RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Tuesday, February 8, 2011

Wajah-wajah kematian (5) Bersiaplah...

Berkata Imam Al Ghazali rah.
" Jika sesaorang anak Adam yang lemah itu tidak mengalami apa-apa malapetaka, walaupun tidak tertimpa apa-apa musibah, tidak mengalami apa-apa kemalangan, kegelisahan, kesusahan, tidak menahan apa-apa susah payah atau apa-apa ketakutan, namun kekerasan mati, keadaan nazak dan kebimbangannya adalah sudah cukup untuk menghancurkan segala kelazatannya. Mati adalah yang merosakkan segala kesenangan manusia. Memikirkan hal kematian sahaja sudah cukup untuk menghapuskan kelalaian. Secara tersendiri mati adalah sesuatu yang terlalu dahsyat.

Oleh hal yang demikian setiap orang sentiasa patut sibuk dalam persiapan untuknya. Khususnya kerana keadaannya tidak diketahui bilakah akan tiba dan menimpa.

Seorang ahli hikmah berkata, " Tali di tangan lain dan tidak diketahui bilakah Ia akan tarik dan bila-bila masa Ia boleh tarik dan heret." Hadrat Luqman telah berkata kepada anaknya, " Mati adalah perkara yang keadaannya tidak diketahui bilakah akan datang. Sebelum ia datang dengan tiba-tiba buatlah persiapan untuknya."

Wajah-wajah kematian (4) Kita bagaimana ..?


Berikut adalah petikan dari kitab Fadhilat Sedekah (jilid 1&2) karya Syaikhul Hadith Hadrat Maulana Muhammad Zakariya rah. (m.s 938 – 945)

Tamim Dari r.a berkata bahawa Allah Taala mengarahkan kepada Malakul Maut, " Pergilah kepada kawanKu si anu dan bawalah rohnya kepadaKu. Aku sudah mengujinya dalam kedua-dua keadaan , gembira dan dukacita , lalu sudah mendapatinya seperti yang telah Aku kehendaki. Bawalah dia kepadaKu supaya dia dapat terlepas dari kesusahan dunia dan berehat."

Maka Malakul Maut bersama lima ratus malaikat datang kepadanya. Setiap malaikat membawa kain kapan dari syurga. Setiap malaikat membawa jambangan bunga Raihan ditangannya. Setiap bunga Raihan dari dua puluh jenis warna dan setiap warna memberi keharuman yang baru. Mereka membawa kasturi yang paling harum dalam sehelai sapu tangan dari sutera , berwarna putih. Malakul Maut duduk dekat kepalanya. Semua malaikat yang mengelilinginya lalu meletak tangan mereka di atas setiap anggota tubuhnya. sapu tangan sutera putih berkasturi diletak di bawah dagunya. Pintu syurga dibuka dihadapan pandangannya. Hatinya disenangkan dengan diperlihatkan nikmat-nikmat syurga sepertimana kanak-kanak menangis , maka orang-orang rumahnya memperlihatkannya bermacam-macam permainan untuk menyenangkannya.

Terkadang-kala bakal isteri-isterinya di syurga didepankan, kadang-kadang buah-buahan dan pakaian syurga diperlihatkan kepadanya. Pendek kata berbagai-bagai nikmat syurga dibawa dihadapannya. Bakal-bakal isterinya dalam keadaan gembira mula menari. Melihat kesemua pemandangan itu rohnya mula mengedip-ngedipkan di dalam tubuhnya (seperti burung didalam sangkar mengedip-ngedipkan untuk membebaskan dirinya). Malakul Maut berkata kepadanya, "Wahai roh yang mubarak ! Marilah pergi kearah pohon-pohon bidara yang tidak berduri, pokok-pokok pisang yang tersusun rapi dan naungan yang tetap terbentang. ( Ini merupakan isyarat kepada beberapa pemandangan di syurga yang terdapat dalam ayat-ayat berikut dari Surah Al Waqiah ; 28-30. " Mereka bersenang-lenang diantara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya dan naungan yang tetap terbentang." )

Dan Malakul Maut bercakap begitu lemah lembut dengannya, seperti Ibu bercakap dengan anaknya. Sebab dia sedia maklum bahawa roh ini adalah hampir dengan Allah Taala. Allah akan menyukainya jika dia berkelakuan lemah lembut terhadap roh ini.

Roh itu keluar dari tubuhnya dengan begitu mudah sepertimana sehelai rambut mudah di cabut dari timbunan tepung. Apabila roh keluar maka kesemua malaikat memberi salam kepadanya, lalu memberi berita gembira bahawa ia akan memasuki syurga.

Di dalam Al-Quran , peristiwa ini telah diceritakan dalam ayat berikut : " Mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan bersih suci (dari kufur, syirik dan maksiat) sambil malaikat itu berkata : ' Selamat sejahtera kamu, masuklah syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan. " (Surah An Nahl : 32)

Jika sekiranya dia adalah seorang yang hampir dengan Allah, maka mengenainya Allah Taala berfirman : " Maka (ia akan beroleh ) rehat kesenangan , dan rahmat kesegaran , serta syurga kenikmatan ." (Al Waqiah : 89)


Semasa roh berpisah dari badan maka ia berkata kepada badan, " Semoga Allah Taala memberi balasan baik kepada kamu. Kamu telah bersegera taat pada Allah serta beribadat kepadaNya dan kamu selalu cuba elakkan dirimu dari kederhakaan kepadaNya. Hari ini adalah mubarak bagimu. Kamu sendiri pun terselamat dari azab dan juga menyebabkan aku pun terselamat." Kata-kata demikian juga diucap oleh badan kepada roh semasa perpisahan. Dengan perpisahan itu kawasan tanah dimana tempat dia telah beribadat menangis. Pintu-pintu langit dimana amalannya telah lalu pun menangis. Pintu langit dimana rezekinya turun juga menangis. Selepas itu lima ratus malaikat tersebut berkumpul dikeliling mayat. Apabila pemandi memalingkannya, malaikat lekas-lekas memalingkannya. Apabila orang memberi kapan, lekas-lekas malaikat memberi kapan dengan kain yang dibawanya dari syurga.

Apabila diberi wangian, maka malaikat terlebih dahulu mengharumkannya dengan wangian yang dibawa oleh mereka. kemudian semua malaikat berbaris dari pintu rumat mayat sampai ke tanah perkuburan dan beristiqbal (menyambut) jenazah serta doa dan istighfar. Melihat kesemua pemandangan ini syaitan menangis begitu kuat sekali sehingga tulang-tulangnya mula terpatah. Dia berkata kepada tenteranya, " Binasalah kamu sekalian! Bagaimana orang itu dapat melepaskan diri daripada kamu? Maka mereka menjawab, " Mereka adalah maksum (tidak sanggup melakukan dosa)."

Selepas itu apabila Malakul maut membawa rohnya kearah langit, maka Hadrat Jibrael as. menyambut roh itu bersama-sama dengan 70 ribu malaikat. Malaikat-malaikat ini menyampaikan berita -berita gembira kepadanya dari pihak Allah Taala. Selepas itu Malakul Maut as. membawanya sampai ke Arasy, roh itu terus sujud kepada Allah. Maka Allah taala memerintahkan kepada malaikat " Sampaikanlah roh hambaKu ini kepada, "pohon-pohon bidara yang tidak berduri. Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya, dan naungan yang tetap terbentang." (Waqiah : 28-29)

Apabila jenazahnya diletakkan didalam kubur, maka solatnya datang berdiri di sebelah kanannya. Puasanya berdiri di sebelah kirinya. Bacaan Al Quran serta zikirnya berdiri di sebelah kepalanya. Langkah-langkahnya untuk solat berjemaah berdiri di sebelah kakinya. Kesabarannya (ketika musibah-musibah dan daripada dosa) berdiri sedikit berasingan. Kemudian azab memasuki kubur dan cuba pergi ke arah mayat. Apabila ia pergi untuk menyerangnya dari sebelah kanan , maka solatnya berkata, "Awas ! Jangan mendekatinya. Demi Allah! Orang ini semasa di dunia selalu bersusah payah. Kini dia berehat , tidur." Kemudian apabila azab cuba menyerangnya dari sebelah kiri, maka secara demikianlah puasa menghalaunya. Dia cuba dari sebelah kepala, maka bacaan Al Quran serta Zikir menyekatnya dan berkata, "Tiada jalan bagimu di sini." Pendek kata, azab tidak dapat mendekatinya kerana wali Allah itu dikawal ketat oleh ibadat-ibadatnya dari segala arah. Akhirnya azab keluar semula dari kubur dalam keadaan gagal. Kemudian kesabaran yang selama ini berdiri disatu penjuru secara berasingan berkata kepada ibadat-ibadat yang lain, " Aku telah menunggu , jika sekiranya di mana-mana arah ada terdapat kelemahan (yakni mana-mana ibadatnya ada kekurangan) maka aku akan menolongnya. tetapi Alhamdulillah kamu sekalian telah berjaya menghindarkan azab. Kini aku akan membantunya semasa amalan ditimbang di hari Pengadilan."

Selepas itu dua malaikat yang bermata seperti kilat datang kedalam kuburnya. Suara mereka seperti guruh , gigi seperti tanduk lembu, dari mulutnya keluar api yang nyala bersama nafas. Rambut begitu panjang sehingga sampai kekaki mereka. Jarak antara dua bahu mereka seperti perjalanan beberapa hari. Belas kasihan serta kelakuan lemah lembut seolah-olah tidak pernah melawati mereka. (Walaupun tidak mengasari orang-orang yang beriman, namun kehebatannya pun sudah cukup menakutkan). Mereka dikenali dengan nama, MUNKAR dan NAKIR. Di tangan setiap orang dari mereka terdapat tukul yang begitu besar dan berat, jika semua jin dan manusia sekali cuba untuk mengangkat satu tukul maka sudah tentu akan gagal. Sampai sahaja mereka terus memberi arahan kepada mayat, "Bangun dan duduk !" Mayat terus bangun dan duduk. Kain kapannya turun dari kepala hingga ke pahanya. Mereka menyoalnya, "Siapakah Tuhanmu, apakah agamamu dan siapa nama Nabimu?" Mayat menjawab, "Tuhanku Allah yang Maha Esa dan tiada penyekutuNya, agamaku Islam dan Nabiku Muhammad sallallahu alihi wasallam yang merupakan Khaatamun Nabiyyeen." Maka kedua-duanya berkata, "Kamu bercakap benar."

Kemudian mereka menolak jauh akan dinding-dinding kubur dari segala arah yang mana di sebelah atas, kanan, kiri, di sebelah kepala dan kaki kuburnya menjadi luas. Selepas itu mereka berkata, "Angkatlah kepalamu ke arah atas." Apabila mayat mengangkat kepalanya ke arah atas maka ia melihat satu pintu yang melaluinya, ia dapat melihat Syurga. Mereka berkata lagi, "Wahai wali Allah ! Itulah tempat kediaman kamu kerana kamu telah ikut kehendak Allah." Baginda saw bersabda, "Demi Allah yang nyawaku dalam genggamanNya ! Ketika itu mayat merasai satu perasaan yang begitu sangat gembira sekali sehingga perasaan sedemikian tidak sekali-kali akan kembali kepadanya."

Kemudian tujuh puluh tujuh pintu akan dibuka dan melaluinya angin yang sejuk serta keharuman dari Syurga akan memasuki kuburnya. Keadaan sedemikian akan berkekalan hingga hari kiamat.

(Kemudian dengarlah keadaan yang selain itu) Allah Taala member arahan kepada Malakul Maut, “Pergilah kepada musuhKu si anu dan bawalah keluar akan nyawanya kepadaKu. Aku telah memberikan segala keluasan kepadanya. Segala nikmat-nikmatKu di dunia Aku telah curahkan ke atasnya. Namun dia tidak berhenti dari kederhakaan kepadaKu. Pergilah ! Biar Aku menyeksakannya hari ini.” Malakul Maut menemuinya dengan rupa yang amat menakutkan. Dimukanya terdapat dua belas mata. Ditangannya sebatang GHURZ (tongkat besi yang besar) yang berduru tajam, dibuat dari api neraka Jahannam. Dia diiringi 500 malaikat. Setiap malaikat membawa bersama satu keeping tembaga dan ketul-ketul api neraka yang besar. Ditangan mereka cemeti yang dibuat dari api neraka. Kesemunya panas membakar ! Tiba sahaja Malakul Maut terus memukulnya dengan GHURZ tadi. Durinya memasuki setiap urat darahnya. Kemudian dia mengheret GHURZnya. Malaikat-malaikat yang lain semua mula mencemati di muka dan pahanya yang mana orang hendak mati itu menjadi hampir pengsan. Mereka mengheret rohnya daripada kaki dan sampai ke tumit sambil mencemeti bertalu-talu. Kemudian mereka mengheret rohnya dari tumit sampai ke lutut dan berhenti.

Begitulah mereka mengheretnya dari lutut sampai ke perut dan berhenti (semasa mengheret rohnya malaikat berhenti di tempat-tempat itu supaya dia menderita kesakitan untuk masa yang panjang). Kemudian dari perut malaikat mengheret lagi akan rohnya dan berhenti lagi apabila sampai ke dada. Selepas itu malaikat-malaikat meletakkan keping-kepingngan tembaga dan bara api neraka yang dibawanya itu di bawah dagunya. Malakul Maut berkata kepadanya, “ Wahai roh yang terkutuk ! Keluarlah dan jalanlah kea rah Jahannam yang sifatnya telah diceritakan di dalam al Quran;
“ …angin yang membakar dan air yang menggelegak serta naungan dari asap yang hitam yang tidak sejuk, dan tidak pula member kesenangan. (Tetapi yang member kesusahan yang amat sangat).” Surah Al Waqiah 42-44

Kemudian apabila roh itu keluar dari tubuhnya maka ia berkata kepada tubuh, “ Semoga Allah member balasan buruk kepadamu ! Kamu begitu cepat membawaku kepada kederhakaan terhadap Allah dan melengah-lengahkan dari mentaatiNya. Kamu sendiri telah binasa dan juga telah pun membinasakan aku.” Kata-kata yang sedemikian rupa juga dikatakan oleh tubuh kepada roh. Bahagian bumi yang telah dia menjejaki semasa derhaka pada Allah juga melaknatinya. Tentera-tentera syaitan berlari kepada ketua mereka untuk memberi berita gembira, “ Kami telah sampaikan salah seorang kepada neraka Jahannam.” Kemudian apabila ia diletak di dalam kubur, maka tanah menjadi begitu sempit terhadapnya sehingga tulang-tulang rusuknya berceragah. Selepas itu ular-ular yang hitam mendatanginya lalu mematuknya dari arah hidung dan juga dari arah ibu jari kakinya. Sambil mematuk begitu ular-ular dari kedua-dua arah sampai bertemu di tengah-tengah tubuhnya. Kemudian dua malaikat MUNKAR dan NAKIR (yang kehebatannya suadah dibincangkan tadi) mendatanginya dalam kubur lalu bertanya, “ Siapa Tuhanmu, apakah agamamu dan siapakah Nabimu?” Dia gagal memberi jawapan yang memuaskan. Maka malaikat mula memukulnya begitu kuat dengan GHURZnya sehingga bunga-bunga api tersebar di seluruh kuburnya. Kemudian mereka suruh dia melihat ke arah atas. Di atas, dia melihat syurga dan nikmat-nikmatnya melalui satu pintu yang terbuka. Malaikat berkata, “Wahai musuh Allah ! Jika sekiranya kamu mentaati Allah maka tempat itulah yang akan menjadi tempat kediaman kamu.” Baginda saw bersabda, “ Demi Zat yang nyawaku dalam genggamanNya ! Ketika itu mayat akan merasai perasaan kesal yang begitu hebat sehingga perasaan sedemikian tidak sekali-kali akan kembali kepadanya.” Selepas itu pintu neraka akan dibuka. Malaikat berkata, “Wahai musuh Allah kini inilah tempat kediamanmu sebab kamu telah durhaka pada Allah Taala. Kemudian tujuh puluh tujuh pintu akan dibuka dalam kubur menghubungi neraka, dan angin panas serta asap neraka akan mengganggunya hingga Hari Pengadilan.

(Muhadditheen rah. menyoal hadith ini dari sudut sanad-sanadnya. Tetapi sokongan terhadap kandungan hadith ini didapati daripada banyak lagi riwayat yang lain. Khususnya riwayat Hadrat Baraa Ibnu ‘Aazib dan Hadrat Abu Hurairah ra. yang terdapat dalam kitab Misykaat di bahagian KITABUL JANAEZ dan ITHBAT AZABIL QABR. (Terjemahan dalam kitab MAZAHIR-E-HUQ)

Wednesday, January 12, 2011

Wajah-wajah kematian (3) Penuh penghormatan.


Kewafatan Rasulullulah s.a.w.
Kehidupan mulia, kewafatan mulia dan kehidupan 'di sana' yang penuh kemuliaan.

Ibnu Mas’ud memberitahu bahawa beberapa ketika menjelang wafatnya, Rasulullah saw, berucap di Masjid Madinah. Antara lain Baginda bersabda :
“ Wahai kaum muslimin, sesungguhnya aku bagi kamu semua adalah seorang Nabi , seorang penasihat serta penyeru ke jalan Allah dengan izinNya. Aku bagimu adalah seperti saudara kandung dan seperti ayah yang penyayang. Barangsiapa yang mempuyai hak ke atas aku hendaklah ia berdiri dan balaslah kepada aku sebelum aku dituntut balas di hari kiamat.”

Ibnu Mas’ud juga meriwayatkan bahawa ketika ajal kian menghampiri Baginda, satu wasiat telah diberikan di rumah Siti Aisyah. Wasiat itu diberikan bersama deraian air mata yang berbunyi ; ” Selamat datang untukmu semua, mudah–mudahan kamu semua dikasihi Allah. Aku berwasiat agar kamu semua bertakwa kepada Allah dengan mentaatiNya. Sungguh dekat hari perpisahan kita dan telah dekat pula saat hamba untuk kembali kepada Allah dan mendiami syurgaNya. Kalau sudah datang saat ajalku, hendaklah Ali memandikan ku. Fadhal bin Abbas menjiruskan air dan Usamah bin Zaid yang menolong keduanya. Kemudian kafanilah aku dengan pakaianku atau kain putih dari Yaman. Apabila aku dimandikan letakkanlah aku di balai tempat aku tidur dirumah ini, iaitu berhanpiran liang lahadku. Sesudah itu keluarlah kamu semua sekejap kerana Allah akan menyembahyangkan aku, kemudian diikuti oleh Malaikat Jibril, Malaikat Israfil, Malaikat Mikail, Malaikat Izrail bersama para pembantunya sebelum diikuti oleh sekalian malaikat yang lain. Kemudian masuklah kamu secara berperingkat-peringkat untuk menyembahyangkan mayatku.”

Sesudah solat subuh hari Isnin terakhir iaitu hari kewafatan, Rasulullulah s.a.w. memberikan ucapan yang berbunyi “ Wahai kaum muslimin, kamu semua dalam pemeliharaan dan pertolongn dari Allah. Oleh sebab itu bertakwalah kamu kepada Allah dengan mentaatinya. Maka sesungguhnya aku akan meninggalkan dunia ini dan hari ini hari pertamaku di akhirat, dan hari terakhir bagiku di dunia.” Kemudian Rasulullah saw pun kembali ke rumah.

Ucapan perpisahan Nabi disambut dengan derai tangis kaum muslimin. Bumi Madinah dibanjiri dengan air mata dan turut berkabung kerana dengan ketiadaan Rasulullah saw. Terputus sudah wahyu, dan kesedihan pada hari itu adalah kesedihan kekasih untuk melepaskan kekasihnya pergi. Kesedihan pada hari itu adalah kesedihan yang tiada tolok bandingnya.

Selanjutnya pada hari itu Allah mengarahkan Malaikat Izrail dengan firmanNya yang bermaksud:
“ Turunlah engkau kepada kekasihKu dengan sebaik-baik bentuk serta perhaluskanlah urusan mencabut rohnya. Sekiranya ia mengizinkan kamu masuk, maka masuklah kamu dan jika tidak, jangan masuk dan kembalilah.”

Maka Malaikat Maut pun turun dengan dalam bentuk seorang arab badwi seraya berkata; “ Mudah-mudahan kamu semua dalam keselamatan, wahai penghuni rumah nabi. Apakah aku boleh masuk? ”

Siti Fatimah menjawab : “ Wahai hamba Allah, Rasulullah sedang sakit tenat .”
Sekali lagi malaikat maut berkata : “ Mudah-mudahan kamu semua sentiasa selamat sejahtera wahai Rasulullah saw, serta seluruh rumahnya. Apakah aku boleh masuk?”

Rasululluah saw yang mendengar suara Malaikat Maut itu bertanya dengan bersabda: ” Wahai Fatimah, siapakah yang berada di pintu ?”

Siti Fatimah menjawab : ” Seorang Arab Badwi sedang memanggil dan aku telah memberitahu bahawa Rasulullah sedang sakit.”

Kemudian Malaikat Maut memanggil lagi bagi kali ketiga dan apabila memandang wajah Malaikat Maut itu untuk kali ini, tiba-tiba menggigil tubuh Siti Fatimah. Timbul rasa takut di hatinya, serta pucat wajahnya.

Lalu Rasulullah saw bertanya lagi : ” Apakah engkau tahu siapa lelaki itu ?”

Jawab Fatimah : ” Tidak .”

Lalu Rasulullah saw bersabda :
“ Dia yang mencabut semua kelazatan, memutuskan segala hawa nafsu, memisahkan seseorang dari orang lain, yang mendukacitakan ahli rumah serta meramaikan penghuni tanah perkuburan.”

Mendengar penjelasan itu fahamlah Siti Fatimah, lalu ia menangis dan berkata: ”Oh susahlah nanti, kerana kematian Nabi adalah bencana yang besar, kerana wafatnya seorang yang paling bertakwa. Terputuslah pimpinan orang suci. Sedihlah kami kerana terputus sudah wahyu dari langit . Oh aku tidak dapat lagi mendengar salam engkau sesudah hari ini.”

Maka jawah Rasulullah saw :
“ Jangan engkau menangis wahai Fatimah, kerana sesungguhnya engkaulah dari keluargaku yang pertama berjumpa denganku.”

Seterusnya Rasulullah saw menjemput Malaikat Maut masuk, dan masuklah ia seraya memberi salam. Setelah menjawab salam, Rasulullah saw bertanya : ”Apakah kedatanganmu wahai Malaikat Maut untuk mencabut nyawa atau untuk menziarahiku sahaja? ”

Jawab malaikat maut : ” Saya datang untuk ziarah dan mencabut nyawa jika diizinkan, jika tidak saya akan kembali.”

Seterusnya Rasulullah saw bertanya : ” Wahai Malaikat Maut, di manakah Jibril ? “
Jawab Malaikat Maut : ” Dia dilangit dunia dan para malaikat sedang memuliakannya.”
Sejurus kemudian, Malaikat Jibril pun turun menghadap Rasulullah saw dan duduk berhampiran kepala Rasulullah saw. Rasulullah saw pun bertanya : ” Tidakkah engkau tahu ajalku sudah dekat ? ”

Jawab Malaikat Jibril: ” Ya saya tahu.”
Bersabda Rasulullah saw : ” Beritahukanlah padaku kemuliaan yang menggembirakan aku di sisi Allah.”

Maka kata Jibril : ” Sesungguhnya pintu langit telah dibuka, para malaikat telah beratur sedia menyambut roh engkau di langit. Pintu-pinrtu syurga juga telah terbuka dan para bidadari sudah berhias menanti kehadiran roh engkau.”

Berkata Rasulullah saw lagi : ” Alhamdulillah, hai Jibril, ceritakanlah kepada aku keadaan umatku di hari kiamat nanti.”

Kata jibril : ” Sesungguhnya Allah s.w.t telah berfirman : “ Aku telah melarang semua Nabi memasuki syurga sehingga engkau masuk terlebih dahulu, dan aku juga telah melarang semua umat memasuki syurga sehingga masuk umat engkau terlebih dahulu .”

Jawab Rasulullah saw ; “ Sekarang telah puas hatiku, dan telah hilang rasa susahku.”
Kemudian Rasulullah s.a.w berkata kepada Malaikat Maut : “ Dekatilah aku.”

Malaikat Maut mendekati baginda saw dan memulai tugasnya. Apabila roh sampai ke pusat baginda berkata kepada Jibril, alangkah dahsyatnya rasa mati itu.”

Jibril memalingkan mukanya dari Rasulullah saw kerana tidak tahan melihat kekasihnya menahan sakit.

Berkata Rasulullah saw : ” Hai Jibril, apakah engkau tidak suka melihat wajahku? ”
Jawab Jibril : ” Wahai kekasih Allah, siapakah yang sampai hati melihat wajah engkau sedang engkau dalam keadaan sakaratulmaut.”

Ketika roh Rasulullah saw sampai kedada Baginda, Baginda saw berkata : ” Aku berpesan kepada kamu semua agar menjaga solat dan apa yang menjadi tanggungjawabmu.”
Kemudia kelihatan bibir Rasulullah s.a.w. berkata sesuatu, Sayidina Ali mendekatkan telinganya ke bibir Baginda dan terdengar di telinga Sayidina Ali suara bagida menyebut : ” Umatku, umatku.”

Akhirnya keluar roh Baginda saw meninggalkan jasad menuju syurga yang tinggi.
Sayidatina Aisyah r.ha. meriwayatkan: ” Ketika hampir wafat Rasulullah saw, aku telah mengambil sebekas air dan meletakkan disisi Rasulullah saw. Aku menyapu air ke muka Rasulullah saw dan baginda sendiri menyapu air ke muka baginda.”



Bersambung.......................

Thursday, December 30, 2010

Wajah-wajah kematian (2) Alangkah bahagianya.

Tuan-tuan dan diri saya, mari kita lihat bagaimana pula kekasih-kekasih Allah sewaktu berada diambang kematian.

Diriwayatkan apabila Saidina Bilal akan wafat, isterinya telah berkata : “ Sungguh sedihnya aku.” Lalu Bilal menjawab : “ Bahkan sebutkanlah sungguh gembiranya, kerana esok kami akan menemui orang-orang yang dikasihi Muhammad saw dan kumpulannya.”

Apabila Abdullah Abnul-Mubarak hampir wafat, dia membuka matanya sambil berkata : “ Untuk inilah maka beramalnya orang-orang yang beramal.”

Diriwayatkan oleh Imam Malik bin Anas dan sahabat-sahabatnya ra., Khalifah Umar bin Abdul Aziz sewaktu wafat menghampirinya, beliau waktu itu dikelilingi oleh Maslamah bin Abdul Malik, isterinya Fatimah dan seorang pengawal. Lalu beliau berkata : “ Pergilah kamu semua dari sini kerana aku melihat makhluk-makhluk yang kian bertambah ramai, bukan manusia dan bukan jin.” Kata Maslamah; “ Kami pun bangun meninggalkannya dan terdengar suara orang berkata ;
“ Itulah Negeri akhirat yang Kami sediakan bagi orang-orang yang tiada menginginkan ketinggian (menyombongkan diri) dan tiada melakukan bencana kerosakan di muka bumi, dan kesudahan (baik) adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”
(Al-Qashash : 83)
Kemudian suara itu hilang. Kami pun bangun dan masuk serta mendapati Umar telah memejamkan mata dengan tenang.”

Ketika didatangi wafat, Syeikh Abdul Kadir al-Jailani berkata kepada anak-anaknya ; “ Jauhilah dariku kerana pada zahirnya aku bersama-sama kamu, tetapi pada batinya aku bersama-sama selain kamu. Pihak selain kamu itu telah datang kepadaku, perluaskanlah tempat untuk mereka dan bersopan-santunlah kepada mereka. Ini adalah rahmat yang besar. Janganlah kamu sempitkan tempat bagi mereka.” Kemudian dia mengangkat tangan sambil berkata : Wa’alaikumus-salam warahmatullahi wabarakatuh, semoga Allah mengampuniku dan kamu, dan Allah menerima taubatku dan kamu.” Dia berkata-kata demikian sehari-semalam.

Sementara itu diriwayatkan juga seorang sufi wanita iaitu Rabiah al-Adawiyyah, semasa dihampiri wafat, telah dikelilingi oleh beberapa orang yang soleh dan dia berkata kepada mereka : “ Bangun dan keluarlah kamu serta lapangkanlah jalan untuk utusan-utusan Allah Ta’ala.”

Orang-orang soleh itupun bangun dan keluar. Setelah menutup pintu, mereka terdengar suara Rabi’ah menuturkan syahadat kemudian dijawab oleh suatu suara lain : “ Wahai jiwa yang tenang tenteram ! Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan puas lagi redha dan diredhaiNya. Maka masuklah kedalam jama’ah hamba-hambaku yang soleh. Dan masuklah ke dalam SyurgaKu.”
(Surah al-Fajr : 27-30)

Aduhai, bahagianya mereka.

Bersambung……………………

Friday, December 24, 2010

Wajah-wajah kematian (1)

Kematian itu sesuatu yang pasti. Setiap yang bernyawa pasti akan merasainya. Semua manusia, beriman atau tidak, meyakini akan tibanya saat kematian itu. Cuma tahap keyakinan itu berbeza. Samada keyakinan yang mampu menghasilkan iman dan mendorong untuk beramal, atau tidak. Atau keyakinan yang tidak mendatangkan manfaat apa-apa.

Firman Allah Surah Al-Imran : 185
" Tiap-tiap yang benyawa pasti akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu.”

Melalui sekian banyak kematian yang kita saksikan, atau yang tidak kita saksikan (namum kita dapat ketahui melalui catatan-catatan yang dibukukan) saat kematian itu sudah cukup menggusarkan. Melalui Al-Quran dan lidah Ar-Rasul saw kita dikhabarkan bahawa disaat kematian itu kita dipersaksikan akan tempat kembali kita serta balasan-balasan yang menanti kita di alam sana. Apakah agaknya yang akan kita saksikan di saat kematian itu ?

Firman Allah Surah Qaaf : 22
" Kami membuka (menyingkap) daripadamu tutup (yang menutupi) pemandangan kamu selama ini, lalu kamu dapat melihat dengan jelas pada hari itu (hari ketika hampir dekat kematian atau waktu nazak)."

Selari dengan itu ialah apa yang dikatakan oleh Saidina Umar Ibnul Khattab; (Ehya Ulumuddin)

" Kamu hadirilah kepada orang yang hampir mati dan ingatlah, ketika itu mereka dapat melihat perkara yang ghaib yang kamu tidak dapat melihatnya."

Sabda Rasulullah saw; Hadith riwayat Bukhari dan Muslim
" Barang siapa suka bertemu dengan Allah, maka Allah pun suka bertemu dengannya. Barangsiapa yang tidak suka bertemu dengan Allah, maka Allah pun tidak suka bertemu dengannya." Mendengar sabda tersebut, Siti Aisyah pun berkata ; "Adapun mengenai mati, kamu pun tidak menyukainya." Rasulullah saw lalu bersabda; " Bukan begitu, sesungguhnya orang mu'min itu apabila ia hampir mati, didatangkan berita gembira kepadanya, bahawa ia akan mendapat keredhaan Allah dan mendapat kedudukan yang mulia. Maka ketika itu ia merasa amat suka dan gembira untuk bertemu dengan Allah dan Allah pun suka untuk bertemu dengannya. Adapun orang kafir, apabila ia hampir mati, didatangkan berita buruk bahawa ia akan diseksa dan diazab oleh Allah swt. Maka ia pun tidak mahu bertemu dengan Allah, maka Allah pun tidak mahu bertemu dengannya. "

Oleh itu dari sekian banyak kematian, tidak cukupkah semuanya itu menjadi pengajaran buat kita ? Tidakkah Allah telah beri kita akal untuk kita memikirkan, jalan petunjuk melalui RasulNYA saw, memberi kita iradah, potensi, kesediaan dan kemampuan untuk berbuat serta memberikan kebebasan ikhtiar untuk melakukan sesuatu atau tidak melakukan untuk kita mengusahakan hakikat kematian yang kita ingini ?

Mungkinkah kisah-kisah berikut bermanfaat untuk kita ?
Kisah (I).

Harus detik-detik kematian Stalin pemimpin Russia yang tercatit di dalam memoir anak perempuannya Svetlina Illiyuva yang diterbitkan tidak lama dulu membuktikan dengan tepat hakikat keadaan saat manusia diambang maut ini. Di antara lain isi kandungan memoir tersebut berbunyi :

“ Kematian bapaku adalah suatu tragedi yang berat. Itulah pertama kalinya aku melihat seorang manusia sedang mati. Tuhan tidak menjadikan maut itu mudah kecuali kepada golongan yang beriman kepadaNya. Cucuran darah sebelah dalam mengalir sedikit demi sedikit ke saki-baki otak.Oleh kerana jantung bapaku kuat,cucuran itu menyerang secara beransur-ansur pusat-pusat pernafasan dan berakhir dengan kelemasan. Pernafasannya mula cepat dan cepat. Dalam tempoh dua belas jam terakhir, bapaku mengalami kekurangan pesat udara oksigen. Di wajahnya terbayang tanda-tanda ketakutan, dan ia mengecut, kedua bibirnya menghitam dan raut wajahnya terus kelihatan ganjil dan asing sekali. Dua jam terakhir merupakan peringkat kelemasan lambat-lambat dan nazak yang menakutkan. Bapaku lemas dengan darahnya di depan mata kami.

Di saat yang kelihatan seolah-olah nazak itu berada di kemuncaknya, dia membuka matanya dengan tiba-tiba dan memandang kepada semua yang berada di sekeliling dengan pandangan yang menakutkan ; pandangan seorang hilang akal atau harus pandangan marah yang penuh ketakutan terhadap maut dan ketakutan terhadap wajah-wajah asing para doktor yang tunduk kepadanya. Pandangannya itu merayap ke seluruh orang-orang yang ada disitu dalam sesaat. Kemudian berlaku sesuatu yang mengerikan dan tidak dimengerti, sesuatu yang tidak akan aku lupakan seumur hidup dan tidak aku fahami sehingga ke hari ni. Bapaku dengan tiba-tiba mengangkat tangan kirinya seolah-olah menunjuk kepada sesuatu di atasnya, kemudian menjatuhkannya semula ke sebelahnya seolah-olah ia memurkai kami semua. Itu adalah suatu isyarat ancaman tanpa huraian. Tetapi tiada seorangpun yang dapat menentukan kepada siapa atau kepada apa ditujukan pandangannya.”

Tentunya kata-kata anak perempuan Stalin tersebut tidak perlu kepada ulasan, dan segala keterangannya tentang keadaan nazak bapanya itu menunjukkan kepada hakikat-hakikat ilmiah yang tidak memerlukan perbincanagan atau menimbulkan keraguan. Kesakitan yang dilihatnya terlukis pada bapanya merupakan suatu penentangan terhadap kepedihan-kepedihan sakit. Sementara pandangan menakutkan yang disaksikanya itu merupakan kemuncak nazaknya. Ianya memang pandagan ketakutan. Kerana tanpa ragu-ragu dan tanpa diduganya Stalin telah melihat kehidupan lain yang sedang ditujunya dan yang telah dikufurkannya. Dia mengangkat tangan dan menunjukkan ke atas, boleh diertikan sebagai pengakuannya terhadap kewujudan Allah swt dengan secara yakin.

Kemudian dia menjatuhkan tangan di sebelahnya yang menurut kata anak perempuannya itu seolah-olah dia memurkai mereka semua. Ini tidak syak lagi memang benar. Kerana dia telah menyesal terhadap masa lampaunya. Sementara isyarat amaran tanpa huraian itu tidak mengandungi sebarang pengertian, kerana mengikut memoir itu lagi, Stalin telah hilang kesedaran dan pengenalan. Dia tidak lagi mengenal orang-orang di sekelilingnya. Dan segala yang lahir padanya tidak ada lagi hubungan dengan dunia. Adapun pandangan yang tidak diketahui kepada siapa atau kepada apa diarahkan, sebenarnya diarahkan kepada mereka-mereka yang dilihatnya tetapi bukan dengan kedua matanya, dan kepada alam yang belum lagi dihayatinya ketika itu, dia melihat suatu kaum di dalam kehidupan yang lain, dia sedang memasuki alam yang lain dengan segala amalan dan kepercayaannya.

Bersambung…………………..



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.