RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Friday, May 27, 2011

Kata-kata hati (31) WARKAH DA'WAH


Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan. Lapuran kejadian anda boleh dapati dibeberapa blog, antaranya http://haneefsyah.blogspot.com/


Dari SMS yang diterima oleh Anip (Muhammad Hanif) pada 4hb Mei 2010, dari cikgu Juswan, dari Sandakan berbunyi ;


" Pd pagi arwah br sampai d Sandakan, beliau tlh mengirim sepucuk surat melalui sy. Pg tu jg sy poskan. Sy ingt lg dia kata " warkah dakwah utk mak dan ayah " dan dia mtk spy sy doa sama utk ksjahteraan ayah bondanya. tp mgkn surat tu blum sampai. Smoga rohnya dcucuri rahmatNYA. jenazah seakan2 senyum dan tenang ketika d bw kluar dr sungai."


Dan dari lapuran dalam beberapa buah blog berbunyi ;


" Sebelum arwah berangkat bersama jemaah ke Pamol, arwah sempat memberi sepucuk surat kepada Cikgu Juswan (rakan seusaha Masjid Pangeran Hj.Galpam) untuk dihantar kepada keluarganya di Sabak Bernam. "


Bersambung.....

Tuesday, May 24, 2011

Kalian memang luar biasa

Saya bukan penulis, bukan pemuisi atau apa-apa juga. Namun tercuit rasa untuk meluahkan sesuatu. Mungkin betul dan besar kemungkinan salah dalam aturan kaedah penulisan. Namun...peduli itu semua, kerana saya benar-benar hiba dan sedih. Maka saya luahkan isi hati saya, buat anak-anak yatim, Rumah Anak-anak Yatim At-Taqwa, Bt 14, Hulu Langat, Selangor.

(Bacaan Yasin kawan-kawan mereka yang tinggal)

KALIAN....MEMANG LUAR BIASA

Kalian memang anak-anak luar biasa.
Ditakdir hidup bukan seperti anak-anak biasa.
Terpisah dari kasih sayang , ibu ayah berdua,
Haus belaian dan indahnya hidup keluarga.
Bergantung harap penjaga cuma.

Kalian memang anak-anak luar biasa.
Hidup sebatang kara.
Tidak biasa mendapat apa saja,
Cukup sekadar apa yang ada,
Pun terkadang atas ikhsan semata

Kalian memang anak-anak luar biasa.
Mengharung sendirian, segala,
Dalam usia begitu muda
Umpama sudah dewasa
Tempat mengadu hanya yang sebaya usia.

Kalian memang anak-anak luar biasa.
Di siang 21.5.2011 yang masih ceria
Takdir mendahului segala
Musibah bertandang tanpa di duga
Kalian dijemputNYA , Pecipta, Pentadbir dan Pemilik semuanya.

Kalian memang anak-anak luar biasa.
Walau kelihatan terlalu menghiris kalbu dan jiwa
Namun terselit juga rasa bangga, lega.
Kerana kalian bukan mati percuma
Anugerah SYAHID milik kalian tersedia
Kebahagian abadi pasti sudah kalian kecapi ‘di sana’
Di hadapan RABB kita,
Yang Maha Penyantun , terhadap hamba-hamba
Yang dikasihiNYA

Kalian memang anak-anak luar biasa.
Pemergian kalian keharibaanNYA
Adalah pertanda kasih sayangNYA

Kalian anak-anak yatim,

Rumah Anak-Anak Yatim (Malaysia) Madrasah At-Taqwa, Bt 14, Hulu Langat, 1) Azrel, 8, 2) Nael, 8, 3) Shahrul, 9, 4) Boboy, 10, 5) Farid, 34, 6) Zaim * 7) Angah * 8) Rahimi * 9) Zaid Ashwal, 18, 10) Riz, 9, 11) Lokman, 11, 12) Fahad, 9, 13) Aiman, 10, 14) Hazim, 9, 15) Mustakim * 16) Hasril, 11,

Memang anak-anak luar biasa.
* umur tidak diketahui
(Senarai nama adalah menurut nama panggilan mangsa di rumah anak yatim berkenaan)

Sunday, May 22, 2011

Wahai anak-anakku (1) Nasihat...? Abah tiada upaya.

Anak-anak ku yang tercinta.

Semoga Allah Taala memanjangkan umur kalian dalam berbuat taat kepadaNya, dan semoga Allah Taala memudahkan bagi kalian untuk mengikuti jalan para kekasihNya.

Seperti juga insan-insan lain, (bapa-bapa, ayah-ayah orang lain) abah juga sangat inginkan kebaikan kepada kalian semua. Namun abah sendiri jauh dari kebaikan yang abah inginkan pada kalian. Jadi nasihat apakah yang dapat diharap dari orang yang tidak punya apa-apa hikmah ini.

Oleh itu abah pinjamkan saja nasihat orang lain buat anak mereka, sebagai nasihat untuk kalian. Moga apa yang didapat oleh anak mereka dapat juga kalian raih, dan hirup hikmah dan manfaatnya.

Anak-anak ku yang tercinta.

Al-Imam Hujjatul Islam, Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali berpesan;

" Ketahuilah olehmu, bahawasanya apa jua cabang nasihat itu adalah berasal daripada sumber keNabian. Oleh kerana itu, apabila telah sampai kepadamu suatu nasihat yang berpunca daripada sumber ini, maka apakah perlu lagi engkau kepada nasihatku. Tetapi jika masih belum sampai kepadamu suatu nasihat daripada sumber ini, maka sebenarnya ilmu apakah yang telah engkau pelajari selama ini ?"

Friday, May 20, 2011

Al-Aqsa menangis (7) - Aduhai.....

Teks khutbah Jumaat yang disampaikan sempena ulangtahun an-Nakbah

اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ
أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

HARI ini khatib hendak membawa perhatian sidang Jumaat kepada satu peristiwa besar yang menimpa umat ini pada abad yang lalu. Persitiwa tersebut dikenali sebagi Nakbah yang membawa maksud malapetaka besar. Secara rasminya kemuncak peristiwa Nakbah berlaku pada 15 Mei 1948. Pada petang 14 Mei 1948 bendera Union Jack diturunkan di Palestin dan sebagai gantinya berkibarlah bendera ‘The Star of David’ dan pada keesokkan harinya iaitu pada 15 Mei 1948 negara haram Israel diisytiharkan oleh Perdana Menterinya yang pertama David Ben Gurion.

Kenapa peristiwa Nakbah yang kini sudah memasuki ulang tahun ke 63 ini wajar mendapat perhatian kita sebagai umat Islam? Sebabnya ialah kerana inilah tragedi kemanusiaan terburuk abad lalu yang direstui oleh masyarakat antarabangsa. Tragedi ini bukan sahaja dirancang oleh pertubuhan Zionis antarabangsa bahkan mendapat kelulusan rasmi dari kuasa-kuasa Barat dan penaja kepada PBB iaitu British dan Amerika Syarikat. Tragedi Nakbah menyaksikan 800,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah dan tanah air mereka dan duduk di khemah-khemah pelarian sehingga hari ini. Jumlah mereka kini sudah mencecah lebih dari 5 juta orang dan sehingga kini mereka tidak mendapat sebarang pembelaan termasuklah dari negara-negara umat Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Jika ada di kalangan kita merasakan tragedi Nakbah ini tiada kena mengena dengan diri kita, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan pandangan hidup kita sebagai seorang Muslim. Apakah asas kepada perkara ini?

Yang pertama inilah akibat dari leburnya konsep ummah dan digantikan dengan konsep negara bangsa ‘nation state’ yang dipaksakan oleh penjajahan ratusan tahun ke atas umat Islam. Umat ini diiktiraf oleh Al-Quran sebagai umat yang satu. Firman Allah SWT dalam Surah al-Anbiya ayat 92: “Sesungguhnya kamu ini adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka hendaklah engkau menyembah akan Daku.”


إِنَّ هَـٰذِهِۦۤ أُمَّتُكُمۡ أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬ وَأَنَا۟ رَبُّڪُمۡ فَٱعۡبُدُونِ


Di tempat yang lain Allah berfirman: “Sesungguhnya kamu adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu , maka hendaklah engkau bertaqwa kepada Ku.” – Surah al-Mukminun ayat 52
وَإِنَّ هَـٰذِهِۦۤ أُمَّتُكُمۡ أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬ وَأَنَا۟ رَبُّڪُمۡ فَٱتَّقُونِ

Oleh kerana begitu mendalamnya konsep ‘nation states’ yang diperkenalkan oleh penjajah maka kita pada hari ini tidak lagi menganggap umat Islam di luar dari batas sempadan antarabangsa sebagai saudara yang wajib dibela dan dipertahankan. Bahkan kadang-kadang timbul pula sentimen merendah-rendahkan Muslim di negara lain atau dari bangsa lain. Oleh kerana robohnya konsep umat ini, kesatuan umat Islam berjaya dipecahkan dan sememangnya itulah yang menjadi hasrat musuh-musuh Islam.


Musuh Islam amat menyedari asas kepada kekuatan umat Islam bukan kekuatan ekonomi atau hasil mahsulnya tetapi kekuatan persaudaraan yang terbina di atas asas aqidah yang kukuh. Apabila aqidah berjaya dihakis dari jatidiri umat Islam, tidak ada lagi sisa kekuatan ukhuwah yang terbina di atasnya. Akhirnya mudahlah wilayah umat Islam dijajah satu persatu. Bahkan ‘legacy’ penjajahan itu berterusan apabila mereka melakarkan sempadan-sempadan politik yang palsu sehingga wujudlah 50 negara Islam yg merdeka dan 19 negara lain yang bergabung bersama wilayah bukan Islam.


Negara-negara Islam ini hanya dipisahkan oleh garisan lurus yang dilukis dengan pembaris seperti halnya Mesir dan Sudan, Libya, Tunisia, Maghribi, Mauritania, Chad, Somalia, Ethopia dan Eritrea. Seperti halnya Jordan, Syria, Iraq dan bahkan Palestin. Seperti juga halnya Malaysia dan Indonesia yang dipisahkan di peringkat awal lagi oleh satu garisan lurus yang merentas Selat Melaka pada tahun 1824 hasil persetujuan British dan Belanda. Justeru negara Islam yang jumlahnya 69 buah dan menempatkan 1.6 billion umat Islam tidak mampu membela saudara seagamanya di Palestin. Hakikatnya Palestin di kelilingi oleh negara-negara Arab-Islam yang kaya raya dengan hasil petroluemnya tetapi seolah-olah mandul tidak dapat berbuat apa-apa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Ketidakpedulian umat Islam terhadap saudaranya di Palestin lebih parah dari sekadar kegagalan memenuhi tuntutan ukhuwah. Sebabnya ialah bumi Palestin bukan sekadar satu dari wilayah umat Islam yang dikuasai oleh musuh, tetapi lebih penting dari itu ia adalah tanah suci umat Islam. Mungkin umat Islam terlupa bahawa kita punya tiga tanah suci dan bukan dua. Di samping Makkatul mukarramah dan Madinatul munawarah, kita punya tanah suci yang ketiga iaitu BaitulMaqdis di mana terletaknya masjid al Aqsa. Ia menjadi transit atau tempat persinggahan Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Isra dan Mikraj. Ia mengisyaratkan Baitul Maqdis mempunyai makna yang cukup besar bagi Rasulullah SAW dan bagi umat Islam. Di samping itu Masjid al Aqsa itu sendiri mempunyai pelbagai kelebihan berdasarkan hadis-hadis yang berkaitan. Bersembahyang di Masjid al Aqsa menjanjikan pahala sehingga lima ratus kali lipat berbanding bersembahyang di tempat yang lain.

Solat di Masjidil Haram adalah sama dengan 100,000 kali solat (di tempat lain), dan solat di masjidku (di Madinah) adalah sama dengan solat 1000 kali, dan solat di Baitul Maqdis adalah sama dengan 500 kali solat. (Riwayat at-Tabarani).

Masjid al Aqsa juga merupakan kiblat pertama umat Islam sebagaimana yang dinyatakan berikut:
Al-Hazimi mengemukakan satu riwayat daripada al-Barra’ bin `Azib: Daripada al-Barra’ bin `Azib bahawa perkara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW apabila sampai di Madinah ialah menemui datuk neneknya dari kalangan Ansar dan baginda bersembahyang mengadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 bulan atau 17 bulan. Rasulullah SAW juga menganjurkan agar umat Islam menziarahi Masjid al Aqsa dan bersama dalam menguruskannya.

Abdullah ibn umar bertanya pada Rasulullah SAW “Ya Rasulullah, terangkan kpd kami hukum menziarahi Baitul Maqdis. Jawab Rasulullah SAW, “Ziarah dan solatlah di sana. Sekiranya tidak mungkin (ziarah dan solat) maka kirimkanlah minyak untuk lampu-lampu (bagi menerangi masjid).” – Sahih Bukhari

Jika membiayai pengurusan masjid manjadi tanggungjawab seluruh umat Islam apatah lagi tanggungjawab untuk membebaskannya dari penaklukan dan cengkaman musuh. Lantaran itu Sy Umar al Kahttab RA telah mengistiharkan Baitul Maqdis yang melengkari Masjid al Aqsa sebagai tanah wakaf umat Islam yang wajib dipertahankan sepanjang zaman sebaik sahaja menerima kunci kota tersebut setalh ianya dibuka dan dibebaskan dari cengkaman kerajaan Rom timur (Byzantium).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Peristiwa Nakbah yang telah dirancang sejak tahun 1897, disususli dengan penaklukan British ke atas Palestin pada tahun 1917, direstui oleh Parlimen British melalui lobi Yahudi yang mengizinkan bangsa Yahudi untuk memasuki Palestin sebagaimana yang termaktub dalam deklarasi Balfour 1917, dan pembahagian Palestin kepada negara Arab dan Yahudi oleh resolusi PBB 181 pada tahun 1947 dan pencerobohan pengganas-pengganas Yahudi yang merampas tanah air rakyat Palestin pada tahun 1948 sebenarnya adalah titik hitam kepada penderitaan yang berlanjutan sehingga kini. Pengistiharan negara haram Israel pada tahun 1948 telah membuka laluan kepada penaklukan seluruh bumi Palestin pada tahun 1967.

Pada tahun tersebut Baitul Maqdis timur di mana terletaknya Masjid al Aqsa, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza diduduki oleh Israel. Masjid Al-Aqsa terus dikepung dan dikuasai oleh Yahudi Zionis sehingga ke hari ini. Mereka telah melakukan pelbagai rancangan jahat untuk meruntuhkan masjid tersebut termasuklah dengan peristiwa pembakaran masjid pada 21 Ogos 1969 dan meletakkan bahan letupan di bawah binaan masjid. Di samping itu mereka juga menggali terowong di bawah masjid serta mendirikan kuil (synagogue) sementara di bawah permukaan masjid. Kesemua peristiwa ini gagal untuk menggerakkan dhamir umat Islam untuk berjuang bersungguh-sungguh untuk membebaskan tanah sucinya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Salahuddin al Ayubbi ketika Baitul Maqdis dikuasai oleh kaum salibiyyah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Apa yang lebih mengecewakan lagi ialah sikap pemimpin-pemimpin negara umat Islam terhadap isu Palestin. Di saat ini ketika rakyat Palestin di Gaza menghadapi kepungan paling dahsyat sehingga sampai ke tahap membunuh, pemimpin negara-negara Islam diam membisu seribu bahasa. Rakyat Gaza berhadapan dengan sekatan bahan api, bekalan elektrik di potong, tidak ada barangan yang boleh di bawa masuk atau keluar, terputus bekalan ubat-ubatan, makanan dan keperluan asas yang lain, bahkan bekalan klorin untuk merawat air minuman juga dinafikan kepada mereka.

Hari ini pesakit-pesakit meninggal semata-mata kerana hospital tiada bekalan elektrik dan tidak dapat membekalkan ubat-ubat untuk peyakit kronik seperti pesakit buah pinggang, kencing manis dan kanser. Ini tidak termasuk rakyat Palestin yang dibunuh oleh tentera Israel yang melancarkan serangan demi serangan ke atas penduduk awam. Bilangan orang awam yang terbunuh akibat serangan peluru berpandu dan bedilan meriam Israel untuk bulan April tahun ini sahaja telah mencecah puluhan orang, termasuk kanak-kanak dan orang tua yang tidak berdaya. Dalam keadaan yang begitu kritikal apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara umat Islam?

Walau bagaimanapun janji Allah itu benar. Tidak ada sesuatupun kehendak Allah yang boleh disekat. Kita menyaksikan hari ini bagaimana regim-regim negara Arab yang mengkhianati saudara-saudara seagama di Palestin ditumbangkan oleh rakyatnya satu persatu. Regim Hosni Mubarak yang telah menindas rakyatnya selama lebih dari 30 tahun dan mewarisi satu pemerintahan yang melaksanakan dasar Amerika Syarikat dan melindungi Israel akhirnya dijatuhkan dengan penuh penghinaan. Kembalinya gerakan Ikhwan Muslimin yang telah memimpin umat Islam selama lebih 80 tahun di Mesir tetapi ditindas selama ini adalah berita yang amat menggembirakan umat Islam seluruh dunia. Ikhwan Muslimin yang berada di barisan hadapan mempertahankan negara Palestin sejak perang 1948 insyaAllah akan kembali memimpin umat ini untuk mengembalikan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa kepada umat ini.

Abu Hurayrah menyampaikan dari Rasulullah SAW, “Sebahagian dari umatku tidak akan berhenti berjihad di pintu-pintu Dimashq (Damsyik) dan di pintu-pintu al-Quds (palestin) dan di sekelilingnya. Pengkhianatan dan pembelotan bagi sesiapa yang berkhianat tidak akan menyakiti mereka sedikitpun. Mereka akan tetap menang, mempertahan kebenaran sehingga saat datangnya kiamat.” – Riwayat At-Tabarani


Allah SWT adalah adalah sebaik-baik perancang. “Mereka merancang dan Allah merancang dan Allah adalah sebaik-baik perancang” – Surah al-Imran ayat 54

وَمَڪَرُواْ وَمَڪَرَ ٱللَّهُ‌ۖ وَٱللَّهُ خَيۡرُ ٱلۡمَـٰكِرِينَ

Manusia tidak dapat mengatasi perancangan Allah. Turki adalah satu contoh yang amat jelas. Musuh-musuh Islam menjatuhkan Khilafah Uthmaniah dan meletakkan Mustafa Kamal Attatuk untuk menegakkan sistem pemerintahan sekular yang anti Islam. Mereka mahu memastikan khilafah Islam yang pernah menaungi dunia Islam ini tidak akan bangkit lagi. Justeru apabila Israel berdiri pada tahun 1948, Turki adalah antara negara yang paling awal mengiktirafnya. Turki menjadi sekutu paling kuat Israel. Tetapi apa yang berlaku. Bibit-bibit tarbiyah imaniah yang disemai oleh Syeikh Badiuzaman Syed Nursi akhirnya melahirkan pemimpin-pemimpin Islam yang kembali meletakkan asas-asas Islam dalam pemerintahan. Dengan penuh hikmah Raccip Tayyep Erdogan menggunakan hubungan diplomatik yang wujud di antara negaranya dan israel untuk menekan dan mengugut Israel. Bahkan Turki kini menjadi negara yang menerajui usaha-usaha memecahkan tembok kematian yang dibina oleh israel untuk menjerut rakyat Palestin di Gaza dengan misi-misi kemanusiaan Mavi Marmara, Land Convoy dan Flotilla 2 yang dijangka akan berlayar ke Gaza pada bulan Jun ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.

Kita ingin mengingatkan seluruh umat Islam, isu yang berkaitan dengan permasalahan bumi Palestin bukan isu politik tetapi ia adalah isu yang berkait langsung dengan akidah umat Islam. Apakah jawapan yang bakal kita berikan nanti di hadapan Allah SWT, apabila umat Islam membiarkan saudara-saudara seagamanya dizalimi, dianiaya, dibiarkan mati kebuluran bahkan dibunuh dengan kejam oleh rejim zionis Yahudi? Kekecewaan dan rasa dukacita kita terhadap kebobrokan sebahagian umat Islam dan pemimpin-pemimpinnya terubat apabila kita teringat kepada hadis Rasulullah SAW yang memberi khabar gembira dari sebegitu banyak hadis. Di antaranya:
Nahik Ibn Surim al-sakuni menyampaikan dari Rasulullah SAW,”Kamu akan memerangi golongan kafir sehingga sebahagian kamu yang tinggal akan berperang di Sungai Jordan, kamu di sebelah timur (Jordan pada hari ini) dan mereka di sebelah barat (Palestin yang terjajah).” – Ibn Hajar al-Asqalani

Muadz bin Jabal menyampaikan dari Rasulullah SAW, “Allah Maha Besar akan member kamu kekuatan untuk menawan as-Syams (Palestin) selepas kewafatanku. Orang laki-laki dan wanita akan bertahan di sana sampai kiamat. Sesiapa di kalangan kamu yang memilih salah satu dari pantai-pantai as-Syams (termasuk Gaza) atau Baitul Maqdis adalah mereka itu berada di dalam jihad sehingga hari pengadilan.”

Rasulullah SAW mengatakan berhubung penghuni Tanah suci (al-Quds), “Mereka dan isteri-isteri mereka, anak-anak mereka dan hamba (pembantu-pembantu mereka – lelaki dan perempuan) adalah di dalam ‘ribat (pengawal pada kubu) pada jalan Allah.” – At-Tabarani

Muawiyah bin Abi Sufyan menyampaikan dari Rasulullah SAW, “Ada di kalangan umat ku yang sentiasa berada di atas al-haq. Tiada sesiapa yang menentang mereka akan menyakiti mereka sehingga datangnya kiamat.” Para sahabat bertanya, “Di mana mereka itu?” Rasulullah SAW menjawab, “Mereka berada di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis.” – Imam Ahmad

Hadis-hadis yang terbit dari lidah Rasulullah SAW adalah satu bukti bahawa apa yang berlaku pada hari ini adalah satu kebenaran yang telahpun disusun oleh Allah SWT. Kita pada hari ini amat beruntung kerana para sahabat hanya mendengar beritanya dari rasulullah SAW sedang kita menyaksikan dengan mata kepala kita sendiri. Alangkah ruginya jika kita tidak mengambil sebanyak manfaat dari peristiwa ini untuk menyuburkan iman kita dan keyakinan kita untuk berjuang pada jalan Allah?

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ
Teks khutbah disediakan oleh Aqsa Syarif
1 Mei 2011 (Sempena Bulan Naqbah)
Dr Hafidzi Mohd Noor
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif Berhad
Artikel asal: http://lambaian-islah.blogspot.com/2011/05/cadangan-teks-khutbah-jumaat-13-mei.html

Friday, May 6, 2011

Bicara orang 'Arif (3) DOA'.


“ Keterlambatan waktu datangnya pemberian (Ilahi), sementara engkau telah bersungguh-sunguh dalam berdoa, janganlah hal itu menyebabkanmu putus asa.”

“ DIA telah menjamin untuk mengabulkan dalam hal-hal yang dikehendakiNYA untuk dirimu, bukan dalam hal-hal yang engkau kehendaki untuk dirimu, dalam waktu yang dikehendakiNYA, bukan dalam waktu yang engkau kehendaki.”

“ Tidak terlaksananya janji Allah janganlah membuat engkau ragu terhadap janji itu, meski telah tertentu waktunya, supaya hal itu tidak menodai bashirahmu (mata hatimu) dan memadamkan nur hatimu.”

Sunday, May 1, 2011

Kata-kata hati (30) Kembara mu

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan. Lapuran kejadian anda boleh dapati dibeberapa blog, antaranya http://haneefsyah.blogspot.com/

Diwaktu-waktu seperti ini pada tahun 2010 anak sudah berada dipendalaman Sabah untuk mengusahakan islah diri dan juga sebahagian manusia lain untuk benar-benar tunduk dan patuh kepadaNYA.

Terkenangkan semuanya dalam beberapa hari ini, abah tinjau-tinjau beberapa catatan @ lapuran yang berkaitan dengan anak dibeberapa laman web. Antaranya ;

DIPETIK DARI
http://meit-habib.blogspot .com (minta izin tuan & terima kasih)

(**...syukran credited to blogger karkuzaridakwahiman, Anak Pendang Sekeluarga, and REVOLUSI PERJUANGAN!!! for info...)

Karkuzari (laporan) ini disampaikan oleh beberapa rakan seusaha yang turut bersama menguruskan jenazah allahyarham.

Muhammad Huzaifah Bin Muhammad Huzazi. Berumur 21 tahun. Pelajar Ijazah Teknologi Alam Sekitar, Universiti Malaysia Terengganu. Arwah berasal dari Sabak Bernam, Selangor.

Jemaah 40 hari daripada Terengganu ini telah diputuskan di Masjid Jamek Bandar Sri Petaling untuk buat usaha dakwah & tabligh di Sandakan, Sabah. Jemaah seramai 10 orang terdiri 5 orang awam dan lima lagi lagi pelajar UMT, selamat tiba di lapangan terbang Sandakan pada hari Rabu malam Khamis, 28hb April 2010. Jemaah kemudian dihantar ke Masjid Pangeran Hj. Galpam, Batu 7 buat sementara waktu yang juga merupakan marhalah seorang daripada syura Sandakan, Hj. Mohd Zain.

Pada pagi hari Jumaat bersamaan 30hb April 2010, jemaah telah berangkat ke daerah Pamol, kawasan perladangan Kelapa Sawit terancang yang jauh jarak perjalanannya daripada bandar Sandakan sekitar dalam 150 km. Di daerah ini ada 13 buah kampung. Kebiasaannya jemaah 40 hari yang bergerak di Sandakan akan buat usaha sama ada di kawasan bandar, kepulauan-kepulauan sekitar, daerah-daerah kecil dan kawasan pedalaman mengikut keputusan yang telah dimesyuaratkan bersama oleh syura tempatan atas kesediaan jemaah. Memandangkan jemaah telah diputuskan ke daerah ini, kemungkinan besar juga jemaah ini akan buat usaha dakwah & tabligh di daerah berdekatan iaitu Telupid. Di daerah ini berlaku kes murtad dan beberapa rombongan jemaah daripada Semenanjung telah dihantar ke sana termasuklah jemaah daripada Batu Pahat pada akhir tahun lepas.

Detik-detik kematian Allahyarham

Rakan arwah, Fadhil, yang turut bersama jemaah ini telah ditanya oleh Datuk Hj. Abdul Rahman di Masjid Pangeran Hj. Galpam berkenaan kejadian yang menimpa arwah. Dia menceritakan pada pagi Selasa 4hb Mei 2010, arwah diberi tanggungjawab untuk memberi bayan selepas sembahyang fardhu subuh berjemaah. Kemudian kesemua mereka bermesyuarat untuk mengagih-agihkan tugasan pada hari itu. Setelah mesyuarat dan beberapa waktu ketika, mereka (pelajar) seramai 5 orang pergi ke sungai berhampiran untuk mandi kerana simpanan air di surau amat terhad untuk kegunaan wudhu dan lainnya. Pada waktu awal pagi itu yang masih berembun (suasana pedalaman), mereka kesemuanya turun ke tebing sungai yang mana ketinggian paras air di tebing sungai itu sahaja pun sudah separas dada. Mereka termasuk arwah cuba berenang menyeberangi sungai ke tebing bersebelahan. Setelah hampir di pertengahan, mereka memutuskan untuk kembali semula ke tebing kerana sungai itu amat dalam. Arwah tertinggal di belakang dan lemas tenggelam. Rakan mereka menyangkakan arwah bergurau kerana kali terakhir mereka melihat sebelum arwah tenggelam, dia masih kelihatan tersenyum seolah tiada apa-apa yang berlaku. Setelah dua minit berlalu, barulah mereka risau kerana tidak melihat arwah. Pada pagi itu juga, ada beberapa pelajar sekolah menengah yang berjalan kaki berhampiran sungai untuk ke sekolah. Mereka inilah yang membantu rakan jemaah mengeluarkan arwah daripada dasar sungai. Dalam usaha menyelamatkan arwah dengan menekan pada dadanya, air berserta lumpur keluar daripada mulut arwah dan tidak dapat diselamatkan lagi. انّا للہ و انّا الیہ راجعون

Jemaah telah pergi ke balai polis berdekatan dan melaporkan kejadian ini. Akhirnya, pegawai polis yang telah diberi tanggungjawab, menghantar jenazah ke Hospital Duchess of Kent di bandar Sandakan dengan menaiki jeep untuk mendapatkan pemerikasanan lanjutan daripada pihak hospital. Dua orang daripada jemaah ikut serta, seorang rakan seusaha tempatan yang nusrah jemaah ini dan seorang lagi rakan arwah, Fadhil. Hj. Darwis yang juga merupakan syura Sandakan dan seorang doktor di hospital tersebut, mendapat perkhabaran ini dan kemudiannya menyebarkan berita ini kepada rakan seusaha yang lain. Hari selasa malam rabu merupakan malam mesyuarat mingguan usaha dakwah & tabligh di Sandakan. Takaza ini dibentangkan dalam mesyuarat supaya pengurusan jenazah arwah dilakukan dengan kadar segera dan dihantar ke pangkuan keluarganya di Sabak Bernam, Selangor. Tugasan telah diagih-agihkankan kepada rakan seusaha yang bersedia menyambut tazaka ini, daripada hal pengurusan jenazah di bilik mayat hospital termasuklah mengkafan dan menyembahyang arwah sehinggalah pengurusan kargo di lapangan terbang Sandakan.

Rabu, 5hb Mei 2010

Selepas sembahyang subuh berjemaah, rakan seusaha yang telah diberi tanggungjawab, pergi ke bilik mayat Hospital Duchess of Kent. Semasa arwah dikeluarkan daripada peti sejuk mayat, beberapa rakan seusaha mengangkat arwah. Seorang daripada mereka menceritakan, jenazah arwah sangat ringan dan lembut tidak kaku seperti orang yang masih hidup. Wajah dan tubuh arwah kelihatan berpeluh, seperti baru sahaja mandi. Tubuh arwah masih dalam kemerah-kemerahan. Arwah dimandi dan dikafankan, kemudian disembahyangkan oleh rakan seusaha yang ramainya dalam sekitar 30 orang di tempat khas. Jenazah juga disembahyangkan oleh beberapa rakan seusaha yg lain selepas itu. Hj. Lakariba (syura Sandakan) tidak menahan esak tangis semasa menyembahygkan jenazah. Sementara menunggu pegawai kementerian kesihatan pada pagi itu, Hj. Lakariba membuka semula kafan arwah dan melihat wajahnya, sekali lagi Hj. Lakariba menangis. Rakan seusaha yang lain mengatakan, wajah arwah tenang dan tampak keputihan seperti diletakkan cairan lilin pada permukaan wajahnya. سُبْحَانَ اللّهِ

Pada pukul 9 pagi, pegawai daripada Kementerian Kesihatan datang dan menguruskan jenazah. Pemeriksaan pada tubuh arwah dilakukan, keranda dipakukan pada empat penjuru, dibungkus dengan canvas dan diberi cop/seal sebagai tanda sudah diberi pengesahan. Lebih kurang sejam selepas itu, barulah jenazah dihantar ke lapangan terbang Sandakan. Fadhil rakan pelajar arwah yang turut keluar 40 hari bersama arwah, menaiki kapal terbang ke KLIA menghantar jenazah arwah. Diberitakan oleh rakan seusaha, pengurusan jenazah teratur dan lancar/dimudahkan oleh Allah. Semasa menghantar jenazah arwah, tiada lampu isyarat merah melambatkan perjalanan.Allahyarham kembali ke rahmatullah pada waktu pagi, keesokan paginya juga jenazah dapat dihantar ke Semenanjung.

Sedikit karkuzari daripada Faiez Yemeny di FB, group Umat akhir Zaman, beliau mengatakan bahawa allahyarham masih menuntut di Universiti Malaysia Terengganu(UMT).

Arwah seorang yang amat peramah, sentiasa tersenyum, fikirman dan karkun lama dikalangan pelajar.
Walaupun sudah dua hari berlalu, darah di hidung dan mulutnya masih lagi mengalir, muka tenang dan jernih.

Sebelum arwah berangkat bersama jemaah ke Pamol, arwah sempat memberi sepucuk surat kepada Cikgu Juswan (rakan seusaha Masjid Pangeran Hj.Galpam) untuk dihantar kepada keluarganya di Sabak Bernam. Semoga Allah SWT mengurniakan pahala Syahid kepada arwah, diberi ganjaran SyurgaNya tanpa Hisab, diberi kesabaran kepada ayah bondanya dan mempertemukan kita dan beliau di Syurga Firdaus bersama dengan para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin. Amin Ya Rabbal Èalamin...

Posted by ABU HANIFAH SHAHRIL at 3:13 AM
SEDIKIT CORETAN
...

Arwah huzaifah dan Abg Wafi ada dtg ke bilik saya UMMU SULAIM 115(USM 115),di UDM Kampus KUSZA,arwah datang memberikan sedikit nasihat & berkongsi buah fikiran(terpancar ketenangan dan senyuman ketika arwah dtg menziarahi saya,&masih segar lagi dlm ingatan).Nasihat yg arwah berikan masih segar di ingatan saya..Insya Allah,segala nasihat dan pandangan yg arwah berikan kepada saya akan saya laksanakan sekaligus sama2 memikul amanat yg diberikan utk sama2 pjuangkan agama Allah yg Maha Suci ini.Mudah2an Allah berikan kekuatan utk sy laksanakan amanat tersebut.Saya agak terkejut dgn berita kematian arwah huzaifah,saya dpt tau berita kematian arwah pd 26/5/2010-Rabu,dpd salah seorg junior(HRM) sy di UDM.Mulanya agak kurang percaya namun,setelah di lihat bukti yg sgt kukuh,sy percaya..Dlm usia yg begitu muda arwah pergi dalam menegakkan agama Allah.Mudah2an di tempatkn di sisi para syuhada' & para solihin. Amin.........

Tak mengapalah anak....



Moga usaha anak itu sesuai dengan apa yang dikhabarkan oleh Baginda saw; AlBaihaqi dan An Naqasi telah mentahrijkan dalam Mu'jamnya dan Ibn Al Najjar daripada Waqid bin Salamah daripada Yazid al Riqasyi daripada Anas ra bahawa Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud;


" Mahukah aku khabarkan kepada kalian akan kaum-kaum yang mana mereka itu bukanlah para nabi dan bukan pula syuhada, (walhal) pada hari kiamat (nanti) para nabi dan syuhada berasa iri hati terhadap mereka lantaran kedudukan mereka (begitu dekat) dengan Allah, di atas mimbar-mimbar daripada cahaya". Lalu mereka (para sahabat) bertanya; " Siapakah mereka itu wahai Rasulullah saw ?". Baginda menjawab: " Mereka itu ialah orang yang menjadikan hamba Allah dicintai oleh Allah swt, dan menjadikan Allah swt dicintai oleh hambaNya. Dan mereka itu berjalan di atas bumi dalam hal keadaan memberikan nasihat".


Maka aku berkata : " Ini menjadikan Allah swt dicintai oleh hambanya, maka bagainakah mereka menjadikan hamba Allah swt dicintai oleh Allah swt?"


Baginda saw menjawab ; " Mereka menyuruh hamba-hamba Allah dengan apa yang Allah swt suka dan mereka mencegah hamba-hamba Allah swt daripada apa yang Allah swt benci. Maka apabila hamba Allah swt itu mentaati mereka lalu Allah Azzawajalla mencintai mereka itu ".
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.