannya, namun penyakit datang juga maka bersabarlah. Anggaplah itu ketetapan Allah. Ada hikmahnya. Ada sebab musabah di luar dari kemampuan diri. Ada pahala atas kesabaran itu. Tapi jika sendiri membahayakan diri.

Melakukan perkara yang merosakkan seperti mengambil dadah, ataupun rokok, ataupun apa-apa tindakan yang bahaya lalu terkena penyakit, maka sebelum dia menyerah kepada takdir, dia hendaklah menyalahkan sikapnya terlebih dahulu.

Allah telah ingatkan dengan maksudnya: "Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." (Surah al-Baqarah, ayat 195).

Jika seseorang mati kerana sakit atau tanpa sebarang sakit maka kita terima sebagai takdir. Namun jika dia dibunuh, walaupun itupun takdir, pembunuh mesti dihukum. Ulama tidak boleh beritahu mahkamah ‘jangan salahkan pembunuh kerana itu takdir, Allah itulah yang menghidup dan mematikan'.

Demikian jika ada yang dirompak dan dirogol, tidak boleh kita beritahu bahawa dalam Islam penyelesaiannya ‘terimalah sebagai takdir dan bersabar, jangan salah sesiapa, rezeki ketentuan Allah'. Dalam Islam ada undang-undang jenayah dan pesalah boleh dihukum. Ada sistem keadilan yang wajib ditegakkan.

Jika anda masuk ke kedai, anda dapati pekedai menaikkan harga barang dan bila anda tanya kenapa lalu dia jawab "Allah menaikkan harga barang". Apakah anda akan berkata: ‘Masya-Allah, akidah awak terlalu teguh, awak sangat beriman'. Ataupun, ‘awak menggunakan nama Tuhan untuk ketamakan awak!'.

Dalam negara ini, ada berbilion projek yang dipersoalkan. Ada istana yang dibina dengan harga berbilion ringgit. Ada projek harta awam yang tersangkut atas pelbagai alasan berbilion harganya. Apakah jawapannya: "Semua itu takdir Allah?". Saya juga lebih tertarik dengan kerajaan sekarang, lebih dari pembangkang, tapi bukan itu cara berhujah yang betul untuk membela.

Maksud hadis

Apabila anda faham teras-teras di atas, maka fahamlah maksud hadis Anas bin Malik, dia berkata: "Harga barang telah menjadi mahal di Madinah pada suatu ketika di zaman Rasulullah SAW. Maka orang ramai pun berkata: "Wahai Rasulullah, Harga barang telah mahal, tetapkan harga untuk kami.

Jawab Rasulullah SAW: "Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku haknya yang dizalimi samada pada darah atau harta". (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimi dll. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Ertinya, jika kenaikan itu bukan disebabkan perancangan buruk manusia, tetapi secara semula jadi yang jika ditetapkan harga barang akan menzalimi para peniaga, maka hadis ini dipakai dalam suasana yang seperti itu. Ertinya haram menetapkan harga barang.

Namun, jika naik turun harga tidak semulajadi, ada unsur permainan harga maka seperti mana peniaga tidak boleh dizalimi, demikian pembeli juga tidak boleh dizalimi. Kerajaan menjaga keadilan untuk kedua pihak.

Justeru Islam melarang monopoli yang zalim seperti ihtikar (hoarding/sorok barang). Jika kezaliman berlaku, pemerintah boleh masuk campur menetapkan harga barang. Inilah yang sarjana seperti Ibn al-‘Arabi sebut:

"Sebenarnya, harus menetapkan harga dan mengawal urusan dengan suatu undang-undang yang tidak menzalimi kedua belah pihak (peniaga dan pembeli). Apa yang disebut oleh al-Mustafa (Nabi s.a.w) adalah benar, apa yang dilakukannya adalah tepat, namun itu untuk yang betul niat dan agama mereka. Adapun kaum yang berhasrat memakan harta dan menyusahkan orang ramai, maka pintu (peraturan) Allah adalah luas dan hukum dilaksanakan". (Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 2/337. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Menariknya, Lajnah Fatwa Arab Saudi (fatwa 12076) juga membolehkan menetapkan harga barang dan tidak membenarkan seseorang sewenang-wenang menaikkan harga barang yang ditetapkan penguasa.

Kesimpulannya, hadis itu sahih. Konteks ia dikemukakan di waktu ini mungkin tidak tepat. Macam kata Saidina Ali bin Abi Talib kepada Khawarij: "Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil". (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Adapun saya, tidak tahu apakah tujuan tokoh agama parti berkenaan mengemukakannya. Saya serahkan urusannya kepada Allah.


Sunday, September 8, 2013

Hanya mendahului kalian..

 

" …Pesanan saya yang terakhir adalah, saya sangat optimis terhadap semua ujian, rintangan, pengorbanann dan darah-darah ini, kerana tiada negara di mana kebenaran tertegak di dalamnya kecuali dengan merasai kesakitan sebuah pengorbanan".

Namun Allah SWT mengurangkan kesakitan ini, dari hati-hati kita dengan berfirman :

"Jangan kamu menyangka bahawa mereka yang terbunuh di jalan Allah itu mati, bahkan mereka sebenarnya hidup di sisi Allah dan diberi rezeki (nikmat)"

Maka buat mereka yang telah kehilangan buah hati dan insan-insan kesayangan, janganlah bersedih kerana….. mereka hanya telah mendahului kamu ke syurga.

Pesanan : Syeikh Tariq Suwaidan

Beruntungnya kamu Mesir, juga Palestine….juga Syria. Dalam derita kesengsaraan dan timbunan syuhada kamu alami, tersembunyi hadiah teristimewa dari Allah yang kekal abadi iaitu Syurga .

Thursday, September 5, 2013

BERGEMBIRALAH...

Perhatikan senyuman beliau.

As Syahid biidznillah Abdullah Hasan al Banna
Cucu kepada Hasan al Banna (pengasas gerakan Ikhwan Muslimin
Firman Allah;
"dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki; (dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (Iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari kurnia Allah; dan (ingatlah), bahawa sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang Yang beriman".(Iaitu) orang yang menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya (rasul Allah dengan mengejar musuh), walaupun mereka sudah mengalami luka-luka. Pahala yang besar (diperuntukkan) kepada orang yang melakukan kebaikan."
(S. Aali Imran : 169 -172)

"dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya". (S.Al-Baqarah : 154)

RasuluLLah saw bersabda;
Seorang yang mati syahid diberi enam perkara pada saat titisan darah pertama tumpah dari tubuhnya:
1. Diampunkan semua kesalahannya.
2. Diperlihatkan tempatnya di syurga.
3. Dikahwinkan dengan bidadari.
4. Diamankan daripada kesusahan keedahsyatan yang besar(pada hari qiamat).
5. Diselamatkan daripada seksa kubur.
6. Dihiasi dengan pakaian keimanan. (Hr Imam Bukhari)


Daripada Anas bin Malik ra bahawa Nabi saw bersabda;
“ Tidak ada satu jiwa pun yang mati dan akan memperoleh kebajikan yang menggembirakannya di sisi Allah karena dia dapat kembali ke dunia bukan karena untuk memperoleh dunia serta isinya kecuali orang yang mati syahid. Karena ia berharap dapat kembali lagi lalu terbunuh lagi di dunia, melihat besarnya keutamaan mati syahid.” (Hr Imam Muslim)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.