RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Showing posts with label HUDUD. Show all posts
Showing posts with label HUDUD. Show all posts

Friday, October 28, 2011

HUDUD (7) Astaghfirullah.......

Berikut saya ingin kongsikan dua maklumat (tulisan & ucapan) dari dua orang tokoh besar, ternama tanahair. Kedua-duanya punya pengaruh tersendiri, dan pengikut yang bukan sedikit. Oleh kerana mereka merupakan orang terpandang, maka setiap yang mereka lontarkan akan orang pandang dan mungkin di ikuti.

Selesai membacanya, hati nurani saya merasakan sesuatu yang janggal, pelik dan tidak kena berkaitannya. Terasa yang amat sangat untuk memberikan ‘respond’. Namun siapa saya? Itu bukan bidang kepakaran saya. Saya serahkan saja kepada yang lebih mengerti dan tahu. Untuk tujuan itu saya sudi menyediakan ruang (dalam blog saya) kepada sesiapa yang ingin memberikan penjelasan berkaitan dengannya. Buat sementara waktu saya hanya mampu beristighfar……Mohon Allah ampunkan saya.

(Nota : kirim kepada mhuzazi@yahoo.com.my)

Maklumat :1

SALAH FAHAM TENTANG HUKUM HUDUD

Tuesday, October 11, 2011
Oleh: Kassim Ahmad
Darul_hikmah33@yahoo.com.my

Sesetengah sarjana Islam sekarang mendesak supaya umat Islam tidak mempertikai apa yang dipanggil Hukum Hudud atas alasan ia disebut dalam Quran. Sarjana-sarjana Islam dulu bukan saja berbeza pendapat tentang bilangan kesalahan Hudud, tetapi juga berbeza pendapat tentang hukuman itu sendiri.
Ambil kes murtad, atau keluar dari Islam untuk menganut agama lain. Mereka memetik hadis untuk mengenakan hukuman bunuh, sedangkan kebebasan untuk beragama yang total diisytiharkan nyatakan dengan jelas dalam Quran (2: 256),1,316 tahun mendahului Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia! Dalam pada itu, harus dibezakan antara perbuatan murtad dengan pemberontakan terhadap unang-undang negara. Dalam zaman Khalifah Abu Bakr (632-34), berapa kabilah Arab enggan membayar zakat dan keluar dari Islam. Jadi, peperangan ini bersifat politik, bukan agama. Ia dilakukan untuk mencegah pemberontakan terhadap undang-undang negara.
Saya ingin mendatangkan bantahan terhadap Hukum Hudud, pertama, dari prinsip-prinsip asas dalam Islam, kedua, dari hukum logika, dan ketiga, dari analisis bahasa.
Ada dua prinsip asas yang harus diambil-kira. Pertama, Tuhan memerintahkan kita supaya berlaku adil kepada semua manusia. (Quran, 4: 135; 16: 90). Ini bermakna semua hukuman terhadap semua jenayah mestilah adil. Tiap-tiap jenayah mesti dilihat (1) dari segi beratnya jenayah itu, (2) dari segi sebabnya, dan (3) dari segi keadaan mental penjeyah itu. Ambil kes pembunuhan. Jenayah ini memang berat. Tetapi ia mungkin dilakukan untuk membalas dendam, umpamnya salah seorang ahli keluarga penjenayah itu telah dibunuh atau disakiti oleh pembunuh. Jadi, jarang sekali sesuatu jenayah itu sama dan boleh dikenakan hukuman yang sama.
Kedua, prinsip kerahiman Tuhan. Sifat utama Tuhan itu rahim. Tuhan memeperundang-undangkan ke atas Diri-Nya kerahiman. (Quran, 6: 12) Oleh yang demikian, tidak pantas Tuhan mengenakan hukuman-hukuman yang tetap kepada mana-mana penjenayah. Dia senantiasa membuka pintu taubat kepada semua penjenayah dan senantiasa meringankan hatta mengampuni semua penjenayah. Oleh itu, Hukum Hudud ini tidak logik.
Skeptisme terhadap Hukum Hudud ini telah juga disuarakan oleh Prof. Shad Faruqi. (Lihat The Star, 5 Oktober, 2011; hlm. 30)
Dari dua hujah dari prinsip-prinsip asas yang disebut dalam Quran, kita tidak ada jalan lain kecuali membuat kesimpulan bahawa apa yang dipanggil Hukum Hudud ini timbul dari salah tafsir tentang ayat-ayat yang berkenaan dalam Quran. Saya akan lakukan analisis bahasa ini sekarang.
Perkataan ‘hudud’ disebut sebanyak 14 kali dalam Quran. (2: 187, sekali tentang hubungan suami-isteri dalam bulan puasa; 2: 229, 4 kali tentang perceraian; 2: 230, 2 kali tentang perceraian; 4: 13, sekali tentang faraid; 4: 14, sekali, umum; 9: 97, sekali, umum; 9: 112, sekali, umum; 58: 4, sekali, tentang adat zihar orang Arab, yakni meboikot seks dengan isteri; dan 65: 1, 2 kali, tentang perceraian.) Tiada satu pun perkataan ini merujuk kepada kesalahan atau jenayah tetap, seperti yang dikatakan oleh ahli-ahli hukum klasik itu, iaitu mencuri, berzina, tuduhan berzina, merompak dan murtad (sesetengah sarjana menambah dua lagi kesalahan, iaitu meminum arak dan memberontak). (Lihat Kassim Ahmad, Kontroversi Hukum Hudud (Forum Iqra’, Pulau Pinang: 2002)). Bagaimana mereka boleh mengaitkan lima atau tujuh kesalahan itu (perhatikan murtad tidak dihukum dalm Quran kecuali hukuman kafir), tidaklah jelas.
Harus diingat bahawa Quran itu ada dua konteks. Pertama, konteks sejarah, yakni keterikatannya dengan sejarah Arab abad ke-7. Jadi, hukuman terhadap jenayah pada waktu itu, pada zaman manusia baru keluar dari barbarism di mana-mada kawasan budaya pun, memang amat keras. Salah satu hukuman untuk pencuri di England dalam abad ke-19 potong kepala! (Ibid., hlm. 3.)
Jadi, tiap generasi harus mengkaji semula apa yang mereka warisi dari generasi terdulu supaya ajaran yang silap bolek diperbetul. Malangnya, kecenderungan manusia untuk mendwa-dewakan pemimpin amat kuat.Apabila pemimpin didewa-dewakan, maka kesilapan generasi dulu akan terus kekal diwarisi turun-temurun. Sebagai contoh, oleh kerana umat Islam awal telah mendewa-dewakan Iman Shafi’e, maka kesilapan beliau mewajibkan Hadis/Sunnah Nabi bagi umat Islam (sedangkan ia hanya kebiasaan, ikutan, ‘precedent’) dibawa sampai ke hari ini!
Satu contoh lagi tentang kecenderungan mendewa-dewakan pemimpin kelihatan dari perbuatan Omar Ibni Khattab, mengikut riwayat, apabila Nabi Muhammad baru wafat, beliau berdiri di depan orang ramai mengatakan beliau akan membunuh sesiapa yang mengatakan Nabi wafat. Apabila Abu Bakr datang dan mententeramkan beliau dengan membaca ayat tentang kewaafatan Nabi Muhammad, barulah beliau sedar dan menjadi tenang.
Quran menerangakan kepada kita bahawa kebanyakaan manusia tidak beriman (Quran, 12: 103), dan kebanyakan mereka yang beriman, tidak beriman kecuali menyengutukan Tuhan (Quran,12: 106). Jadi, kita harus benar-benar berwaspada terhadap kecenderungan syirik ini. Dosa syirik tidak diampun oleh Tuhan kecuali melalui taubat yang dilakukan segera. Sebabnya kerana akibat pendewaan terhadap pemimpin membawa padah yang amat buruk kepada masyarakat.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau http://www.kassimahmad.blogspot.com/



Maklumat : 2



Hudud: Hasrat PAS akan wujudkan dua sistem tak adil, dakwa Mahathir
Oleh Yow Hong Chieh


KUALA LUMPUR, 27 Okt — Tun Dr Mahathir Mohamad terus menyerang hasrat PAS memperkenalkan hukum hudud dengan hari ini menegaskan, perundangan Islam itu akan membawa kepada sistem keadilan yang berat sebelah kepada masyarakat Muslim dan bukan Muslim.
“Mereka mengatakan bahawa hudud hanya bagi Muslim. Jadi, jika ada kecurian melibatkan seorang rakan Cina, mereka akan memotong tangan tetapi rakan Cina atau rakan India, mereka (hanya) akan dapat hukuman penjara dua bulan.
“Jadi, bagi PAS itu keadilan. Sudah pasti, jika anda melakukan (kesalahan) lain, mereka akan memotong kepala anda,” kata beliau (gambar) kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan teh anjuran Perodua di sini hari ini.Laporan media semalam menyebut kerajaan Kelantan terus meletakkan harapan mahu mencapai hasrat dua dekad melaksanakan hukum hudud mahu bertemu dengan Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan perkara tersebut sebaik sahaja segala pendekatan berkaitan selesai diadakan.
Isnin lalu, pentadbiran Nik Aziz mengumumkan pembentukan jawatankuasa teknikal berhubung pelaksanaan hukum hudud.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata pihaknya sudah pun menghantar surat kepada Najib berhubung cadangan mengadakan pertemuan dengan kerajaan persekutuan.
Mohd Amar berkata pertemuan rasmi dengan Najib belum ada lagi dan ia akan dilakukan apabila semuanya sudah sedia.
Bulan lalu, Dr Mahathir berkata Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh mengadakan pertemuan dengan Najib jika masih berhasrat meneruskan usaha melaksanakan hukum hudud.
Dalam satu surat kepada Nik Aziz pada 1994, Dr Mahathir menolak rancangan Kelantan atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kelantan terus mendakwa hukum hudud gagal dilaksanakan ekoran pendirian dan sekatan kerajaan pusat.
Polemik bermusim ini muncul semula akhir bulan lalu dengan wujud pelbagai pandangan iaitu Kelantan boleh melaksanakannya dan pada masa yang sama ia juga bercanggah dengan undang-undang pusat .

Friday, October 7, 2011

HUDUD (6) Perintah & Ancaman Allah

Berikut beberapa perintah dan peringatan Allah untuk renungan kita semua.


Surah Al Baqarah : 229
"Demikianlah batasan hukum Allah swt maka janganlah kamu melampauinya dan barangsiapa melanggar sempadan hukum Allah swt maka mereka adalah orang-orang yang zalim. "

Surah Al Ahzab : 36
"Dan tidaklah layak bagi orang yang beriman samada lelaki atau perempuan, apabila telah ditetapkan oleh Allah swt dan RasulNya akan sesuatu perkara, bahawa ia membuat pilihan yang lain selain dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang mengingkari Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan suatu kesesatan yang nyata."

Surah Al Maaidah : 49
"Dan hendaklah engkau menjalankan hukuman diantara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah swt dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka dan berjaga - jagalah supaya mereka tidak memesongkan kamu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah swt kepada kamu."

Surah At Taubah : 63
"Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar."

Surah An Nisa' : 56.
"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan panggang mereka diatas api neraka. Setiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah swt adalah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Surah Al A'araf : 40 - 41.
"Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah dan ketetapan) Kami, dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga lah unta masuk di dalam lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan jenayah."

Thursday, October 6, 2011

HUDUD (5) Kerana mulut...

Orang kata lidah tak bertulang. Dek kerana lembut dan tidak bertulang, maka mudah saja untuk menuturkan apa jua. Ada waktu jika kita tidak mengamalkan kebiasaan berfikir dahulu sebelum meluahkan kata-kata, akan mengakibatkan musibah dan malapetaka. Kerana itu orang cerdik pandai dahulu sering mengingatkan kita dengan kata-kata indah ini.
Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.
Kalau tak kena gaya……..@ sebab mulut iman binasa, bersiap masuk neraka.. ???

Berikut adalah ungkapan kata-kata yang dilontarkan oleh beberapa manusia. Ungkapan kata yang kiranya sangat berbahaya pada IMAN.

“ Saya akan mempastikan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional tidak akan melaksanakan hudud.”
(Ucapan seorang pemimpin tertinggi Negara dalam temubualnya dengan media massa selepas sidang Majlis Tertinggi Umno,1994)

“ Kita (Kerajaan Pusat) akan ambil tindakan jika Kelantan meneruskan usaha melaksanakan hudud.”
(Ucapan seorang pemimpin tertinggi Negara dalam ucapannya di pasir Mas, Kelantan, 14 Ogos 1994)

“ Sukar dilaksanakan hukum syara’ kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam.”
(Ucapan seorang pemimpin tertinggi Negara dalam ucapannya di pasir Mas, Kelantan, 14 Ogos 1994)

“ Apakah hukum hudud mesti dilaksanakan juga walau apa pun keadaan sehingga mendatangkan mudarat kepada orang Islam. Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum-hukum yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti dilaksanakan ?”
(Ucapan seorang pemimpin tertinggi Negara dalam ucapannya di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri , Kelantan, 3 Mac 1994)

“ Kerajaan Kelantan harus dipertanggungjawab jika berlaku huru-hara, ketidakstabilan politik, perpecahan dikalangan umat Islam dan kegelisahan rakyat, apabila hukum hudud dilaksanakan di negeri itu. Rakyat harus menyoal perlaksanaan hukum itu menguntungkan atau menyebabkan perpecahan, pertentangan dan ketidakstabilan politik. Tidak semua negara Islam mengamalkan hukum hudud, bahkan ada negara Islam lebih makmur tanpa hukum itu.”
(Ucapan Menteri Kanan kepada wartawan , 20 April 1992)

Akhirnya …berhati-hati bercakap. Ingat firman Allah ini.


Yang bermaksud : " Itulah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina."

Surah Al-Nisa’, ayat 13-14

Wednesday, October 5, 2011

HUDUD (4) Jaminan Tuhan.

Sudah lama kita berhukum dengan hukum manusia. Manusia mengguna pakai hukum yang dicipta oleh kalangan manusia sendiri. Manusia memikirkan apa yang mereka rasa sesuai untuk mereka, walaupun mereka tahu keterbatasan akal mereka. Hakikatnya apa yang mereka fikirkan sesuai untuk mereka disesuatu daerah belum tentu sesuai bagi daerah yang lain. Belum dikira manusia yang hidup di zaman yang berlainan. Ada kalanya hukum dicipta secara tidak adil, seumpama bagi tujuan menzalimi dan mengekploitasi orang lain. Kebiasaan manusia terlepas pandang banyak perkara dalam membuat sesuatu perkara. Belum dikira kesilapan dalam menilai dan menentukan sesuatu.

Hasilnya masalah manusia tidak selesai. Keadilan tidak tercapai, kezaliman bermaharajalela, kehidupan manusia dan ‘alam seluruhnya berkecamuk, tidak terurus sempurna.

Sedang hukum Allah, adalah hukum yang paling sempurna, sesuai datangnya dari Yang Maha Sempurna. Allah Maha Mengetahui akan keperluan manusia dan ‘alam seluruhnya disetiap masa, zaman dan ketika. Hukum yang datang dari Yang Maha Bijaksana, Maha Arif dengan dengan kehendak tabiie manusia itu sendiri. Hukum dari Pentadbir sekalian ‘alam yang pasti dapat mengatur kehidupan sempurna ‘alam sebagaimana sempurnanya perjalanan seluruh planet serta berbilion-bilion cekerawala yang dapat berjalan sempurna di orbit masing-masing tanpa sedikit cacat cela dan kesilapan.

Oleh itu mengapa kita tidak percaya dan yakin dengan hukum Tuhan ?

Firman Allah swt.
“Dan lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri maka hukumannya,potonglah tangan mereka sebagai satu balasan atas apa yang mereka kerjakan (juga sebagai) hukuman PENCEGAH DARI ALLAH. Dan ingatlah Allah Maha Berkuasa Lagi Maha Bijaksana.”
Al-Maidah : 38

Maksud & pentafsirannya sila rujuk kitab-kitab tafsir yang mu’tabar serta ulama’-ulama yang jujur serta ikhlas dengan ilmunya).

Kenapa banyak soal? Buat dan laksanakan sahaja hukum Tuhan. Kesan dan natijahnya serahkan kepadaNYA. Bukankah Allah sudah memberi jaminan bahawa ia “(juga sebagai) hukuman PENCEGAH DARI ALLAH ” ?

Allah yang menurunkan hukum, Allah juga yang menciptakan semua manusia. Pasti DIA Maha Mengetahui semua perkara tentang ciptaanNYA.

Tuesday, October 4, 2011

HUDUD (3) ' iNcONsIsTEnt '

Firman Allah swt ,
Artinya : Wahai segala orang yang beriman diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu mudah-mudahan kamu termasuk dalam golongan orang yang bertaqwa.”
Surah al-Baqarah ayat 18 .

Maka dengan perintah itu kita pun berpuasa dengan rela hati. Anak-anak kecil kita suruh juga mencuba berpuasa semampunya. Malah kita sanggup memberikan ganjaran kepada anak-anak kecil kita, kadang-kadang mengikut hari yang dia berjaya berpuasa. Dimana-mana dianjurkan majlis berbuka puasa. Di kebanyakan masjid seluruh negara di sediakan dana besar untuk bubur lambuk. Persekitaran berubah, termasuk kedai dan pasar-pasar, terserlah suasana yang menggambarkan kehadiran bulan puasa @ Ramadhan, dan berbagai lagi. Majoroti umat Islam bergembira dengannya, manakala masyarakat bukan Islam tidak pula menolak atau menentang.
Namun berlainan pula dalam hal firman Allah swt, daripada surah yang sama yang bermaksud;

Artinya : Wahai segala orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu hukum qisas pada pembunuhan, orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, wanita dengan wanita. Maka barang siapa yang mendapat satu pemaafan daripada saudaranya hendaklah yang memaafkan mengikut dengan baik dan mereka yang diberi kemaafan membayar diat .”
Surah al- Baqarah ayat 178

Dengan perintah ayat ini manusia sama yang yakin puasa itu perintah Allah, dan wajib baginya menunaikannya, berkata atau berbuat seolah-olah hukum-hukum Allah seumpama qisas itu tidak wajib, serta tidak berdosa ditinggalkan. Bila umat Islam jadi seperti itu, maka tidak menghairankan, jika masyarakat bukan Islam menolak atau menentang….(sementelah mungkin kerana mereka tidak faham).

Persoalannya, mengapakah sesetengah umat Islam yang beriman dengan ayat al-Quran yang mewajibkan puasa di Bulan Ramadhan, tetapi tidak beriman dengan kewajipan tuntutan menegakkan Hukum Islam seperti Qisas ?. Adakah dibolehkan kita beriman dengan sebahagian ayat al- Quran dan engkar dengan sebahagiannya yang lain ? Sedangkan jika seseorang menolak salah satu atau sebahagian Rukun Iman atau Islam, maka yang lainnya akan tertolak juga . Ataupun mereka ini termasuk di dalam golongan yang dinyatakan Allah di dalam kitab sucinya,
Artinya ; Adakah kamu beriman dengan sebahagia kitab dan kamu engkar dengan sebahagian yang lain

Monday, October 3, 2011

HUDUD (2) Hati-hati.

Akur.....kita adalah hamba.

Mana ada pilihan bagi hamba, melainkan patuh.



Izinkan saya mencelah lagi berkaitan isu HUDUD.


Mahu tidak mahu, kita wajib memperakui bahawa hukum HUDUD adalah hukum Allah, termaktub didalam Al-Qur’an, sedang Al-Qur’an adalah dari Allah. Maka persoalan sikap manusia berkaitan dengan HUDUD itu juga, pasti dapat juga dinilai dari Al-Qur’an seumpama 3 ayat yang berikut;


Allah berfirman:
“Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah maka mereka itu adalah orang-orang kafir.”
(Al-Maidah: 44)
“Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah maka mereka adalah orang-orang yang dzalim.”
(Al-Maidah: 45)
“Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik.”
(Al-Maidah: 47)


Sila dapatkan pentafsirannya dari kitab-kitab tafsir yang mu’tabar, serta pandangan para ‘ulama yang ikhlas serta jujur dengan ilmunya.


Jadi …..dimana kita ?

Sunday, October 2, 2011

HUDUD (1) Cakap biar serupa bikin

Mohon maaf.
Mohon keizinan saya mencelah berkaitan isu terkini, HUDUD

Pada 2hb Oktober 2011, 1,809 perwakilan MCA meluluskan enam resolusi utama, keputusan Jawatankuasa Pusat parti itu, pada Perhimpunan Agung MCA ke-58 di Wisma MCA di Kuala Lumpur.

Diantaranya, mereka menolak pelaksanaan hukum hudud, dengan hujjah ia bercanggah dengan rukun asas Perlembagaan Persekutuan, kebebasan beragama dan hak asasi individu.

Wahai tuan-tuan dan puan-puan sidang perwakilan sekalian dan mereka yang sependapat dengan kalian. Kalian menolak perlaksanaan hukum hudud atas alasan ia dikatakan bercanggah dengan rukun asas Perlembagaan Persekutuan, kebebasan beragama dan hak asasi individu.

Jika itu alasan dan hujjahnya, sebenarnya penolakan kalian tidak berpegang pada prinsip kebebasan beragama yang kalian laungkan. Hukum hudud adalah perintah Allah, dan ianya menjadi kewajipan kami untuk melaksanaannya. Melaksanakannya adalah amalan agama, mendapat pahala. Sedang meninggalkannya, satu kesalahan pada sisi agama, serta mendapat dosa.

Itupun juga merupakan hak asasi individu kami dalam beragama.

Kalian menentang…… dimana kebebasan kami ummat Islam dalam beragama? Kebebasan kami untuk melakukan segala amal dalam agama kami ? Hak asasi individu kami sebagai orang Islam ?

Lagi pula hukum hudud yang dicadangkan hanya bagi kami orang Islam. Tiada kena mengena dengan kalian. Kenapa sibuk…?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.