RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Monday, August 30, 2010

Kata-kata hati (20) Ujar Rasulullah saw..." Wajabat..."

Suasana sayu saat van jenazah meninggalkan jamaah dan Masjid Sri Petaling
(persinggahan terakhir di Masjid yang anak mendapat tarbiyyah
& kerap 'iktikaf di dalamnya)

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Anak ...

Tiada satu hari yang berlalu tanpa kami seluruhnya teringatkan anak. Semakin jauh....tapi tetap di hati. Dan terdetiknya abah menulis blog ini pun lantaran teringatkan anak. Ia seakan perantara bicara kami semua dengan anak.

Di 'maya' juga kami dapati bukan sedikit yang memberikan ruang kepada kisah anak. Alhamdulillah moga apa yang mereka cuba sampaikan ialah, agar semuanya menjadi iktibar serta mudah-mudahan dapat mendatangkan manfaat. Antaranya dalam http://umu6point.blogspot.com/, http://chromosome.wordpress.com/, http://hans-ryder.blogspot.com/, http://best1of4.wordpress.com/, http://syukri-abdullah.blogspot.com/, http://meit-habib.blogspot.com/, http://wirapendang.blogspot.com/, http://bfs131.blogspot.com/, http://haneefsyah.blogspot.com/, http://mancismenyala.blogspot.com/, http://campus-pj.blogspot.com/, http://haticantik.blogspot.com/, http://www.tranungkite.net/, http://shah8074.blogspot.com/, http://norish77.blogspot.com/, http://saifulmerah.blogspot.com/, http://shafriza.blogspot.com/, http://kabusbumi.blogspot.com/, http://cintaindah.blogspot.com/, http://ohislam.com/ dan banyak lagi yang tak mampu nak dicatitkan semuanya.

Pastinya, tak terjumlah juga komen dan ulasan masing-masing pengunjung. Alhamdilillah semuanya baik dan positif. Syukur juga dalam sebahagian ulasan dan komen mereka tidak lupa mengirimkan bacaan Al-fatihah untuk anak. Ameeen.....

Kepada sekalian yang mendoakan serta sudi mengirimkan untaian Al-fatihah buat anak, abah ingin menyampaikan ucapan 'jazakallahu khairan' .

Sekadar ingin mencatit sedikit dari catatan yang mereka tinggalkan berikut abah salin semula sebahagiannya.

nadia 13/08/2010 pd 8.26 pg. (dalam http://ohislam.com/)
sememangnya arwah huzaifah memiliki akhlak yang sangat baik. al-fatihah buat mu sahabat, abg homeroom. semoga syurga yg kau cari menjadi milikmu.......amin..

ct 16/08/2010 pd 1.58 pg. (dalam http://ohislam.com/)
1 batch dgn sy 2...... suka tgk dia dlm kelas......baik sgt2. sjok mata mmndg....xsgka plk Allah telah memanggilnya lbih dahulu......patutla x prnah nmpk dia masuk sem baru ni....slalunya tgk dia naik basikal pergi kuliah....berkopiah......sdih bila mengetahui pemergiannye......Al-fatihah utk arwah....smoga beliau ditempatkan disamping org2 yg Allah kasihi.....amin......

hafiz 17/08/2010 pd 9.40 ptg. (dalam http://ohislam.com/)
die dulu senior aq kt yayasan selangor. sedhnye.....smoge rohnya dicucuri rahmat......

atiqah 20/08/2010 pd 10.56 ptg. (dalam http://ohislam.com/)
subhanallah,,,,arwah merupakan skulmate sye di SMKSUA sabak bernam...,takziah kpd keluarga arwah, kami semua tahu yang arwah mmg seorang yang baik dan beriman,, bangga memiliki sahabat sepertinya,, Al-fatihah buat alahyarham muhammad huzaifah bin mohammed huzazi.

zul 20/08/2010 pd 5.37 ptg. (dalam http://ohislam.com/)
salam.
arwah merupakan sahabat saya di umt....arwah juga duduk serumah dgn saya dan course mate..... sememangnya arwah org yang baik akhlaknya, mulia pekertinya dan menjaga tingkahlakunya dan arwah sendiri pernah berkata pada saya bhw beliau berharap mati syahid di jalan Allah... Al-fatihah.

Tahniah-lah anak kerana keupayaan dan kesungguhan anak dan dengan bantuan serta izin Allah menjadi orang yang baik, tidak menyusahkan dan menyakitkan hati orang lain. Dengan pernyataan mereka mudah-mudahan anak kini memperoleh sebagaimana yang di sabdakan oleh junjungan Rasulullah saw.

Dari Anas ra berkata;

Ketika ada jenazah lalu, maka sahabat-sahabat memuji mayyit itu atas kebaikan kelakuannya. Maka Nabi saw bersabda : " Wajabat (Pasti baginya). Kemudian ada lain jenazah berjalan dan orang-orang menyebut-nyebut kejahatannya. Nabi pun bersabda: " Wajabat " (Pasti baginya). Maka Umar bin Al-Khattab bertanya; " Apakah erti Wajabat ?" Jawab Nabi saw : " Itu tadi kamu memuji kebaikannya maka pasti ia masuk syurga. Dan yang ini kamu sebut-sebut kejahatannya, maka pasti ia masuk neraka. Kamu sebagai saksi Allah di atas bumi ini ".
Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Abul Aswad berkata:

Ketika saya datang ke kota Madinah, saya duduk bersama Umar bin Al-Khattab, tiba-tiba ada jenazah melintasi kami, maka orang ramai memuji-muji mayat itu. Berkata Umar ; " Wajabat " Kemudian ada lain jenazah juga orang ramau memuji-muji kebaikannya. Umar berkata ; " Wajabat " Kemudian ketiga kalinya ada jenazah dan orang ramai menyebut kejahatannya. Umar juga berkata: " Wajabat " Abul Aswad bertanya; "Apakah erti 'Wajabat' wahai Amirul Mu'minin ?" Jawab Umar; " Saya berkata sebagaimana yang pernah diucapkan oleh Rasulullah saw. Tiap muslim yang disaksikan oleh empat orang bahawa ia baik, Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga." Kami bertanya ; " Kalau tiga orang ? " Jawab Nabi; " Juga tiga." Kami bertanya ; " Kalau dua orang ? " Jawab Nabi ; " Dan dua orang." Kemudian kami tidak sampai bertanya satu orang."
Hadith riwayat Bukhari

Ameeen..............

Friday, August 27, 2010

Kata-kata hati (19) Moga benar kau terima anugerah itu

Ruang 'iktikaf - pertemuan terakhir kita
di Masjid Sri Petaling

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Anak...

Pada 20hb Ogos 2010 (10 Ramadhan1431) abah ke Masjid Sri Petaling lagi. Sembahyang Maghrib berhampiran kipas nombor 16. Di bawah kipas itulah anak menyantuni abah, abang dan Napi (Hanafi) buat kali terakhir iaitu pada 24hb April 2010 (9 Jamadilawwal 1431) malam, 9 hari sebelum anak berangkat menemui Rabb kita. Anak sediakan alas tidur dan bantal untuk abah. Padahal abah tahu itulah satu-satunya yang anak ada.

Berbetulan pada kali ini abah terserempak dengan Maulana Imam Abdul Hamid. Pastinya abah dahulu yang menyapanya. Abah ambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana sudi mengimamkan sembahyang jenazah anak tempohari.

Beliau masih dapat mengingatinya. Terus beliau mengulangi lagi kata-kata yang pernah beliau ucapkan sejurus sebelum van yang membawa jenazah anak bertolak ke Sabak Bernam.

"Kalau tengok pada fizikal jenazah, InsyaAllah Allah terima. Bukan semua orang dapat macam tu. Dia bergantung pada amalan sesaorang. InsyaAllah diakhirat besok dia akan dibangkitkan dikalangan para syuhada'. Antara sebabnya orang yang mati tenggelam (lemas)"
"Cuma urusan jenazah di dunia diurus seperti orang biasa, tidak seperti yang syahid qital fi sabilillah."

Lega sedikit hati abah mendengarnya.

Lalu teringat abah akan beberapa hadith seumpama;

Dari Abu Hurairah ra. bersabda Rasulullah saw.

" Syuhada itu ada lima, iaitu orang yang meninggal kerana penyakit tha'un, orang yang meninggal kerana penyakit perut, orang yang mati tenggelam (lemas) orang yang meninggal kerana tertimpa reruntuhan, dan orang yang gugur di jalan Allah."
Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah saw lagi dari Abu Hurairah ra;

" Siapa yang terhitung syahid menurut anggapan kalian? Mereka menjawab; " Wahai Rasulullah (saw), siapa yang terbunuh di jalan Allah, maka ia syahid." Beliau (saw) menanggapi, " Kalau begitu, syuhada dari kalangan umatku hanya sedikit." " Jika demikian, siapakah mereka yang dikatakan mati syahid wahai Rasulullah (saw) ? " tanya para sahabat. Beliau menjawab, " Siapa yang terbunuh di jalan Allah maka ia syahid, siapa yang meninggal di jalan Allah maka ia syahid, siapa yang meninggal kerana penyakit tha'un maka ia syahid, siapa yang meninggal kerana penyakit perut maka ia syahid, dan siapa yang tenggelam (lemas) ia syahid. "
Hadith riwayat Muslim.

Ameen.........................

Monday, August 23, 2010

Jika sudah begini....

" Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya.
Itulah yang kamu selalu lari daripadanya."
(Firman Allah Surah Qaf : 19)

disembahyangkan...

diusung ke kubur....

dimasukkan ke liang lahat

beberapa saat sebelum ditutupi tanah....

Apakah kita akan seperti yang Allah gambarkan
dalam Surah As-Sajdah : 12 - 14

" Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepala di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami , kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin."

" Dan kalau Kami menghendaki niscaya Kami akan berikan kepada tiap-tiap jiwa petunjuk (bagi)nya, akan tetapi telah tetaplah perkataan (ketetapan) daripadaku. " Sesungguhnya akan Aku penuhi neraka Jahannam itu dengan jin dan manusia bersama-sama."

" Maka rasailah olehmu (siksa itu) disebabkan kamu melupakan akan pertemuan dengan hari ini (hari qiamat) ; sesungguhnya Kami telah melupakan kamu (pula) dan rasakanlah siksa yang kekal, disebabkan apa yang selalu kamu kerjakan."

(Surah As-Sajdah : 20) " Dan adapun orang-orang yang fasik (kafir), maka tempat mereka adalah neraka. Setiap kali mereka hendak keluar daripadanya, mereka dikembalikan (lagi) ke dalamnya dan dikatakan kepada mereka: "Rasakanlah siksa neraka yang dahulu kamu mendustakannya."

Atau kita sukacita dan bergembira dengan panggilan Tuhan
sebagaimana juga Allah gambarkan dalam Surah As-Sajdah : 19

" Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka bagi mereka Syurga-syurga tempat kediaman, sebagai pahala terhadap apa yang telah mereka kerjakan."

(Surah As-Sajdah : 17) " Seorangpun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan."

Wahai diriku, dan sesiapa yang inginkan kebahagian di 'sana' masih ada sedikit waktu untuk kita.

Aduhai.....ya Allah berilah aku kekuatan untuk bersiap bagi menghadapi hari 'itu'.

Anugerah Al-Qadr - rebutlah

Firman Allah Surah Al-Qadr (Kemuliaan) : 1-5

" Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu ? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar."

Firman Allah Surah Al-Dukhan : 1-6

" Haa Miim. Demi Kitab (Al-Quran) yang menjelaskan, sesunguhnya Kami menurunkan Al-Quran pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dibuat ketentuan segala urusan dengan penuh hikmah, (iaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami yang mengutus rasul-rasul, sebagai rahmat dari Tuhanmu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar Lagi maha Mengetahui."

Sabda Rasulullah saw dari Abu Hurairah ra.

" Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan kamu berpuasa pada bulan ini. (Dalam bulan ini) Pintu-pintu syurga dibuka. Pintu-pintu neraka pula akan ditutup. Syaitan-syaitan dibelengu. Pada malamnya terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan. Maka barangsiapa yang dijauhkan dari kebaikan dan kelebihan pada malam berkenaan, maka ia benar-benar rugi."
Hadith riwayat Imam Ahmad & An Nasai.

Sabda Rasulullah saw dari Abu Hurairah ra.

" Barangsiapa yang mendirikan solat (qiyamu-al-layl) pada malam Al-Qadr dengan penuh keimanan dan kesungguhan, maka akan diampunkan dosa yang telah dilakukannya."
Hadith riwayat Imam Bukhari & MUslim.

Menurut Dr Wahbah Al-Zuhaily malam Al-Qadr adalah malam kesejahteraan dan keselamatan, malam kebaikan dan keberkatan dari Allah SWT. Allah tidak akan menentukan sesuatu yang lain kecuali keselamatan. Malam itu adalah malam yang serba selamat, aman, sejahtera, baik dan berkat, malam ketentuan rezeki dan mendapat manfaat agama serta manfaat keduniaan. Tidak ada sebarang keburukan, bermula dari gelincir matahari sehinggalah terbit fajar. Pada malam itu diturunkan kabaikan dan keberkatan yang tidak putus-putus, para mu'min dan mu'minah selamat dari gangguan syaitan, manakala malaikat rahmat turun secara berkumpulan sehingga fajar menyinsing.


Tambah beliau lagi , beramal dan berbuat kebajikan pada malam Al-Qadr adalah lebih baik dari beramal dalam seribu bulan yang tidak ada malam Al-Qadr, kerana pada malam tersebut Allah Swt menyediakan kebaikan yang banyak, yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain. para malaikat akan turun dari tujuh petala langit dan dari Sidrah al-Muntaha, begitu juga malaikat Jibril akan turun dari tempat tinggal perdananya ke bumi. Mereka akan mengaminkan doa orang-orang yang berdoa kepada Allah SWT sehingga fajar menyinsing dengan perintah Allah SWT.

PERSOALANNYA....bilakah malam Al-Qadr itu ?

Dalam menjelaskan perkara ini, terdapat satu riwayat dari 'Ubadah Ibn al-Samit, bahawa bersabda Rasulullah saw;


" Malam al-Qadr berlaku pada sepuluh malam terakhir. Barangsiapa yang menghayati (dan memakmurkan) malamnya dengan penuh kesungguhan, maka Allah akan mengampunkan segala dosa yang telah lalu dan akan datang. Malam al-Qadr berlaku pada malam yang witir; malam kesembilan, malam ketujuh, malam kelima atau malam ketiga atau malam terakhir."
Hadith riwayat Imam Ahmad.

Menurut Dr Wahbah al-Zuhaily lagi, kebanyakan ulama' berpendapat bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 27 Ramadhan setiap tahun. Ini berdasarkan hadith Zirri Ibn Hubaish yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan al-Tarmizi, (hadith hasan sahih).

Berkata Zirri; " Aku telah bertanya Ubay Ibn Ka'ab: Sesungguhnya saudara kamu 'Abdullah Ibn Mas'ud berkata: Barangsiapa yang berterusan mengerjakan ibadah (malam Ramadhan), dia akan bertemu malam al-Qadr. Jawab Ubay: Moga-moga Allah mengampunkan Abu Abdul Rahman ('Abdullah Ibn Mas'ud) ! Sesungguhnya dia mengetahi bahawa malam al-Qadr adalah malam dalam lengkongan sepuluh malam terakhir dan dia adalah malam 27 Ramadhan. Akan tetapi dia tidak mahu orang ramai hanya beribadah pada malam itu sahaja. Kemudian beliau bersumpah secara biasa (tanpa ucapan Insya' Allah) . Bahawa masa berlakunya ialah pada malam 27 Ramadhan. lalu aku bertanya: " Apakah alasan anda berkata demikian, wahai Abu Munzir ? " Jawabnya: " Berdasarkan ayat yang telah disampaikan oleh Rasulullah saw atau melalui tanda bahawa matahari muncul pada pagi tersebut dalam keadaan redup."

Jumhur ulama' berpendapat bahawa malam al-Qadr adalah malam yang akan berulang saban tahun. Ianya
berlaku hanya pada bulan Ramadhan.

Namun demikian menurut Imam Nawawi dalam Majmu' & Fatawa, beliau menegaskan bahawa al-Qadr tidak tetap, bahkan bertukar-tukar, tetapi turut mengemukakan jangkaan panduan tarikh jatuhnya malam al-Qadar mengikut tarikh awal jatuhnya hari puasa sebagaimana berikut :-

Awal puasa hari Jumaat, al-Qadr malam 29
Awal puasa hari Sabtu, al-Qadr malam 21
Awal puasa hari Ahad, al-Qadr malam 27
Awal puasa hari Isnin, al-Qadr malam 29
Awal puasa hari Selasa, al-Qadr malam 25
Awal puasa hari Rabu, al-Qadr malam 27
Awal puasa hari Khamis, al-Qadr malam 21

Tanda-tanda Malam al-Qadr

Dari Ibn Abbas ra. bahawa Rasulullah saw bersabda;
" Malam al-Qadr adalah malam yang penuh nyaman dan penuh ketenangan, tidak terlalu panas juga tidak terlalu sejuk, matahari muncul di waktu paginya dalam suasana kemerahan yang samar-samar."
Hadith riwayat Abu Daud al-Tayalisi.

Dari Jabir Ibn Abdilla ra. bahawa Rasulullah saw bersabda;

" Sesungguhnya akau telah melihat malam al-Qadr, tetapi aku lupa masanya. ia berlaku (sekitar) sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Ia adalah satu malam yang tenang, nyaman, tidak terlalu panas dan juga tidak terlalu sejuk, malamnya cerah bagaikan berbulan. Para syaitan tidak keluar pada malam tersebut sehinggalah cahaya fajar menyinsing."
Hadith riwayat Ibn Abi Asim al-Nabil

Bagi pecinta yang sangat merindui al-Qadar, pasti mengidam untuk bertemu dengannya. Oleh itu demi al-Qadr, jika kita jayakan Ramadhan sepenuhnya dari awal sehingga akhirnya, apakah mungkin al-Qadr akar terlepas juga ?


Saturday, August 14, 2010

Kata-kata hati (18) Murni cita-citamu - MOGA ISLAM GEMILANG

Catatan dari buku kecil 555 bertanda Ipah Sandakan


Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Beberapa hari lalu abah selak lagi beberapa catatan anak dalam buku kecil 555 yang anak tandakan sebagai Ipah Sandakan. Terdapat satu catitan dalam bahasa Arab. Pagi ini abah rujuk tulisan anak itu kepada Uzt Alfian 'pengetua' maahad tahfiz dari Kampar.

Dapatlah abah fahami maksudnya ;

" Bilamana umat ini mementingkan dunia, maka akan terhapus dari umat itu kehebatan Islam.
Apabila ditinggalkan 'amar ma'aruf dan nahi munkar, maka ketika itu akan dikurangkan keberkatan wahyu.
Apabila mereka melalaikan perintah-perintah Allah, mereka terjauh dari pemeliharaan dan rahmat Allah."

Anak...

Berbetulan sekitar dua minngu yang lalu di masjid yang kita pernah sama-sama berjamaah, diadakan ceramah oleh Al-Fadhil Utz Abd Halim Din. Diantara yang disebut oleh beliau adalah satu hadith riwayat Abu Daud (disahihkan oleh Al-Bani) bermaksud;

" Hampir tiba masa dimana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni hidangan mereka." Salah seorang sahabat bertanya; "Apakah kerana kami sedikit waktu itu? " Nabi saw menjawab; " Bahkan kamu pada hari itu ramai, tetapi kamu umpama buih diwaktu banjir, dan Allah mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan kedalam hati kamu penyakit wahan." Seorang sahabat bertanya; Apakah wahan itu wahai Rasulullah?" Rasulullah saw menjawab; " Cinta dunia dan takut mati. "

Anak ....

Benarlah segalanya. Umat ini hina lantaran hati mereka sudah terpenuh dengan keindahan dan kehebatan dunia, tugas 'amar ma'aruf dan nahi munkar sudah dikesampingkan, malah ditinggalkan, manakala perintah-perintah Allah dilalaikan, dan lantaran kecintaan dengan dunia itu, mereka tidak bersedia untuk mati hatta kerana Allah.

Akhirnya mereka dikeronyok semahu-mahunya, saban waktu dan ketika, dimana-mana. Jumlah umat yang ramai tidak upaya berbuat apa-apa. Semuanya hanya mampu memerhati sahaja, sekadar simpati cuma.

Rasa gerun musuh sudah tiada, lantaran umat ini sudah terjauh dari pemeliharaan dan rahmatNYA.

Berlainan sekali dengan umat terdahulu, mereka digeruni walau sekadar disebut nama, lantaran di hati mereka tidak bertahta dunia walau sebesar hama. Perintah-perintah Allah mereka laksanakan semuanya, manakala 'amar ma'aruf menjadi tugas mereka yang utama. Akhirnya Allah berikan mereka kekuatan. Kehidupan mereka seluruhnya dalam rahmat dan peliharaanNYA.

Sekadar suatu contoh dari sekian banyak suri teladan yang telah dipaparkan oleh manusia hebat dahulu, ucapan Saad bin Abi Waqas sewaktu memasuki daerah Tanah Besar Cina dengan mengatakan;

" Kami adalah kaum yang mencintai kematian seperti kamu cintakan kehidupan."

Satu penegasan terhadap prinsip dan keseriosan umat Islam terhadap visi dan misi hidupnya. Memikul tugas 'amal ma'aruf dan nahi munkar, sedang semua perintah-perintah Allah sentiasa dijunjung. Walau negeri yang dituju jauh ribuan batu, namun demi dan keranaNYA jiwa dan raga sedia digadaikan. Maka Islam gemilang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.