RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Friday, February 22, 2013

Wang bantuan, upah sokongan dan undi

Berikut adalah tulisan Dr Mohd Asri Zainul Abidin 12:14PM Feb 22 2013.

Wang bantuan, upah sokongan dan undi
Dr Mohd Asri Zainul Abidin  12:14PM Feb 22 2013

Cinta adalah perkara yang tidak boleh dibuat-buat. Ia satu perasaan yang muncul dari lubuk sanubari. Ia lahir dalam jiwa dan diterjemahkan dalam tindakan. Apabila seseorang itu benar-benar kasihkan kita, maka tindakan dan sikapnya terhadap kita juga adalah lambang dan hasil dari keindahan cintanya.

Sesiapa yang ada pasangan yang mencintainya, dia akan tahu keindahan hubungan yang dibina atas cinta. Lihat cara suami atau isteri anda melayan anda, maka anda dapat mengukur tahap cintanya kepada anda. Lagi dalam kasihnya, lagi indah hubungan dan sikapnya terhadap anda.

Justeru, hendaklah dibezakan antara kehendak seks antara pasangan dan cinta. Seks ada yang berteraskan nafsu semata dan ada yang merupakan gabungan antara cinta dan nafsu. Seseorang yang ghairah seksnya, bukan bererti dia penuh cinta.

Namun, cinta yang mendalam membawa kepada hubungan seks yang indah. Ini boleh diibaratkan macam pemberian wang bantuan oleh sesebuah kerajaan kepada rakyat. Pemberian itu bukan semestinya menggambarkan cinta kerajaan kepada rakyat. Boleh jadi ia sekadar nafsu ingin berkuasa dan pemberian itu demi melangsaikan kehendak dirinya.

Rakyat yang menerima bantuan juga bukan semestinya mencintai kerajaan yang memberi. Dia sudi menerima kerana merasakan itu haknya, ataupun dia memerlukannya tapi jiwanya mungkin menyumpah dan menyampah. Persis seperti hubungan antara suami isteri yang hidup dalam keadaan keterpaksaan tapi penuh kebencian.

Namun tidak boleh dinafikan betapa ramai yang tertipu lalu menganggap setiap hubungan seks itu tanda cinta sehingga gagal membezakan antara pelacur yang menanti upah dan isteri yang menanti pahala dan takutkan dosa.

Pelacur

Demikian, ada rakyat dalam dunia ini yang menganggap setiap pemberian kerajaan itu tanda cinta kepada mereka sedangkan mereka lupa pemberian itu tidak dibina atas kejujuran cinta, sebaliknya atas upah sokongan dan undi.

Pun begitu, pelacur kadangkala kurang buruk dari sesetengah kerajaan atas muka bumi ini kerana pelacur mengambil upah dari hasil dirinya.

Sementara pemimpin dan kerajaan yang menipu mengambil wang negara dan rakyat yang dibahagikan semasa sendiri terlebih dahulu dan sedikit pemberian untuk rakyat sambil berlagak seolah wang tersebut dari poket peribadi mereka.

Adapun hubungan seks halal yang penuh cinta itu melahirkan kepuasan jasmani dan rohani. Tiada pemberontakan dan penuh kedamaian.

Ia seperti sebuah kerajaan yang cintakan rakyat. Amanah terhadap pengurusan negara. Harta negara bukan habuan untuk isteri dan keluarga mengaut kekayaan yang gila-gila.

Negara diuruskan dengan sebaiknya dengan penuh keikhlasan sehingga rakyat terasa kejujuran itu. Kejujuran itu menimbulkan rasa cinta rakyat kepada diri pemerintah.

Pemerintah mengawal negara dari ancaman luaran dan juga dalaman. Ancaman musuh yang terang, dan juga orang sekelilingnya yang kadang-kala lebih memusnah kekayaan negara dibanding mereka yang digelar ‘musuh’.

Isteri dan Kroni

Betapa ramai pemerintah yang dibenci kerana tingkah laku isteri dan kroni. Inilah ancaman dalaman yang meragut peluang dan kesempatan sehingga kekayaan negara tertumpu dalam tangan mereka.

Hanya pemerintah yang amanah dan cekap sahaja dapat menguruskan negara dari ancaman luaran dan dalaman ini. Hasilnya, kasih-sayang rakyat dan kesetiaan lahir dalam tindakan para pegawai kerajaan dan rakyat bawahan.

Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) dalam kitabnya As-Siyasah asy-Syar’iyyah fi Islah ar-Ra’i wa ar-Ra’iyyah: “Tidak boleh para pemerintah membahagikan harta negara mengikut nafsu mereka seperti mana seorang pemilik harta membahagikan harta miliknya.

Sebaliknya, para pemerintah hanyalah pemegang amanah, wakil dan utusan. Mereka bukan pemilik harta. Ini seperti yang Nabi s.a.w sabda: “Aku –demi Allah- tidak boleh memberi (harta awam) ataupun menghalang seseorang. Aku hanya pembahagi yang meletakkannya di mana sahaja aku diperintahkan”. Ini diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.”

“Inilah rasul Tuhan semesta alam yang memberitahu bahawa dia tidak mempunyai hak menghalang dan memberi dengan kehendak dan pilihannya seperti mana seorang pemilik harta yang boleh berbelanja dengan hartanya, dan seperti raja-raja yang memberikan kepada sesiapa yang mereka suka. Sebaliknya dia (Rasulullah s.a.w) hanya seorang hamba Allah, membahagikannya mengikut arahan Allah. Dia meletakannya di mana yang Allah perintahkan”.

Sambung Ibn Taimiyah lagi: “Demikian apabila seseorang berkata kepada (Khalifah) ‘Umar bin al-Khattab: “Wahai Amir al-Mukminin! Andainya engkau tambah peruntukanmu dari harta Allah ta’ala (harta negara). Jawab ‘Umar: “Tahukah engkau apakah bandingan antara aku dan rakyat? Ia umpamanya satu kaum yang berada dalam satu perjalanan, lalu mereka menghimpunkan harta mereka kemudian mereka menyerahkannya kepada seseorang untuk membelanjakannya untuk mereka. Apakah halal untuk lelaki itu mengutamakan dirinya dengan menggunakan harta mereka?.”

Lagi kata Ibn Taimiyyah: “Pernah dibawa kepada ‘Umar bin al-Khattab r.a. harta yang banyak dari bahagian khumus (bahagian dari rampasan perang). Kata ‘Umar: “Sesungguhnya tentera telah menunaikan amanah”. Kata mereka yang hadir kepada ‘umar: “Sesungguhnya engkau telah menunaikan amanah kepada Allah ta’ala, maka mereka pun menunaikan amanah kepada engkau. Jika engkau mengambil harta negara sesuka hati, begitulah juga mereka akan lakukan” [m/s 51-52. Kuwait: Dar al-Arqam (1406H)].

Teladan

Dari jawapan rakyat kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab, kita dapat tahu bahawa antara punca utama rakyat bawahan tidak amanah, setia dan jujur kepada negara dan harta awam adalah disebabkan pemimpin yang tidak amanah.

Jika pemimpin itu amanah, pasti rasa cinta dan setia kepada negara akan bersemarak dalam jiwa rakyat jelata. Justeru jangan hairan jika kita lihat rakyat di negara-negara maju rakyat mereka lebih sayangkan negara dibandingkan negara-negara umat Islam yang pengurusan kepimpinannya tidak jujur dan khianat.

Hilang ataupun terhakisnya semangat patriotic dan setia kepada tanahair, sebahagiannya hasil dari tindak tanduk kegelojohan golongan atasan mengisi tembolok sendiri. Apabila golongan atasan memiliki kekayaan yang zahir pada diri, ‘isteri’ dan anak dengan kadar yang tidak masuk akal dan sangat luar biasa, maka rakyat kesusahan mula membenci para penguasa mereka. Sekalipun jika ada yang mendakwa kekayaan itu hasil menabung dari kecil, tetapi itu hanya ungkapan untuk memperbodohkan rakyat jelata.

Apabila datang musim maulid kita bercakap tentang Nabi s.a.w dan teladan dalam kepimpinan, namun dunia umat Islam masih terlalu jauh. Nama Nabi s.a.w hanya sekadar untuk modal politik menyedapkan bicara di hadapan rakyat. Di mana Nabi Muhammad s.a.w dan kepimpinan negara umat Islam kita?! Semasa peperangan Badar, tentera Islam mempunyai jumlah kenderaan yang begitu terhad. 70 ekor unta terpaksa dikongsi oleh tiga ratus beberapa belas orang tentera.

Nabi s.a.w berkongsi dengan ‘Ali bin Abi Talib dan Abu Lubabah. Memandangkan kedudukan Nabi s.a.w dan mereka berdua lebih muda dari Nabi s.a.w maka mereka meminta agar Nabi s.a.w sahaja yang menggunakan unta tersebut. Namun, dengarlah jawapan Nabi s.a.w kepada mereka: “Tidaklah kamu berdua lebih kuat daripadaku, dan tidak juga aku orang yang paling kurang memerlukan pahala dibanding kamu berdua” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban dll. Hadis bertaraf hasan).

Demikianlah pemimpin yang berkongsi perasaan dan keadaan rakyat. Maka dari situ suburlah cinta dan setia antara rakyat dan pemimpin. Teruruslah negara, hidupkan kedua pihak dalam keadaan cinta dan setia. Pemimpin bukan pelacur yang menjual diri untuk mendapat upah. Pemimpin tidak boleh menipukan rakyat dengan pemberian yang mengkaburkan untuk mendapatkan undi sedangkan kesemua itu tidak dibina atas cinta dan kejujuran terhadap negara.

Wednesday, January 16, 2013

Kenapa ke HKR KL112

Justifikasi mengapa saya ke 1 Juta Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112  - secara ringkas.

Saya orang biasa, tidak mengerti banyak perkara. Namun saya maklum dan faham bahawa Al-Quran mengajar kita, jika kita tidak tahu, tanya pada ahlinya.

Firman Allah
“Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan, jika kamu tidak mengetahui .“
(An-Nahl : 43)

Firman Allah lagi
“Maka kamu tanyakan (kepada) ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui.”
 (Al-Anbiyaa’ : 7)

Lalu saya tanyakan kepada sebahagian ulama yang saya yakin jujur dengan ilmunya, lalu saya dapati semuanya tersimpul dan selari dengan kenyataan-kenyataan Dr. Yusuf Al Qaradhawiy, walaupun beliau bercakap ditempat lain, ditujukan kepada manusia ditempat lain, namun konteks isunya adalah sama.

Berikut kami kemukakan sebahagian kecil dari ucapan Dr Yusuf Al-Qaradhawiy dalam rentetan peristiwa panjang kebangkitan rakyat di Mesir.

Ucapan pada tarikh 2hb Feb 2011.

1. “ Islam meletakkan syarat ketat untuk bangun menentang pemerintah, apatah lagi sekiranya penentangan menggunakan senjata….. Adapun menzahirkan penentangan dalam bentuk lain tanpa mengangkat senjata adalah dibenarkan dan dianjurkan dalam Islam. Bahkan ada ketikanya menjadi suatu kewajipan kepada setiap individu yang berkemampuan agar semangat dan cita-cita rakyat sentiasa membara di dalam hati kecil setiap yang bernyawa , serta mampu untuk berkata ‘tidak’ kepada penindasan dan kezaliman dengan sepenuh hati. Dalam sebuah hadith sabda Nabi saw;"

“ Sebaik-baik jihad ialah menyatakan kebenaran pada penguasa yang zalim.”
(Riwayat Imam Ahmad, Imam An-Nasa’I dalam al-Bai’ah (4209) dari Toriq bin Shihab.)

Dalam hadith lain yang bermaksud;
“Penghulu golongan syuhada adalah Hamzah bin Abdul Muttalib dan juga seorang lelaki yang bangun menuju kepada pemimpin yang zalim, lalu ia menyuruh pemimpin tersebut (berbuat baik) dan menegahnya (dari kezaliman), lalu lelaki itu dibunuh (kerana perbuatannya itu).”
(Riwayat Al Hakim jilid 3, hlm 195 al Khatib dalam Tarikh Baghdad jilid 6 hlm 53, disahihkan oleh al-Bani.)

2. " Turun ke jalan raya pada hari Jumaat (hari perarakan sejuta umat - 4hb Feb 2011) nanti untuk sama-sama menunjuk perasaan menjadi kewajipan syar’ie yang mesti dilakukan bagi yang berkemampuan untuk berbuat demikian. Inilah satu-satunya cara untuk bebas dari belengu cengkaman ‘Firaun’ demi mengelakkan banyak lagi kezaliman dan nyawa terkorban. Sesuatu yang tanpanya menyebabkan perkara wajib itu tidak sempurna, maka ia turut menjadi wajib."

3. " Islam meletakkan tanggungjawab besar kepada rakyat keseluruhannya untuk memperbetulkan kesilapan pemerintah, dan menentang kezaliman, agar segala bentuk penindasan dapat dihentikan dan bertaut kembali kepada kebenaran dengan kuasa yang ada di tangan, lidah dan hati mereka sekadar yang termampu. Jika itu tidak dilakukan, bersedialah dengan azab dari Allah untuk semua umat manusia, sama ada yang zalim atau yang berdiam diri."

Firman Allah dalam Surah Al-Anfaal : 24
“ Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.”

Sabda Rasulullah saw;
“Sesungguhnya manusia sekiranya mereka melihat kezaliman berlaku, sedangkan mereka tidak berbuat apa-apa, maka bersiap-siaplah dengan balasan Allah yang akan mengenai semua orang.”
(Riwayat Imam Ahmad dan Abu Dawud dlm kitab al-Malahim (4338) Imam At-Tirmidzi ( 3057) dan Ibn Majah dlm kitab al-Fitan (4005). Menurut ulama, takhrij hadith ini adalah sahih bertepatan dengan syarat al-Bukhari dan Muslim.)

4. Dalam menjawab suatu persoalan, beliau menjawab;

“ Saya tidak pernah menyokong revolusi yang bekerja untuk Baradei, atau siapa sahaja, tetapi saya menyokong revolusi yang bertujuan menjatuhkan kerajaan yang zalim dan perosak."

Firman Allah
“(Semuanya itu ialah) orang-orang (melampaui batas )yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu.”
(Surah Al fajr 11 & 12)

"Sesiapa yang berhenti (berdiam diri) – padahal dia mampu untuk mendukung kebangkitan ini , maka dia tergolong dalam kumpulan yang lemah dan berdosa. Sekurang-kurangnya sokonglah dengan kata-kata, memberi semangat dan doa."

Thursday, January 10, 2013

Jom...1 JUTA HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT.

Sabda Rasulullah saw;
“Sesungguhnya Aku telah menyaksikan satu sumpah setia [ perjanjian ] yang dimeterai di rumah Abdullah bin Jad'an . Aku tidak akan suka bahawa aku menerima unta yang hebat sebagai ganti untuk menyalahi sumpah setia itu . Jika Islam mengajak dengan perjanjian yang serupa nescaya aku menerimanya .”
(Sirah Ibnu Hisyam, diriwayat di dalam Musnad Imam Ahmad)

Hadis tersebut menunjukkan sikap Nabi saw yang sangat prihatin terhadap sebarang pakatan atau tindakan untuk menentang kezaliman . Biarpun sumpah setia ini berlaku sebelum kebangkitan Nabi saw sebagai Rasul akhir zaman , tetapi naluri seorang nabi sangat terkesan dengan sebarang tindakan yang dilakukan untuk menentang kezaliman .

Sewajarnya kita memahami bahawa sikap positif Rasulullah saw terhadap Hilful Fudhul itu adalah suatu penegasan betapa Islam mendukung sebuah perjanjian yang sarat dengan nuansa perlindungan dan pembelaan hak asasi manusia, walaupun inisiatif dari perjanjian tersebut datang dari kalangan non muslim, dan bahkan sebelum masa kerasulan Nabi Muhammad saw lagi.

Sabda Rasulullah saw;
"Ketika aku bersama para bapa sedaraku turut sebagai saksi dalam persekutuan di rumah Abdullah bin Jud'an, betapa senang hatiku menyaksikan hal itu. Seandainya setelah Islam datang, aku diajak mengadakan persekutuan seperti itu, pasti kusambut dengan baik.”
(Muhammad Al-Ghazali - Fiqhus Sirah)

Begitu, Rasulullah saw telah menjelaskan mengenai keterlibatan beliau di dalam peristiwa Hilful Fudhul di zaman jahiliyyah, Baginda saw menyatakan, jika peristiwa Hilful Fudhul (dimana mereka bahu-membahu untuk kemenangan) terjadi di masa kenabian maka Rasul saw memilih untuk ikut serta didalamnya. Dalam kesempatan lain Rasul saw pernah meminta pertolongan Muth’am bin Ady seorang Nasrani untuk kemanfaatan da’wah. Gambaran tersebut menunjukkan sejauhmana semua peluang dan kesempatan digunakan untuk kemaslahatan dakwah.

Apa disebalik Hilful Fudhul

1. Keadilan adalah nilai sejagat yang harus dipertahankan. Penyertaan dan dokongan nabi Muhammad saw  terhadap peristiwa tersebut bertujuan untuk memperkukuh sendi-sendi keadilan. Nilai-nilai kebenaran mesti didukung sekalipun muncul dari kaum jahiliah.

2. Kezaliman dengan segala bentuk dan tipunya bertentangan dengan ajaran Islam. Keadilan hendaknya ditegakkan tanpa memandang warna kulit, agama, dan suku.

3. Keizinan hukum bolehnya melakukan perjanjian dan kesepakatan antara perbezaan agama dalam hal-hal yang membawa kepada kebaikan dengan mempertimbangkan pencapaian maslahat (kebaikan) dan mafsadat (kerosakan) dari segala aspek.

4. Seorang muslim mesti memiliki nilai positif untuk merealisasikan kebaikan dalam lingkungan dan masyarakatnya, bukan sebagai penonton yang kagum atau terpana melihat hasil yang muncul dari proses tersebut.

5. Diantara bentuk komitmen keimanan seseorang adalah kepekaannya terhadap masalah-masalah yang ada di sekitarnya. Ia dituntut untuk menjadi pelaku dan penggerak dalam segala aspek kebaikan bukan sekadar pemerhati, apatah lagi sebagai pengganggu dan penghalang.



Tuesday, January 8, 2013

Kata-kata hati (39) Mari peduli...


Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2 (UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan. Lapuran kejadian anda boleh dapati dibeberapa blog, antaranya http://haneefsyah.blogspot.com

Sewaktu kita bermukim di Jalan Kalabakan, Sabak Bernam, syukur…, anak diberiNYA kekuatan dapat konsisten ke surau yang terletak di sebelah belakang pondok kita. Sebuah surau yang kukuh indah, dengan penduduk persekitaran yang boleh tahan padat. Seperti dikebanyakan tempat lain, yang hidup beragama tidak subur, surau hanya kelihatan meriah setiap kali ada jamuan kenduri tahlil pada malam Jumaat. Diwaktu-waktu lain, sembahyang berjamaah kerap kali gagal untuk didirikan. Waktu Subuh, Zohor dan Asar adalah waktu-waktu yang sangat kritikal.

Segala pujian hanya bagi Allah, ketika ada waktu terluang, anak usahakan mendekati masyarakat, menziarahi mereka serta diajak untuk memakmurkan surau berkenaan.

Begitu juga sewaktu di UMT, diberitakan, anak sewaktu tiada kuliah atau apa-apa kerja yang berkaitan dengan pelajaran, anak menemui penduduk sekitar, dirayu dan dipujuk untuk sama-sama kembali menghayati semua tinggalan Rasul saw serta mendakap kemas Allah, Tuhan sekalian ‘alam – Pencipta kita. Sahabat akrab anak, Ranzi (Pelajar Sarjana, juga di UMT) memberitahu abah, bahawa disubuh terakhir, sewaktu berjalan menuju ke sungai (sungai dimana anak lemas, dan kembali kepangkuanNYA) anak mengutarakan azam untuk sessi semester yang berikutnya, untuk menghidupkan kehidupan beragama dibeberapa institusi pengajian sekitar UMT.

Namun ditakdirkan tiada kesampaian….tak mengapalah anak.

Sewaktu-waktu cuti semester, dengan kemampuan kewangan yang sangat terbatas, mencatu duit belanja sendiri, serta belanja pembelajaran, anak ke Malaysia Timur. Cuba mengambil tahu hal agama yang amat kita sayangi ini. Memikirkan kegawatan kehidupan beragama yang amat gersang, aqidah umat Islam yang terancam dan Islam yang dikesampingkan.  Sebahagian masih dengan nama yang beridentitikan Islam, namun amalan dan syiar sudah jadi sejarah. Ada peristiwa sebahagian penduduk warga emas yang ikut bersembahyang (dek kerana malu dipujuk untuk turut serta sama-sama bersembahyang) berbuat kelakuan sembahyang tanpa mampu menyebut apa-apa bacaan. Usah ditanya persoalan-persoalan lain dalam agama. Namun mereka tetap ada keinginan untuk kembali kepada agama, namun tiada tangan yang dapat memimpin mereka untuk kembali dekat.

Namun Allah Maha Tahu dan Maha Pengatur. Sedang anak di sana, anak dipanggilNYA. Redhalah anak dan kami redha. Moga Allah redha pada kita semuanya. Walau tidak banyak yang sempat anak usahakan, namun syukurlah anak masih dalam rangka menghayati pesan Ar-Rasul saw berikut ;

Sabda Rasulullah saw;

“ Sesiapa yang tidak mengambil berat urusan kaum muslimin, maka dia bukanlah daripada kalangan mereka, dan sesiapa yang tidak menasihati untuk Allah (mengamalkan perintahNya), Rasul (mengamalkan sunnahnya), KitabNya (mengamalkan isi kandungannya), pemimpinnya (menasihati yang terbaik utk mereka) dan umat Islam, maka dia bukanlah dari kalangan mereka.”
Diriwayatkan oleh al-Tabarani (sebagaimana disebutkan oleh Ibn Rejab dalam Jami' al-Ulum wa al-Hikam) iaitu dalam al-Mu'jam al-Saghir dan juga al-Mu'jam al-Awsat sebagaimana disahkan oleh al-Haithami dalam Majma' al-Zawaaid.

Memang kita agak jauh dari dapat melaksanakan tuntutan hadith tersebut semuanya, namun abah percaya anak sedang meningkatkan upaya serta azam untuk menurutinya. Rasanya di mata, disekeliling, di dalam hati dan darah anak seakan tersembul keinginan menuruti semuanya.

Moga Allah mengampuni kita, atas upaya kita yang terbatas itu. Kemudian moga Allah sudi memandang amal kita yang terlalu sedikit ini.



Monday, December 31, 2012

Kata-kata hati (38) Mudah-mudahan Allah.....


Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2 (UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan. Lapuran kejadian anda boleh dapati dibeberapa blog, antaranya http://haneefsyah.blogspot.com

Memasuki asrama Yayasan Selangor, sewaktu tingkatan satu ketika usia anak mendekati 13 tahun. Ditakdirkan anak berkawan rapat dengan Ahmad (sekarang juga merupakan aktivis da'wah – pelajar kejuruteraan di UTM Skudai), mungkin sekarang sudah menamatkan pengajian ijazahnya. Berjinak-jinak dengan sedikit sebanyak program keagamaan, seumpama tazkirah, ceramah dan lain-lainnya.

Menyambung pelajaran ke MRSM Bandar Muadzam Shah, Pahang. Disana berkenalan rapat dan beroleh bimbingan serta mendapat inspirasi dari beberapa mujahid da’wah, antaranya Ustaz Irawan Ebit Liew Abdullah, (Tokoh penda’wah dan motivasi yang sering ke udara di radio Ikim.fm kini)

Semenjak itu seakan anak tidak bisa menoleh kebelakang lagi. Saban waktu terluang, cuti penggal, apatah lagi cuti panjang, anak habiskan dengan kerja-kerja da’wah.

Duit saku sedikit sebanyak yang anak dapat, disimpan untuk belanja da’wah. Begitu juga dengan sedikit gaji sebagai ‘cleaner’ hospital Tengku Ampuan Rahimah (sambilan semasa cuti), anak habiskan juga di jalan Allah.

Tiada waktu sanggang yang lama di rumah walaupun orang lain sewaktu cuti semester berehat dan bermanja serta berenak-enak dengan keluarga. Disamping berusaha memperbaiki upaya diri dengan Al-Qur’an, dalam ibadah dan mencari ilmu lainnya, menelusuri ceruk pendalaman, meredah jeram sungai yang panjang, mendaki bukit serta menuruni lurah lembah, mencari manusia, diajak kembali mencitai Allah, Tuhan Pencipta kita. Dalam serba payah serta serba kekurangan. Menghadapi tohmah dan cacian serta penghinaan manusia yang bukan sedikit dengan tekun dan sabar.

Namun pada penilaian abah, rupanya segala itu memantulkan jiwa cekal, kental, tabah, sabar, selain dapat mendidik nafsu serakah manusia serta menekan ego yang kerap bisa merosakkan.

Anak…..,

Mudah-mudahan Allah menerima segalanya sebagai amal soleh anak, meredhai anak dan mengganjari anak di sana.

Sabda Rasulullah saw;
“ Hai Abu Dzar, tiada seorang pemuda yang meninggalkan dunia, dan menghabiskan masa mudanya dalam ta’at kepada Allah, melainkan Allah akan memberi kepadanya pahala tujuh puluh dua (72) orang siddiq.”
(Tercatat dalam kitab Wasiat Nabi (saw) pada Abu Dzar (ra) Oleh H.Salim Bahreisy.

Sabda Rasulullah saw lagi;
“ Hai Abu Dzar, orang yang berzikir di tengah-tengah orang-orang yang lalai, bagaikan orang yang meneruskan jihad di tengah-tengah orang-orang yang melarikan diri.”
(Tercatat dalam kitab Wasiat Nabi (saw) pada Abu Dzar (ra) Oleh H.Salim Bahreisy.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.