RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Thursday, June 20, 2013

Subhanallah!




Berikut adalah sedikit daripada lapuran yang mudah ditemui di mana-mana yang melibatkan Aiman Nurhakim Yahya, 13 tahun, seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu, Sg Petani, Kedah, pada hari Sabtu, 15hb June 2013 bersamaan 6 Syaaban 1434. Penuntut tahun satu, memulakan pengajian awal tahun ini, tahun 2013.
Petikan lapuran.
Satu demi satu keajaiban dapat disaksikan sepanjang membuat liputan tragedi kebakaran yang menyebabkan seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu terkorban dalam kejadian jam 1.50 pagi, Sabtu lalu. Namun, apa yang berlaku pasti mempunyai hikmah tersendiri selain menunjukkan kekuasaan ALLAH SWT.

Ini bukan sahaja dapat dibuktikan dengan penemuan barang-barang milik mangsa terkorban yang masih elok tersusun dalam almari kayu sedangkan almari besi milik pelajar lain semuanya hangus termasuk pakaian dan barang-barang peribadi mereka yang lain.

Dalam kejadian itu, mangsa, Aiman Nurhakim Yahya, 13, seorang pelajar pintar, rajin dan antara yang paling berdisiplin dikatakan gagal untuk menyelamatkan diri setelah terperangkap dalam kebakaran di asrama tempat mereka menetap.

Barang rakan lain musnah
Menceritakan kembali tragedi itu, Penaung Rangkaian Pusat Pendidikan Al-Barakah yang juga imam kariah Kampung Masjid, Anuar Md Isa berkata, kesemua pelajar sudah terjaga dari tidur dan menjangkakan Aiman adalah yang terakhir keluar menyelamatkan diri.

“Kemungkinan arwah yang tidur di tingkat atas cuba untuk turun melalui tangga, tetapi bahagian atas binaan asrama yang berasaskan kayu runtuh menyebabkan dia terperangkap dalam api yang marak,” katanya.

Menurut Anuar, apa yang lebih ajaib ialah penemuan barang-barang peribadi milik arwah yang masih elok tersusun dalam almari miliknya sedangkan barang peribadi rakan-rakan lain semuanya musnah.

“Kalau nak diikutkan, api menjulang tinggi sehingga memusnahkan keseluruhan bahagian asrama, bagaimanapun almari Aiman yang diperbuat daripada kayu, terpelihara.

“Apa yang saya perasan juga ialah selipar yang selalu digunakan arwah selalunya diletakkan di luar, tetapi sebelum kejadian, dia ambil dan letak elok-elok dalam laci. Selipar itu juga masih elok dan tersimpan rapi,” katanya yang mengakui sesuatu keajaiban mengenai peribadi pelajar itu.

Baru lakukan tasmi’
Anuar berkata, Aiman baru sahaja selesai menghabiskan satu juzuk al-Quran dan dijangka bakal masuk ke juzuk kedua.

“Dia baru sahaja melakukan tasmi’ (memperdengarkan bacaan al-Quran) satu juzuk dengan ustaznya bagi membolehkannya memasuki juzuk kedua yang dijangka hari ini (semalam),” katanya.

Lebih memeranjatkan, Anuar berkata, pakar yang melakukan bedah siasat ke atas jasad Aiman mendapati, otaknya masih segar, seperti otak orang masih hidup, sedangkan anggota badan lain sudah renting.

Memang keajaiban apabila pakar yang menjalani bedah siasat menjelaskan, otaknya masih segar, bersinar seolah-olah milik insan yang masih hidup,” katanya, memuji kekuasaan ALLAH SWT.

Allahu akbar!!!
Allahu akbar!!!
Allahu akbar!!!

Apa lagi yang dapat kita katakan melainkan beberapa kemulian insya Allah telah dikecapinya , sesuai dengan apa yang telah dijanjikan oleh Ar-Rasul saw yang mulia.

Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah saw bersabda:
"Apa menurut kalian tentang orang yang mati syahid?" Mereka menjawab: "Wahai Rasulullah, mati syahid adalah buat mereka yang dibunuh fisabilillah." Rasulullah bersabda: "Jika demikian saja, maka syuhada umatku sedikit." Mereka bertanya: "Lalu, siapa mereka Ya Rasulullah?" Rasulullah menjawab: "Barangsiapa dibunuh dijalan Allah itulah Syahid, dan barangsiapa mati fisabilillah itulah syahid, yang mati kerana taun (sejenis penyakit lepra) maka dia syahid, dan siapa yang mati kerana sakit perut dia syahid." (Hadis Riwayat Muslim(3539)

Jabir bin Atik meriwayatkan dari baginda saw, " Syahid itu ada tujuh , selain dari peperangan di jalan Allah iaitu , mati kerana taun, mati kerana lemas , penyakit bengkak di sebelah badan , penyakit dalam perut , mati kerana terbakar , mati kerana tertimbus runtuhan dan wanita yang mati dengan kandungannya. " ( HR Abu Daud )

Sementelah, beliau terkorban dalam misi yang sangat mulia, mempelajari, membaca dan menghafal Al-Qur’an.

“ Barangsiapa yang membaca (hafal) al-Qur’an, maka sungguh dirinya telah menaiki darjat kenabian, hanya saja tidak diwahyukan kepadanya.” (Riwayat Hakim).

“ Sesungguhnya Allah mempunyai keluarga di antara manusia, para Sahabat bertanya, “Siapakah mereka Ya Rasulullah ? Rasul menjawab, “Para ahli al-Qur’an. Merekalah keluarga Allah dan pilihan-pilihanNya”. (Riwayat Ahmad).

Dari Abu Ummamah RA ia berkata,”Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al-Qur’an, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi Syafaat pada hari kiamat bagi para pembacanya (penghafalnya)”. (Riwayat Muslim).

Al-Fatihah buat anak...Aiman Nurhakim Yahya

Monday, June 3, 2013

AL-FATIHAH.

Tribute untuk sahabatku Zul Hadi
@ Zulkfly Abdullah @ Cikgu Zul
Menemui Rabb pada 23 Rejab 1434 H (2hb June 2013 – 1.30tgh)

Allah temukan saya dan Al marhum di tahun-tahun indah, dalam suasana keberkatan semasa hidup berjemaah dalam wadah gerakan pelajar Islam MI ITM, sekitar awal 80an. Berlainan bidang pengajian. Al marhum Zulkfly Abdullah lebih dikenali rakan jemaah sebagai Zul Hadi, kerana punya bakat berpidato serta suara persis Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Beliau mengikuti bidang pengajian Kejuruteraan Mekanikal.

Seorang yang ‘humble’, tapi sangat bijak serta komited dengan kerja-kerja jamaah. Kehadiran beliau (waktu itu) di dalam setiap program jamaah menjadikan sekaliannya bersemangat dan kuat. Gerak susuk tubuhnya serta setiap pantulan kata-katanya tersurat segala sesuatu yang bisa mendorong sahabat lainnya untuk sama aktif dan komited dengan kerja.

Saya berkesempatan bersahabat rapat dengan Al marhum, walaupun secara jujur saya ratusan ‘tiang’ ketinggalan jika dibandingkan dengan kerja, keupayaan, keilmuan apatah lagi ketokohan beliau, dan dalam segenap segi lainnya. Berbetulan kami sama diamanahkan memegang jawatan ‘PU’ (biarlah saya tidak jelaskan apa itu PU) kajian masing-masing. Waktu itu ITM masih menggunapakai istilah ‘Kajian’ bagi istilah fakulti. Beliau di Kajian Kejuruteraan sementara saya di Kajian Sains Gunaan.

Namun kami sempat bertahun-tahun bersama mengharung segala perit getir perjuangan, onak ranjau, tribulasi serta pahit manis memertabatkan Islam. Sempat bersama-sama menjulang kemenangan kempen pilihanraya kampus serta mendominasi penguasaan kampus untuk beberapa sessi, meskipun berhadapan dengan jentera pentadbiran yang bukan kepalang besar, membantu lawan golongan ‘nasionalis’. Sama-sama berjimat dan menabung untuk membiayaai pergerakan jamaah, dan biaya pilihanraya kampus yang mencabar. Sama-sama dapat melihat dan merasai suasana persekitaran kampus yang sedikit sebanyak diwarnai oleh Islam, seumpama pelajar wanita yang terlalu ramai dapat berjubah, bertudung labuh, malah tidak kurang yang berpurdah.

Dengan serba kekurangan, tetap dapat mengatur program yang berbagai, menyantuni masyarakat pelajar dan tidak terkecuali program pembinaan dalaman ahli-ahli jamaah. Dalam kesibukan kuliah serta tugasan yang banyak, dapat juga digagahkan memenuhi jadual Imam-bilal, diikuti dengan tazkirah Subuh dan Maghrib di surau-surau seluruh kampus. Kebanyakan masa, ‘menapak’ dua atau tiga kilometer untuk tugasan tersebut dari Asrama Angsana ke Asrama Cempaka , Seroja atau Kenanga. Begitu juga dengan program-program usrah, tamrin, qiyamu-lay-l, semuanya hidup subur dalam kalangan ahli jemaah. Masing-masing dapat menetapi amalan puasa-puasa Isnin Khamis terutamanya, serta amalan bacaan zikir Al-ma’thurat, dan lainnya. Sama bercekang mata saat ditugaskan menjaga keselamatan sewaktu rehlah yang jauh. Sama-sama menahan lapar waktu-waktu dicatu makanan semasa program tamrin yang panjang.

Itulah sekelumit dari kehidupan panjang, indahnya hidup berjamaah, yang sempat diharungi bersama Al marhum. Ada kekuatan dalam diri yang lemah. Ada kecukupan dalam kehidupan yang serba kekurangan. Ada semangat saat menghadapi kekangan dan ancaman. Saling berkeupayaan dalam payah dan serba kekurangan.

Satu suasana ideal yang pernah dilalui, yang agak sukar ditemui lagi dimana-mana. Keakraban ukhuwwah dan kesatuan fikiran serta kesatuan tindakan mewarnai segalanya. Seumpama ikatan Ansar dan Muhajirin di Madinah, walaupun tidak sehebat dan seutuh mereka.

Sukar ditemui lagi suasana dimana berlangsung didalamnya seorang sahabat yang senantisa disambut tangannya waktu terjatuh, sahabat yang senantiasa hadir membantu waktu tiba masa-masa kelesuan, kelalaian, kelekaan, kelupaan ataupun teralpa dengan bujukan syaitan, sahabat yang menjadi perisai waktu seorang sahabatnya yang lain hanyut terdedah kepada kehancuran dan kebinasaan, segalanya ikhlas kerana Allah. Itulah peranan besar Al marhum, menjadi sumber inspirasi, kepada kalangan ahli jamaah.

Sesungguhnya saya sangat merindui suasana dimana penat lelah dan perit getir perjuangan tidak membekas lantaran sahabat-sahabat seumpama Al marhum sentiasa tampil meringankan kepenatan dan kesusahan itu. Dimana ada lagi kita dapat temui apabila seorang sahabat berjalan di atas jalan da'wah, kelihatan seolah-olah dibawanya bersama hati-hati sahabat-sahabatnya yang lain. Diwaktu berdoa seluruh sahabatnya tidak pernah terlepas dari didoakan dengan doa-doa yang baik dan mustajab.

Diantara perkara yang saling kami jadikan peringatan waktu itu ialah ; “Biarpun sudah menduduki kerusi empuk, perjuangan ini tidak harus ditinggalkan.”

Setelah masing-masing meninggalkan dewan kuliah kami terpisah hampir dua puluh lima tahun. Pada tahun 2009, sewaktu ada kesempatan berkunjung ke Terengganu, sengaja saya mencari beliau. Ternyata beliau semakin hebat. Menginfa’kan seluruh kehidupannya untuk perjuangan Islam. Menjejaki liku hidup persis Imam Nawawi, mengajar dan tidak sempat berkahwin, lantaran kekurangan waktu mungkin.

Kepada Saudara al Marhum Zulkfly Abdullah;

Mudah-mudahan pertemuan-pertemuan kita dahulu, Allah akan terima sebagai sebahagian 'amal-'amal soleh untuk bekalan kita 'di sana'.

Sabda Rasulullah saw, dari Abu Hurairah ra
" Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah di hari yang tiada naungan kecuali naungan Allah. 1. Pemimpin yang adil. 2. Pemuda yang masanya dihabiskan dengan beribadat kepada Allah. 3. Pemuda yang hatinya sentisa terpaut dengan masjid. 4. DUA LELAKI (ORANG) YANG BERKASIH SAYANG, BERTEMU DAN BERPISAH KERANA ALLAH......" (dan sterusnya)
Hadith riwayat Muslim.

Dan mudah-mudahan Allah telah terima amalan saudara sebagai suatu persembahan yang indah disana...Ameen.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.