RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Thursday, June 20, 2013

Subhanallah!




Berikut adalah sedikit daripada lapuran yang mudah ditemui di mana-mana yang melibatkan Aiman Nurhakim Yahya, 13 tahun, seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu, Sg Petani, Kedah, pada hari Sabtu, 15hb June 2013 bersamaan 6 Syaaban 1434. Penuntut tahun satu, memulakan pengajian awal tahun ini, tahun 2013.
Petikan lapuran.
Satu demi satu keajaiban dapat disaksikan sepanjang membuat liputan tragedi kebakaran yang menyebabkan seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu terkorban dalam kejadian jam 1.50 pagi, Sabtu lalu. Namun, apa yang berlaku pasti mempunyai hikmah tersendiri selain menunjukkan kekuasaan ALLAH SWT.

Ini bukan sahaja dapat dibuktikan dengan penemuan barang-barang milik mangsa terkorban yang masih elok tersusun dalam almari kayu sedangkan almari besi milik pelajar lain semuanya hangus termasuk pakaian dan barang-barang peribadi mereka yang lain.

Dalam kejadian itu, mangsa, Aiman Nurhakim Yahya, 13, seorang pelajar pintar, rajin dan antara yang paling berdisiplin dikatakan gagal untuk menyelamatkan diri setelah terperangkap dalam kebakaran di asrama tempat mereka menetap.

Barang rakan lain musnah
Menceritakan kembali tragedi itu, Penaung Rangkaian Pusat Pendidikan Al-Barakah yang juga imam kariah Kampung Masjid, Anuar Md Isa berkata, kesemua pelajar sudah terjaga dari tidur dan menjangkakan Aiman adalah yang terakhir keluar menyelamatkan diri.

“Kemungkinan arwah yang tidur di tingkat atas cuba untuk turun melalui tangga, tetapi bahagian atas binaan asrama yang berasaskan kayu runtuh menyebabkan dia terperangkap dalam api yang marak,” katanya.

Menurut Anuar, apa yang lebih ajaib ialah penemuan barang-barang peribadi milik arwah yang masih elok tersusun dalam almari miliknya sedangkan barang peribadi rakan-rakan lain semuanya musnah.

“Kalau nak diikutkan, api menjulang tinggi sehingga memusnahkan keseluruhan bahagian asrama, bagaimanapun almari Aiman yang diperbuat daripada kayu, terpelihara.

“Apa yang saya perasan juga ialah selipar yang selalu digunakan arwah selalunya diletakkan di luar, tetapi sebelum kejadian, dia ambil dan letak elok-elok dalam laci. Selipar itu juga masih elok dan tersimpan rapi,” katanya yang mengakui sesuatu keajaiban mengenai peribadi pelajar itu.

Baru lakukan tasmi’
Anuar berkata, Aiman baru sahaja selesai menghabiskan satu juzuk al-Quran dan dijangka bakal masuk ke juzuk kedua.

“Dia baru sahaja melakukan tasmi’ (memperdengarkan bacaan al-Quran) satu juzuk dengan ustaznya bagi membolehkannya memasuki juzuk kedua yang dijangka hari ini (semalam),” katanya.

Lebih memeranjatkan, Anuar berkata, pakar yang melakukan bedah siasat ke atas jasad Aiman mendapati, otaknya masih segar, seperti otak orang masih hidup, sedangkan anggota badan lain sudah renting.

Memang keajaiban apabila pakar yang menjalani bedah siasat menjelaskan, otaknya masih segar, bersinar seolah-olah milik insan yang masih hidup,” katanya, memuji kekuasaan ALLAH SWT.

Allahu akbar!!!
Allahu akbar!!!
Allahu akbar!!!

Apa lagi yang dapat kita katakan melainkan beberapa kemulian insya Allah telah dikecapinya , sesuai dengan apa yang telah dijanjikan oleh Ar-Rasul saw yang mulia.

Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah saw bersabda:
"Apa menurut kalian tentang orang yang mati syahid?" Mereka menjawab: "Wahai Rasulullah, mati syahid adalah buat mereka yang dibunuh fisabilillah." Rasulullah bersabda: "Jika demikian saja, maka syuhada umatku sedikit." Mereka bertanya: "Lalu, siapa mereka Ya Rasulullah?" Rasulullah menjawab: "Barangsiapa dibunuh dijalan Allah itulah Syahid, dan barangsiapa mati fisabilillah itulah syahid, yang mati kerana taun (sejenis penyakit lepra) maka dia syahid, dan siapa yang mati kerana sakit perut dia syahid." (Hadis Riwayat Muslim(3539)

Jabir bin Atik meriwayatkan dari baginda saw, " Syahid itu ada tujuh , selain dari peperangan di jalan Allah iaitu , mati kerana taun, mati kerana lemas , penyakit bengkak di sebelah badan , penyakit dalam perut , mati kerana terbakar , mati kerana tertimbus runtuhan dan wanita yang mati dengan kandungannya. " ( HR Abu Daud )

Sementelah, beliau terkorban dalam misi yang sangat mulia, mempelajari, membaca dan menghafal Al-Qur’an.

“ Barangsiapa yang membaca (hafal) al-Qur’an, maka sungguh dirinya telah menaiki darjat kenabian, hanya saja tidak diwahyukan kepadanya.” (Riwayat Hakim).

“ Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga di antara manusia, para Sahabat bertanya, “Siapakah mereka Ya Rasulullah ? Rasul menjawab, “Para ahli al-Qur’an. Merekalah keluarga Allah dan pilihan-pilihanNya”. (Riwayat Ahmad).

Dari Abu Ummamah RA ia berkata,”Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al-Qur’an, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi Syafaat pada hari kiamat bagi para pembacanya (penghafalnya)”. (Riwayat Muslim).

Al-Fatihah buat anak...Aiman Nurhakim Yahya

Monday, June 3, 2013

AL-FATIHAH.

Tribute untuk sahabatku Zul Hadi
@ Zulkfly Abdullah @ Cikgu Zul
Menemui Rabb pada 23 Rejab 1434 H (2hb June 2013 – 1.30tgh)

Allah temukan saya dan Al marhum di tahun-tahun indah, dalam suasana keberkatan semasa hidup berjemaah dalam wadah gerakan pelajar Islam MI ITM, sekitar awal 80an. Berlainan bidang pengajian. Al marhum Zulkfly Abdullah lebih dikenali rakan jemaah sebagai Zul Hadi, kerana punya bakat berpidato serta suara persis Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Beliau mengikuti bidang pengajian Kejuruteraan Mekanikal.

Seorang yang ‘humble’, tapi sangat bijak serta komited dengan kerja-kerja jamaah. Kehadiran beliau (waktu itu) di dalam setiap program jamaah menjadikan sekaliannya bersemangat dan kuat. Gerak susuk tubuhnya serta setiap pantulan kata-katanya tersurat segala sesuatu yang bisa mendorong sahabat lainnya untuk sama aktif dan komited dengan kerja.

Saya berkesempatan bersahabat rapat dengan Al marhum, walaupun secara jujur saya ratusan ‘tiang’ ketinggalan jika dibandingkan dengan kerja, keupayaan, keilmuan apatah lagi ketokohan beliau, dan dalam segenap segi lainnya. Berbetulan kami sama diamanahkan memegang jawatan ‘PU’ (biarlah saya tidak jelaskan apa itu PU) kajian masing-masing. Waktu itu ITM masih menggunapakai istilah ‘Kajian’ bagi istilah fakulti. Beliau di Kajian Kejuruteraan sementara saya di Kajian Sains Gunaan.

Namun kami sempat bertahun-tahun bersama mengharung segala perit getir perjuangan, onak ranjau, tribulasi serta pahit manis memertabatkan Islam. Sempat bersama-sama menjulang kemenangan kempen pilihanraya kampus serta mendominasi penguasaan kampus untuk beberapa sessi, meskipun berhadapan dengan jentera pentadbiran yang bukan kepalang besar, membantu lawan golongan ‘nasionalis’. Sama-sama berjimat dan menabung untuk membiayaai pergerakan jamaah, dan biaya pilihanraya kampus yang mencabar. Sama-sama dapat melihat dan merasai suasana persekitaran kampus yang sedikit sebanyak diwarnai oleh Islam, seumpama pelajar wanita yang terlalu ramai dapat berjubah, bertudung labuh, malah tidak kurang yang berpurdah.

Dengan serba kekurangan, tetap dapat mengatur program yang berbagai, menyantuni masyarakat pelajar dan tidak terkecuali program pembinaan dalaman ahli-ahli jamaah. Dalam kesibukan kuliah serta tugasan yang banyak, dapat juga digagahkan memenuhi jadual Imam-bilal, diikuti dengan tazkirah Subuh dan Maghrib di surau-surau seluruh kampus. Kebanyakan masa, ‘menapak’ dua atau tiga kilometer untuk tugasan tersebut dari Asrama Angsana ke Asrama Cempaka , Seroja atau Kenanga. Begitu juga dengan program-program usrah, tamrin, qiyamu-lay-l, semuanya hidup subur dalam kalangan ahli jemaah. Masing-masing dapat menetapi amalan puasa-puasa Isnin Khamis terutamanya, serta amalan bacaan zikir Al-ma’thurat, dan lainnya. Sama bercekang mata saat ditugaskan menjaga keselamatan sewaktu rehlah yang jauh. Sama-sama menahan lapar waktu-waktu dicatu makanan semasa program tamrin yang panjang.

Itulah sekelumit dari kehidupan panjang, indahnya hidup berjamaah, yang sempat diharungi bersama Al marhum. Ada kekuatan dalam diri yang lemah. Ada kecukupan dalam kehidupan yang serba kekurangan. Ada semangat saat menghadapi kekangan dan ancaman. Saling berkeupayaan dalam payah dan serba kekurangan.

Satu suasana ideal yang pernah dilalui, yang agak sukar ditemui lagi dimana-mana. Keakraban ukhuwwah dan kesatuan fikiran serta kesatuan tindakan mewarnai segalanya. Seumpama ikatan Ansar dan Muhajirin di Madinah, walaupun tidak sehebat dan seutuh mereka.

Sukar ditemui lagi suasana dimana berlangsung didalamnya seorang sahabat yang senantisa disambut tangannya waktu terjatuh, sahabat yang senantiasa hadir membantu waktu tiba masa-masa kelesuan, kelalaian, kelekaan, kelupaan ataupun teralpa dengan bujukan syaitan, sahabat yang menjadi perisai waktu seorang sahabatnya yang lain hanyut terdedah kepada kehancuran dan kebinasaan, segalanya ikhlas kerana Allah. Itulah peranan besar Al marhum, menjadi sumber inspirasi, kepada kalangan ahli jamaah.

Sesungguhnya saya sangat merindui suasana dimana penat lelah dan perit getir perjuangan tidak membekas lantaran sahabat-sahabat seumpama Al marhum sentiasa tampil meringankan kepenatan dan kesusahan itu. Dimana ada lagi kita dapat temui apabila seorang sahabat berjalan di atas jalan da'wah, kelihatan seolah-olah dibawanya bersama hati-hati sahabat-sahabatnya yang lain. Diwaktu berdoa seluruh sahabatnya tidak pernah terlepas dari didoakan dengan doa-doa yang baik dan mustajab.

Diantara perkara yang saling kami jadikan peringatan waktu itu ialah ; “Biarpun sudah menduduki kerusi empuk, perjuangan ini tidak harus ditinggalkan.”

Setelah masing-masing meninggalkan dewan kuliah kami terpisah hampir dua puluh lima tahun. Pada tahun 2009, sewaktu ada kesempatan berkunjung ke Terengganu, sengaja saya mencari beliau. Ternyata beliau semakin hebat. Menginfa’kan seluruh kehidupannya untuk perjuangan Islam. Menjejaki liku hidup persis Imam Nawawi, mengajar dan tidak sempat berkahwin, lantaran kekurangan waktu mungkin.

Kepada Saudara al Marhum Zulkfly Abdullah;

Mudah-mudahan pertemuan-pertemuan kita dahulu, Allah akan terima sebagai sebahagian 'amal-'amal soleh untuk bekalan kita 'di sana'.

Sabda Rasulullah saw, dari Abu Hurairah ra
" Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah di hari yang tiada naungan kecuali naungan Allah. 1. Pemimpin yang adil. 2. Pemuda yang masanya dihabiskan dengan beribadat kepada Allah. 3. Pemuda yang hatinya sentisa terpaut dengan masjid. 4. DUA LELAKI (ORANG) YANG BERKASIH SAYANG, BERTEMU DAN BERPISAH KERANA ALLAH......" (dan sterusnya)
Hadith riwayat Muslim.

Dan mudah-mudahan Allah telah terima amalan saudara sebagai suatu persembahan yang indah disana...Ameen.

Thursday, May 30, 2013

Kata-kata hati (40) Luruskan hati..


Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2 (UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan. Lapuran kejadian anda boleh dapati dibeberapa blog, antaranya http://haneefsyah.blogspot.com


Suatu waktu sekitar tahun 2007, anak pernah melahirkan keinginan, sekiranya di takdirkan akan dipanggilNYA, anak berkeinginan untuk mati ketika berada di jalan Allah swt (ketika berjuang membela Islam). Hal tersebut terdetik setelah anak menerima perkhabaran tentang salah seorang bekas guru anak di Pahang telah juga kembali, saat berada dalam misi dakwah – memanggil manusia untuk kembali berpaut rapat pada agama, mendakap Allah, Tuhan Pencipta, Pentadbir serta Penguasa sekalian ‘alam.

Benarlah penilaian serta kaedah anak dalam meneladani sesaorang waktu itu, kerana kita sering mendengar seorang solihin berpesan, “ Apabila engkau ingin mengambil teladan, ambillah teladan orang yang telah mati kerana orang yang hidup belum tentu selamat akhirnya. ”

Sekitar dua tahun beberapa bulan kemudian Allah membenarkan serta menganugerahkan anak kematian, saat anak memikul amanah yang ditinggalkan oleh ar-Rasul saw. Saat anak menginfa’kan sebahagian dari hidup anak untuk menyampaikan risalah yang di perintahkan olehNYA.

Saat anak ingin berangkat meninggalkan Tanah Semenanjung, menuju Sandakan, anak di pesani oleh Ummi, agar anak membetulkan niat. Yang terdengar oleh Ummi, pesanan tersebut anak sambut dengan kalimah ‘insyaAllah….mi…’

Mudah-mudahan benar lurus antara hati dengan ucapan anak. Sekiranya begitu, mudah-mudahan anak juga akan termasuk dalam gambaran ayat berikut.

Firman Allah bermaksud:
“ Di antara orang-orang yang beriman itu ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam) maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran, mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka telah janjikan) sedikitpun ”. (Al Ahzab: 23)

Sebenarnya anak, sangat besar manfaat meluruskan hati (hanya sanya demi Allah) itu. Sejarah, setiap zaman banyak membuktikan hal tersebut, jika kita ingin mencari pedoman, antaranya , sebagaimana yang pernah dikatakan oleh Syadad bin Al-Hadi, berkaitan dengan seorang Arab dusun yang datang kepada Rasulullah saw lalu beriman dan mengikutinya.

Orang itu mengatakan ; “Aku akan berhijrah bersamamu.”
Maka Rasulullah saw membawa orang itu kepada para sahabatnya. Ketika berlakunya perang Khaibar, Rasulullah saw memperolehi ghanimah (harta rampasan perang) lalu baginda membahagi-bahagikannya dan menyimpan bahagian untuk orang itu seraya menyerahkannya kepada para sahabat. Orang Arab dusun itu sedang menggembalakan haiwan ternaknya. Ketika ia datang, para sahabat pun menyerahkan bahagian ghanimahnya.

Maka orang (orang Arab dusun) itu pun berkata, “ Apa ini? ”
Kemudian dia berkata lagi ; “ Aku mengikutimu bukan kerana ingin mendapatkan bahagian seperti ini. Aku mengikutimu (Rasululah) semata-mata kerana aku ingin tertusuk dengan anak panah di sini (sambil menunjuk tenggoroknya), lalu aku mati lalu masuk syurga.”
Rasulullah saw mengatakan ; “ Jika kamu jujur kepada Allah maka Dia akan meluluskan keinginanmu.”

Beberapa waktu kemudian mereka berangkat untuk memerangi musuh dan orang itu terkena panah pada tenggoroknya. Para sahabat mendatangi Rasulullah saw dengan mengusung orang berkenaan.

Rasulullah saw berkata, “ Inikah orang itu? ”
Mereka menjawab, “ Ya.”
Rasulullah saw berujar, “ Ia telah jujur kepada Allah maka Allah meluluskan keinginannya.”

Lalu Rasulullah saw mengafaninya dengan jubahnya dan mensolatkannya dan di antara doa yang terdengar dalam solatnya itu adalah :

“Allaahumma haadza `abduka kharaja muhaajiran fii sabiilika faqutila syahiidan wa ana syahidun alaihi ” (Ya Allah, ini adalah hambaMu. Dia keluar dalam rangka berhijrah di jalanMu, lalu ia terbunuh sebagai syahid dan aku menjadi saksi atasnya).” (HR An-Nasai’e)

Thursday, May 16, 2013

Wahai orang di atas sana (7) ...Allah juga beri cabaran !



Apa pandangan tuan dengan cabaran Allah berikut :-

“ Kalau engkau tidak sabar dengan ujian dan ketentuan Aku, maka carilah bumi selain daripada bumi Aku, carilah langit selain dari langit Aku. Dan carilah Tuhan selain daripada Aku. ”    (Hadith Qudsi)

Antara kata kunci penting :
Tidak sabar        -  tidak rela/tidak ingin/tidak redha/tidak setuju/tidak yakin
Ujian                   -  seperti umum maklum.
Ketentuan Aku  -  ketetapan Allah/perintah Allah/peraturan Allah/apa-apa yang termaktub dalam Al-Qur'an dan Hadith.
Carilah               -  nyah....engkau !!!
            - berambus engkau !!!

Tuesday, May 14, 2013

Wahai orang di atas sana (6)...Awaslah

PRU 13 telah berakhir. Apa pun persoalan dan perkara yang berbangkit selepasnya, ketika ini masing-masing telah mengangkat sumpah dan telah berada dijabatan yang diperuntukkan. Sedar atau tidak dibahu kalian telah terpikul amanah yang bukan kepalang tanggung. Pastinya setiap perkara yang kalian perbuat akan ada perkiraannya di akhirat nanti.

Untuk itu elok jika kita perhatikan sebahagian contoh antara orang terbaik dalam urusan kepemimpinan, moga dapat dijadikan ianya sebagai pedoman dan panduan buat kalian.

Pada hari kedua dilantik menjadi khalifah, Umar bin Abdul Aziz menyampaikan khutbah umum, yang antara lain beliau berkata;

“Wahai manusia, tidak ada nabi setelah Muhammad saw, dan tidak ada kitab setelah Al-Quran, aku bukan penentu hukum, bahkan aku hanya pelaksana hukum Allah, aku bukan ahli bid’ah bahkan aku hanya seorang yang mengikut sunnah, aku bukan orang yang paling baik diantara kalian, namun justru aku orang yang paling berat tanggungannya diantara kalian. Aku mengucapkan ucapan ini sementara aku tahu, aku adalah orang yang paling banyak dosa disisi Allah ”.
Beliau kemudiannya duduk dan berkata, “ Alangkah besarnya ujian Allah kepadaku ”.
Setelah itu khalifah Umar pulang dan menangis hingga ditegur isterinya, “Apa yang Amirul Mukminin tangiskan? “ Beliau mejawab; “ Wahai isteriku, aku telah diuji oleh Allah dengan jabatan ini dan aku sedang teringat kepada orang-orang miskin, janda-janda yang banyak anaknya namun rezekinya sedikit, aku teringat akan para tawanan, para fuqara’ kaum muslimin. Aku tahu mereka semua ini akan mendakwaku di akhirat kelak, dan aku, sebagai khalifah, bimbang tidak dapat menjawab hujah-hujah mereka kerana aku tahu, yang menjadi pembela mereka adalah Rasulullah saw ”. Mendengar itu isterinya pun turut menitiskan air mata.
Di hari-hari terakhir kehidupan khalifah Umar bin Abdul-Aziz, umat Islam bertali arus datang berziarah. Melihatkan kedhaifan hidup khalifah salah seorang menteri menegur isteri khalifah. “ Gantilah baju khalifah itu “. Isterinya menjawab, “ Hanya itu pakaian yang dimiliki khalifah “.
Selanjutnya sang menteri bertanya kepada Amirul Mukminin : “ Wahai Amirul Mukminin, tidakkah engkau mahu mewasiatkan sesuatu kepada anak-anakmu? ” Umar Abdul Aziz menjawab: “Apa yang ingin kuwasiatkan? Aku tidak memiliki apa-apa”. Menteri berkenaan berkata: “ Mengapa engkau tinggalkan anak-anakmu dalam keadaan tidak memiliki? ” Umar Abdul Aziz berkata “Jika anak-anakku orang soleh, Allahlah yang menguruskan orang-orang soleh. Jika mereka orang-orang yang tidak soleh, aku tidak mau meninggalkan hartaku di tangan orang yang mendurhakai Allah, lalu menggunakan hartaku untuk mendurhakai Allah “
Di waktu lain, khalifah Umar bin Abdul-Aziz memanggil kesemua anaknya dan berkata :
“ Wahai anak-anakku, sesungguhnya ayahmu telah diberi dua pilihan, Pertama: menjadikan kamu semua kaya dan ayah masuk ke dalam neraka, kedua: kamu miskin seperti sekarang dan ayah masuk ke dalam surga (kerana tidak menggunakan wang rakyat).Sesungguhnya wahai anak-anakku, aku telah memilih surga ”.

Menakjubkan…..
Pastinya semua perlakuan khalifah Umar itu ada hubung kaitnya dengan peringatan-peringatan Allah berikut :-

"Ketika matahari telah digulung. Dan ketika bintang-bintang jatuh bertaburan. Ketika gunung-gunung telah dihilangkan. Dan ketika unta-unta betina telah ditinggalkan. Dan ketika binatang-binatang liar dikumpulkan. Dan ketika lautan bergelombang besar Dan ketika diri (manusia) dikumpulkan. Dan ketika ditanyai anak perempuan yang dikuburkan hidup-hidup: Karena dosa apakah dia dibunuh. Dan ketika buku-buku (Iembaran) disebarkan". (QS, At-Takwir: 1 – 10),

"Inilah kitab (catatan) Kami, yang mengatakan kepada kamu, menurut keadaan yang sebenarnya. Sesungguhnya Kami menyuruh menuliskan segala apa yang kamu kerjakan". [QS.AI-Jatsiyah, ayat 29.]

"Di hari itu, Kami kumpulkan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan Yang Maha Pengasih, sebagai menyambut perutusan. Dan Kami halau orang-orang yang berbuat kesalahan kedalam neraka secara kasar". [QS.Maryam, ayat 85 -86. ]

"Pada hari dibalik-balik muka mereka dalam neraka, (dan) mereka berkata: Wahai : Alangkah baik kiranya (hendaknya) kami patuh (tha'at) kepada Allah dan patuh kepada Rasul!". [QS.AI-Ahzab, ayat 66.]

"Pada waktu belenggu dan rantai telah (dipasang) di leher mereka, mereka akan dihela. Kedalam air yang sangat panas, kemudian mereka dibakar di dalam api". [QS.AI-Mu'imin, ayat 71-72. ]

"Dan sesungguhnya neraka jahannam tempal yang telah dijanjikan buat mereka semuanya". [QS.AI-Hijr, ayat 43.] .

Juga peringatan Rasulullah saw;

“ Tidaklah daripada mana-mana pemimpin yang dilantik untuk memimpin rakyatnya dari kalangan orang Islam, lalu dia mati dalam keadaan dia menipu mereka, melainkan Allah akan haramkan baginya syurga ”

(Diriwayatkan oleh Imam Bukhari )

” Barangsiapa yang diangkat oleh Allah untuk memimpin rakyatnya, kemudian ia tidak mencurahkan kesetiaannya, maka Allah haramkan baginya surga” (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari & Muslim).

Dalam lafadh yang lain disebutkan : ” Ia mati dimana ketika matinya itu ia dalam keadaan menipu rakyatnya, maka Allah haramkan baginya surga”.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.