Wahai jiwa,
Mari kita perhatikan kata-kata ini........
" Bila Allah memberikan kurniaNya kepadamu, maka Ia memperlihatkan kebaikanNya padamu. Manakala Ia menahan pemberianNya kepadamu, maka Ia menunjukkan kekuasaanNya padamu. Dalam semua keadaan tersebut Ia memperkenalkan diriNya kepadamu dan menghadapimu dengan kelembutanNya."
Wahai jiwa,
Acapkali bila kita berhajat, atau menginginkan sesuatu, ada waktu kita memperolehnya. Kerap juga apa yang kita hajatkan itu tidak dapat kita gapai. Namun, kedua-duanya adalah baik bagi kita semuanya. Dapat atau sebaliknya, semuanya memberi manfaat bagi yang celik hatinya.
Jika Allah menahan pemberianNya terhadapmu, bererti Ia memperkenalkan Diri kepadamu, bahawa Dia-lah Yang Maha Berkuasa. Walaupun penahanan pemberian itu seakan menyakitkan, namun faham serta yakinlah bahawa penangguhan itu juga merupakan pemberian tersendiri, yakni pemberian kefahaman dan keyakinan bahawa Dia-lah Yang Maha Berkuasa. Jika begitu, nanti hatipun akan menjadi senang. Manakala Ia memberimu, itu pertanda Ia memberitahukan kebaikanNya padamu, bahawa Dia-lah Yang Memberi, Dia-lah yang berbuat baik, dan Dia-lah Yang Maha Pemurah. Dalam hal keadaan apa juga, boleh menjadi wahana untuk Ia memperkenalkan diriNya terhadapmu.
Pandailah memetik pelajaran, samada penundaan atau penyegeraan pemberian itu. Nescaya berada dalam kebaikan yang besar.
No comments:
Post a Comment