RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Wednesday, March 30, 2011

Kata-kata hati (28) "MOGA BAHAGIA DI SANA"

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan. Lapuran kejadian anda boleh dapati dibeberapa blog, antaranya http://haneefsyah.blogspot.com/

Jika menggunakan kiraan kalender Masihi, pada hari ini , Rabu 30hb Mar 2011 adalah harijadi anak yang ke 22 tahun. Kebiasaannya, diwaktu ini jika anak tiada di sisi, anak pasti akan menerima doa dan ucapan daripada ummi. Ummi tidak akan pernah lupa untuk menghubungi anak untuk ucapan doa dan ucap selamat.

Hari ini kami seluruhnya masih teringatkan segalanya itu. Dan kami masih juga mengirim sesuatu sejak dari pagi tadi . Mudah-mudahan telah sampai, dan anak telah menerimanya.

Anak pergi dalam usia yang terlalu muda. Tidak sempat merasai usia tua. Namun, syukur kerana anak sehingga akhirnya telah mengupayakan semaksimanya usia muda anak dalam kerja-kerja yang baik. Dan minggu-minggu terakhir hidup anak dihabiskan pada jalan Allah, dijemputNYA ketika sedang berada di jalan Allah.

Walaupun usaha kita selaku umat akhir zaman ini terlalu kecil , berbanding dengan apa yang telah dilakukan para pemuda-pemuda dahulu, (seumpama pemuda-pemuda Ashabul Kahfi yang merangkul kejap keimanan mereka kepada Allah, Saidina Ali yang telah mempertaruhkan nyawanya untuk mengganti Rasulullah saw di pembaringan, Usamah bin Zaid yang berjasa besar dalam misi hebat menghadapi tentera kuffar, Zubair bin Awwam yang mempertaruh nyawa untuk kebenaran, Saidina Hassan dan Saidina Hussein yang mengorbankan segalanya demi yang haq, Sultan Muhammad Al Fatih yang meninggalkan tinta emas kejayaan membuka Konstantinopel dan ribuan orang muda lain yang mencipta sejarah gemilang, semuanya untuk agama Allah yang suci, demi Allah yang Agung), namun mudah-mudahan Allah akan sudi juga menerima amal kita yang kecil dan sedikit itu sebagai satu persembahan ‘amal soleh.

Anak…

Semua nukilan sejarah itu memberi maksud bahawa orang muda yang masih bertenaga, semangat yang kuat, punya cita-cita yang tinggi, azam yang membara, aspirasi serta idealisma yang hebat, sebenarnya punya potensi yang amat besar untuk mencorak tamadun peradaban manusia. Dizaman moden kita telah saksikan bagaimana intifadah Palestine disemarakkan oleh orang-orang muda, hancur dan tumbangnya diktator-diktator dunia di beberapa negara kuku besi , didokong oleh generasi muda.

Maka maha benar firman Allah yang memberikan penghargaan khusus kepada seluruh orang muda lewat firmanya dalam Surah Al Kahfi, ayat : 13

“ Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.”

Dan begitu juga melalui lidah RasulNYA kita di dirangsang dengan ungkapan hadith baginda (saw) bermaksud begini:

Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; " Terdapat 7 golongan orang yang mendapat lindungan arasNya pada hari yang tidak ada lindungan selain lindunganNya..

1. Pemimpin yang adil
2. Pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadat kepada Allah swt
3. Seorang yang hatinya terpaut pada masjid
4. Dua lelaki yang berkasih sayang, bertemu dan berpisah kerana Allah swt
5. Lelaki yang digoda oleh wanita cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat, tetapi dia menolak dengan mengatakan "Aku takutkan Allah "
6. Sesaorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya.
7. Sesaorang yang mengingati Allah ketika bersendirian, sehingga mengalir air matanya kerana Allah swt

Hadith riwayat Muslim.

Anak telah bersungguh untuk mengupayakannya. Maka tinggallah kami terutama anak-anak abah yang lain untuk menggunakan kesempatan usia muda kalian untuk berbuat yang semestinya sebagai pemuda-pemuda yang punya aqidah. Sekadar meminjam pesanan As Syahid Imam Hassan Al Banna yang mengatakan; “ kita, (tanpa mengira usia) ada terlalu banyak kerja (amanah dan tanggungjawab) yang wajib untuk dilaksanakan, sedang waktu yang kita ada terlalu sedikit.”

Maka bersungguhlah….

Friday, March 25, 2011

Kata-kata hati (27) Tiada surutnya

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan. Lapuran kejadian anda boleh dapati dibeberapa blog, antaranya http://haneefsyah.blogspot.com/

Salam….

Anak…Sudah terlalu lama abah tidak menuliskan apa-apa. Terlalu banyak faktor penghalang dan yang tidak mengizinkan abah menulis. Antaranya siri-siri kematian berturut-turut saudara mara kita selepas pemergian anak tempohari…..semuanya enam orang, dan banyak lagi.

Selain itu rasa hiba atas pemergian anak masih juga tidak surut hingga kini. Rupanya hikmah disebalik tidak surutnya perasaan itu ialah tidak pernah lupanya kami untuk mengirimkan kepada anak (jika sekiranya ada pahala) bacaan selawat, zikir, bacaan Al-Qur’an dan sebagainya, saban waktu dan ketika.

Walau bagaimanapun, abah tetap rasa bangga kerana anak istiqamah, bersungguh walau payah hingga akhir hayat anak untuk tetap bersama dengan jemaah Islam yang sarat dengan misi inginkan kalimah tauhid dapat diwarisi dan dihayati oleh semua manusia di ‘alam ini. Hal yang demikian tidak akan abah sebut, melainkan anak telah membuktikannya dengan kata-kata serta perbuatan sehingga akhir hayat anak.

Kata-kata dalam tazkirah subuh terakhir anak tempohari (4hb Mei 2010) ; " Kita wajib teruskan usaha da'wah ini, sehingga akhir hayat kita..... sampai kita mati." , jadi bukti semuanya.

Hati kami (abah, ummi, abang dan adik-adik semuanya) bertambah lega bila kami ditemukan dengan beberapa hadith Rasulullah saw, antaranya;

1. Dari Ma’qil bin Yasar, ia memarfu’kannya; “ Beribadah di tengah-tengah fitnah (kekacauan) bagaikan berhijrah kepadaku.”

Hadith riwayat riwayat Muslim & Tirmidzi

As Syaikh Sa’id Hawwa mengatakan; barangkali hadith ini sesuai sebagai fatwa pada zaman kita ini.

2. Dari Ibnu Umar; Nabi saw menjalin jari-jarinya seraya bersabda: “ Bagaimanakah engkau wahai Abdullah, jika engkau tinggal di tengah orang banyak yang merusak janji-janji dan amanat mereka. Mereka berselisih lalu menjadi begini ? Ia bertanya; “ Bagaimanakah ya Rasulullah ? Nabi saw bersabda; “ Engkau ambil apa yang engkau ketahui (baik), dan engkau tinggalkan apa yang engkau ingkari, engkau datangi orang-orang khususmu dan engkau tinggalkan mereka serta kebanyakan orang dari mereka ”

Hadith riwayat Bukhari.

As Syaikh Sa’id Hawwa berpendapat bahawa hadith ini merupakan fatwa untuk zaman kita sekarang. Tambah beliau lagi seorang Muslim hendaknya berada di dalam jamaah Islam, ia tidak boleh berada di dalam jamaah/kumpulan lain kecuali untuk kepentingan Islam dan berdasarkan fatwa. Berkenaan dengan jamaah Islam tersebut, hendaklah ia mengambil yang ma’ruf dan meninggalkan yang mungkar. Hendaklah ia mendatangi orang-orang tertentu dan meninggalkan kebanyakan dari mereka.

Tuesday, February 8, 2011

Wajah-wajah kematian (5) Bersiaplah...

Berkata Imam Al Ghazali rah.
" Jika sesaorang anak Adam yang lemah itu tidak mengalami apa-apa malapetaka, walaupun tidak tertimpa apa-apa musibah, tidak mengalami apa-apa kemalangan, kegelisahan, kesusahan, tidak menahan apa-apa susah payah atau apa-apa ketakutan, namun kekerasan mati, keadaan nazak dan kebimbangannya adalah sudah cukup untuk menghancurkan segala kelazatannya. Mati adalah yang merosakkan segala kesenangan manusia. Memikirkan hal kematian sahaja sudah cukup untuk menghapuskan kelalaian. Secara tersendiri mati adalah sesuatu yang terlalu dahsyat.

Oleh hal yang demikian setiap orang sentiasa patut sibuk dalam persiapan untuknya. Khususnya kerana keadaannya tidak diketahui bilakah akan tiba dan menimpa.

Seorang ahli hikmah berkata, " Tali di tangan lain dan tidak diketahui bilakah Ia akan tarik dan bila-bila masa Ia boleh tarik dan heret." Hadrat Luqman telah berkata kepada anaknya, " Mati adalah perkara yang keadaannya tidak diketahui bilakah akan datang. Sebelum ia datang dengan tiba-tiba buatlah persiapan untuknya."

Wajah-wajah kematian (4) Kita bagaimana ..?


Berikut adalah petikan dari kitab Fadhilat Sedekah (jilid 1&2) karya Syaikhul Hadith Hadrat Maulana Muhammad Zakariya rah. (m.s 938 – 945)

Tamim Dari r.a berkata bahawa Allah Taala mengarahkan kepada Malakul Maut, " Pergilah kepada kawanKu si anu dan bawalah rohnya kepadaKu. Aku sudah mengujinya dalam kedua-dua keadaan , gembira dan dukacita , lalu sudah mendapatinya seperti yang telah Aku kehendaki. Bawalah dia kepadaKu supaya dia dapat terlepas dari kesusahan dunia dan berehat."

Maka Malakul Maut bersama lima ratus malaikat datang kepadanya. Setiap malaikat membawa kain kapan dari syurga. Setiap malaikat membawa jambangan bunga Raihan ditangannya. Setiap bunga Raihan dari dua puluh jenis warna dan setiap warna memberi keharuman yang baru. Mereka membawa kasturi yang paling harum dalam sehelai sapu tangan dari sutera , berwarna putih. Malakul Maut duduk dekat kepalanya. Semua malaikat yang mengelilinginya lalu meletak tangan mereka di atas setiap anggota tubuhnya. sapu tangan sutera putih berkasturi diletak di bawah dagunya. Pintu syurga dibuka dihadapan pandangannya. Hatinya disenangkan dengan diperlihatkan nikmat-nikmat syurga sepertimana kanak-kanak menangis , maka orang-orang rumahnya memperlihatkannya bermacam-macam permainan untuk menyenangkannya.

Terkadang-kala bakal isteri-isterinya di syurga didepankan, kadang-kadang buah-buahan dan pakaian syurga diperlihatkan kepadanya. Pendek kata berbagai-bagai nikmat syurga dibawa dihadapannya. Bakal-bakal isterinya dalam keadaan gembira mula menari. Melihat kesemua pemandangan itu rohnya mula mengedip-ngedipkan di dalam tubuhnya (seperti burung didalam sangkar mengedip-ngedipkan untuk membebaskan dirinya). Malakul Maut berkata kepadanya, "Wahai roh yang mubarak ! Marilah pergi kearah pohon-pohon bidara yang tidak berduri, pokok-pokok pisang yang tersusun rapi dan naungan yang tetap terbentang. ( Ini merupakan isyarat kepada beberapa pemandangan di syurga yang terdapat dalam ayat-ayat berikut dari Surah Al Waqiah ; 28-30. " Mereka bersenang-lenang diantara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya dan naungan yang tetap terbentang." )

Dan Malakul Maut bercakap begitu lemah lembut dengannya, seperti Ibu bercakap dengan anaknya. Sebab dia sedia maklum bahawa roh ini adalah hampir dengan Allah Taala. Allah akan menyukainya jika dia berkelakuan lemah lembut terhadap roh ini.

Roh itu keluar dari tubuhnya dengan begitu mudah sepertimana sehelai rambut mudah di cabut dari timbunan tepung. Apabila roh keluar maka kesemua malaikat memberi salam kepadanya, lalu memberi berita gembira bahawa ia akan memasuki syurga.

Di dalam Al-Quran , peristiwa ini telah diceritakan dalam ayat berikut : " Mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan bersih suci (dari kufur, syirik dan maksiat) sambil malaikat itu berkata : ' Selamat sejahtera kamu, masuklah syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan. " (Surah An Nahl : 32)

Jika sekiranya dia adalah seorang yang hampir dengan Allah, maka mengenainya Allah Taala berfirman : " Maka (ia akan beroleh ) rehat kesenangan , dan rahmat kesegaran , serta syurga kenikmatan ." (Al Waqiah : 89)


Semasa roh berpisah dari badan maka ia berkata kepada badan, " Semoga Allah Taala memberi balasan baik kepada kamu. Kamu telah bersegera taat pada Allah serta beribadat kepadaNya dan kamu selalu cuba elakkan dirimu dari kederhakaan kepadaNya. Hari ini adalah mubarak bagimu. Kamu sendiri pun terselamat dari azab dan juga menyebabkan aku pun terselamat." Kata-kata demikian juga diucap oleh badan kepada roh semasa perpisahan. Dengan perpisahan itu kawasan tanah dimana tempat dia telah beribadat menangis. Pintu-pintu langit dimana amalannya telah lalu pun menangis. Pintu langit dimana rezekinya turun juga menangis. Selepas itu lima ratus malaikat tersebut berkumpul dikeliling mayat. Apabila pemandi memalingkannya, malaikat lekas-lekas memalingkannya. Apabila orang memberi kapan, lekas-lekas malaikat memberi kapan dengan kain yang dibawanya dari syurga.

Apabila diberi wangian, maka malaikat terlebih dahulu mengharumkannya dengan wangian yang dibawa oleh mereka. kemudian semua malaikat berbaris dari pintu rumat mayat sampai ke tanah perkuburan dan beristiqbal (menyambut) jenazah serta doa dan istighfar. Melihat kesemua pemandangan ini syaitan menangis begitu kuat sekali sehingga tulang-tulangnya mula terpatah. Dia berkata kepada tenteranya, " Binasalah kamu sekalian! Bagaimana orang itu dapat melepaskan diri daripada kamu? Maka mereka menjawab, " Mereka adalah maksum (tidak sanggup melakukan dosa)."

Selepas itu apabila Malakul maut membawa rohnya kearah langit, maka Hadrat Jibrael as. menyambut roh itu bersama-sama dengan 70 ribu malaikat. Malaikat-malaikat ini menyampaikan berita -berita gembira kepadanya dari pihak Allah Taala. Selepas itu Malakul Maut as. membawanya sampai ke Arasy, roh itu terus sujud kepada Allah. Maka Allah taala memerintahkan kepada malaikat " Sampaikanlah roh hambaKu ini kepada, "pohon-pohon bidara yang tidak berduri. Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya, dan naungan yang tetap terbentang." (Waqiah : 28-29)

Apabila jenazahnya diletakkan didalam kubur, maka solatnya datang berdiri di sebelah kanannya. Puasanya berdiri di sebelah kirinya. Bacaan Al Quran serta zikirnya berdiri di sebelah kepalanya. Langkah-langkahnya untuk solat berjemaah berdiri di sebelah kakinya. Kesabarannya (ketika musibah-musibah dan daripada dosa) berdiri sedikit berasingan. Kemudian azab memasuki kubur dan cuba pergi ke arah mayat. Apabila ia pergi untuk menyerangnya dari sebelah kanan , maka solatnya berkata, "Awas ! Jangan mendekatinya. Demi Allah! Orang ini semasa di dunia selalu bersusah payah. Kini dia berehat , tidur." Kemudian apabila azab cuba menyerangnya dari sebelah kiri, maka secara demikianlah puasa menghalaunya. Dia cuba dari sebelah kepala, maka bacaan Al Quran serta Zikir menyekatnya dan berkata, "Tiada jalan bagimu di sini." Pendek kata, azab tidak dapat mendekatinya kerana wali Allah itu dikawal ketat oleh ibadat-ibadatnya dari segala arah. Akhirnya azab keluar semula dari kubur dalam keadaan gagal. Kemudian kesabaran yang selama ini berdiri disatu penjuru secara berasingan berkata kepada ibadat-ibadat yang lain, " Aku telah menunggu , jika sekiranya di mana-mana arah ada terdapat kelemahan (yakni mana-mana ibadatnya ada kekurangan) maka aku akan menolongnya. tetapi Alhamdulillah kamu sekalian telah berjaya menghindarkan azab. Kini aku akan membantunya semasa amalan ditimbang di hari Pengadilan."

Selepas itu dua malaikat yang bermata seperti kilat datang kedalam kuburnya. Suara mereka seperti guruh , gigi seperti tanduk lembu, dari mulutnya keluar api yang nyala bersama nafas. Rambut begitu panjang sehingga sampai kekaki mereka. Jarak antara dua bahu mereka seperti perjalanan beberapa hari. Belas kasihan serta kelakuan lemah lembut seolah-olah tidak pernah melawati mereka. (Walaupun tidak mengasari orang-orang yang beriman, namun kehebatannya pun sudah cukup menakutkan). Mereka dikenali dengan nama, MUNKAR dan NAKIR. Di tangan setiap orang dari mereka terdapat tukul yang begitu besar dan berat, jika semua jin dan manusia sekali cuba untuk mengangkat satu tukul maka sudah tentu akan gagal. Sampai sahaja mereka terus memberi arahan kepada mayat, "Bangun dan duduk !" Mayat terus bangun dan duduk. Kain kapannya turun dari kepala hingga ke pahanya. Mereka menyoalnya, "Siapakah Tuhanmu, apakah agamamu dan siapa nama Nabimu?" Mayat menjawab, "Tuhanku Allah yang Maha Esa dan tiada penyekutuNya, agamaku Islam dan Nabiku Muhammad sallallahu alihi wasallam yang merupakan Khaatamun Nabiyyeen." Maka kedua-duanya berkata, "Kamu bercakap benar."

Kemudian mereka menolak jauh akan dinding-dinding kubur dari segala arah yang mana di sebelah atas, kanan, kiri, di sebelah kepala dan kaki kuburnya menjadi luas. Selepas itu mereka berkata, "Angkatlah kepalamu ke arah atas." Apabila mayat mengangkat kepalanya ke arah atas maka ia melihat satu pintu yang melaluinya, ia dapat melihat Syurga. Mereka berkata lagi, "Wahai wali Allah ! Itulah tempat kediaman kamu kerana kamu telah ikut kehendak Allah." Baginda saw bersabda, "Demi Allah yang nyawaku dalam genggamanNya ! Ketika itu mayat merasai satu perasaan yang begitu sangat gembira sekali sehingga perasaan sedemikian tidak sekali-kali akan kembali kepadanya."

Kemudian tujuh puluh tujuh pintu akan dibuka dan melaluinya angin yang sejuk serta keharuman dari Syurga akan memasuki kuburnya. Keadaan sedemikian akan berkekalan hingga hari kiamat.

(Kemudian dengarlah keadaan yang selain itu) Allah Taala member arahan kepada Malakul Maut, “Pergilah kepada musuhKu si anu dan bawalah keluar akan nyawanya kepadaKu. Aku telah memberikan segala keluasan kepadanya. Segala nikmat-nikmatKu di dunia Aku telah curahkan ke atasnya. Namun dia tidak berhenti dari kederhakaan kepadaKu. Pergilah ! Biar Aku menyeksakannya hari ini.” Malakul Maut menemuinya dengan rupa yang amat menakutkan. Dimukanya terdapat dua belas mata. Ditangannya sebatang GHURZ (tongkat besi yang besar) yang berduru tajam, dibuat dari api neraka Jahannam. Dia diiringi 500 malaikat. Setiap malaikat membawa bersama satu keeping tembaga dan ketul-ketul api neraka yang besar. Ditangan mereka cemeti yang dibuat dari api neraka. Kesemunya panas membakar ! Tiba sahaja Malakul Maut terus memukulnya dengan GHURZ tadi. Durinya memasuki setiap urat darahnya. Kemudian dia mengheret GHURZnya. Malaikat-malaikat yang lain semua mula mencemati di muka dan pahanya yang mana orang hendak mati itu menjadi hampir pengsan. Mereka mengheret rohnya daripada kaki dan sampai ke tumit sambil mencemeti bertalu-talu. Kemudian mereka mengheret rohnya dari tumit sampai ke lutut dan berhenti.

Begitulah mereka mengheretnya dari lutut sampai ke perut dan berhenti (semasa mengheret rohnya malaikat berhenti di tempat-tempat itu supaya dia menderita kesakitan untuk masa yang panjang). Kemudian dari perut malaikat mengheret lagi akan rohnya dan berhenti lagi apabila sampai ke dada. Selepas itu malaikat-malaikat meletakkan keping-kepingngan tembaga dan bara api neraka yang dibawanya itu di bawah dagunya. Malakul Maut berkata kepadanya, “ Wahai roh yang terkutuk ! Keluarlah dan jalanlah kea rah Jahannam yang sifatnya telah diceritakan di dalam al Quran;
“ …angin yang membakar dan air yang menggelegak serta naungan dari asap yang hitam yang tidak sejuk, dan tidak pula member kesenangan. (Tetapi yang member kesusahan yang amat sangat).” Surah Al Waqiah 42-44

Kemudian apabila roh itu keluar dari tubuhnya maka ia berkata kepada tubuh, “ Semoga Allah member balasan buruk kepadamu ! Kamu begitu cepat membawaku kepada kederhakaan terhadap Allah dan melengah-lengahkan dari mentaatiNya. Kamu sendiri telah binasa dan juga telah pun membinasakan aku.” Kata-kata yang sedemikian rupa juga dikatakan oleh tubuh kepada roh. Bahagian bumi yang telah dia menjejaki semasa derhaka pada Allah juga melaknatinya. Tentera-tentera syaitan berlari kepada ketua mereka untuk memberi berita gembira, “ Kami telah sampaikan salah seorang kepada neraka Jahannam.” Kemudian apabila ia diletak di dalam kubur, maka tanah menjadi begitu sempit terhadapnya sehingga tulang-tulang rusuknya berceragah. Selepas itu ular-ular yang hitam mendatanginya lalu mematuknya dari arah hidung dan juga dari arah ibu jari kakinya. Sambil mematuk begitu ular-ular dari kedua-dua arah sampai bertemu di tengah-tengah tubuhnya. Kemudian dua malaikat MUNKAR dan NAKIR (yang kehebatannya suadah dibincangkan tadi) mendatanginya dalam kubur lalu bertanya, “ Siapa Tuhanmu, apakah agamamu dan siapakah Nabimu?” Dia gagal memberi jawapan yang memuaskan. Maka malaikat mula memukulnya begitu kuat dengan GHURZnya sehingga bunga-bunga api tersebar di seluruh kuburnya. Kemudian mereka suruh dia melihat ke arah atas. Di atas, dia melihat syurga dan nikmat-nikmatnya melalui satu pintu yang terbuka. Malaikat berkata, “Wahai musuh Allah ! Jika sekiranya kamu mentaati Allah maka tempat itulah yang akan menjadi tempat kediaman kamu.” Baginda saw bersabda, “ Demi Zat yang nyawaku dalam genggamanNya ! Ketika itu mayat akan merasai perasaan kesal yang begitu hebat sehingga perasaan sedemikian tidak sekali-kali akan kembali kepadanya.” Selepas itu pintu neraka akan dibuka. Malaikat berkata, “Wahai musuh Allah kini inilah tempat kediamanmu sebab kamu telah durhaka pada Allah Taala. Kemudian tujuh puluh tujuh pintu akan dibuka dalam kubur menghubungi neraka, dan angin panas serta asap neraka akan mengganggunya hingga Hari Pengadilan.

(Muhadditheen rah. menyoal hadith ini dari sudut sanad-sanadnya. Tetapi sokongan terhadap kandungan hadith ini didapati daripada banyak lagi riwayat yang lain. Khususnya riwayat Hadrat Baraa Ibnu ‘Aazib dan Hadrat Abu Hurairah ra. yang terdapat dalam kitab Misykaat di bahagian KITABUL JANAEZ dan ITHBAT AZABIL QABR. (Terjemahan dalam kitab MAZAHIR-E-HUQ)

Wednesday, January 12, 2011

Wajah-wajah kematian (3) Penuh penghormatan.


Kewafatan Rasulullulah s.a.w.
Kehidupan mulia, kewafatan mulia dan kehidupan 'di sana' yang penuh kemuliaan.

Ibnu Mas’ud memberitahu bahawa beberapa ketika menjelang wafatnya, Rasulullah saw, berucap di Masjid Madinah. Antara lain Baginda bersabda :
“ Wahai kaum muslimin, sesungguhnya aku bagi kamu semua adalah seorang Nabi , seorang penasihat serta penyeru ke jalan Allah dengan izinNya. Aku bagimu adalah seperti saudara kandung dan seperti ayah yang penyayang. Barangsiapa yang mempuyai hak ke atas aku hendaklah ia berdiri dan balaslah kepada aku sebelum aku dituntut balas di hari kiamat.”

Ibnu Mas’ud juga meriwayatkan bahawa ketika ajal kian menghampiri Baginda, satu wasiat telah diberikan di rumah Siti Aisyah. Wasiat itu diberikan bersama deraian air mata yang berbunyi ; ” Selamat datang untukmu semua, mudah–mudahan kamu semua dikasihi Allah. Aku berwasiat agar kamu semua bertakwa kepada Allah dengan mentaatiNya. Sungguh dekat hari perpisahan kita dan telah dekat pula saat hamba untuk kembali kepada Allah dan mendiami syurgaNya. Kalau sudah datang saat ajalku, hendaklah Ali memandikan ku. Fadhal bin Abbas menjiruskan air dan Usamah bin Zaid yang menolong keduanya. Kemudian kafanilah aku dengan pakaianku atau kain putih dari Yaman. Apabila aku dimandikan letakkanlah aku di balai tempat aku tidur dirumah ini, iaitu berhanpiran liang lahadku. Sesudah itu keluarlah kamu semua sekejap kerana Allah akan menyembahyangkan aku, kemudian diikuti oleh Malaikat Jibril, Malaikat Israfil, Malaikat Mikail, Malaikat Izrail bersama para pembantunya sebelum diikuti oleh sekalian malaikat yang lain. Kemudian masuklah kamu secara berperingkat-peringkat untuk menyembahyangkan mayatku.”

Sesudah solat subuh hari Isnin terakhir iaitu hari kewafatan, Rasulullulah s.a.w. memberikan ucapan yang berbunyi “ Wahai kaum muslimin, kamu semua dalam pemeliharaan dan pertolongn dari Allah. Oleh sebab itu bertakwalah kamu kepada Allah dengan mentaatinya. Maka sesungguhnya aku akan meninggalkan dunia ini dan hari ini hari pertamaku di akhirat, dan hari terakhir bagiku di dunia.” Kemudian Rasulullah saw pun kembali ke rumah.

Ucapan perpisahan Nabi disambut dengan derai tangis kaum muslimin. Bumi Madinah dibanjiri dengan air mata dan turut berkabung kerana dengan ketiadaan Rasulullah saw. Terputus sudah wahyu, dan kesedihan pada hari itu adalah kesedihan kekasih untuk melepaskan kekasihnya pergi. Kesedihan pada hari itu adalah kesedihan yang tiada tolok bandingnya.

Selanjutnya pada hari itu Allah mengarahkan Malaikat Izrail dengan firmanNya yang bermaksud:
“ Turunlah engkau kepada kekasihKu dengan sebaik-baik bentuk serta perhaluskanlah urusan mencabut rohnya. Sekiranya ia mengizinkan kamu masuk, maka masuklah kamu dan jika tidak, jangan masuk dan kembalilah.”

Maka Malaikat Maut pun turun dengan dalam bentuk seorang arab badwi seraya berkata; “ Mudah-mudahan kamu semua dalam keselamatan, wahai penghuni rumah nabi. Apakah aku boleh masuk? ”

Siti Fatimah menjawab : “ Wahai hamba Allah, Rasulullah sedang sakit tenat .”
Sekali lagi malaikat maut berkata : “ Mudah-mudahan kamu semua sentiasa selamat sejahtera wahai Rasulullah saw, serta seluruh rumahnya. Apakah aku boleh masuk?”

Rasululluah saw yang mendengar suara Malaikat Maut itu bertanya dengan bersabda: ” Wahai Fatimah, siapakah yang berada di pintu ?”

Siti Fatimah menjawab : ” Seorang Arab Badwi sedang memanggil dan aku telah memberitahu bahawa Rasulullah sedang sakit.”

Kemudian Malaikat Maut memanggil lagi bagi kali ketiga dan apabila memandang wajah Malaikat Maut itu untuk kali ini, tiba-tiba menggigil tubuh Siti Fatimah. Timbul rasa takut di hatinya, serta pucat wajahnya.

Lalu Rasulullah saw bertanya lagi : ” Apakah engkau tahu siapa lelaki itu ?”

Jawab Fatimah : ” Tidak .”

Lalu Rasulullah saw bersabda :
“ Dia yang mencabut semua kelazatan, memutuskan segala hawa nafsu, memisahkan seseorang dari orang lain, yang mendukacitakan ahli rumah serta meramaikan penghuni tanah perkuburan.”

Mendengar penjelasan itu fahamlah Siti Fatimah, lalu ia menangis dan berkata: ”Oh susahlah nanti, kerana kematian Nabi adalah bencana yang besar, kerana wafatnya seorang yang paling bertakwa. Terputuslah pimpinan orang suci. Sedihlah kami kerana terputus sudah wahyu dari langit . Oh aku tidak dapat lagi mendengar salam engkau sesudah hari ini.”

Maka jawah Rasulullah saw :
“ Jangan engkau menangis wahai Fatimah, kerana sesungguhnya engkaulah dari keluargaku yang pertama berjumpa denganku.”

Seterusnya Rasulullah saw menjemput Malaikat Maut masuk, dan masuklah ia seraya memberi salam. Setelah menjawab salam, Rasulullah saw bertanya : ”Apakah kedatanganmu wahai Malaikat Maut untuk mencabut nyawa atau untuk menziarahiku sahaja? ”

Jawab malaikat maut : ” Saya datang untuk ziarah dan mencabut nyawa jika diizinkan, jika tidak saya akan kembali.”

Seterusnya Rasulullah saw bertanya : ” Wahai Malaikat Maut, di manakah Jibril ? “
Jawab Malaikat Maut : ” Dia dilangit dunia dan para malaikat sedang memuliakannya.”
Sejurus kemudian, Malaikat Jibril pun turun menghadap Rasulullah saw dan duduk berhampiran kepala Rasulullah saw. Rasulullah saw pun bertanya : ” Tidakkah engkau tahu ajalku sudah dekat ? ”

Jawab Malaikat Jibril: ” Ya saya tahu.”
Bersabda Rasulullah saw : ” Beritahukanlah padaku kemuliaan yang menggembirakan aku di sisi Allah.”

Maka kata Jibril : ” Sesungguhnya pintu langit telah dibuka, para malaikat telah beratur sedia menyambut roh engkau di langit. Pintu-pinrtu syurga juga telah terbuka dan para bidadari sudah berhias menanti kehadiran roh engkau.”

Berkata Rasulullah saw lagi : ” Alhamdulillah, hai Jibril, ceritakanlah kepada aku keadaan umatku di hari kiamat nanti.”

Kata jibril : ” Sesungguhnya Allah s.w.t telah berfirman : “ Aku telah melarang semua Nabi memasuki syurga sehingga engkau masuk terlebih dahulu, dan aku juga telah melarang semua umat memasuki syurga sehingga masuk umat engkau terlebih dahulu .”

Jawab Rasulullah saw ; “ Sekarang telah puas hatiku, dan telah hilang rasa susahku.”
Kemudian Rasulullah s.a.w berkata kepada Malaikat Maut : “ Dekatilah aku.”

Malaikat Maut mendekati baginda saw dan memulai tugasnya. Apabila roh sampai ke pusat baginda berkata kepada Jibril, alangkah dahsyatnya rasa mati itu.”

Jibril memalingkan mukanya dari Rasulullah saw kerana tidak tahan melihat kekasihnya menahan sakit.

Berkata Rasulullah saw : ” Hai Jibril, apakah engkau tidak suka melihat wajahku? ”
Jawab Jibril : ” Wahai kekasih Allah, siapakah yang sampai hati melihat wajah engkau sedang engkau dalam keadaan sakaratulmaut.”

Ketika roh Rasulullah saw sampai kedada Baginda, Baginda saw berkata : ” Aku berpesan kepada kamu semua agar menjaga solat dan apa yang menjadi tanggungjawabmu.”
Kemudia kelihatan bibir Rasulullah s.a.w. berkata sesuatu, Sayidina Ali mendekatkan telinganya ke bibir Baginda dan terdengar di telinga Sayidina Ali suara bagida menyebut : ” Umatku, umatku.”

Akhirnya keluar roh Baginda saw meninggalkan jasad menuju syurga yang tinggi.
Sayidatina Aisyah r.ha. meriwayatkan: ” Ketika hampir wafat Rasulullah saw, aku telah mengambil sebekas air dan meletakkan disisi Rasulullah saw. Aku menyapu air ke muka Rasulullah saw dan baginda sendiri menyapu air ke muka baginda.”



Bersambung.......................
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.