RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Tuesday, November 30, 2010

Al - Aqsa menangis (2)

Lihatlah.......

Persoalannya apa yang yang telah dilakukan oleh sekitar satu setengah bilion umat Islam di seluruh dunia untuk menyelamatkan Masjid Al-Aqsa dari perancangan jahat Zionis Yahudi dan penyokong mereka di Amerika Syarikat yang dipimpin Barat. Sememangnya ada ketikanya para penguasa Arab, duduk bertemu di ruang persidangan yang begemerlapan bersama dengan pemimpin dari kalangan Yahudi Kristian Barat dan kenyataan yang dikeluarkan menekankan perlunya untuk melindungi Baitulmuqaddis. Mereka menuntut masyarakat antarabangsa untuk menangani konspirasi Israel tetapi malang mereka sendiri tidak pernah mengambil sebarang langkah konkrit, samada secara individu atau berkumpulan, untuk melindungi Masjid Al Aqsa, apalagi untuk membebaskannya.

Semasa Perang Dunia 1 Baitulmuqaddis berada di bawah pemerintahan Uthmaniyyah, Turki. Namun berikutan kekalahan Turki dalam peperangan, Jerusalem diletak di bawah kawalan Inggeris pada tarikh 9 Disember 1917. Orang-orang Yahudi Zionis memanipulasi jatuhnya Turki, selain penguasa Arab yang korup, yang berjaya disuap, menyokong Inggeris dan Yahudi untuk menggulingkan pemerintah Ottoman Turki.

Selama bertahun-tahun para penguasa Arab meninggalkan Palestin, Baitulmuqaddis dan bahkan Masjid Al Aqsa. Perhatian dan tumpuan mereka hanya untuk mempertahankan kerusi kekuasaan dan keselesaan mereka. Untuk memastikan hal ini mereka bahkan mulai mempunyai hubungan terbuka dan rahsia dengan Zionis yang sama, walaupun mereka dapat menyaksikan secara jelas akan segala konspirasi Yahudi terhadap Islam dan Muslim. Lebih menyedihkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), kehilangan taring, gagal sama sekali untuk melakukan sebarang tindakan konkrit bagi menyelamatkan Masjid Al-Aqsa. Setakat ini hanya Negara Iran yang kelihatan terus menghidupkan isu Baitu Maqdis dengan menjadikan hari Jumaat terakhir Bulan suci Ramadhan sebagai "Hari Al-Quds ".

Sejarah mencatitkan bahawa orang-orang Yahudi Zionis telah sekian lama menodai Masjid Al Aqsa semenjak dari zaman penguasaan Inggeris. Sekumpulan pelampau Yahudi, dengan bantuan tentera Inggeris, masuk ke kompleks Al-Aqsa pada tarikh 20 Ogos 1929 dan mengambil alih wilayah barat, termasuk Dinding Al-Buraq (sekarang disebut sebagai Tembok Ratapan oleh orang Yahudi) . Dalam masa 15 hari, 338 orang Palestin terbunuh dalam usaha mereka untuk menggagalkan rancangan Zionis tersebut. Pada bulan Jun 1967 Zionis memasuki Haram As-Sharif dengan kereta kebal, merebut kunci Pintu Al-Magharibah dan mengambil alih sisi timur kota, termasuk Masjid Al-Aqsa

Pada tahun 1970, Israel memulakan penggalian secara intensif bertepatan bawah Masjid Al-Aqsa di sisi selatan dan barat. Pada tahun 1977 penggalian berterusan dilakukan dan satu terowong besar dibuka di bawah dewan solat wanita, sementara terowong baru digali di bawah masjid, ke arah timur dan barat pada tahun 1979.

Pada tarikh 21 Ogos 1969, seorang pelampau Yahudi yang dikenali sebagai Dennis Michael Rohan (nama Yahudi: Mikhail Rohan) membakar Masjid Al-Aqsa. Kebakaran menghancurkan sebahagian besar masjid, (bahagian selatan) melenyapkan kubah bahagian dalam dan zakharif (hiasan bunga dan al-Quran) yang menghadap mihrab, termasuk mimbar bersejarah , yang digunakan oleh Salahuddin Al-Ayyubi selepas beliau membebaskan Al-Aqsa dari Tentera Salib Kristian Sebahagian besar jendela-jendela masjid juga turut hangus. Orang-orang Palestin berjaya memadamkan kebakaran, namun Rohan dibebaskan dari segala tuntutan atas dasar gila yang tidak masuk akal. Sebuah organisasi setempat ditubuhkan yang diberi nama dengan "Organisasi Pembangunan Masjid al-Aqsa" yang berusaha untuk mengumpulkan dana dan sumbangan untuk pembangunan masjid.

Pada 1980-an, Israel memulakan projek arkeologi mereka di kawasan Masjid Al-Aqsa dengan dakwaan bahawa mereka mencari Kuil Raja Sulaiman. Pada tahun 1984, mereka menggali terowong lain di dekat bahagian barat masjid. Pada bulan Februari 2007 Israel mula menggali sebuah kawasan, sekitar 60 meter dari masjid, untuk membina semula sebuah jambatan penyeberangan jalan kaki yang runtuh. Sebagai sebahagian daripada konspirasi Yahudi Zionis tersebut, juga dilatih penjaga kuil, menyediakan jubah khusus Kohannim untuk para rabi, dan bahkan membina sebuah model kuil di dekat Masjid Al-Aqsa. Manakala penjenayah perang Ehud Olmert, yang juga bekas datuk bandar Baitulmuqaddis dan bekas Perdana Menteri Israel merasmikan pembukaan Museum Yahudi, yang dibina di bawah Masjid Al-Aqsa.

Bersambung........................

Wednesday, November 24, 2010

Al - Aqsa menangis (1)

Berkatnya engkau ....


Demi berkatnya Al-Aqsa dan bumi Palestin ianya Allah nyatakan berulang kali di dalam Al-Quran, sebagaimana firman Allah berikut:

1. “ Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Isra’ : 1)

2. “Dan di antara tempat tinggal mereka dengan bandar yang Kami limpahkan berkat kepadanya, Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan, dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya. Berjalanlah kamu di negeri itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dengan aman.” (Saba’ : 18)

3. “Dan Kami wariskan kepada kaum yang tertindas itu di daerah timur bumi dan di daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat kepadanya.” (Al-A’raf : 137)

4. “Dan Kami selamatkan dia dan sepupunya Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia.” (Al-Anbia’ : 71)

5. “Dan Kami mudahkan bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke bumi yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Al-Anbia’ : 81)

Juga lewat ucapan Rasulullah saw.

1. “ Satu solat di dalam Masjid al-Aqsa menyamai 500 solat di masjid lain kecuali Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi.”
Hadith riwayat Imam Bukhari & Muslim

Al-Aqsa sepintas lalu

Masjid Al Aqsa, kiblat pertama umat Islam, masjid kedua tertua selepas Masjidil haram dan tempat suci ketiga terpenting selepas Mekkah dan Madinah. Terletak di Bandar Jerusalem, terkenal dikalangan umat Islam sebagai Al-Qud (yang Suci) atau Baitul Muqaddis (rumah kesucian).

Signifikasi masjid Al-Aqsa bagi umat Islam terletak pada sejarah dimana umat Islam telah menghadapkan muka kepadanya setiap kali mereka bersembahyang untuk selama sekitar 17 bulan selepas hijrah Rasulullah saw ke Madinah pada tahun 624 Masehi. Perubahan Kiblat kearah kaabah di masjidil Haram hanya berlaku selepas turun ayat 142-151 Surah Al-Baqarah.

Di Masjid Al-Aqsa jugalah terciptanya sejarah seluruh Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul bersembahyang dengan berimamkan Baginda Rasulullah saw dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj, selain Nabi Ibrahim pernah juga bersembahyang di dalamnya. Allah memilih Masjid Al-Aqsa untuk peristiwa bersejarah dan sembahyang teragung itu kerana kemurnian, keagungan, kemulian dan kedudukannya yang tinggi.

Mikrajnya Junjungan Besar Rasulullah saw dari bungkahan batu di bawah Masjid Qubbat Al Sakhra atau dikenali sebagai ‘Dome of the Rock’ kekal sebagai sejarah yang sangat agung dalam Islam dan ia sebagai isyarat peri pentingnya Jerusalem kepada umat Islam. Boleh sahaja Baginda saw di Mi’rajkan terus dari Mekah ke destinasi akhirnya, jika Allah kehendaki. Namun DIA menghendaki ia bermula dari Baitulmuqaddis. Peristiwa mukjizat perjalanan itu pasti akan menjadi ingatan serta perhatian seluruh umat Islam tentang kemuliaan dan luarbisanya Baitulmuqaddis.

Walaupun sudah terlalu jelas akan peri pentingnya Baitulmuqaddis bagi umat Islam, namun Zionis Yahudi yang menduduki Baitulmuqaddis Timur dalam perang pencerobohan pada bulan Jun 1967 telah berkali-kali berusaha untuk menghancurkan Masjid Al Aqsa dan membangun tempat ‘bait suci’ yang baru mereka ‘Salomon’s Temple, bagi menggantikan bangunan tua mereka yang telah dihancurkan oleh Rom pada tahun 70 Masehi, sisa-sisa yang hanya dilihat hari ini sebagai dinding yang dikenal orang Yahudi sebagai Tembok Ratapan. Sebagai sebahagian daripada konspirasi ini mereka memulakan kempen kejam pembersihan etnik warga Palestin yang telah tinggal di sana selama beberapa generasi.

Dalam langkah Zionis ini, samada secara langsung atau tidak langsung disokong oleh Amerika Syarikat, Inggeris, Perancis dan Rusia, sejak sekian lama. Sekarang mereka sedang disokong oleh Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, yang dikenali atas sokongannya sejak lama keatas Israel, sebagaimana yang dijelaskan oleh Jeffery Goldberg, (wartawan yang paling berpengaruh pada hal yang berkaitan dengan Israel), sebagai lebih pro Israel daripada Ehud Olmert atau Ehud Barak (J Goldberg. . New York Times, 18 Mei 2009) Bahkan Obama mengatakan kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Umum Amerika-Israel-AIPAC – dengan pernyataan jelas dan tegas, sebagaimana berikut;

“ Let me be clear, Israel ’s security is sacrosanct. The Palestinians need a state that is contiguous and cohesive and that allows them to prosper. But any agreement with the Palestinian people must preserve Israel’s identity as a Jewish state, with secure, recognized and defensible borders. Jerusalem will remain the capital of Israel and it must remain undivided ”.

Bermaksud;
" Biar saya tegaskan, bahawa keselamatan Israel adalah suci. Palestin memerlukan negara yang berdekatan dan kohesif, yang membolehkan mereka untuk sejahtera. Tetapi perjanjian dengan orang-orang Palestin harus memelihara identiti Israel sebagai negara Yahudi, dengan aman, diakui dan dipertahankan sempadannya. Baitulmuqaddis akan tetap sepenuhnya menjadi ibukota Israel dan tidak akan di bahagi-bahagikan”. Dengan kata lain Obama secara terbuka meyakinkan para pelobi Zionis itu, bahawa ia akan mengakui tuntutan tidak berasas Israel ke atas Masjid Al Aqsa.

Sebenarnya Obama sangat menyedari menyedari bahawa Jerusalem Timur adalah sebuah bandar yang diduduki oleh Israel dari hasil pencerobohan. Ironisnya seorang calon Presiden Amerika Syarikat, negara yang paling kuat di bumi, perlu melobi Yahudi untuk memasuki Rumah Putih dan juga sanggup melayani Zionis walaupun ternyata dan dunia mengetahui bahawa tangan-tangan Zionis itu sentiasa berlumuran darah, dengan pembunuhan yang tiada henti, sejarah jenayah yang sangat kotor sepertimana pembunuhan beramai-ramai di Deir Yessin, sebuah desa yang dihuni oleh Muslim dan Kristian yang tidak bersalah, dan terkini pembunuhan di Gaza.

Obama membuat kenyataan ini dengan tidak menghormati sama sekali undang-undang antarabangsa, prinsip-prinsip moral atau sentimen umat Islam di seluruh dunia, tanpa mengambil kira usaha dan hubungan dagangan mereka dengan negara-negara Muslim, kesan ekonomi di Amerika dan semua kemarahan seluruh umat Islam di dunia.

Wajarkah umat Islam kini mengharapkan dari Presiden Obama dan pentadbirannya yang ternyata condong kepada Zionis. Manakala Kongres AS, sudah sekian lama merupakan Kongres Zionis, dan ini terbukti dengan undian mereka memilih tahun 1995 untuk memindahkan Kedutaan Besar AS ke Baitulmuqaddis, sesuatu yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa, walaupun pada bulan Jun 2009 Presiden Obama menunda usaha itu untuk enam bulan lagi. Dia berkemungkinan ingin untuk menyerahkan sepenuhnya Masjid Al-Aqsa kepada Israel dan dengan demikian memastikan sokongan Yahudi berpihak kepadanya untuk pemilihan bagi penggal kedua presiden sekaligus menduduki Rumah Putih. Mungkin ia kini sedikit sedar tentang kemungkinan kesan melakukannya, terutama pertautan hati setiap muslim dengan Masjid Al-Aqsa lewat keterangan kitab suci Al-Qur’an dalam surah Al-Isra, ayat 1.

Bersambung.........................

Saturday, November 20, 2010

MOHON KEMAAFAN.......

Dalam minggu-minggu terakhir ini saya menghadapi kesukaran memperuntukkan masa untuk blog ini. Akur dengan kelemahan diri....

Namun semangat masih seperti dulu......

Kalian doakan saya.

Friday, November 12, 2010

Kenali Tuhan lewat kegagalan


Setiap orang pasti pernah melalui pengalaman seumpama ini. Cuma mungkin berbeza dalam beberapa aspek.

Dengan cita-cita agung, serta harapan menggunung, meletakkan sesuatu matlamat yang jelas. Demi menggapainya, dirancang dengan sangat teliti, mengambil kira seluruh 'alam asbab. Digerakkan seluruh keupayaan yang ada. Memanfaatkan seluruh sumber yang diperlukan. Namun akhir natijahnya, tidak sebagaimana yang diharapkan, atau lebih parah lagi 'gagal' sama sekali.

Dari sirah juga kita mendapati Rasulullah saw telah melewati waktu yang panjang, selama 13 tahun, namun yang menyambutnya hanya segelintir. Menurut pendapat yang kuat selama lima tahun Rasulullah saw tanpa henti bekerja menyampaikan risalah, hanya 40 orang sahaja (digenapkan dengan kemasukan Saidina Umar ke dalam Islam) yang sudi, rela menyambut dakwahnya.

Begitu juga kita dapat saksikan bahawa jumlah mujahidin yang bersama di Medan Badar hanya tiga ratus lebih, itupun kebanyakan dari mereka adalah dari kaum Ansar. Gambaran bilangan kaum muslimin yang masih sedikit.

Keadaan sedemikian boleh saja menjadikan sesaorang jadi nanar, tidak 'siuman' untuk beberapa waktu, jika tidak benar pertimbangannya. Hal keadaan sedemikian kerap kali boleh menjuruskan sesaorang kepada putus asa. Dalam kondisi itu iman bisa teruji. Silap pertimbangan iman akan pudar...(kita mohon perlindungan kepada Allah).

Begitulah kita harus tahu bahawa ada takdir yang menentukan, ada sebab-sebab yang telah ditentukan, dan ada pula perjalanan takdir yang tidak ada seorang pun dapat mengubahnya. Sebagai hamba kita wajib mengetahui dan menginsafi hal tersebut sesungguhnya, bahawa ternyata ada tabir yang membatasi segenap tuntutan kita. Betapa pun hebat dan tinggi kepemimpinan kita, namun ada takdir yang tak seorang pun dapat keluar darinya.

Kerana itu Syaikh Ibnu 'Atha'illah berujar;
" Kekuatan hasrat tidak akan mampu menembus dinding takdir,"

Betapa pun tinggi hasrat kita, namun ada kekuasaan yang tidak bisa ditembus olehnya. Maka wajib kita menyerahkan segalanya kepada Allah, dan kita harus tahu bahwa ada takdir yang menentukan, ada sebab-sebab yang telah ditentukan, dan ada pula perjalanan takdir yang tidak ada seorang pun dapat mengubahnya.

Namun hal demikian tidak boleh disalah tanggap. Agama tidak menginginkan dan tidak juga mengizinkan kita melakukan sesuatu tugasan secara sembrono, tetapi Syara' menghendaki kita mencurahkan segenap kesungguhan, mengupayakan segala yang termampu, merencanakan yang terbaik untuk mewujudkan apa juga yang dituntut, kerana Sayyidina Ali krw pernah mengingatkan dengan; " Sesuatu kebenaran yang tidak sistematik akan dikalahkan oleh kebatilan yang sistematik dan terancang."

Maka setelah itu serahkanlah semuanya kepada Allah, dengan penyerahan total.

Firman Allah Surah Ali Imran : 159

" Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepadaNya."

Akhirnya, Sayyidina Ali berkata; " Jika kami mengatakan sesuatu, lalu hal itu terjadi, maka kami gembira satu kali. Namun jika hal itu tidak menjadi kenyataan, maka kami senang sepuluh kali. "

Sebahagian orang yang arif dalam menjawab pertanyaan " Dengan apa anda mengenal Rabb (Tuhan) anda ? " Ia menjawab, " Dengan gagalnya kemauan-kemauan yang keras."

Friday, November 5, 2010

Kata-kata hati (25) Semuanya untuk dakwah

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan. Lapuran kejadian anda boleh dapati dibeberapa blog, antaranya http://haneefsyah.blogspot.com

Gamam juga abah sewaktu kawan-kawan anak, Ranzi, Abd Wafi, Rizal, dan beberapa orang lagi (abah tidak ingat semuanya) memunggah barangan tinggalan anak kedalam kenderaan abah tempohari. Terdapat dua ' sleeping bag ', satu berwarna biru dan satu berwarna hijau. Dan teringat abah akan satu lagi ' sleeping bag ' anak yang bersaiz lebih besar yang sudah berada di rumah (' sleeping bag ' yang anak gunakan semasa misi dakwah anak di Bluran, Sandakan).

Abah tanyakan pada Ranzi, milik siapa ? Yelah masakan anak ada 3 ' sleeping bag '. Padahal anak bukan seorang yang mewah, berduit. Untuk keperluan iktikaf anak, dalam mana-mana misi dakwah, anak cuma perlukan satu ' sleeping bag ' .

" Memang Huzaifah punya pakcik....., dia beli untuk di gunakan semasa bawa junior keluar iktikaf atau semasa menyediakan tetamu @ mereka yang datang keluar dakwah ke sini ," ujar Ranzi, senior, 'abang', dan juga mentor anak.

MasyaAllah.....sedangkan abah dimaklumkan, bahawa anak sering bertahan untuk berbelanja, malah kerap mengikat perut, semata-mata ingin menabung buat simpanan guna keperluan dakwah anak.

Tahniah dan syabaslah anak. Moga anak memperoleh apa yang pernah dijanjikan oleh Junjungan Besar (saw) kita lewat hadith-hadith berikut;

Sabda Rasulullah saw riwayat Baihaqi;

" Sesiapa yang menyiapkan kelengkapan orang yang menunaikan haji atau orang yang keluar di jalan Allah, ataupun mengambil berat tentang ahli keluarga mereka selepas pemergian mereka, atau menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dia akan mendapat pahala sama seperti orang yang keluar dijalan Allah yang pergi mengerjakan haji dan orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikit pun pahala mereka."

Sabda Rasulullah saw riwayat At-Thabari;

" Barangsiapa yang menyediakan kelengkapan orang yang keluar dijalan Allah, dia akan mendapat pahala yang sama seperti orang yang keluar dijalan Allah. Dan barangsiapa yang mengambil berat terhadap ahli keluarga orang yang keluar dijalan Allah dan mengeluarkan belanja kepada mereka, dia juga akan mendapat pahala sama dengan orang yang keluar dijalan Allah,"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.