RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Tuesday, June 29, 2010

Dalam kesempitan dan kelapangan ada kasih Tuhan

Semua akur bahawa putaran roda kehidupan hanya berkisar sekitar kelapangan dan kesempitan. Kelapangan sering menjadikan manusia yang melaluinya gembira ria, manakala kesempitan sering menjadikan manusia yang melaluinya merasa sempit dada. Seperti juga malam, siang, kesenangan dan penderitaan, keadaan sempit dan lapang pun tidak terkecuali meninggalkan kesan didalam hati.

Sering juga dua keadaan ini, iaitu kelapangan dan kesempitan disalah fahami oleh ramai manusia. Tidak sedikit kelapangan dan kesempitan ini, menjadikan sebahagian manusia menjadi hina. Sebahagian manusia menyangka bahawa kelapangan adalah kedudukan tertinggi dan merupakan suatu pengabulan Tuhan. Namun hakikatnya, lantaran rahmat Allah, Ia menjadikan kelapangan datang setelah kesempitan, dan memunculkan kesempitan sesudah kelapangan, sehingga sesaorang tidak hidup dalan kesusahan dan kecemasan secara berterusan. Dia memberikan kelapangan kepada manusia, agar Ia tidak membuat manusia selalu berada dalam kesempitan.

Namun sedarlah bahawa kelapangan kadang-kadang membuat manusia tidak upaya mengawal diri, menjadikan sesaorang berpekerti serta beradab buruk, samada perkataan maupun perbuatan. Oleh itu sebahagian orang yang waspada ia sangat bimbangkan dan takut pada kelapangan. Keadaan lega, lapang yang berterusan boleh menghapus adab perhambaan dan ridha hamba terhadap Allah. Lagi pula, kelapangan amat rentan untuk dihinggapi nafsu. Biasanya diwaktu lapang tidak mampu ditegakkan adab , kecuali sedikit. Dalam keadaan lapang , nafsu kerap mengambil peranan lantaran diwaktu itu ujud kegembiraan, manakala didalam kesempitan tidak ada bahagian nafsu darinya
Firman Allah Surah Yunus :12
" Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada kamiuntuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan."

Firman Allah Surah Al Isra : 67
" Dan apabila kamu terkena bahaya di laut (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain Allah, maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya), dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah)."

Firman Allah Surah Yunus : 22-23
" Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan (belayar) di lautan. Sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan meluncurlah bahtera itu membawa orang-orang yang ada di dalamnya denga tiupan angin yang baik, dan mereka bergembira kerananya, datanglah angin badai, dan (apabila) gelombang dar segenap penjuru menimpanya, dan mereka yakin bahawa mereka telah terkepung (bahaya), maka mereka berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepadaNya semata-mata. (Mereka berkata) : Sesungguhnya jika Engkau menyelamatkan kami dari bahaya ini, pastilah kami akan termasuk orang-orang yang bersyukur." "Maka tatkala Allah menyelamatkan mereka, tiba-tiba mereka membuat kezaliman di muka bumi tanpa (alasan) yang benar."

Sesuatu yang pasti Tuhan mengeluarkan manusia (sesaorang) samada dari keadaan lapang maupun sempit, kerana Ia hendak menempatkan manusia (sesaorang) pada kedudukan berserah diri. Dalam kelapangan, dalam kesempitan dan dalam apa juga keadaan, kasih sayang Tuhan tetap disajikan untuk hambaNya.

Maka..."Ambillah sajian itu dengan rela."


Jihad : kewajipan yang diabaikan (2)

Pengertian Jihad.

Jihad adalah pengerahan segala kemampuan, keupayaan dan potensi dalam memerangi musuh. Jihad diwajibkan atas kaum muslimin demi membela agama Allah. Dan jihad baru dilakukan setelah ternyata wujud gangguan-gangguan yang dilakukan musuh terhadap kaum muslimin. Orang Islam tidak diperkenankan memusuhi suatu bangsa, tanpa suatu alasan, kecuali bila bangsa itu mengambil sikap permusuhan terhadap Islam dan kaum muslimin, atau bersiap-siap menggempur Islam dan kaum muslimin. Dalam keadaan seperti itu Islam mewajibkan ummatnya untuk menentukan sikap terhadap bangsa tersebut dan menentang maksud-maksud jahatnya.

Para ahli fekah pada umumnya berpendapat, bahawa asal disyariatkan jihad (perang) adalah kerana adanya permusuhan terhadap Islam, bukan kerana adanya perbezaan akidah.

Firman Allah Surah Al Baqarah : 190.

" Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas."
Bersambung...............

Monday, June 28, 2010

Jihad : kewajipan yang diabaikan (1)

Mukaddimah rengkas.

Islam mewajibkan umatnya berjihad demi membela agama dan melindungi kehormatan. Jihad dalam Islam tidak didasarkan atas permusuhan dan dendam. Peperangan dalam Islam tegak di atas prinsip-prinsip dan peraturan yang jelas, iaitu menolak dan mencegah timbulnya permusuhan terhadap Islam dan kaum muslimin.

Firman Allah : S.Al Baqarah 190-191.

" Perangilah mereka pada jalan Allah akan orang-orang yang memerangi kamu dan janganlah kamu melampaui batas. sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melewati batas. Bunuhlah mereka itu dimana kamu peroleh dan usirlah mereka itu sebagaimana mereka mengusir kamu. Fitnah itu lebih berbahaya daripada pembunuhan, dan janganlah kamu memerangi mereka di Masjidil Haram, kecuali jika mereka memerangi kamu di tempat itu, jika mereka memerangi kamu (di tempat itu), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi ornag-orang kafir."

Firman Allah lagi : Surah Al-Hajj : 39-40

" Telah diizinkan berperang bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya, dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuasa menolong mereka itu. Iaitu orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata: "Tuhan kami hanyalah Allah." Dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentu telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong agamaNya. Sesungguhnya Allah benar-benar maha Kuat lagi Maha Perkasa."

Jihad di jalan Allah merupakan puncak pengabdian kaum muslimin, sebab jihad berarti menegakkan agama Allah dan menyebarluaskan kalimatullah. Sementara para mujahid itu telah mengorbankan segala miliknya yang paling berharga, termasuk jiwa dan hartanya, maka Allah telah menjanjikan pahala yang istimewa kepada setiap mereka.

Firman Allah : Surah At-Taubah : 111.

" Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benardari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur'an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar."

Sementara Rasulullah saw mengatakan :
"Mahukah kamu aku beritahu tentang manusia yang paling utama ? Ia itu laki-laki yang kuat memegang kendali kudanya dalam jihad fi sabilillah."
Ketika menjawab pertanyaan sahabat tentang manusia yang paling utama, Nabi Muhammad mengatakan: " Iaitu orang yang berjihad di jalan Allah dengan jiwa dan hartanya."

Dari Abu Hurairah, ia berkata: "Seorang laki-laki bertanya kepada Nabi Muhammad saw. Beritahu kami wahai Rasulullah saw tentang pekerjaan yang pahalanya menyamai pahala pejuang-pejuang di jalan Allah. Rasulullah saw bertanya. "Apakah kamu sanggup melakukan solat tanpa putus-putus dan berpuasa terus-menerus? Orang itu menjawab; "Saya tidak sanggup melakukannya, wahai rasulullah." Kemudian Rasulullah saw bersabda : Demi zat yang menguasai diriku, jika kamu kuat-kuatkan melakukan hal itu, tidak akan dapat menyamai mujahid-mujahid di jalan Allah. Apakah kamu tidak tahu, bahawasanya seorang mujahid akan diikuti terus jejaknya, dan itu dicatat sebagai amal baik."
Hadith diriwayatkan oleh Abdullah Al Mubarak.

Bersambung ........

Saturday, June 26, 2010

Wahai jiwa kenali DIA

Wahai jiwa,
Mari kita perhatikan kata-kata ini........

" Bila Allah memberikan kurniaNya kepadamu, maka Ia memperlihatkan kebaikanNya padamu. Manakala Ia menahan pemberianNya kepadamu, maka Ia menunjukkan kekuasaanNya padamu. Dalam semua keadaan tersebut Ia memperkenalkan diriNya kepadamu dan menghadapimu dengan kelembutanNya."

Wahai jiwa,

Acapkali bila kita berhajat, atau menginginkan sesuatu, ada waktu kita memperolehnya. Kerap juga apa yang kita hajatkan itu tidak dapat kita gapai. Namun, kedua-duanya adalah baik bagi kita semuanya. Dapat atau sebaliknya, semuanya memberi manfaat bagi yang celik hatinya.

Jika Allah menahan pemberianNya terhadapmu, bererti Ia memperkenalkan Diri kepadamu, bahawa Dia-lah Yang Maha Berkuasa. Walaupun penahanan pemberian itu seakan menyakitkan, namun faham serta yakinlah bahawa penangguhan itu juga merupakan pemberian tersendiri, yakni pemberian kefahaman dan keyakinan bahawa Dia-lah Yang Maha Berkuasa. Jika begitu, nanti hatipun akan menjadi senang. Manakala Ia memberimu, itu pertanda Ia memberitahukan kebaikanNya padamu, bahawa Dia-lah Yang Memberi, Dia-lah yang berbuat baik, dan Dia-lah Yang Maha Pemurah. Dalam hal keadaan apa juga, boleh menjadi wahana untuk Ia memperkenalkan diriNya terhadapmu.

Pandailah memetik pelajaran, samada penundaan atau penyegeraan pemberian itu. Nescaya berada dalam kebaikan yang besar.

kata-kata hati (8) Mengejar waktu

Klik gambar untuk lebih jelas

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.
Dalam pertemuan abah dengan Engineer Hj Abdul Ghani, yang menjadi 'Amir' anak semasa misi da'wah anak ke Sandakan tempohari (walaupun anak cuma sempat turut serta dalam beberapa hari sahaja) di Seri Petaling, 5hb June 2010, abah di tunjukkan oleh beliau dengan catatan mesyuarat serta tugasan jemaah da'wah anak dan secara khusus tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada anak.

Abah dapat teliti bahawa tugasan selepas solat Asar, hari Isnin (3hb Mei 2010) sebelum anak berangkat menemui Rabb kita pada hari Selasa (4hb Mei 2010) , adalah ziarah ke perkampungan Melayu Cocos, di Bluran, Sandakan. Bersama anak antaranya adalah Tuan Hj Muhammad Embong . Anak diberi tanggungjawab sebagai jurubicara petang itu. Menurut Tuan Hj Muhammad Embong, perkampungan tersebut agak terpencil dan berbukit-bukit. Untuk menyelesaikan tugasan ziarah, sedikit tazkirah serta jemputan ke surau untuk majlis ta'alim agak sedikit sukar. Anak dan rombongan perlu memanjat dan menurun bukit untuk sampai kesetiap rumah-rumah berkenaan.

Menurut Engineer Hj Abd Ghani, dan Hj Muhammad Embong, biasanya misi tersebut cuma memerlukan sekitar 45 minit. Namun anak petang itu berhempas pulas untuk sampai kesetiap buah rumah, dan akhirnya cuma dapat menghabiskan tugas hampir-hampir waktu Maghrib. Ujar Engineer Hj Abd Ghani lagi, anak kehabisan upaya, sehingga tugas memberi tazkirah selepas waktu Maghrib hari itu terpaksa diamanahkan kepada orang lain.

Ternyata anak mengejar waktu......, mengambil kesempatan waktu hidup anak sebelum datang kematian. Hidup perlu dipenuhkan dengan 'amal dan apa-apa yang boleh menjadi bekal disana......

Tak mengapalah anak..... semoga Allah tidak akan mensia-siakan segala susah payah anak itu, kerana Allah berjanji ; " Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya." Surah Az Zalzalah :7

Lagi pula anak......

Bahawa Abu Darda' memarfu'kan: " Allah akan membangkitkan beberapa kaum pada hari kiamat, sedang di wajah-wajah mereka ada cahaya, di atas mimbar-mimbar mutiara dan manusia pun ingin seperti mereka, padahal mereka bukanlah para nabi dan bukan pula syuhada'." Seorang Arab gunung berdiri di atas lututnya seraya berkata; "Ya Rasulullah, jelaskan sifat mereka itu kepada kami agar kami dapat mengetahui mereka." Nabi saw bersabda; " Mereka adalah orang-orang yang saling mencintai kerana Allah dari berbagai macam kabilah dan berbagai negeri; mereka berkumpul untuk berzikir kepada Allah."
(Isnad hadith ini hasan. Demikianlah di dalam at-Targhib (2/406) dan di dalam Majma' az-Zawa'id(10/77)

Dan lagi anak...............menurut As-Syeikh Sa'id Hawwa;

"Kerana itu mencari saudara-saudara dalam agama Allah (ikhwan fillah) untuk diajak berkumpul dalam rangka berzikir kepada Allah adalah termasuk hal yang harus diupaya dan diusahakan dengan bersungguh-sungguh oleh seorang Muslim, kerana dengan zikir akan terjelma keikhlasan yang menjadi prasyarat diterimanya amal, dan dengannya pula sesaorang bisa terhindar dari penyakit-penyakit hati yang dapat membatalkan amal."

Saturday, June 19, 2010

Cristiano Ronaldo dan Qiyaamu'al-layl

Terjaga dari tidur, lalu bangun diwaktu malam adalah biasa bagi semua orang. Kadang-kadang terjaga kerana keperluan tabie manusia, tak tertahan perlu kebilik air. Ada waktu terjaga kerana dentuman petir, kucing berkelahi di atas bumbung rumah, anjing menyalak, atau anak menangis meminta disusui. Kerap juga terjaga dari tidur kerana mimpi yang entah apa-apa, seumpama mimpi dikejar badak sumbu, yang sumbunya tajam runcing. Jarak terlalu hampir, lari sehabis daya, tapi kaki pulak tersandung cuma dek sebatang ranting kecil. Menjerit, lalu terjaga. Ramai juga terjaga lantaran dicuit oleh suami atau isteri.
Ada waktu memang kita inginkan terjaga, pasangkan jam loceng, 'set alarm handset', dan berbagai kerana nak mentelaah pelajaran sebab peperiksaan dah terlalu hampir. Untuk bangun ada waktunya memang agak sukar. Kerap juga jam atau 'alarm handset' akan dimatikan sahaja kerana tak ada kuasa mengatasi nikmat tidur, atau tak berdaya mengangkat beratnya selimut.
Namun, terkini, kajian mendapati kadar orang bangun malam meningkat mendadak secara luar biasa sejak 11hb Jun2010. Majoriti tidak lagi menghadapi terlalu banyak masalah untuk bangun. Nikmat tidur sudah dapat diabaikan, manakala selimut tidaklah seberat selalu. Keadaan ini tidaklah pelik kerana waktu-waktu ini pasukan bola sepak kesukaan masing-masing sedang beraksi di Afrika Selatan, dalam Kejohanan Piala Dunia FIFA. Untuk bertahan selama sekitar lebih kurang 95 minit bukan masalah lagi.
Terima kasih pada bintang-bintang ternama bolasepak dunia yang sedang beraksi di sana. Terima kasih Cristiano Ronaldo, terima kasih Fabio Cannavaro, terima kasih Daniele De Rossi, terima kasih Antolin Alcaras dan ramai lagi. Lantaran keindahan permainan dan 'skill ' menakjubkan kalian mampu menahan sebahagian besar manusia dari terus tidur.
Apa kata dikesempatan kita mudah bangun tidur diwaktu-waktu dinihari itu kita gunakan sebahagiannya untuk menyahut saranan Tuhan yang bermaksud ;
" Bangunlah (untuk sembahyang) dimalam hari , kecuali sedikit (daripadanya), iaitu seperdua atau kurangilah dari seperdua itu sedikit, atau lebih dari seperdua itu. dan bacalah Al Qur'an itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat. Sesungguhnya bangun diwaktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan diwaktu itu lebih berkesan."
Surah Al Muzammil : 2-6

Firman Allah lagi ;
" Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam hari , bersembahyang tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji."
Surah Al Israa' : 79

Dari Jabir ra. berkata , Rasulullah saw bersabda ;

" Pada malam hari ada satu saat (yang berkat) dimana jika seseorang muslim menepati saat itu dan berdoa kepada Allah meminta keberkatan dunia atau akhirat, nescaya Allah kabulkan doanya. Keadaan ini ada pada tiap malam."
Hadith riwayat : Muslim

Friday, June 18, 2010

Siapakah yang memperkenan doa itu ?

Keratan akhbar

Tidak salah rasanya jika saya ingin mengongsi kembali berita yang pernah memenuhi dada akhbar suatu ketika dahulu...Sabtu 13 hb MAC 2010 . Bagi sesiapa yang kebetulan pada tarikh tersebut tidak berkesempatan untuk membacanya, berikut saya tuliskan semula sebahagian yang penting dari berita tersebut.

KOTA BHARU - Solat istisqa yang diadakan awal pagi semalam, memberi keinsafan kepada lebih 2000hadirin apabila hujan mula turun sebaik sahaja rakaat pertama solat dilakukan. Solat bermula jam 8.30 pagi itu diimamkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di padang Perdana, bersebelahan dengan Stadium Sultan Muhammad ke IV, dekat sini.

Ketika Nik Aziz sedang membaca surah Al Fatihah pada rakaat pertama, hujan lebat mula membasahi ribuan jamaah yang menunaikan solat tersebut. Solat istisqa adalah kali kedua diadakan di Kelantan selepas pertama kali dianjurkan beberapa tahun lalu akibat kemarau panjang.

Sementara itu, Nik Aziz ketika ditemui berkata, beliau bersyukur kerana menganggap doa rakyat Kelantan minta diturunkan hujan itu segera dimakbulkan Allah swt.

"Syukur, kita solat Istsqa hari ini (semalam) mendapat sambutan baik dan ditengah-tengah solat turun hujan. Saya sendiri didedah oleh Allah swt dengan air hujan yang pertama semasa solat hari ini (semalam). Sangat-sangat besarlah harapan mudah-mudahan Allah beri pada kita kebahagiaan di dunia dan akhirat."

" Tiada erti kita bahagia di dunia tetapi akhirat kelak kita masuk neraka. Dengan sebab itu, saya berusaha supaya rakyat kelantan faham bahawa kesusahan yang berlaku atas dunia ini adalah berpunca daripada dosa," katanya.

KOMENTAR.....
Cuba kita kosongkan hati dan minda kita....
Cuba renung dan fikir-fikirkan secara mendalam...seikhlasnya...
Apakah kalau sekiranya tiada Tuhan Yang Maha Berkuasa, Maha Pengatur segalanya .... apakah hanya kebetulan hujan itu turun saat solat belum pun lagi selesai...melainkan mesti di sana ada Tuhan yang memperkenankannya.
Subhanallah...Allahu Akbar....

Firman Allah S. As Syura :26
" Dan Dia memperkenankan doa orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh dan menambah pahala kepada mereka dari karuniaNya."

Firman Allah S. An Naml : 62
"Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan, apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghilangkan kesusahan dan yang menjadikan kamu (manusia) sebagai khalifah di bumi ?

Firman Allah S.Ibrahim : 39
"Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa."

Firman Allah S. Ar Rad : 14
" Hanya bagi Allah-lah (hak mengabulkan) doa yang benar."

Firman Allah S. Hud : 61
" Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmatnya) lagi memperkenankan (doa hambaNya)."

Thursday, June 17, 2010

kata-kata hati (7) Kebetulankah atau ' Isyarat ' Tuhan

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.


Anak...

Naluri seorang bapa, apatah lagi ibu , pasti senantiasa mengingat dan bimbangkan keadaan anak-anak mereka samada di dunia... apatah lagi di alam sana...

Anak....., jika abah pernah memarahi anak dahulu, bukan bererti abah tidak mengasihi anak. Tetapi segalanya adalah lantaran kasih dan sayang yang tiada tepinya. Bimbangkan segala-galanya.

Anak... kini setelah anak pergi... perasaan itu semakin menebal. Antara yakin dengan janji Tuhan dan rasa cemas, bimbang, silih berganti mengambil tempat di hati. Namun sekurang-kurangnya dua kejadian yang abah lalui benar-benar menjadi penenang jiwa kami yang bimbang.

Pertama : Tanggal 25hb May 2010, abah menziarahi Along ' K ' yang sedang sakit. (Kini Along ' K ' telah juga kembali ke pangkuan Ilahi) Bertolak selepas kerja. Singgah di Masjid Bagan Terap untuk solat Maghrib, kemudian terus Ke Binjai Jaya. Terdetik untuk menunggu waktu Isyak di Masjid baru Binjai Jaya. Kebetulan Ustaz Miswan (pendakwah bebas) sedang berkuliah , perihal hari qiamat. Entah bagaimana terpacul dari mulut ustaz suatu ketika dia pernah bertanyakan seorang beragama, alim yang tugasnya banyak mengurus hal-hal kematian. " Tuan, ada tak boleh kita lihat tanda-tanda orang yang mati dalam Khusnul khatimah ?" Tuan guru menjawab , " Ada ". Ustaz bertanya lagi; " Jika ada ... apa tandanya ? " Tuan guru menjawab, " Tubuhnya lembut, tidak kaku, manakala dahi dan mukanya berpeluh."

Dari Buraidah bin Al Khasib berkata, sesungguhnya aku pernah mendengar bahawa Rasulullah saw bersabda : " Matinya seorang mu'min itu tandanya terkeluar peluh didahinya."

Hadith riwayat Imam Ahmad, An Nasai, At Tirmizi, Ibnu Majah dan Al Hakim berkata bahawa hadith ini sahih dengan rawi-rawi Imam Muslim.

Subhanallah.........Alhamdulillah.........Allahu akbar!

Anak ....berbetulan begitulah jasad anak adanya.

Kedua : Tanggal 5hb June 2010, abah ke Masjid Seri Petaling kerana ingin mengambil barangan anak dan menemui rakan seusaha anak yang baru kembali dari misi da'wah di Bluran , Sandakan. Abah sampai di sana sekitar lebih kurang 20 minit sebelum masuk waktu Zohor. Setelah waktu solat, seorang Imam muda (abah kira dia seorang hafiz - jika di nilai dari gaya bacaannya) membacakan sebuah hadith dari sebuah kitab Arab (tak pasti kitab apa).

Hadithnya bermaksud begini:

Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; " Terdapat 7 golongan orang yang mendapat lindungan arasNya pada hari yang tidak ada lindungan selain lindunganNya..

1. Pemimpin yang adil
2. Pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadat kepada Allah swt
3. Seorang yang hatinya terpaut pada masjid
4. Dua lelaki yang berkasih sayang, bertemu dan berpisah kerana Allah swt
5. Lelaki yang digoda oleh wanita cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat, tetapi dia menolak dengan mengatakan "Aku takutkan Allah "
6. Sesaorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya.
7. Sesaorang yang mengingati Allah ketika bersendirian, sehingga mengalir air matanya kerana Allah swt

Hadith riwayat Muslim.

Alhamdulillah....

Semoga Allah menerima semua amal-amal kita, dan mudah-mudahan Allah membenarkan usaha dan segala amal-amal anak setelah anak menekuni sekurang-kurangnya dalam 3 perkara iaitu; Pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadat kepada Allah swt, seorang yang hatinya terpaut pada masjid dan dua lelaki yang berkasih sayang, bertemu dan berpisah kerana Allah swt.
Ameen.......!!!

Wednesday, June 16, 2010

kata-kata hati (6) Yang bertanda 'OREN' (sambungan)

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2 (UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Selepas itu dua malaikat yang bermata seperti kilat datang kedalam kuburnya. Suara mereka seperti guruh , gigi seperti tanduk lembu, dari mulutnya keluar api yang nyala bersama nafas. Rambut begitu panjang sehingga sampai kekaki mereka. Jarak antara dua bahu mereka seperti perjalanan beberapa hari. Belas kasihan serta kelakuan lemah lembut seolah-olah tidak pernah melawati mereka. (Walaupun tidak mengasari orang-orang yang beriman, namun kehebatannya pun sudah cukup menakutkan). Mereka dikenali dengan nama, MUNKAR dan NAKIR. Di tangan setiap orang dari mereka terdapat tukul yang begitu besar dan berat, jika semua jin dan manusia sekali cuba untuk mengangkat satu tukul maka sudah tentu akan gagal. Sampai sahaja mereka terus memberi arahan kepada mayat, "Bangun dan duduk !" Mayat terus bangun dan duduk. Kain kapannya turun dari kepala hingga ke pahanya. Mereka menyoalnya, "Siapakah Tuhanmu, apakah agamamu dan siapa nama Nabimu?" Mayat menjawab, "Tuhanku Allah yang Maha Esa dan tiada penyekutuNya, agamaku Islam dan Nabiku Muhammad sallallahu alihi wasallam yang merupakan Khaatamun Nabiyyeen." Maka kedua-duanya berkata, "Kamu bercakap benar."

Kemudian mereka menolak jauh akan dinding-dinding kubur dari segala arah yang mana di sebelah atas, kanan, kiri, di sebelah kepala dan kaki kuburnya menjadi luas. Selepas itu mereka berkata, "Angkatlah kepalamu ke arah atas." Apabila mayat mengangkat kepalanya ke arah atas maka ia melihat satu pintu yang melaluinya, ia dapat melihat Syurga. Mereka berkata lagi, "Wahai wali Allah ! Itulah tempat kediaman kamu kerana kamu telah ikut kehendak Allah." Baginda saw bersabda, "Demi Allah yang nyawaku dalam genggamanNya ! Ketika itu mayat merasai satu perasaan yang begitu sangat gembira sekali sehingga perasaan sedemikian tidak sekali-kali akan kembali kepadanya."

Kemudian tujuh puluh tujuh pintu akan dibuka dan melaluinya angin yang sejuk serta keharuman dari Syurga akan memasuki kuburnya. Keadaan sedemikian akan berkekalan hingga hari kiamat.

Anak ku... Abah saban waktu mendoakan moga anak mendapat segalanya itu......

Setelah anak berjual beli dengan Allah, menjual harta, kesenangan, keselesaan , diri anak dan segalanya.....demi Agama Allah , mudah-mudahan anak mendapat TUKARAN YANG HEBAT ITU, kerana ....
"Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak menganiaya hambaNya. "
(Al Anfaal : 51)
dan.....
"Apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah , niscaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)." (Al Anfaal : 60)

Monday, June 14, 2010

kata-kata hati (5) Yang bertanda 'OREN ' (sambungan)


Pada hari kedua (Rabu) 5.5.2010 - waktu Asar
Menemui Rabbnya pada (Selasa) 4.5.2010 -selepas solat Subuh


Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2 (UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Semas
a roh berpisah dari badan maka ia berkata kepada badan, " Semoga Allah Taala memberi balasan baik kepada kamu. Kamu telah bersegera taat pada Allah serta beribadat kepadaNya dan kamu selalu cuba elakkan dirimu dari kederhakaan kepadaNya. Hari ini adalah mubarak bagimu. Kamu sendiri pun terselamat dari azab dan juga menyebabkan aku pun terselamat." Kata-kata demikian juga diucap oleh badan kepada roh semasa perpisahan. Dengan perpisahan itu kawasan tanah dimana tempat dia telah beribadat menangis. Pintu-pintu langit dimana amalannya telah lalu pun menangis. Pintu langit dimana rezekinya turun juga menangis. Selepas itu lima ratus malaikat tersebut berkumpul dikeliling mayat. Apabila pemandi memalingkannya, malaikat lekas-lekas memalingkannya. Apabila orang memberi kapan, lekas-lekas malaikat memberi kapan dengan kain yang dibawanya dari syurga.

Apabila diberi wangian, maka malaikat terlebih dahulu mengharumkannya dengan wangian yang dibawa oleh mereka. kemudian semua malaikat berbaris dari pintu rumat mayat sampai ke tanah perkuburan dan beristiqbal (menyambut) jenazah serta doa dan istighfar. Melihat kesemua pemandangan ini syaitan menangis begitu kuat sekali sehingga tulang-tulangnya mula terpatah. Dia berkata kepada tenteranya, " Binasalah kamu sekalian! Bagaimana orang itu dapat melepaskan diri daripada kamu? Maka mereka menjawab, " Mereka adalah maksum (tidak sanggup melakukan dosa)."

Selepas itu apabila Malakul maut membawa rohnya kearah langit, maka Hadrat Jibrael as. menyambut roh itu bersama-sama dengan 70 ribu malaikat. Malaikat-malaikat ini menyampaikan berita -berita gembira kepadanya dari pihak Allah Taala. Selepas itu Malakul Maut as. membawanya sampai ke Arasy, roh itu terus sujud kepada Allah. Maka Allah taala memerintahkan kepada malaikat " Sampaikanlah roh hambaKu ini kepada, "pohon-pohon bidara yang tidak berduri. Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya, dan naungan yang tetap terbentang." (Waqiah : 28-29)

Apabila jenazahnya diletakkan didalam kubur, maka solatnya datang berdiri di sebelah kanannya. Puasanya berdiri di sebelah kirinya. Bacaan Al Quran serta zikirnya berdiri di sebelah kepalanya. Langkah-langkahnya untuk solat berjemaah berdiri di sebelah kakinya. Kesabarannya (ketika musibah-musibah dan daripada dosa) berdiri sedikit berasingan. Kemudian azab memasuki kubur dan cuba pergi ke arah mayat. Apabila ia pergi untuk menyerangnya dari sebelah kanan , maka solatnya berkata, "Awas ! Jangan mendekatinya. Demi Allah! Orang ini semasa di dunia selalu bersusah payah. Kini dia berehat , tidur." Kemudian apabila azab cuba menyerangnya dari sebelah kiri, maka secara demikianlah puasa menghalaunya. Dia cuba dari sebelah kepala, maka bacaan Al Quran serta Zikir menyekatnya dan berkata, "Tiada jalan bagimu di sini." Pendek kata, azab tidak dapat mendekatinya kerana wali Allah itu dikawal ketat oleh ibadat-ibadatnya dari segala arah. Akhirnya azab keluar semula dari kubur dalam keadaan gagal. Kemudian kesabaran yang selama ini berdiri disatu penjuru secara berasingan berkata kepada ibadat-ibadat yang lain, " Aku telah menunggu , jika sekiranya di mana-mana arah ada terdapat kelemahan (yakni mana-mana ibadatnya ada kekurangan) maka aku akan menolongnya. tetapi Alhamdulillah kamu sekalian telah berjaya menghindarkan azab. Kini aku akan membantunya semasa amalan ditimbang di hari Pengadilan."


bersambung...............

Tuesday, June 8, 2010

kata-kata hati (4) Yang bertanda ' OREN '

yang anak tandakan 'oren' (muka surat 938)

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2 (UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Berikut adalah kandungan Kitab Fadhilat Sedekah, buah tangan Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariya rah.

Tamim Dari r.a berkata bahawa Allah Taala mengarahkan kepada malakul Maut, " Pergilah kepada kawanKu si anu dan bawalah rohnya kepadaKu. Aku sudah mengujinya dalam kedua-dua keadaan , gembira dan dukacita , lalu sudah mendapatinya seperti yang telah Aku kehendaki. Bawalah dia kepadaKu supaya dia dapat terlepas dari kesusahan dunia dan berehat."

Maka Malakul Maut bersama lima ratus malaikat datang kepadanya. Setiap malaikat membawa kain kapan dari syurga. Setiap malaikat membawa jambangan bunga Raihan ditangannya. Setiap bunga Raihan dari dua puluh jenis warna dan setiap warna memberi keharuman yang baru. Mereka membawa kasturi yang paling harum dalam sehelai sapu tangan dari sutera , berwarna putih. Malakul Maut duduk dekat kepalanya. Semua malaikat yang mengelilinginya lalu meletak tangan mereka di atas setiap anggota tubuhnya. sapu tangan sutera putih berkasturi diletak di bawah dagunya. Pintu syurga dibuka dihadapan pandangannya. Hatinya disenangkan dengan diperlihatkan nikmat-nikmat syurga sepertimana kanak-kanak menangis , maka orang-orang rumahnya memperlihatkannya bermacam-macam permainan untuk menyenangkannya.

Terkadang-kala bakal isteri-isterinya di syurga didepankan, kadang-kadang buah-buahan dan pakaian syurga diperlihatkan kepadanya. Pendek kata berbagai-bagai nikmat syurga dibawa dihadapannya. Bakal-bakal isterinya dalam keadaan gembira mula menari. Melihat kesemua pemandangan itu rohnya mula mengedip-ngedipkan di dalam tubuhnya (seperti burung didalam sangkar mengedip-ngedipkan untuk membebaskan dirinya). Malakul Maut berkata kepadanya, "Wahai roh yang mubarak ! Marilah pergi kearah pohon-pohon bidara yang tidak berduri, pokok-pokok pisang yang tersusun rapi dan naungan yang tetap terbentang. ( Ini merupakan isyarat kepada beberapa pemandangan di syurga yang terdapat dalam ayat-ayat berikut dari Surah Al Waqiah ; 28-30. " Mereka bersenang-lenang diantara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya dan naungan yang tetap terbentang." )

Dan Malakul Maut bercakap begitu lemah lembut dengannya, seperti Ibu bercakap dengan anaknya. Sebab dia sedia maklum bahawa roh ini adalah hampir dengan Allah Taala. Allah akan menyukainya jika dia berkelakuan lemah lembut terhadap roh ini.

Roh itu keluar dari tubuhnya dengan begitu mudah sepertimana sehelai rambut mudah di cabut dari timbunan tepung. Apabila roh keluar maka kesemua malaikat memberi salam kepadanya, lalu memberi berita gembira bahawa ia akan memasuki syurga.

Di dalam Al-Quran , peristiwa ini telah diceritakan dalam ayat berikut : " Mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan bersih suci (dari kufur, syirik dan maksiat) sambil malaikat itu berkata : ' Selamat sejahtera kamu, masuklah syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan. " (Surah An Nahl : 32)

Jika sekiranya dia adalah seorang yang hampir dengan Allah, maka mengenainya Allah Taala berfirman : " Maka (ia akan beroleh ) rehat kesenangan , dan rahmat kesegaran , serta syurga kenikmatan ." (Al Waqiah : 89)

Bersambung....................

Monday, June 7, 2010

Jangan biarkan bumi Ambiya' itu menangis !

Tanggal 31 Mei 2010, komando Rejim Zionis Israel mengulangi siri kebiadaban mereka dengan menyerang kapal Mavi Marmara dalam konvoi Flotila Lifeline 4 Gaza, diperairan antarabangsa laut Maditeranean, membunuh 20 sukarelawan dan mencederakan puluhan yang lain. Tindakan ganas tentera Negara Haram Israel itu, seperti peristiwa-peristiwa sebelumnya telah melanggar segala batasan undang-undang antarabangsa, hak asasi kemanusiaan serta perlakuan jenayah perang yang bukan kepalang besar.

Apa yang berlaku bukanlah perlakuan kebiadaban pertama mereka. Jika dihitung entah berapa panjang senarai perlakuan ganas mereka. Demi kerana terlalu banyak , mungkin sebahagiannya tidak dapat mengingatnya satu persatu, seperti peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Kem pelarian Khem Yunus, pembunuhan beramai-ramai di kem pelarian Palestin di Sabra Shatila di Lubnan, pembunuhan kanak-kanak dan wanita di penempatan PBB di Qana Lubnan, serangan ganas 22 hari di Gaza yang mengorbankan lebih 1,400 orang awam, (450 kanak-kanak dan 510 wanita), 5,600 orang cedera parah, 42 buah masjid mengalami kemusnahan terus, 111 mengalami kerosakan teruk, 47 institusi pengajian dan sekolah ranap di bom, kemusnahan pada 27 bangunan kerajaan, pengusiran berterusan terhadap penduduk Palestin dari kawasan kediaman mereka, ladang mereka dirampas, usaha berterusan mereka untuk memusnahkan Masjid Al Aqsa, pengepungan dan sekatan yang berterusan terhadap sekitar 1.4 juta penduduk Gaza, dari menerima dan mendapatkan bantuan makanan, ubat-ubatan dan lain-lain .

Sebahagian besar dunia bergema dengan bantahan yang berbagai, kecaman pedas, resolusi mendesak. Begitu juga sudah tidak terhitung banyaknya kutukan diluluskan oleh pertubuhan PBB, OIC, NAM terhadap kekejaman Rejim Haram Israel itu, tetapi semuanya langsung tidak memberi sebarang bekas tehadap Rejim jahat Israel itu. Bahkan Rejim Israel semakin angkuh, sombong dengan kekuatan ketenteraan mereka, lebih-lebih lagi setelah negara-negara Arab dapat mereka tumpaskan dalam siri peperangan pada tahun 1947, 1956, 1967, 1973 dan 1982. Israel tidak pernah peduli terhadap apa juga kecaman, kutukan meskipun resolusi, sebab Israel tahu benar, dan hampir pasti jeritan hanya akan tinggal jeritan, kutukan hanya tinggal kutukan , sedikit pun tidak akan mendatangkan kudis kepadanya.

Rentetan kekalahan mereka itu menjadikan sebahagian negara umat Islam melutut, terpaksa akur membuat hubungan diplomatik dengan Rejim Zionis Haram Israel, walaupun majoriti rakyat masing-masing negara tersebut merintih sedih serta tidak merelakanya. Lebih memilukan sebahagian negara-negara tersebut kini berperanan seakan mewakili Rejim Haram Israel dengan melakukan sekatan yang sama terhadap saudara seagama mereka di Gaza.

Begitulah juga sebahagian besar negara umat Islam mengambil sikap dan pendirian yang sangat mengecewakan umat Islam dan pencinta keamanan dan keadilan sejagat. Sebahagiannya dalam diam bersikap lunak terhadap Rejim Haram Israel , dengan menjalin berbagai bentuk hubungan yang boleh membawa erti pengiktirafan terhadap kewujudan yang tidak sah terhadap Negara Haram Israel tersebut. Malangnya dalam waktu yang sama tangisan rakyat Palestin, dan rintihan Masjid Al-Aqsa seakan tidak didengar oleh sebahagian besar orang yang di beri kuasa oleh Allah untuk memerintah beberapa negara umat Islam, padahal Allah memerintahkan agar kita semestinya bersikap keras terhadap orang kafir dan bersikap lemah lembut serta berkasih sayang terhadap sesama mu'min.

Akhirnya Masjid Al Aqsa yang pernah menjadi kiblat umat Islam terus di kepung, tidak semua umat Islam dibenarkan bersolat di dalamnya. Untuk bersolat di dalamnya perlukan kebenaran mereka terlebih dahulu. Bumi Ambiya' itu kini terus merintih. Bila-bila masa peluru akan dimuntahkan, manakala bom-bom akan ditaburkan tanpa teragak-agak.

Persoalannya.....sampai bilakah kegilaan itu akan bermaharajalela. Tidak adakah hujungnya? Berapa juta lagi nyawa perlu dikorbankan ?

Tapi yakinlah wahai saudara-saudaraku....disana ada jawapannya. Jawapan yang pasti dan tuntas. Si biadap itu pasti akan melutut dan akhirnya tersungkur hancur jika dihadapkan kepada mereka JIHAD !!.

Oleh itu wahai ibu-ibu yang masih membuai dan mendodoikan anak, wahai ibu-ibu yang bakal mengandungkan anak, wahai sekalian muslimeen yang bakal memancarkan benih-benih kelahiran, ditangan kalian, ditangan kitalah wajib dizahirkan generasi yang akan memikul tugas JIHAD yang murni itu. Pastikan dari kalian, dari kita semua akan lahir mereka yang merindui kematian di jalan Allah, dan hatinya tidak pernah terpaut dan cinta dengan dunia. Mereka yang memperdagangkan harta dan diri mereka dengan Allah dengan harapan mendapat tukaran Syurga. Lidah mereka yang sentiasa basah dengan menyebut nama Allah, disaat bersendirian, diwaktu berhadapan dengan musuh atau dimana-mana, hati mereka karam dalam keagungan dan kebesaran Allah. Siangnya siap siaga untuk menerpa musuh Allah, manakala malamnya sujud merintih di hadapan Allah.

Wahai ibu-ibu lahirkan kembali nama-nama besar Syuhada Badar, Syuhada Uhud, syuhada agung Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib atau seumpama Abdullah bin Rawahah.

Wahai ibu-ibu biar kita gantikan dodoian longlai lagu keroncong atau dangdut waktu ingin menidurkan anak dengan ungkapan JIHAD dan janji-janji Syurga Allah. Biar jiwa mereka berkobar ingin bersegera kemedan jihad sebagaimana Hanzalah terjun meninggalkan isteri tercinta di malam pertama mereka kerana mencari SYAHID. Atau mereka seperti Khalid Al Waleed yang merintih lantaran tidak di anugerahkan Syahid sewaktu akhir hayatnya ; " Aku mati seperti matinya unta. Aku mati di atas katil, alangkah malunya. Mata seorang pengecut tidak akan tertutup walupun dalam tidur."

Wahai ibu-ibu marilah kita genggam ayat Allah ini lewat Surah Al Anfal : ayat 65

" Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mu'min itu untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu, niscaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (yang sabar) di antaramu, mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang-orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti."

Ya Allah anugerahkan aku, serta zuriatku kematian yang mulia itu... sebagai SYUHADA'

ALLAHU AKBAR !


ALLAHU AKBAR !


ALLAHU AKBAR !












Saturday, June 5, 2010

kata-kata hati (3)

Waktu berusia 14 tahun
dibawah tajaan Yayasan Selangor

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2 (UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Anakku.... semalam abah ke Masjid Sri Petaling, tempat pertemuan terakhir kita sebelum anak bertolak ke Sabah. Sahabat-sahabat seusahamu semuanya ada bersama setelah mereka selesai melaksanakan misi da'wah yang anak sempat juga laksanakan, walau cuma beberapa hari. Mereka membawakan sama dua beg pakaian dan peralatanmu. Turut hadhir adalah Tuan Hj Mohamad b. Embong, orang yang sehingga semalam masih mengalirkan air mata bila tersebut nama anak (kisah berkaitan dengan beliau akan abah catitkan dikesempatan lain). Tidak terkecuali Amir anak, Engineer Abd Ghani, serta Ahmad, rakan sekelas anak di SUA @ Yayasan Selangor (kini pelajar kejuruteraan UTM, juga telah selesai melaksanakan misi da'wahnya di Kucing)

Petang mereka menziarahi pusara anak...

Malamnya... dalam sebak abah buka sebahagian beg anak. Di dalamnya pakaian, alas tidur warna hitam hijau (alas tidur yang anak bentangkan untuk abah saat akhir kita sama-sama i'tikaf di Masjid Sri Petaling tempoh hari), peralatan mandi, termasuk kayu sugi anak yang masih basah, tasbih, beberapa botol minyak wangi yang harum, antaranya kasturi, senaskhah Al Quran, sebuah kitab Fadhilat Sedekah dan Manzil Rasam Uthmani (kedua-duanya hasil buah tangan Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariya).

Anak.....

Naskhal Al Quran anak abah buka. Disana ada beberapa penanda. Mungkin penanda bacaan atau penanda surah-surah yang anak cuba hafal...syukur. Mudah-mudahan bacaan Al Quran serta zikir anak waktu hidup dahulu, sekarang ini akan berdiri mantap di sebelah kepalamu, menjadi perisai kepadamu di alam sana.

Kitab Fadhilat Sedekah juga abah selak dan belek. Ternyata ada dua penanda berwarna 'oren'. Abah buka salah satu bahagian yang anak berikan tanda itu. Subhanallah....................... abah terkedu.

Bersambung.............................

Friday, June 4, 2010

kata-kata hati (2)

Waktu di tadika (PASTI)
Umur 6 tahun

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan..

Anakku...kawan seusahamu Fadhil yang sama mandi saat akhirmu, dan dia ada menziarahi rumah kita di Kalabakan, menyatakan, anak ditugaskan memberikan tazkirah (bayan) pada subuh itu (4.5.2010) dan katanya anak berpesan pada seluruhnya yang hadhir subuh itu , terutamanya kawan-kawan seusahamu ;

" Kita wajib teruskan usaha da'wah ini, sehingga akhir hayat kita..... sampai kita mati."

Tahniah dan syabas abah ucapkan, kerana anak telah membenarkan janji anak dengan Allah....

Firman Allah dalam S. Al Ahzab : 23

" Di antara orang-orang mu'min itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka diantara mereka ada yang gugur. Dan diantara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merobah janjinya."

Thursday, June 3, 2010

kata-kata hati (1)

Waktu berumur 2 tahun

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Dalam sedih… abah turut gembira kerana pergimu adalah dalam rangka sebahagian kerja-kerja agama. Ingin meletakkan Islam ditempatnya yang tinggi, disaat sebahagian remaja lain seusiamu (mungkin) tenggelam dalam khayal pesona dunia. Waktu sebahagian remaja lain (mungkin) tenggelam dalam gegak gempita rempit motor mereka, atau lemas dalam pujuk rayu sidara, kekasih genit dalam hawa dingin panggung wayang yang samar-samar cahaya atau di taman-taman hiburan yang memungkinkan segala, atau berkhayal dipersimpangan-persimpangan jalan, menanti untuk mengusik anak-anak gadis yang pulang dari kerja, yang kadang kala melewati beberapa waktu solat …terbiar cuma…. atau sedang panik memikirkan kelahiran bayi hasil hubungan haram mereka, atau berbagai dan segalanya…

Kau korbankan semuanya, waktu antara kuliahmu, sebahagian ongkos belanja harianmu, kau tahan selera makanmu (kerana ingin menyimpan buat keperluan belanja da’wahmu) dan terakhir waktu cuti semestermu, semata-mata untuk memanggil manusia kembali kedakapan Allah. Kau… dalam serba payah, daif dan serba kekurangan menelusuri segenap ceruk pendalaman, menjejaki setiap jiwa yang bernyawa… yang masih, atau sudah terlupa bila.. pernah mengucapkan kalimah toyyibah…agar sama-sama kembali mengagungkan Tuhan, Allah Rabb kita semua…. Semata-mata kerana Allah
Subhanallah…….Ya Allah….

Anakku semoga Allah menerima amal serta pengorbananmu……………,
sebagaimana FirmanNya dalam Surah Al Hajj : 58

“ Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, kemudian mereka dibunuh atau mati, benar-benar Allah akan memberikan kepada mereka rezeki yang baik (syurga). Dan sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki.”

FirmanNya lagi dalam Surah At Taubah : 20-22

“ Orang-orang yang telah beriman yang telah meninggalkan rumah-rumah mereka (berhijrah) dan telah berjihad di jalan Allah, dengan harta dan diri mereka. Disisi Allah bagi mereka darjat yang tinggi. Merekalah orang-orang yang berjaya sepenuhnya. Tuhan mereka mengkhabarkan berita gembira kepada mereka tentang rahmat dan keredhaanNya, dan tentang taman-taman syurga dimana mereka akan mendapat kenikmatan yang kekal, mereka akan tinggal di sana selama-lamanya. Sesungguhnya disisi Allah balasan yang sangat besar.”

Wednesday, June 2, 2010

Memburu Cahaya Ilahi (1)

MEMBURU CAHAYA ILAHI (1)

QS. an-Nur (24) : 35
Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah, adalah seperti sebuah lobang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkahnya, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat (nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

QS. an-Nur (24) : 40
Atau seperti gelap gulita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (pula), di atasnya (lagi) awan; gelap gulita yang tindih-bertindih, apabila dia mengeluarkan tangannya tiadalah dia dapat melihatnya, (dan) barangsiapa yang tiada diberi cahaya (petunjuk) oleh Allah tiadalah dia mempunyai cahaya sedikitpun.

QS. al-Mai'dah (5) : 15
Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan kitab yang menerangkan.

QS. al-Baqarah (2) : 257
Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaithan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.

QS. al-Mai'dah (5) : 16
Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.

QS. at-Taubah (9) : 32
Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai.

QS. ash-Shaff (61) : 8
Mereka ingin hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir benci.

QS. al-Ahzab (33) : 46
dan untuk jadi penyeru kepada Agama Allah dengan izin-Nya dan untuk jadi cahaya yang menerangi.


QS. az-Zumar (39) : 22
Maka apakah orang-orang yang dibukakan Allah hatinya untuk (menerima) agama Islam lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang membatu hatinya)? Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka yang telah membatu hatinya untuk mengingat Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.

QS. al-Hadid (57) : 19
Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu orang-orang shiddiiqiin dan orang-orang yang menjadi saksi di sisi Tuhan mereka. Bagi mereka pahala dan cahaya mereka. Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni-penghuni neraka.

QS. al-Hadid (57) : 28
Wahai orang-orang yang beriman (kepada para Rasul), bertakwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, niscaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

QS. at-Taghabun (64) : 8
Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada cahaya (Al Qur'an) yang telah Kami turunkan. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

QS. ath-Thalaq (65) : 11
(Dan mengutus) seorang Rasul yang membacakan kepadamu ayat-ayat Allah yang menerangkan (bermacam-macam hukum) supaya Dia mengeluarkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang saleh dari kegelapan kepada cahaya. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan mengerjakan amal yang saleh niscaya Allah akan memasukkannya ke dalam surga-surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah memberikan rezeki yang baik kepadanya.

QS. at-Tahrim (66) : 8
Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengan dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: " Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu ".

Munajat ……

Cahaya itu menerangi. Tanpanya gelita. Arah tuju tidak kelihatan. Risiko jatuh tersungkur, dan tersesat arah.

“ Ya Allah jadikanlah cahaya dalam hatiku, cahaya dalam penglihatanku, cahaya dalam pendengaranku, cahaya dari arah kananku, cahaya dari arah kiriku, cahaya di atasku, cahaya dibawahku, cahaya didepanku, dan jadikanlah cahaya untukku."
Hadith riwayat : Bukhari.

“ Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. “
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.