RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Monday, July 12, 2010

kata-kata hati (12) bidadari sebanyak helaian janggut..?




Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita,(lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Dalam setiap amalan sunnah pasti ada kejayaan
Saat akhir abah menatap wajah anak di tanah perkuburan (di belakang Masjid Makmuriah, Sg. Besar) sebelum anak disemadikan, abah perhatikan muka anak masih kemerah-merahan , (seumpama mempelai lelaki waktu tersipu-sipu malu dipelawa oleh mentua memasuki kamar pengantin perempuan) berpeluh, terpejam seperti tidur, tubuh lembut (tidak kaku) dengan janggut anak yang agak kemas sejemput.

Dalam sebak abah menyimpul senyum, kerana teringat kata-kata anak (abah kira gurauan) kepada abang (Muhammad Hafiz bin Muhammed Huzazi) bahawa anak tidak akan mencukur janggut, kerana ingin menjaga sunnah. Kata anak lagi di akhirat kita akan mendapat bidadari sebanyak bilangan helaian janggut kita sekurang-kurangnya.

Walaupun abah masih belum menemui hadith tentang itu, namun percaya bahawa menyimpan janggut adalah sunnah, dan DALAM SETIAP AMALAN SUNNAH PASTI ADA KEJAYAAN

Abdullah bin Umar berkata, bahawa rasulullah saw bersabda. "Janganlah kamu menyerupai orang-orang musyrikin, peliharalah janggut kamu dan tipiskanlah misai kumis) kamu."
Hadith riwayat Bukhari, Muslim dari Anas ra.
Dari Aisyah berkata, bersabda Rasulullah saw. "Sepuluh perkara dari fitrah (dari sunnah nabi-nabi),diantaranya ialah mencukur misai dan memelihara janggut."
Hadith riwayat Ahmad,Muslim, Abu Daud, Turmizi, An-Nasaii & Ibn Majah.

Dari Abi Imamah, bersabda Rasulullah saw. "Potonglah misai kamu, dan peliharalah janggut kamu, tinggalkan (jangan meniru) Ahl-al Kitab."

Hadith riwayat Ahmad dan At-Thabrani.

Mudah-mudahanlah anak.......mendapat ganjarannya. .....Ameen..!!!

Thursday, July 8, 2010

kata-kata hati (11) Penghargaan & terima kasih.

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita,(lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Budi kalian tidak terbalas.

Assalamu'alaikum wrt. wkt.

Kepada semuanya,


Oleh kerana masih terlalu banyak yang ingin saya tuliskan tentang arwah, dan mungkin akan mengambil masa yang agak lama lagi untuk saya sudahkan semuanya, maka saya kira elok saya dahulukan bahagian ini, walaupun pada perkiraan awalnya saya ingin menjadikan bahagian ini sebagai penutup.

Sebenarnya tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa kami sekeluarga sangat terharu dengan semua sokongan dalam berbagai bentuk, apatah lagi tidak mampu kami balas semua budi, jasa dan segala yang telah di berikan sebelum, semasa dan setelah selesai urusan keperluan arwah. Termasuk juga segala yang terserlah semasa arwah masih hidup lagi. Saya mohon maaf jika ada nama-nama yang tercicir. Manakala yang tercatit dipenghujung tidak bermakna kurang berbanding dengan yang tercatit diawal. Yang pasti saya tidak berupaya untuk menjadikan semuanya yang pertama.

'Makcik' Hafizah Imran kerana datang dari jauh, bermalam, bersama dalam semua keadaan sehingga ke Masjid Sri Petaling.

Al-akh Malik Moghee dan Kak Aishah, al-akh Kamaruzzaman dan isteri, al-akh Omar dan isteri, al-akh Roslan dan isteri, al-akh Shamsuddin, al-akh Sulaiman Kaiat dan al-akh Jamali kerana menanti dengan sabar di masjid Sri Petaling, memberikan sokongan serta turut merasai pilu. Gambaran ukhuwwah yang masih utuh.

Kekanda YB Yaakub Hussein yang membuat panggilan khusus dari jauh menghulurkan simpati.

Al-akh Baharul Azman, al-akh Zul Salleh, al-akh Afandi Manaf, al-akh Ghazali Sulaiman dan al-akh Mohd Daik yang mengirim ucapan lewat SMS.

Penghargaan khusus buat Tuan Hi Mohd Zain, Tn Hj Shamsuddin, Tn Hj Lakariba dan sahabat-sahabat di Sandakan kerana pengorbanan, keikhlasan membantu semua urusan serta penghantaran jenazah dengan lancar.

Sdr Azhar yang melancarkan urusan di MASKARGO walaupun dalam keadaan tidak sihat.

Ustaz Riswadi, pegawai dari HEP UMT dan rombongan yang datang dari jauh, ziarah kami di Sabak Bernam

Tuan Hj Bakar, Tuan Hj Suhail serta sahabat-sahabat kerana bantuan yang luar biasa hebat.

Tuan Hj Osman Ngah dan keluarga, atas ziarah, sokongan, bantuan yang tak ternilai dan jadi 'ayah' pada arwah

Dr. Shamsuri kerana sokongan, bantuan serta menjadi sumber inspirasi arwah

Tuan Hj Muhamad Embong kerana jadi 'ayahanda' arwah dalam misi da'wah di Sandakan, dan mengambil sebahagian pilu kami.

Abdul Wafi kerana menjadi kawan serta 'abang' yang banyak membantu arwah

Ebit Irawan bin Ibrahim Lew kerana menjadi mentor arwah.

Mohd Salleh & Mohd Danial (rakan sekuliah) kerana berusaha mencari kami, walaupun banyak kali tersasar ke tempat lain.

Semua yang pernah sudi menjadi kawan kepada Muhammad Huzaifah

Sahabat karib arwah (pelajar Universiti Pertahanan Malaysia-maaf nama saya tak ingat) kerana bermotosikal dari jauh dan 'mengiring' van jenazah sehingga ke tanah perkuburan

Ahmad kerana menjadi kawan pencetus jiwa agama, dan kejayaan dalam pelajaran serta kawan yang soleh.

Fadhil kerana menemankan arwah berenang hingga ke tengah sungai dan menghantar arwah sehingga ke Sabak Bernam.

Hj abdul Ghani kerana menjadi amir terakhir misi da'wah arwah

Muzammil kerana tekun mendengar ' Bayan Subuh terakhir ' arwah (jangan lupa berikan saya catitan tentang bayan tersebut) dan mengingat pesanan terakhir arwah dalam bayan tersebut agar kita dapat meneruskan usaha da'wah ini sampai akhir hayat kita.

Mohd Romzi kerana teliti mendengar azam arwah untuk menghidupkan usaha da'wah di Maktab, dalam perjalanan ke sungai (kiranya cuma beberapa minit lagi sebelum di jemput Allah Tuhan kita).

Cikgu Juswan kerana tolong membantu mengirimkan 'Warkah Da'wah' arwah (walaupun sehingga kini warkah tersebut belum sampai...hilang?

Siti Husna Izzati kerana banyak membantu arwah semasa di MRSM dan selepasnya, dan 'hadiah' yang sangat bernilai untuk keperluan semasa da'wah arwah.

Semua yang tak dapat saya ingat satu persatu

Seluruh keluarga yang tiada kata-kata dapat diucapkan.

Dan terakhir, tanpa kurang, yang dimuliakan Maulana Abdul Hamid dan seluruh jamaah, Imam Masjid Makmuriah dan jamaah, Imam solat jenazah di Sandakan dan jamaah kerana menghantar arwah ke ' sana ' dengan DOA.

Saya mohon semoga Allah membalas jasa kalian semuanya.


Tuesday, July 6, 2010

kata-kata hati (10) Mengapa tersenyum ?


Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Pada 4.5.2010 (Selasa) salah seorang rakan seusaha anak dari Markas Sandakan, Cikgu Juswan menghantar satu pesanan rengkas (SMS) kepada Anip (Muhammad Hanif bin Mohammed Huzazi) yang kemudian di'forward'kan kepada abah, yang kandungannya seperti berikut :-

" Pd pagi arwah br sampai d Sandakan, beliau tlh mengirim sepucuk surat melalui sy. Pg tu jg sy poskan. Sy ingt lg dia kata " warkah dakwah utk mak dan ayah " dan dia mtk spy sy doa sama utk ksjahteraan ayah bondanya. Tp mgkn surat tu blum sampai. Smoga rohnya dcucuri rahmatNYA. Jenazah seakan2 senyum dan tenang ketika d bw kluar dr sungai. "

Warkah anak itu sehingga kini masih belum sampai......

Dari lapuran beberapa rakan anak, termasuk Fadhil (yang turut serta menghantar jenazah anak ke Semenanjung tempohari) mereka mengatakan begini :

" Rakan mereka menyangka arwah bergurau kerana kali terakhir, mereka melihat sebelum arwah tenggelam, dia masih kelihatan tersenyum seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Setelah dua minit berlalu, barulah mereka risau kerana tidak melihat arwah (arwah tidak muncul). "

Anak.....

Apakah anak telah diperlihatkan olehNYA akan bakal tempat kembali anak di 'sana' nanti, sehingga disaat yang begitu kritikal (diambang maut itu) anak mampu tersenyum dan senyuman anak itu terbawa-bawa selepas anak dibawa keluar dari sungai. Waktu itu menurut engineer Hj Abd Ghani (amir anak semasa misi dakwah ke Sandakan tempohari) nadi anak sudah tiada.

Firman Allah Surah Qaaf : 22

" Kami membuka (menyingkap) daripadamu tutup (yang menutupi) pemandangan kamu selama ini, lalu kamu dapat melihat dengan jelas pada hari itu (hari ketika hampir dekat kematian atau waktu nazak)."

Selari dengan itu ialah apa yang dikatakan oleh Saidina Umar Ibnul Khattab; (Ehya Ulumuddin)

" Kamu hadirilah kepada orang yang hampir mati dan ingatlah, ketika itu mereka dapat melihat perkara yang ghaib yang kamu tidak dapat melihatnya."

Sabda Rasulullah saw;

" Barang siapa suka bertemu dengan Allah, maka Allah pun suka bertemu dengannya. Barangsiapa yang tidak suka bertemu dengan Allah, maka Allah pun tidak suka bertemu dengannya." Mendengar sabda tersebut, Siti Aisyah pun berkata ; "Adapun mengenai mati, kamu pun tidak menyukainya." Rasulullah saw lalu bersabda; " Bukan begitu, sesungguhnya orang mu'min itu apabila ia hampir mati, didatangkan berita gembira kepadanya, bahawa ia akan mendapat keredhaan Allah dan mendapat kedudukan yang mulia. Maka ketika itu ia merasa amat suka dan gembira untuk bertemu dengan Allah dan Allah pun suka untuk bertemu dengannya. Adapun orang kafir, apabila ia hampir mati, didatangkan berita buruk bahawa ia akan diseksa dan diazab oleh Allah swt. Maka ia pun tidak mahu bertemu dengan Allah, maka Allah pun tidak mahu bertemu dengannya. "

Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Subhanallah...Alhamdulillah....Allahu Akbar.



Friday, July 2, 2010

Jihad : kewajipan yang diabaikan (3)

Hukum Jihad.

Sebenarnya , para ulama telah berselisih pendapat mengenai hukum jihad pada asalnya. Jika dirujuk pada kitab-kitab fekah yang muktabar, kita akan dapati mereka telah bercanggah pendapat kepada tiga;

1. Sunat - pendapat Ibnu Umar, Ata', Ath Thaury dan Ibnu Syabirmah
2. Fardhu Kifayah - pendapat jumhur ulama.
3. Fardhu Ain - iaitu pendapat Said bin Musaiyib dan sebahagian ulama mazhab Syafi'e.

Dikatakan pendapat pertama dan ketiga (sunat dan fardhu ain) adalah pendapat yang dhaif. Adapun jumhur ulama termasuk keempat-empat imam mazhab, Ibnu Taimiyah dan lain-lain berpendapat bahawa hukum jihad pada asalnya adalah fardhu kifayah. Apabila ada pasukan mujahidin keluar berjihad maka, tidak lagi diwajibkan ke atas orang-orang Islam yang lain untuk berjihad. Tetapi jika sebaliknya maka semua umat Islam akan menanggung dosa.

Hukum fardhu kifayah ini berlaku ketika mana wujudnya negara Islam dan tiada negara Islam yang dijajah oleh golongan kuffar. Tetapi apabila keadaan telah berubah, maka hukumnya juga akan berubah.

Bilakah jihad menjadi fardhu ain?

Jumhur ulama sepakat mengatakan bahawa fardhu kifayah itu akan berubah menjadi fardhu ain atau wajib ke atas setiap individu muslim dalam beberapa keadaan.

1. Apabila bertemu secara berhadapan dengan musuh yang menyerang.

Firman Allah Surah Al Anfal : 15-16

" Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang , maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka. Dan sesiapa yang berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu, kecuali jika ia bergerak kearah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya dia (berpaling undur itu) tetaplah mendapat kemurkaan dari Allah dan tempatnya ialah neraka Jahannam, sedang neraka Jahannam ialah seburuk-buruk tempat kembali."

2. Apabila diminta atau diperintahkan oleh pemerintah sesebuah negara Islam supaya keluar berjihad.

Firman Allah Surah At-Taubah : 38 - 39

" Wahai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu; "Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah" kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal keni'matan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit."

" Jika kamu tidak berangkat untuk berperang , nescaya Allah menyiksa kamu dengan siksa yang pedih, dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudharatan kepadaNya sedikitpun. Allah Maha kuasa atas segala sesuatu."

Firman Allah Surah At-Taubah : 44 - 45.

"Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak ikut) berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang bertaqwa.

"Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian, dan hati mereka ragu-ragu, kerana itu mereka selalu bimbang dalam keragu-raguannya."

Sabda rasulullah saw.

" Tiada lagi hijrah selepas pembukaan kota Mekah. Yang ada hanyalah (kewajipan) jihad dan niat. Dan apabila kalian diseru supaya keluar berperang pada jalan Allah, maka pergilah (berjihad)."

3. Apabila musuh (orang-orang kafir) berusaha membinasakan, menceroboh, merampas dan mengotori kehormatan serta kesucian umat dan negara Islam. Dikala itu menjadi fardhu ain ke atas setiap umat Islam di negara berkenaan bangun mengangkat senjata dan berjihad, membela negara Islam dan mempertahankan kesuciannya dengan darah dan harta, sehingga negara berkenaan bebas dari penjajahan tersebut.

Untuk melaksanakan tugas tersebut, anak-anak tidak perlu meminta keizinan dari orang tuanya, isteri tidak perlu keizinan suaminya (tetapi mestilah keluar bersam muhrim), orang-orang yang mempunyai hutang tidak perlu meminta izin dari orang yang dihutanginya, murid-murid tidak perlu meminta izin dari gurunya dan begitulah seterusnya, sesuai dengan kaedah fiqhiyah :

" Tidak perlu keizinan untuk melaksanakan perkara-perkara yang hukumnya fardhu ain."

Sekiranya penduduk negeri berkenaan tidak bangun berjihad dan mereka tidak mampu menghadapi musuh yang kekuatan dan bilangannya lebih besar, dan sebagainya, maka hukum fardhu ain itu akan terus berkembang pula ke negeri-negeri yang berhampiran. Sekiranya penduduk di negeri-negeri yang berhampiran itu juga tidak keluar berjihad, maka hukum itu terus berkembang luas ke atas setiap umat Islam dari yang paling hampir hinggalah yang paling jauh. jika tiada umat Islam yang bangun menghalau musuh-musuh Allah itu dari negeri tersebut, maka seluruh umat Islam (yang tiada uzur syara'ie) berdosa.

Jumhur ulama juga telah bersepakat (selain daripada Imam Ahmad dan Hambali) bahawa apabila jihad sudah menjadi fardhu ain, maka ianya tidak ada beza dengan fardhu ain dalam melaksanakan sembahyang dan puasa. Bererti dosa meninggalkan jihad dan dosa meninggalkan sembahyang lima waktu adalah sama. Juga tiada bezanya antara mereka yang meninggalkan jihad dengan mereka yang meninggalkan puasa dengan sengaja. Ibu bapa yang melarang anak-anaknya daripada berjihad juga samalah dengan mereka yamg melarang anak mereka dari melakukan sembahyang dan puasa.

Oleh hal yang demikian kebanyakan ulama mutakhir seumpama As-Syahid Dr abdullah Azzam berpendapat bahawa umat Islam kini semuanya berdosa kerana tidak bangun berjihad tanpa sebarang keuzuran. Sesungguhnya jihad pada zaman ini telahpun menjadi fardhu ain kerana dimana-mana sahaja kita dapati negara umat Islam dijajah dan penduduknya ditindas.

Bumi suci Palestin sudah sekian lama dinajisi oleh Yahudi, hinggakan tiada lagi tercatat kalimah Palestin di atas peta dunia. Kashmir dirampas oleh kufar sejak beberapa lama. Mindanao, Bosnia, Crotia dalam cengkaman siapa? Arakan, Bukhara, Kemboja, Tajikistan dan Pattani bagaimana? Terakhir Iraq dan Afghanistan juga dibawah penguasaan siapa ?


Bersambung.......................

Thursday, July 1, 2010

kata-kata hati (9) Mudah-mudahan-lah anak.

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2 (UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita,(lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Sekembalinya abah dari tugasan di Seoul, Korea pada 26hb June 2010, abah agak tak sabar untuk kembali menulis tentang anak di ruangan semacam ini. Agak sedikit tersentak ada 'comment' dari rakan anak.

Kandungannya begini :

"Assalamu'alaikum.....Alhamdulillah, Allah swt pertemukan juga dgn ayah arwah Huzaifah, sy tcari2 bgmne nak ucapkan rs tq......utk pengetahuan pcik, arwah ad dtg ziarah sy di UMD kampus KUSZA, waktu di campus sy tlalu aktif sehinggakan x de mse utk KELUAR ke jln Allah. so arwah dtg bsama abg Wafi mberi sdikit nasiht n pndgn mseh hangat lg nasihat yg dibrikn kpd sy n tringt senyuman arwah n lambaian tgn ketika hdk pulang smula ke UMT yg terletk bseblhn dgn UMD. sy dpt tau brite kematian arwah agak lewat iaitu pd 24May 2010 mlalui salh seorng rakan seusaha. linangan air mata tatkala dikhabarkan brite pemergian arwah, sy sgt tkjot. asbab dr brite tsebut sy trus ke sri petaling utk klua 40 hari. kini sy bru 1 hari pulang dr "KELUAR". Apa yang sy ingin ucapkan skirenye arwah mseh ad "TQ bebyk, asbab ziarah anta ,Allah pilih saya utk wat usaha ni smula." tp arwah dh x de, jd ucapn ni sy tujukan kpd pcik sbg pganti kpd arwah huzaifah. Sy......................... doa sy moga2 huzaifah ditempatkan disisi para syuhada' AMIN >>> from ABU HANIFAH B. SHAHRIL
JUNE 23, 2010.9:28 AM

Dari nombor telefon, dan alamat email yang ditinggalkan abah sempat berhubung dengannya , dan sempat juga meninjau blog teman anak itu. Ternyata disana dimuatkan juga kisah anak berserta beberapa foto anak, seperti yang banyak serta mudah ditemui di puluhan blog-blog lain, samada melalui engine carian Yahoo atau Google.

Walaupun kami sekaliannya, (abah, ummi, abang, adik-adik dan keluarga) masih sangat terasa akan pemergian anak, namun disana terselit rasa bangga kerana anak menjadi asbab orang lain dapat melaksanakan tugas para Nabi dan para Rasul disaat dunia diselubungi fasad yang hampir merata. Dalam kehilangan, kami gembira kerana dengan sedikit usaha anak itu, mudah-mudahan anak mendapat limpahan pahala yang berterusan mengalir asbab anak mengajak orang lain melaksanakan tugas ma'ruf, sehingga hari qiamat. Ameen...!!!

Begitu juga dari beberapa teman anak di MRSM, Matrikulasi dan terkhir di UMT, mereka mengkhabarkan bahawa dengan asbab usaha anak, telah memungkinkan tidak sedikit teman-teman sepengajian anak yang sehingga kini masih kekal gigih dalam kerja-kerja dakwah ini.

Sabda Rasulullah saw.

"Apabila mati seorang anak Adam, maka terputus darinya amalnya, kecuali dari 3 perkara; sedeqah jariyah atau ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang berdoa baginya. "
Hadith riwayat Muslim 14-(1631)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.