RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Wednesday, March 30, 2011

Kata-kata hati (28) "MOGA BAHAGIA DI SANA"

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan. Lapuran kejadian anda boleh dapati dibeberapa blog, antaranya http://haneefsyah.blogspot.com/

Jika menggunakan kiraan kalender Masihi, pada hari ini , Rabu 30hb Mar 2011 adalah harijadi anak yang ke 22 tahun. Kebiasaannya, diwaktu ini jika anak tiada di sisi, anak pasti akan menerima doa dan ucapan daripada ummi. Ummi tidak akan pernah lupa untuk menghubungi anak untuk ucapan doa dan ucap selamat.

Hari ini kami seluruhnya masih teringatkan segalanya itu. Dan kami masih juga mengirim sesuatu sejak dari pagi tadi . Mudah-mudahan telah sampai, dan anak telah menerimanya.

Anak pergi dalam usia yang terlalu muda. Tidak sempat merasai usia tua. Namun, syukur kerana anak sehingga akhirnya telah mengupayakan semaksimanya usia muda anak dalam kerja-kerja yang baik. Dan minggu-minggu terakhir hidup anak dihabiskan pada jalan Allah, dijemputNYA ketika sedang berada di jalan Allah.

Walaupun usaha kita selaku umat akhir zaman ini terlalu kecil , berbanding dengan apa yang telah dilakukan para pemuda-pemuda dahulu, (seumpama pemuda-pemuda Ashabul Kahfi yang merangkul kejap keimanan mereka kepada Allah, Saidina Ali yang telah mempertaruhkan nyawanya untuk mengganti Rasulullah saw di pembaringan, Usamah bin Zaid yang berjasa besar dalam misi hebat menghadapi tentera kuffar, Zubair bin Awwam yang mempertaruh nyawa untuk kebenaran, Saidina Hassan dan Saidina Hussein yang mengorbankan segalanya demi yang haq, Sultan Muhammad Al Fatih yang meninggalkan tinta emas kejayaan membuka Konstantinopel dan ribuan orang muda lain yang mencipta sejarah gemilang, semuanya untuk agama Allah yang suci, demi Allah yang Agung), namun mudah-mudahan Allah akan sudi juga menerima amal kita yang kecil dan sedikit itu sebagai satu persembahan ‘amal soleh.

Anak…

Semua nukilan sejarah itu memberi maksud bahawa orang muda yang masih bertenaga, semangat yang kuat, punya cita-cita yang tinggi, azam yang membara, aspirasi serta idealisma yang hebat, sebenarnya punya potensi yang amat besar untuk mencorak tamadun peradaban manusia. Dizaman moden kita telah saksikan bagaimana intifadah Palestine disemarakkan oleh orang-orang muda, hancur dan tumbangnya diktator-diktator dunia di beberapa negara kuku besi , didokong oleh generasi muda.

Maka maha benar firman Allah yang memberikan penghargaan khusus kepada seluruh orang muda lewat firmanya dalam Surah Al Kahfi, ayat : 13

“ Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.”

Dan begitu juga melalui lidah RasulNYA kita di dirangsang dengan ungkapan hadith baginda (saw) bermaksud begini:

Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; " Terdapat 7 golongan orang yang mendapat lindungan arasNya pada hari yang tidak ada lindungan selain lindunganNya..

1. Pemimpin yang adil
2. Pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadat kepada Allah swt
3. Seorang yang hatinya terpaut pada masjid
4. Dua lelaki yang berkasih sayang, bertemu dan berpisah kerana Allah swt
5. Lelaki yang digoda oleh wanita cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat, tetapi dia menolak dengan mengatakan "Aku takutkan Allah "
6. Sesaorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya.
7. Sesaorang yang mengingati Allah ketika bersendirian, sehingga mengalir air matanya kerana Allah swt

Hadith riwayat Muslim.

Anak telah bersungguh untuk mengupayakannya. Maka tinggallah kami terutama anak-anak abah yang lain untuk menggunakan kesempatan usia muda kalian untuk berbuat yang semestinya sebagai pemuda-pemuda yang punya aqidah. Sekadar meminjam pesanan As Syahid Imam Hassan Al Banna yang mengatakan; “ kita, (tanpa mengira usia) ada terlalu banyak kerja (amanah dan tanggungjawab) yang wajib untuk dilaksanakan, sedang waktu yang kita ada terlalu sedikit.”

Maka bersungguhlah….

Friday, March 25, 2011

Kata-kata hati (27) Tiada surutnya

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan. Lapuran kejadian anda boleh dapati dibeberapa blog, antaranya http://haneefsyah.blogspot.com/

Salam….

Anak…Sudah terlalu lama abah tidak menuliskan apa-apa. Terlalu banyak faktor penghalang dan yang tidak mengizinkan abah menulis. Antaranya siri-siri kematian berturut-turut saudara mara kita selepas pemergian anak tempohari…..semuanya enam orang, dan banyak lagi.

Selain itu rasa hiba atas pemergian anak masih juga tidak surut hingga kini. Rupanya hikmah disebalik tidak surutnya perasaan itu ialah tidak pernah lupanya kami untuk mengirimkan kepada anak (jika sekiranya ada pahala) bacaan selawat, zikir, bacaan Al-Qur’an dan sebagainya, saban waktu dan ketika.

Walau bagaimanapun, abah tetap rasa bangga kerana anak istiqamah, bersungguh walau payah hingga akhir hayat anak untuk tetap bersama dengan jemaah Islam yang sarat dengan misi inginkan kalimah tauhid dapat diwarisi dan dihayati oleh semua manusia di ‘alam ini. Hal yang demikian tidak akan abah sebut, melainkan anak telah membuktikannya dengan kata-kata serta perbuatan sehingga akhir hayat anak.

Kata-kata dalam tazkirah subuh terakhir anak tempohari (4hb Mei 2010) ; " Kita wajib teruskan usaha da'wah ini, sehingga akhir hayat kita..... sampai kita mati." , jadi bukti semuanya.

Hati kami (abah, ummi, abang dan adik-adik semuanya) bertambah lega bila kami ditemukan dengan beberapa hadith Rasulullah saw, antaranya;

1. Dari Ma’qil bin Yasar, ia memarfu’kannya; “ Beribadah di tengah-tengah fitnah (kekacauan) bagaikan berhijrah kepadaku.”

Hadith riwayat riwayat Muslim & Tirmidzi

As Syaikh Sa’id Hawwa mengatakan; barangkali hadith ini sesuai sebagai fatwa pada zaman kita ini.

2. Dari Ibnu Umar; Nabi saw menjalin jari-jarinya seraya bersabda: “ Bagaimanakah engkau wahai Abdullah, jika engkau tinggal di tengah orang banyak yang merusak janji-janji dan amanat mereka. Mereka berselisih lalu menjadi begini ? Ia bertanya; “ Bagaimanakah ya Rasulullah ? Nabi saw bersabda; “ Engkau ambil apa yang engkau ketahui (baik), dan engkau tinggalkan apa yang engkau ingkari, engkau datangi orang-orang khususmu dan engkau tinggalkan mereka serta kebanyakan orang dari mereka ”

Hadith riwayat Bukhari.

As Syaikh Sa’id Hawwa berpendapat bahawa hadith ini merupakan fatwa untuk zaman kita sekarang. Tambah beliau lagi seorang Muslim hendaknya berada di dalam jamaah Islam, ia tidak boleh berada di dalam jamaah/kumpulan lain kecuali untuk kepentingan Islam dan berdasarkan fatwa. Berkenaan dengan jamaah Islam tersebut, hendaklah ia mengambil yang ma’ruf dan meninggalkan yang mungkar. Hendaklah ia mendatangi orang-orang tertentu dan meninggalkan kebanyakan dari mereka.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.