RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Monday, April 1, 2013

Macamana ni...?

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib baru-baru ini, telah menamakan Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiyah, Datuk Seri Muhammad Ridhwan Sulaiman, berusia awal 50-an sebagai orang yang dicari untuk membantu siasatan berhubung kes berkaitan Operasi Daulat

Kini beliau, (Datuk Seri Muhammad Ridhwan Sulaiman) sudah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, dan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata Muhammad Ridhwan ditahan untuk siasatan lanjut setelah polis mengambil keterangannya.

" Kami tahan dia di bawah Sosma dan dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor," katanya kepada Bernama.

Muhammad Ridhwan, yang berbaju Melayu merah dan berserban hitam, dilihat hadir bersama kenalan dan peguamnya di balai polis itu pada 11.05 pagi untuk membantu siasatan berhubung pencerobohan bersenjata di Sabah.

Rupa-rupanya orang yang paling dikehendaki polis tersebut yang dipercayai terlibat dengan gerakan teroris Sulu yang menceroboh Lahad Datu, dikatakan pernah kelihatan bersama-sama dengan Datuk Seri Najib Razak dalam satu program berkaitan dengan Palestin.

Menurut gambar-gambar yang disiarkan oleh beberapa blog, 'Datuk Seri' berkenaan bukan saja bersama Najib bahkan juga bersama lain-lain pemimpin Umno, antaranya Datuk Tengku Adnan Mansor, Setiausaha Agung Umno, dan Datuk Ahmad Maslan Ketua Penerangan Umno.



Wednesday, March 27, 2013

Lahad Datu : Penjelasan (I)

Berikut adalah kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ‘Himpunan Pakatan Harapan Rakyat – Demi Keselamatan, Keamanan & Kedaulatan Sabah’ di Kota Kinabalu (semalam), sekitar persoalan yang berkaitan dengan pertemuan beliau dengan Nur Misuari seperti paparan gambar di bawah.


Ketua Umum KEADILAN itu menjelaskan, hubungannya dengan mana-mana pemimpin termasuk bekas gabenor Mindanao, Nur Misuari adalah atas peranannya untuk membawa keamanan serantau.

Jelas Anwar lagi, Dr Mahathir Mohamad sendiri (pada tahun 1997) yang mengarahkannya, yang ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri ke Manila untuk membantu menyegerakan proses damai antara kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Nasional Moro (MNLF).

“Saya mahu ceritakan sejarahnya. Ketika bersarapan dengan Presiden Fidel Ramos di (Istana) Malacanang, dia meminta tolong dari saya menyampaikan mesej kepada Nur Misuari untuk menyelesaikan perjanjian perdamaian antara Filipina dengan MNLF.

“Saya cakap kepada Nur (Misuari), sebaiknya cari jalan damai, kerana itu pendirian saya. Alhamdulillah dia setuju. Dia kemudian diangkat menjadi gabenor ARMM (Wilayah Autonomi Muslim Mindanao).

“Saya sebagai Timbalan Perdana Menteri bawa rombongan dengan peniaga-peniaga untuk bantu, dengan persetujuan Presiden Filipina. Jadi, saya berkawan. Dr Mahathir, Perdana Menteri ketika itu jemput Nur Misuari ke Kuala Lumpur atas jemputan rasmi bagi taklimat EPU (Unit Perancangan Ekonomi).

“(Kita) bagi sokongan kepada masyarakat di selatan Filipina ketika itu untuk cari jalan damai, berbaik dengan Manila dan sebagainya,” kata Anwar pada himpunan tersebut.

Malah kata Anwar, pelan perdamaian turut diusahakannya melalui dialog termasuk di wilayah selatan Thailand dan Acheh.

Justeru, Anwar menyelar tindakan pihak yang cuba mengaitkannya dengan pencerobohan di Lahad Datu, berbanding fakta sebenar peranannya mengusahakan jalan perdamaian.

“Yang masuk Perhimpunan Agung Umno itu keluarga Sultan Sulu. Dia tak pergi mesyuarat KEADILAN,” seloroh Anwar.

Dengan rasa berbaik sangka, dan atas kefahaman semua akur akan peringatan-peringatan Allah dan ar-Rasul saw berikut, kami terima pernyataan tersebut dan kita pulangkan kepada Allah untuk menentukannya. Tetapi kami masih juga ingin mengetahui akan penjelasan hal-hal yang berkaitan dari pihak yang bertentangan.


Firman Allah yang bermaksud…

"Tiada satu ucapan pun yang diucapkannya, melainkan ada padanya Malaikat pengawas yang selalu hadir "
[Surah Qaf : 18]

Allah berfirman lagi yang bermaksud…
" Dan sesungguhnya bagi kamu ada (Malaikat-malaikat yang mengawasi (pekerjaanmu). Yang mulia (disisi Allah}) dan mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu). Mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan "
[Surah Al-Infithaar : 10-12].

Ibnu Abbas ada mengatakan bahawa, " Malaikat menulis semua perkataan manusia, baik perkataan yang baik maupun yang buruk. Malaikat mencatat perkataan, 'Aku makan,aku minum, aku pergi,aku datang,aku melihat dan sebagainya". Hal itu berlanjutan hingga hari khamis, ketika ucapan dan perbuatan itu ditayangkan."

Rasulullulah saw bersabda:
" Jika seseorang berbicara dengan keredaan Allah, maka Allah akan mencatatkan perkataan tersebut saat perhintungan kelak, meskipun ia tidak menyangka bahawa hal itu dicatat oleh Allah. Sebaliknya jika seseorang itu berbicara dengan kemurkaan Allah, maka Allah akan mencatat perkataan tersebut saat perhintungan kelak, walaupun ia tidak menyangka bahawa hal itu ditulis oleh Allah."
[Riwayat Imam Ahmad]



Friday, March 22, 2013

????????


Ditemukan dalam SENARAI KAKITANGAN 1975, PERKHIDMATAN AWAM SABAH (Dokumen di Jabatan Arkib Negara, Sabah) nama Datu Agbimuddin Kiram, sama seperti kita semua maklum nama pemimpin penceroboh  di Lahad Datu yang menggelar dirinya sebagai Raja Muda Sulu, Agbimuddin @ Azzimuddie Kiram.

Dilantik pada 1 Mac 1974, sebagai Pegawai Pentadbir Muda, dengan gaji RM610 sebulan. Bertugas di Pejabat Daerah Kudat.

Diberitakan juga ramai penduduk sekitar Lahad Datu/Kudat mengenalinya, dan mengetahui dia pernah bertugas sebagai kakitangan kerajaan.

Semakin banyak persoalan yang perlukan penjelasan.
Semakin mendambakan kejujuran.

Betapapun semua mesti ingat di saat lidah dan mulut terkunci, sedang semua anggota lain berbicara di hadapan Allah Rabbul Jalil..... diwaktu itu tiada sebarang kilas yang kalian dapat upayakan. Andai kalian benar...., selamat. Jika dusta .....punah dan malapetaka untuk kalian.

Firman Allah;
" Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan."
(QS. Yasin : 65) (lihat juga surah Fushilat : 19-22)

Cuba-cubalah juga mengambil i'tibar dari keluhan Sayyidina Umar Al khattab ra ;
" Andaikata seekor anak domba (lembu) mati lemas kerana tergelincir di tepi Sungai Furat, nescaya aku bimbang Allah akan menanyakanku di akhirat nanti."
(Dalam buku Khilafah dan Kerajaan oleh : Sayyid Abul A'la Maududi)

Wednesday, March 6, 2013

APA NI....?

Pertamanya takziah diatas terkorbannya beberapa anggota pasukan keselamatan kita di dalam insiden pencerobohan di Sabah. Moga kalian Allah ganjari dengan ganjaran yang setimpal. Al-fatihah..

Namun terlalu banyak persoalan timbul berikutan dengan peristiwa itu. Antaranya :-

1. Perairan kita dikawal oleh
a. Polis Marin
b. Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM)
c. Kastam Diraja Malaysia
d. TLDM

2. Peralatan canggih yang yang ada untuk tujuan kawalan
a. Pesawat tanpa juruterbang (UAV)
b. Bot tempur kapal peronda ATB
c. Bot laju (Combat Boat) CB90
d. Helikopter Nuri
e. Radar dengan kemampuan mengesan pergerakan kapal dan bot kecil pada jarak 100 km

Persoalan…, bagaimana perceroboh boleh berjaya menyusup masuk, menceroboh wilayah kita ?

Persoalan…, kenapa terlalu lama untuk bertindak sehingga kita terpaksa menggadai banyak perwira keselamatan kita?

Persoalan…, siapa mereka ?

Persoalan..., apakah makna gambar-gambar ini?

                                              





                      Perwakilan kesultanan Sulu semasa Perhimpunan Agung Umno 2012 di PWTC
                                                                     Kiri ke kanan 
                  Rajah Mudah Agbimuddin Kiram, Sultan Jamalul Kiram III, Sultan Bantilan Esmail Kiram II 
                                                                    berdiri dari kiri
                               Datu Alianapia Kiram, Datu Phugdal Kiram and Datu Baduruddin Kiram



Friday, February 22, 2013

Wang bantuan, upah sokongan dan undi

Berikut adalah tulisan Dr Mohd Asri Zainul Abidin 12:14PM Feb 22 2013.

Wang bantuan, upah sokongan dan undi
Dr Mohd Asri Zainul Abidin  12:14PM Feb 22 2013

Cinta adalah perkara yang tidak boleh dibuat-buat. Ia satu perasaan yang muncul dari lubuk sanubari. Ia lahir dalam jiwa dan diterjemahkan dalam tindakan. Apabila seseorang itu benar-benar kasihkan kita, maka tindakan dan sikapnya terhadap kita juga adalah lambang dan hasil dari keindahan cintanya.

Sesiapa yang ada pasangan yang mencintainya, dia akan tahu keindahan hubungan yang dibina atas cinta. Lihat cara suami atau isteri anda melayan anda, maka anda dapat mengukur tahap cintanya kepada anda. Lagi dalam kasihnya, lagi indah hubungan dan sikapnya terhadap anda.

Justeru, hendaklah dibezakan antara kehendak seks antara pasangan dan cinta. Seks ada yang berteraskan nafsu semata dan ada yang merupakan gabungan antara cinta dan nafsu. Seseorang yang ghairah seksnya, bukan bererti dia penuh cinta.

Namun, cinta yang mendalam membawa kepada hubungan seks yang indah. Ini boleh diibaratkan macam pemberian wang bantuan oleh sesebuah kerajaan kepada rakyat. Pemberian itu bukan semestinya menggambarkan cinta kerajaan kepada rakyat. Boleh jadi ia sekadar nafsu ingin berkuasa dan pemberian itu demi melangsaikan kehendak dirinya.

Rakyat yang menerima bantuan juga bukan semestinya mencintai kerajaan yang memberi. Dia sudi menerima kerana merasakan itu haknya, ataupun dia memerlukannya tapi jiwanya mungkin menyumpah dan menyampah. Persis seperti hubungan antara suami isteri yang hidup dalam keadaan keterpaksaan tapi penuh kebencian.

Namun tidak boleh dinafikan betapa ramai yang tertipu lalu menganggap setiap hubungan seks itu tanda cinta sehingga gagal membezakan antara pelacur yang menanti upah dan isteri yang menanti pahala dan takutkan dosa.

Pelacur

Demikian, ada rakyat dalam dunia ini yang menganggap setiap pemberian kerajaan itu tanda cinta kepada mereka sedangkan mereka lupa pemberian itu tidak dibina atas kejujuran cinta, sebaliknya atas upah sokongan dan undi.

Pun begitu, pelacur kadangkala kurang buruk dari sesetengah kerajaan atas muka bumi ini kerana pelacur mengambil upah dari hasil dirinya.

Sementara pemimpin dan kerajaan yang menipu mengambil wang negara dan rakyat yang dibahagikan semasa sendiri terlebih dahulu dan sedikit pemberian untuk rakyat sambil berlagak seolah wang tersebut dari poket peribadi mereka.

Adapun hubungan seks halal yang penuh cinta itu melahirkan kepuasan jasmani dan rohani. Tiada pemberontakan dan penuh kedamaian.

Ia seperti sebuah kerajaan yang cintakan rakyat. Amanah terhadap pengurusan negara. Harta negara bukan habuan untuk isteri dan keluarga mengaut kekayaan yang gila-gila.

Negara diuruskan dengan sebaiknya dengan penuh keikhlasan sehingga rakyat terasa kejujuran itu. Kejujuran itu menimbulkan rasa cinta rakyat kepada diri pemerintah.

Pemerintah mengawal negara dari ancaman luaran dan juga dalaman. Ancaman musuh yang terang, dan juga orang sekelilingnya yang kadang-kala lebih memusnah kekayaan negara dibanding mereka yang digelar ‘musuh’.

Isteri dan Kroni

Betapa ramai pemerintah yang dibenci kerana tingkah laku isteri dan kroni. Inilah ancaman dalaman yang meragut peluang dan kesempatan sehingga kekayaan negara tertumpu dalam tangan mereka.

Hanya pemerintah yang amanah dan cekap sahaja dapat menguruskan negara dari ancaman luaran dan dalaman ini. Hasilnya, kasih-sayang rakyat dan kesetiaan lahir dalam tindakan para pegawai kerajaan dan rakyat bawahan.

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) dalam kitabnya As-Siyasah asy-Syar’iyyah fi Islah ar-Ra’i wa ar-Ra’iyyah: “Tidak boleh para pemerintah membahagikan harta negara mengikut nafsu mereka seperti mana seorang pemilik harta membahagikan harta miliknya.

Sebaliknya, para pemerintah hanyalah pemegang amanah, wakil dan utusan. Mereka bukan pemilik harta. Ini seperti yang Nabi s.a.w sabda: “Aku –demi Allah- tidak boleh memberi (harta awam) ataupun menghalang seseorang. Aku hanya pembahagi yang meletakkannya di mana sahaja aku diperintahkan”. Ini diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.”

“Inilah rasul Tuhan semesta alam yang memberitahu bahawa dia tidak mempunyai hak menghalang dan memberi dengan kehendak dan pilihannya seperti mana seorang pemilik harta yang boleh berbelanja dengan hartanya, dan seperti raja-raja yang memberikan kepada sesiapa yang mereka suka. Sebaliknya dia (Rasulullah s.a.w) hanya seorang hamba Allah, membahagikannya mengikut arahan Allah. Dia meletakannya di mana yang Allah perintahkan”.

Sambung Ibn Taimiyah lagi: “Demikian apabila seseorang berkata kepada (Khalifah) ‘Umar bin al-Khattab: “Wahai Amir al-Mukminin! Andainya engkau tambah peruntukanmu dari harta Allah ta’ala (harta negara). Jawab ‘Umar: “Tahukah engkau apakah bandingan antara aku dan rakyat? Ia umpamanya satu kaum yang berada dalam satu perjalanan, lalu mereka menghimpunkan harta mereka kemudian mereka menyerahkannya kepada seseorang untuk membelanjakannya untuk mereka. Apakah halal untuk lelaki itu mengutamakan dirinya dengan menggunakan harta mereka?.”

Lagi kata Ibn Taimiyyah: “Pernah dibawa kepada ‘Umar bin al-Khattab r.a. harta yang banyak dari bahagian khumus (bahagian dari rampasan perang). Kata ‘Umar: “Sesungguhnya tentera telah menunaikan amanah”. Kata mereka yang hadir kepada ‘umar: “Sesungguhnya engkau telah menunaikan amanah kepada Allah ta’ala, maka mereka pun menunaikan amanah kepada engkau. Jika engkau mengambil harta negara sesuka hati, begitulah juga mereka akan lakukan” [m/s 51-52. Kuwait: Dar al-Arqam (1406H)].

Teladan

Dari jawapan rakyat kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab, kita dapat tahu bahawa antara punca utama rakyat bawahan tidak amanah, setia dan jujur kepada negara dan harta awam adalah disebabkan pemimpin yang tidak amanah.

Jika pemimpin itu amanah, pasti rasa cinta dan setia kepada negara akan bersemarak dalam jiwa rakyat jelata. Justeru jangan hairan jika kita lihat rakyat di negara-negara maju rakyat mereka lebih sayangkan negara dibandingkan negara-negara umat Islam yang pengurusan kepimpinannya tidak jujur dan khianat.

Hilang ataupun terhakisnya semangat patriotic dan setia kepada tanahair, sebahagiannya hasil dari tindak tanduk kegelojohan golongan atasan mengisi tembolok sendiri. Apabila golongan atasan memiliki kekayaan yang zahir pada diri, ‘isteri’ dan anak dengan kadar yang tidak masuk akal dan sangat luar biasa, maka rakyat kesusahan mula membenci para penguasa mereka. Sekalipun jika ada yang mendakwa kekayaan itu hasil menabung dari kecil, tetapi itu hanya ungkapan untuk memperbodohkan rakyat jelata.

Apabila datang musim maulid kita bercakap tentang Nabi s.a.w dan teladan dalam kepimpinan, namun dunia umat Islam masih terlalu jauh. Nama Nabi s.a.w hanya sekadar untuk modal politik menyedapkan bicara di hadapan rakyat. Di mana Nabi Muhammad s.a.w dan kepimpinan negara umat Islam kita?! Semasa peperangan Badar, tentera Islam mempunyai jumlah kenderaan yang begitu terhad. 70 ekor unta terpaksa dikongsi oleh tiga ratus beberapa belas orang tentera.

Nabi s.a.w berkongsi dengan ‘Ali bin Abi Talib dan Abu Lubabah. Memandangkan kedudukan Nabi s.a.w dan mereka berdua lebih muda dari Nabi s.a.w maka mereka meminta agar Nabi s.a.w sahaja yang menggunakan unta tersebut. Namun, dengarlah jawapan Nabi s.a.w kepada mereka: “Tidaklah kamu berdua lebih kuat daripadaku, dan tidak juga aku orang yang paling kurang memerlukan pahala dibanding kamu berdua” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban dll. Hadis bertaraf hasan).

Demikianlah pemimpin yang berkongsi perasaan dan keadaan rakyat. Maka dari situ suburlah cinta dan setia antara rakyat dan pemimpin. Teruruslah negara, hidupkan kedua pihak dalam keadaan cinta dan setia. Pemimpin bukan pelacur yang menjual diri untuk mendapat upah. Pemimpin tidak boleh menipukan rakyat dengan pemberian yang mengkaburkan untuk mendapatkan undi sedangkan kesemua itu tidak dibina atas cinta dan kejujuran terhadap negara.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.