RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Saturday, July 31, 2010

Indahnya ukhuwwah



Imbasan ukhuwwah yang sejati, tiada luntur.

" Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada dibumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
Surah Al-Anfal : 63

Hari Sabtu, 19 Sya'aban 1431 bersamaan 31hb Julai 2010 rupanya telah menjadi salah satu diantara hari-hari yang sangat indah dan nikmat dalam hidup ini. Selain hari-hari sewaktu kanak-kanak yang terpenuhkan dengan kegembiraan tanpa beban masalah dahulu, dan tahun-tahun indah semasa hidup dalam suasana keberkatan berjemaah (sekitar Gombak dan Padang Balang), rupa-rupanya hari Sabtu semalam juga sangat indah dan nikmat. Selain dapat menyaksikan majlis walimatul urus anak lelaki sahabat akrab ku, Roslan Yusuf, anakanda Muhammad Nasrullah bin Roslan al-hafiz, pelajar Universiti Madinah, Arab Saudi, dengan pasangan pilihannya Siti Nurul Nadia (hafizah) dalam satu majlis 'simple', praktikal, nampak tidak membebankan, tetapi tetap ceria dan meriah. Iktibar kepada sebahagian masyarakat diluar sana yang mempopularkan 'trend' bermewah-mewah, membebankan, kadang-kadang sukar untuk menghindar rasa ria', bermegah-megah serta ingin dipuji

Tenteram dan sejuk perut melihat redup wajah kedua mempelai. Terlihat diwajah mereka sinar taqwa yang telah di canai oleh kedua orang tuanya sekian lama, semenjak kedua orang tuanya masing-masing masih dalam zaman remaja. Kemudian benih iman dan taqwa itu terus dibajai dengan zikir dan amalan yang tiada putus. Setiap awal dan penghujung siang dilangengi dengan amalan bacaan Al Ma'thurat tanpa gagal. Al-Qur'an menjadi irama yang senantiasa didendangkan, malam yang hidup dengan munajat kepadaNya, taubat yang tiada henti-henti, terutamanya diwaktu-waktu dinihari dengan banjir air mata, selain fikiran yang senantiasa sarat dengan hal-hal gerak kerja jamaah dan kepentingan ummah...subhanallah.

Dalam hati berkata-kata; " Munasabah anak yang lahir sebegini hebat ........"

Kepada anakanda Muhammad Nasrullah dan Siti Nurul Nadia, mudah-mudahan dari kalian akan tumbuh benih-benih Islam yang subur rimbun dan berbuah enak. Moga akan lahir mujahid-mujahid sehebat pahlawan Badar, atau generasi seumpana generasi teras awalan Islam.

Sememangnya tidak silap aku sisihkan semua agenda lain yang mendatang, semata-mata bagi membolehkan aku serta dalam pertemuan semalam. Perjalanan sejauh hampir 180km dari Sabak Bernam, serasa bukan beban dan halangan. Seawal pagi dengan hati menguntum senyum, memeriksa bahagian apa-apa yang perlu pada kereta, bagi persediaan perjalanan jauh yang lancar. Sempat mendail nombor beberapa sahabat, semata-mata ingin mengingatkan mereka, jika terlupa.

Sampai selepas solat zohor. Syukur kehadiran sudah agak reda, kemungkinan peluang untuk lebih masa berbicara cerah. Sampai hampir beriringan dengan akh Johari dan isteri Che Yang serta keluarga. Nampak masih hebat, sebagaimana kehebatan waktu menjadi penjaga gol setiap pagi Ahad dahulu, walaupun masih cedera lantaran 'accident'. Sempat bertemu dengan akh Salehuddin yang masih 'maintain' dengan susuk tubuh tegasnya dan isteri ukh Rosnah serta anak-anak, akh Sharif Md Din, kelihatan semakin mancho dan isteri. Menyusul akh Imran yang masih 'ganteng', handsome, nampak seakan sebaya dengan menantu, dan isteri Hafizah, diiring anak beliau Afifah yang pun dah bersuami (suaminya Helmi turut juga hadhir). Tuan rumah akh Roslan, walaupun sebahagian janggutnya sudah 'bercahaya', dan mendukung cucu, tapi tetap berseri wajahnya bersama isteri ukh Rokiah.

Yang datang sebelah pagi dan berkirim salam, ialah akh Malik Moghee, akh Omar Satari dan akh Hasanuddin. Sempat bercakap di telefon dengan akh Baharul Azman Omar dan akh Kamaruzzaman Ripin. Semuanya rindu untuk bertemu, namun kerana halangan tak dapat bersama.

Selepas belasan tahun terpisah, dan tidak lagi dalam usrah yang sama, namun kemesraan perasaan rindu untuk bertemu tetap membara. Mengingat sahabat yang terpisah jauh benar-benar terasa kehilangan, sunyi dan sepi. Sesuatu yang tidak dapat di beli dengan kekayaan dunia (sebagaimana maksud ayat Surah Al-anfal : 63) Terasa waktu sangat pantas berlalu, sedang terlalu banyak cerita yang ingin dikongsi. Jika mungkin, tidak ingin berpisah selamanya. Semuanya lambang ikatan ukhuwwah fillah yang masih utuh yang sama-sama dibina sewaktu menggerakkan kerja-kerja jamaah di sekitar Padang Balang, Gombak dan Kuala Lumpur. Persekitaran yang didalamnya berlangsung suasana sangat akrab, sama-sama merasa dan menjiwai setiap denyut nadi, susah senang kehidupan berjamaah, mengharung ujian halangan dan tribulasi, membina dan menyatu fikrah, menyusun gerak kerja padu yang tersusun rapi, bak sebuah bangunan. Satu suasana ideal yang pernah dilalui, yang agak sukar ditemui lagi dimana-mana. Seumpama ikatan Ansar dan Muhajirin di Madinah, walaupun tidak sehebat dan seutuh mereka.

Sukar ditemui lagi suasana dimana berlangsung didalamnya seorang sahabat yang senantisa disambut tangannya waktu terjatuh, sahabat yang senantiasa hadir membantu waktu tiba masa-masa kelesuan, kelalaian, kelekaan, kelupaan ataupun teralpa dengan bujukan syaitan, sahabat yang menjadi perisai waktu seorang sahabatnya yang lain hanyut terdedah kepada kehancuran dan kebinasaan, segalanya ikhlas kerana Allah.

Hati sangat merindui suasana dimana penat lelah dan perit getir perjuangan tidak membekas lantaran sahabat-sahabat sentiasa tampil meringankan kepenatan dan kesusahan itu. Dimana ada lagi kita dapat temui apabila seorang sahabat berjalan di atas jalan da'wah, kelihatan seolah-olah dibawanya bersama hati-hati sahabat-sahabatnya yang lain. Diwaktu berdoa seluruh sahabatnya tidak pernah terlepas dari didoakan dengan doa-doa yang baik dan mustajab.


Mudah-mudahan pertemuan-pertemuan dahulu dan terkini pada hari Sabtu 31hb Julai 2010, Allah akan terima sebagai sebahagian 'amal-'amal soleh untuk bekalan kita 'di sana'.

Sabda Rasulullah saw, dari Abu Hurairah ra

" Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah di hari yang tiada naungan kecuali naungan Allah. 1. Pemimpin yang adil. 2. Pemuda yang masanya dihabiskan dengan beribadat kepada Allah. 3. Pemuda yang hatinya sentisa terpaut dengan masjid. 4. DUA LELAKI(ORANG) YANG BERKASIH SAYANG, BERTEMU DAN BERPISAH KERANA ALLAH......" (dan sterusnya)
Hadith riwayat Muslim.

Apakah ada lagi hari-hari seumpama itu diwaktu yang mendatang nanti ?

Alangkah bahagianya kita dengan nikmat Islam dan dengan nikmat persaudaraan pada Allah, kerana Allah. Wajib kita memelihara nikmat-nikmat ini dengan segala kemampuan dan upaya.

Saudara sekalian.......


Carilah sahabat-sahabat yang soleh, kekal bersahabat dengan persahabatan yang baik, kerana ia merupakan penolong dan bekalan yang berguna disepanjang perjalanan.

Ya Allah, benarlah dalam berjamaah ada nikmat dan dalam ukhuwwah persahabatan ada nikmat. Tanpa keduanya hati terasa gersang, tiada indah.
Ya Allah izinkan lagi kami menghirup nikmat keindahan ukhuwwah ini.

Ameee...!!!

Friday, July 30, 2010

Peliharalah.....dari api Neraka.


Keratan akhbar (Ahad) 25 Julai 2010

Nota ringkas kandungan berita:

1. 768 remaja seawal umur 13 tahun melahirkan anak (sebahagian besarnya luar nikah) sejak 2008 hingga Jun 2010 akibat pergaulan bebas.
2. Kadar kelahiran meningkat mendadak mutakhir ini dengan 111 kes remaja bawah umur hamil, bagi tempoh 4 bulan petama tahun 2010, berbanding 113 kes sepanjang 2009 dan 107 kes pada 2008.
3. Di negara ini secara purata seorang bayi luar nikah dilahirkan pada setiap 17 minit.
4. Sejak tahun 2000 hingga Julai 2008, statistik menunjukkan bilangan bayi yang tidak dicatatkan nama bapa dalam sijil kelahiran adalah seramai 257,000 orang.

Wahai ibu-ayah, para pendidik, pemimpin dan orang yang bertanggungjawab tidakkah semua itu amat membimbangkan dan menggerunkan. Kadar yang ditunjukkan mungkin akan melonjak lagi . Apakah kadar yang mungkin mendadak naik lagi itu akan disumbang oleh anak kita, cucu kita atau sesiapa dari zuriat kita? Atau disumbang oleh rakyat yang pernah kita menguasai, dan dipertanggungjawabkan kita atas mereka.

Bagaimana agaknya jika diwaktu itu kita sedang juga dalam gawat menghadapi persoalan dalam kubur ? Persoalan di 'sana' belum selesai, masih kritikal, yang tidak pasti berjaya melepasinya, saham dari amalan perbuatan yang tidak senonoh itu pula mengalir masuk .... Aduhai bagaimana nasib. Dalam kita tertunggu-tungu bantuan dari amal dan doa' anak yang soleh...., tiba-tiba yang dihantar adalah malapetaka dari dosa anak yang sedang seronok ketagihan seks tanpa batasan. Di tambah beban dari dosa kejamnya mereka membunuh zuriat yang sudah bernyawa, yang ada waktu manjadi santapan anjing-anjing liar dijalanan. Bagaimana mereka mampu mengirim doa' , sedang mereka lupa segala...Aduhai......

Atau kita sebagai pemimpin, apakah dosa kemungkaran itu boleh diabaikan sahaja, tanpa kita ditanyai atau dipertanggungjawabkan? Mana mungkin, kerana semua kita adalah pengembala, yang pasti akan ditanyai semuanya.

Firman Allah Surah Al-Qiyamah : 36)

" Apakah manusia mengira, bahawa ia akan dibiarkan begitu sahaja (tanpa pertanggung jawaban) ? "

Kepada ibu-ayah ingat firman Allah Surah At-Tahrim :6

"Wahai orang-orang yan beriman , peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperentahkanNya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."

Dan juga pesanan Rasulullah saw ;

" Orang lelaki bertanggungjawab di dalam rumah isterinya dan dia akan ditanya tentang isi rumahnya."
Hadith riwayat Bukhari & Muslim.

Ingat lagi pesanan Rasulullah saw;

" Sesungguhnya Allah akan bertanya setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah dia telah memeliharanya ataupun mensia-siakannya."
Hadith riwayat Ibn Hibban.

Kepada semua Rasulullah mengingatkan;

" Setiap kamu adalah pengembala, dan setiap daripada kamu bertanggungjawab terhadap gembalaannya."
Hadith riwayat Bukhari & Muslim.

" Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka." (At-Tahrim : 6)
" Yang (membakar) sampai ke hati." (Al-Humazah : 7)









Wednesday, July 28, 2010

Kamu punya 'amanah...tunaikanlah.

Keratan akhbar bertarikh 20hb Jun 2010 (Ahad)

Nota ringkasan keratan akhbar.

1. Kajian terbaru Universiti Putra (UPM) bertajuk : ' Keterlibatan Remaja Dalam Salah Laku Seksual ', dengan 400 responden . Kajian diketuai oleh Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, Pengarah Pusat Kokurikulum UPM.
2. Kajian membabitkan jumlah seimbang responden remaja lelaki dan perempuan.
3. Lebih 300 remaja Melayu di bandar dan luar bandar berusia 13 hingga 25 tahun mengakui terbabit dengan salahlaku seksual dan gejala seks bebas, sehingga ada yang menggugurkan janin
4. 85 % daripada mereka mengakui tidak kesal atau malu dan tidak takut dosa, malah menyifatkan pengalaman berkenaan menyeronokkan.
5. Ada responden mengakui terdedah kepada dunia seksual seawal sekolah rendah.
6. Menjadi keutamaan remaja terbabit itu ialah ' buat selagi tidak mengandung.'



JIKA ITULAH HASIL PENEMUANNYA, MAKA TIDAK HAIRANLAH KITA TEMUI APA
YANG KITA LIHAT INI....






KENAPA JADI BEGINI ...?


Kerana sebahagian kita , sebagai individu, samada remaja, dewasa atau orang tua, sebagai sebahagian anggota keluarga, anak, ibu atau ayah, sebagai anggota masyarakat, rakyat atau sebagai pimpinan masyarakat dan negara tidak faham tentang amanat, tidak tahu kita diberi amanat, tidak melaksanakan amanat atau mengkhianati amanat.

Tidak amanah dengan amanah akal, amanah pancaindera, amanah kesihatan, amanah kecantikan, amanah waktu muda, amanah dikurniakan anak, amanah kuasa, amanah pemimpin dan memimpin, dan berbagai.... Cuai dan mengabaikan peringatan Allah dalam Surah Al-Anfal : 27, bermaksud : " Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui,"

PADAHAL BUKANKAH ALLAH TELAH MEMBERI AMARAN......

Menerusi FirmanNya Surah Al Isra' : 32
" Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji, dan suatu jalan yang buruk."

Jika setiap individu berperanan mengikut ruang batas keupayaan dan kuasa masing-masing, sambil menghayati serta menguatkuasakan roh ayat ke 32 Surah Al Isra' tersebut, bermula dengan remaja menghindar diri dari sebarang unsur yang boleh membawa kepada perlakuan zina. Ibu bapa sedari awal memberikan benteng kekuatan , ketahanan bagi anak terhadap sebarang unsur tarikan zina. Manakala pimpinan masyarakat dan negara menutup segala ruang yang memungkinkan punca perlakuan zina..... pasti gejala sebagaimana penemuan kajian di atas tidak akan berlaku.

BUKANKAH ALLAH YANG MAHA BIJAKSANA, MAHA MENGETAHUI AKAN SEGALA UBAT PENYAKIT DAN PERMASALAH MANUSIA........?
KENAPA RAGU DAN TIDAK PATUH ....?


Usah terkeliru

Pemberian atau penangguhan pemberian dari Allah adalah merupakan persoalan penting dan amat mempengaruhi kehidupan sesaorang. Tidak sedikit orang keliru dalam memahaminya. Mereka beranggapan bahawa pemberian adalah suatu tanda kemuliaan, manakala penangguhan pemberian adalah suatu tanda penghinaan. Kerap kali manusia penderhaka kepada Allah, merasakan dirinya mulia lantaran memiliki kekayaan yang tidak terhitung, lalu memandang rendah dan hina terhadap manusia lain yang tidak berpunya, walaupun yang dianggapnya hina itu kalangan orang yang bertaqwa.

Firman Allah ; Surah al-Fajr : 15-16

"Adapun manusia, bila Tuhannya mengujinya, lalu dimuliakanNya dan diberiNya kesenangan, maka dia berkata : Tuhanku telah memuliakanku. 'Sedang jika Tuhannya mengujinya, lalu Ia mengurangi rezekinya, maka dia berkata : Tuhanku menghinaku ".

Namun hakikatnya ia sebenarnya tidak begitu kerana ada ketikanya Allah menangguhkan pemberian dunia kepada makhluk yang paling dicintaiNya, sebaliknya Ia curahkan berbagai kesenangan dunia kepada makhluk yang paling dimurkaiNya.

Kepada Namrud dan Firaun, bukan calang-calang pemberian yang Allah berikan, manakala Nabi, Rasulullah saw, dan para sahabat Baginda saw, kerap tidak ada apa-apa untuk mengisi perut mereka untuk beberapa hari. Padahal mereka adalah kekasih-kekasih Allah. Kerana itu, pemberian duniawi dari Allah bukanlah suatu tanda kemuliaan, manakala penangguhan pemberian bukan pula suatu tanda kehinaan.

Syeikh Ibnu 'Atha'illah berkata ;

" Pemberian dari makhluk adalah suatu kerugian, sedang penangguhan pemberian dari Allah adalah suatu kebaikan."

Justeru jika Allah menahan atau menangguhkan pemberianNya kepada kita, maka fahamilah bahawa itu adalah suatu kemuliaan bagi kita, selagi mana kita mempertahankan keIslaman dan keimanan kita, hingga segenap apa yang dilakukan Allah terhadap diri kita, menjadi suatu kurnia pula terhadap kita. Dipertegaskan sebenarnya penangguhan pemberian Allah, meski dalam apa juga keadaan, adalah suatu kurnia.

Selain itu masih ada juga kekeliruan dikalangan manusia dengan beranggapan bahawa Allah tidak memberikan balasan kecuali di akhirat. Namun hakikatnya ada balasan yang langsung diberikan Allah di dunia , dan ada pula balasan yang diberikan di akhirat. Ketahuilah bahawa disetiap saat terdapat pemberian Allah.

Saturday, July 24, 2010

kata-kata hati (15) moga masih bermanfaat.


Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2 (UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Sehabis misi da'wah 40 hari di Sandakan (yang anak pun sempat turut beberapa hari) Tuan Hj Mohamad b. Embong sempat meluangkan masa menziarahi pusara anak. Beliau masih sebak dan menitiskan air mata kala langkah beliau semakin hampir ke pusara anak. Diikuti dengan ucapan " Assalaamu'alaikum wahai Huzaifah".


Dari perbualan abah dengan beliau sepanjang perjalanan dari Seri Petaling ke Sabak Bernam, dan maklumat dari kawan seusaha anak, Fadhil (yang turut sama dalam misi da'wah di Sandakan, teman yang menemankan anak mandi sebelum kejadian), abah dapat kepastian bahawa beliau sangat terkesan lantaran teringat akan khidmat, layanan dan santunan anak kepadanya, membantu menyelesaikan keperluanya, saban hari tanpa jemu, walaupun anak cuma baru beberapa hari bersama beliau. Kata beliau anak paling rapat dan paling mesra dengan beliau.


Seperkara yang sangat penting (berkait rapat dengan perkara tersebut) abah terbaca dari 'inbox message' anak kiriman dari mas'ul anak, Tuan Hj Osman Ngah (anak tandakan sebagai Hj Man Syura) dengan ingatan antara lain ; "Sdr2. Selamat brangkat ke Sndkn. Ikram dan dakwah org tempatan. Ikram sesama jmh (jamaah abah kira). Extra ikram pd H Mohd....."


Tahniah anak, pertamanya kerana berjaya taat dan patuh pada arahan mas'ul (pimpinan), sebab ia adalah wajib selagi ia tidak menyalahi syara'. Kedua kerana telah berusaha sedaya mungkin menjadikan diri anak bermanfaat kepada orang lain.


Teringat abah akan sabdaan Junjungan, daripada Jabir bin Abd Allah ra, bermaksud ;
" Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia (lain)".
Hadith dikeluarkanoleh al Daruquthi dalam al-Afrad, dinukil oleh al Sayuti dalam Jamii-us-Sagheir no. 4044 (lihat juga no. 9147) dan dinilai hasan oleh beliau. Dipersetujui oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Saliih Jamii-us Sagheir no. 3289.

Oleh itu anak....

Izinkan abah kongsikan sedikit dari kehidupan anak kepada khalayak, moga-moga bukan sahaja hidup anak bermanfaat, bahkan kematian anak juga bermanfaat kepada manusia lainnya.

Thursday, July 22, 2010

Permohonanmu belum makbul...bergembiralah


Jika Allah menangguhkan pemberianNya kepada kita, seumpama ketika kita bermohon berdoa, belum berhasil, maka itu adalah suatu peringatan bagi kita bahawa diri kita fakir sementara Allah-lah yang Maha Kaya. Jika Allah memberi kita, maka itu adalah gugahan bagi kita bahawa anugerah itu adalah pemberianNya.

Hayati benar-benar keadaan serta rasa kefakiran kita itu. Kelak mudah-mudahan kita akan mencapai maqam yang tinggi dikala kita sudah merasa amat memerlukanNya, setiap masa, dalam semua keadaan.

Secara jujur, cuba kita bertanya kepada diri kita sendiri; 'Bilakah kita merasa menjadi manusia yang begitu fakir ? Sangat memerlukan dan sangat berkehendak kepada Allah setulusnya? Pastinya ketika Allah menahan atau menangguhkan pemberianNya sedang makhluk, manusia berpaling tidak peduli, dan tidak menghiraukan kita. Atau mungkin ketika kita mendatangi manusia untuk mohon bantuan atau pertolongan, pintunya tertutup rapat atau kita dihalau seperti anjing kurap. Kita sedar tiada siapa lagi yang dapat membantu kita. Waktu itu darjah pengharapan dan berkehendak kita dengan Allah pasti sangat tinggi.

Cuba kita mengambil satu contoh. Disaat kegawatan ekonomi, kita di berhentikan kerja, manakala isteri memang sejak awal tidak bekerja, sebagai suri rumah sepenuh masa. Dengan tinggal menyewa di bandar, menanggung anak-anak yang ramai, semuanya masih bersekolah bukan kerja enteng. Semuanya perlukan duit. Belanja dapur, api & air, pakaian sekolah, yuran yang berbagai, bas sekolah, duit belanja sekolah pagi dan petang dan lain-lain.

Dengan sedikit simpanan kita berniaga secara kecil-kecilan, berniaga donut di pasar-pasar malam, disamping mencuba juga beberapa peluang untuk mendapatkan kerja baru. Namun dunia perniagaan bukan semudah yang disangka. Halangannya besar. Sebagai pendatang baru, berniaga dipasar malam perlukan ketabahan. Peniaga-peniaga lama walaupun seakidah tidak membantu. Malah kita, sentiasa jadi bahan sindiran. Jika tak tabah boleh patah semangat. Berniaga kadang-kadang laku, ada waktu tak balik modal, sedang anak isteri dirumah perlu disuapkan makanan. Duit simpanan semakin menyusut, jauh sekali untuk menambah simpanan. Akhirnya semua kontang. Ada waktu untuk membeli bahan untuk berniaga pun tak cukup. Barang kemas isteri yang adalah beberapa urat semua sudah digadaikan. Bila semua sudah tidak ada, masih ada beberapa sahabat yang sudi meminjamkan duit untuk modal, tapi sehingga bila...?

Begitu juga keluarga. Merekapun ada batas keupayaan, walaupun ada sebahagiannya sudah mula mengelak untuk berjumpa, takut diminta hutangi. Yang lebih parah ada yang tidak mesra seperti dahulu. Yang perli secara terang-terang pun ada. Dirumah makanan sudah dicatu. Seekor ikan tamban goreng sebesar ibu jari terpaksa dikerat dua untuk makan anak-anak yang masih belum mengerti. Kerap makan tanpa sayur. Ada waktu kicap dan nasi kosong sudah dikira enak. Kalau masak lauk, kuahnya dibanyakkan supaya lebih berbaloi. Ayah dan emak cuma makan berkuah, sementara anak-anak makan lauknya. Pakaian sekolah abang digilirkan kepada adiknya selagi belum rabak. Kalau seluar sekolah koyak, tetapi masih dapat ditutup dengan kain samping tidak akan diganti. Kasut sekolah anak kadang-kadang sampai seperti mulut buaya, terbuka tapak. Belanja anak-anak di sekolah usah ditanya lagi. Duit lebih perlu untuk menjadikan dapur berasap dari belanja lainnya.

Suatu ketika musim hujan, perniagaan merosot teruk. Pengunjung berkurangan berlipat kali ganda. Satu hari hujan lebat turun, tapak pasar tempat berniaga banjir. Air naik mendadak. Sebahagian barangan dan donut goreng tidak dapat diselamatkan. Donut hanyut diair banjir. Kedengaran suara peniaga lain menjerit; "Hoi....pelampung siapa hanyut ?". Disambut gelak ketawa peniaga lain tanpa merasai perasaan orang lain. Ada yang bersikap lagi kejam. Donut hanyut diaraknya keliling tapak pasar malam, sambil buat jenaka, menambah pedihnya hati. Teringat dirumah beras cuma tinggal sekali masak. Duit dipoket tinggal kepingan siling. Terbayang mata anak-anak yang akan lapar.

Saat itu air mata turun sendiri. Peniaga terdekat perli lagi; " Alamat dalam lagilah.... banjir....!!!". Dalam remuk, hati berdoa kepada-Nya ...........

Cuba anda pejamkan mata, hayati kisah tadi sampai penghujung. Bagaimana agaknya saat itu, hati siayah, harapnya, rasa fakirnya kepada Allah ?

Bagi kebanyakan manusia keaadaan itu sangat menyakitkan dan menyiksakan. Namun bagi manusia yang sedar, yang sedang berjalan menuju Allah, keadaan itu menjadi suatu peringatan dan sangat bermanfaat untuk mengenal Allah. Lantaran itu ia akan merasa sangat tenteram dan gembira bersama Allah.

Maka kerana itu Ibnu 'Atha'illah mengatakan bahawa;

" Sebaik-baik waktumu adalah dikala engkau menyaksikan keperluanmu dan engkau datang ke hadirat-Nya dengan segala kerendahanmu. Manakala Allah membuat makhluk-Nya mencampakkanmu, maka ketahuilah bahawa Ia (Allah) hendak membukakan bagimu pintu untuk merasa sukacita kepadaNya."

Untuk aku dan semua, jika kita dalam keadaan itu ...bergembiralah kerana Allah sudi membukakan pintuNya untuk kita.

Tuesday, July 20, 2010

Beramal...rasa macam dah OK !


Ibnu 'Abbad menyatakan, sebenarnya sesaorang hamba sangat memerlukan akan santunan, yakni hidayah, pimpinan, petunjuk serta keampunan Allah ketika melakukan ketaatan. Hal yang demikian kerana orang yang melakukan ketaatan adakalanya melihat kepada beberapa keadaan dalam dirinya, seperti sikap terpaku dan terpesona kepada diri sendiri, ujub, memandang rendah dan remeh orang lain, merasa berhak memperoleh balasan, serta berbagai sikap yang tergolong dalam hal bangga diri,atau kesombongan hati.

Dikala itu adalah sangat dibimbangi ketaatannya itu berubah menjadi suatu kemaksiatan. Manakala orang yang berbuat maksiat, boleh jadi kemaksiatannya itu menyebabkannya merasa takut kepada Allah, berserah diri, tunduk, dan merasa sangat menghajatkanNYA. Kerana itu seorang hamba sebenarnya lebih memerlukan santunan, kesabaran dan keampunan Allah ketika ia taat kepadaNYA, berbanding ketika ia derhaka kepadaNYA. Namun yang lebih dibimbangi adalah merasa berhak sampai kepada Allah lantaran kepelbagaian dan banyak amalnya.

Ibnu Ajibah pula mengingatkan, sedarlah bahawa seorang hamba yang melakukan ketaatan lebih memerlukan santunanNYA kerana ketaatan itu membuka ruang kepadanya untuk merasa megah, tinggi dan mulia, perlakuan atau perasaan yang sangat digemari dan diinginkan oleh nafsu.Sedang manusia pada lumrahnya sering terpikat pada pandangan zahir, ketaatan sesaorang hamba, langsung akan mendorong mereka untuk memuja, memberikan taat atau mengagungkan pelakunya. Hal yang demikian berbeza dengan kemaksiatan, kerana kadang-kadang ia membuka peluang untuk merasa rendah, pasrah dan hina, sedang manusia tidak akan memuja dan mengagungkannya.

Oleh itu hendaknya seorang hamba yang melakukan ketaatan, seharusnya ia lebih menginginkan santunan, kesabaran dan keampunanNYA, daripada ketika ia berbuat kamaksiatan kerana ketaatan yang menumbuhkan kemegahan, kesombongan, bangga serta terpesona pada diri dan sebagainya itu lebih buruk berbanding kemaksiatan yang membawa kepada rasa rendah serta rasa mengharapkan Allah.

Dari Ibnu Abbas bahawa Rasulullahsaw bersabda : "Allah berfirman; Kesombongan adalah selendang-Ku dan keagungan adalah pakaian-Ku. barangsiapa yang merampas salah satu atau keduanya dari-Ku, maka Aku akan melemparkannya ke dalam neraka."
Hadith Qudsi.

Sunday, July 18, 2010

Jihad : kewajipan yang diabaikan (5)

Keutamaan jihad - (sambungan)

Berikut adalah sebahagian daripada ayat-ayat Al Quran yang mengungkapkan keutamaan jihad dan mujahidin.

Firman Allah Surah An Nisa' : 95-96

" Tidaklah sama antara mu'min yang duduk (tidak ikutberperang) yang tidak mempunyai uzur dengan orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan jiwa dan hartanya atas orang-orang yang duduk satu darjat. Kepada masing masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang-orang yang duduk dengan pahala yang besar. (Yaitu) beberapa darjat daripadaNya ampunan serta rahmat. Dan adalah Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang."

Firman Allah Surah Muhammad : 4-6

"Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang), maka pancunglah batang leher mereka. Apabila kamu telah mengalahkan mereka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang berhenti. Demikianlah apabila Allah menghendaki niscaya Allah membinasakan mereka, tetapi Allah hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain. dan orang-orang yang gugur di jalan Allah, Allah tidak akan menyia-nyiakan amal mereka. Allah akan memberi pimpinan kepada mereka dan memperbaiki keadaan mereka, dan memasukkan mereka kedalam syurga yang telah diperkenalkanNya kepada mereka."

Firman Allah Surah Al Anfal : 74

" Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang muhajirin) mereka itulah orang orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh keampunan dan anugerah yang mulia."

Firman Allah Surah At Taubah : 20-22

" Orang-orang yang telah beriman yang telah berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri mereka. Disisi Allah bagi mereka darjat yang tinggi. Merekalah orang-orang yang berjaya sepenuhnya. Tuhan mereka mengkhabarkan berita gembira kepada mereka tentang rahmat dan keredhaanNya dan tentang taman-taman syurga dimana mereka akan mendapat kenikmatan yang kekal, mereka akan tinggal di sana selama-lamanya. Sesungguhnya disisi Allah balasan yang sangat besar."

Firman Allah Surah Al Hujurat : 15

" Orang-orang yang beriman yang sempurna imannya ialah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasulnya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar."

Firman Allah Surah Ash Shaff : 10-12

" Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih ? (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya. Niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar."

Firman Allah Surah At-Taubah : 24

" Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasulnya dan (dari) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik."

Firman Allah Surah An Nisa' : 74

" Kerana itu hendaklah orang-orang yang menukar kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat berjuang di jalan Allah. Barangsiapa yang berperang di jalan Allah, lalu gugur atau memperoleh kemenangan, maka telah kami sediakan kepadanya pahala yang besar."

Firman Allah Surah Ali Imran : 157

" Dan sesungguhnya kalau kamu gugur di jalan Allah, tentulah ampunan Allah dan rahmatNya lebih baik (bagimu) dari harta rampasan yang mereka kumpulkan."

Firman Allah Surah At-Taubah : 111

" Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar."

Firman Allah Surah Ali Imran : 169

" Janganlah kamu mengira orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup disisi Tuhannya dengan mendapat rezeki. "

Firman Allah Surah Al Baqarah : 154

" Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur di jalan Allah itu (bahawa mereka itu mati); bahkan sebenarnya mereka itu hidup, tapi kamu tidak menyedarinya."

Bersambung......................







Saturday, July 17, 2010

kata-kata hati (14) semoga Allah sayang

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2 (UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Anak ....

Sebenarnya banyak lagi barangan anak yang masih tersimpan dalam beg-beg anak tidak kami punggah keluar, lantaran rasa pilu pemergian anak masih terlalu sangat terasa . Nanti, bila keadaan kami sudah semakin baik, akan kami selesaikan apa-apa juga yang perlu.

Semalam kami gagahkan meneliti telefon bimbit anak. Keadaannya masih baik dan masih ada beberapa panggilan masuk selepas tarikh 5.4.2010 itu. Di dalam 'draft' mesej, kami temui beberapa mafhum hadith, berselangseli dengan catatan peribadi anak, antaranya tertulis begini;

Mafhum hadith : "Ingatlah 5 perkara sblm dtg 5 perkara. 1. Waktu lapang sblm sibuk (buatlah amalan, isilah dgn amal kebajikan, tuntut ilmu dan mbc Al-Qur'an) 2. Waktu senang sblm tiba waktu susah (jk dtg kesusahan dan musibah, mampu bersedia utk selesaikan masalah) 3. Waktu sihat sblm sakit (jagalah badan sblm drita sakit tiada ruang, kawallah makan utk kesihatan, agar ringan ibadah nak di kerjakan) 4. Waktu kaya sblm waktu miskin (bermurah hatilah, bantulah sesama insan) 5. Waktu hidup sblm mati (sediakan bekalan walaupun susah, banyak halangan, tabah dan sabar, Allah akan bertambah sayang)

(sediakan bekalan walaupun susah, banyak halangan, tabah dan sabar, Allah akan bertambah sayang)

Anak.........

Abah maklum, bukan mudah untuk anak menekuni dan istiqamah dalam kerja-kerja da'wah itu, kerana mehnah, ujian, halangan dan ujian datang tiada hentinya. Banyak waktu perlu dihabiskan. Sedang anak perlu juga menekuni pelajaran. Kesenangan diri dan waktu isterihat terpaksa dilupakan. Cuti semester terpaksa dikorbankan. Semuanya benar-benar memerlukan ketabahan dan kesabaran yang tinggi, demi Islam. Jika lulus segalanya, baru Allah akan sayang.

Anak........

Walaupun kesusahan yang anak terpaksa lalui, mehnah yang berbagai terpaksa dihadapi, halangan dan ujian datang silih berganti, namun percayalah ianya hanya sebagai prasyarat yang wajib dilalui sebelum kita dapat meraih kasih sayang Allah, Tuhan kita.

Firman Allah : Surah Al Ankabut 2-3

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan), dan demi sesungguhnya kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian) nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang yang berdusta."

Firman Allah : Surah Muhammad 31

" Demi sesungguhnya ! Kami tetap menguji kamu (wahai orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan kami tentang adanya orang yang berjuang daripada kalangan kamu dan orang yang sabar (dalam menjalankan perintah kami) Dan sehingga kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu."


Anak.........

" Mudah-mudahan Allah sayang kita semua."

Friday, July 16, 2010

kata-kata hati (13) Kau jerut selera mu

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2 (UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Dari Aisyah r.ha berkata bahawa sehingga kewafatan Rasulullah saw ahli keluarga Baginda tidak pernah kenyang dengan roti barli selama dua malam berturut-turut.
Hadith riwayat Muslim

Dari Abdullah Ibnu Abbas ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw dan keluarga Baginda bermalam dalam keadaan perut yang kosong (kerana ketiadaan makanan) selama beberapa malam berturut-turut. Mereka tidak mempunyai makanan malam. Makanan mereka secara umumnya adalah roti barli.
Hadith riwayat Tirmidzi

Dari Anas bin Malik ra meriwayatkan bahawa pada satu ketika Hadzrat Fatimah r.ha telah menghulur sepotong roti kepada Rasulullah saw. Lantas Baginda saw bersabda, "Dalam masa tiga hari, inilah makanan pertama yang telah dimakan oleh bapamu." Di dalam satu riwayat yang lain pula Rasulullah saw telah bertanya kepada puterinya: "Apakah ini ?" Beliau menjawab: "Aku telah membakar sekeping roti, aku rasa tidak senang aku makan tanpa bersamamu."
Hadith riwayat Ahmad.

Dari Urwah berkata bahawa Aisyah r.ha selalu berkata: "Wahai anak saudaraku! Kami melihat anak bulan pertama kemudian anak bulan kedua dan kemudian anak bulan ketiga, namun api tidak dinyalakan pun di rumah-rumah Rasulullah saw". Kemudian aku bertanya; "Wahai makcikku bagaimana pula makcik menyara kehidupan ketika itu?" Beliau berkata : "Dengan dua benda hitam , iaitu buah tamar dan air."
Hadith riwayat Muslim

Begitulah juga dalam peristiwa penting, yang tercatit dalam semua kitab-kitab sirah, mengisahkan bagaimana sewaktu membuat persiapan Perang al Ahzab Rasulullah saw turut sama-sama dengan para sahabat, memerah keringat menggali parit untuk benteng pertahanan. Baginda turut memunggah tanah dan batu-batu yang berat, menyebabkan seluruh fizikal merasai sakit, terasa pedih hingga kepangkal hati. Untuk mengurangkan kepedihan akibat lapar itu, Rasulullah saw mengambil beberapa ketul batu kemudian dibalut dengan kain dan diikat dengan ketat pada perut Baginda, demi untuk mengurangkan rasa lapar serta mengelakkan kecederaan akibat bekerja dalam keadaan perut kosong.

Wahai anak......

Kisah itukah......., yang menjadi sumber inspirasimu, sehingga kau tahan selera makan mudamu, (abah dimaklumkan selepas pemergianmu) yang acap kali waktu makanmu, cuma dipenuhi dengan hanya memakan nasi kosong dengan perencah nasi goreng, tanpa berlauk dan sekadar biskut kering, kau tahan keperluan kehidupan kampusmu seadanya, dan berbagai lagi yang tidak mampu abah luahkan, semata-mata kerana ingin menyimpan buat belanja di jalan da'wahmu ?

Aduhai anak...kerdilnya kami....

Thursday, July 15, 2010

Jihad : kewajipan yang diabaikan (4)

Keutamaan Jihad

Jihad fi sabilillah dan para mujahid memiliki nilai keutamaan yang paling tinggi. Balasan bagi mujahidin adalah syurga yang paling utama, yang telah dijanjikan oleh Allah swt, khusus untuk para hambanya yang berperang dalam menjunjung tinggi kalimatullah dan membela agama Allah.

Banyak hadith-hadith Rasulullah saw yang menerangkan keutamaan jihad danmengomentari ayat-ayat yang berkenaan dengan kedudukan mujahidin di sisi Allah. Antara sebahagian hadith Nabi saw tersebut adalah :

" Barangsiapa yang dua telapak kakinya berdebu dalam sabilillah, Allah mengharamkan api neraka padanya."
Hadith riwayat Bukhari.

" Perumpamaan seorang mujahid fi sabilillah laksana seorang yang berpuasa secara serius dan terus menerus, dan solat malam, sampai ia kembali dari berjihad."
Hadith riwayat Bukhari & Muslim.

" Demi zat yang menguasai diri Muhammad, seorang tidak dilukai di medan sabilillah, Allah mengetahui kepada orang yang dilukai di sabilillah. Ia akan datang di hari kiamat seperti keadaannya semula. Warnanya warna darah dan baunya bau kasturi (misik)."
Hadith riwayat Bukhari & Muslim.

" Allah akan menjamin pada orang yang keluar dari rumahnya sebagai mujahid di jalan Allah dan keluarnya semata-mata berjihad di jalan Allah dan semata-mata mengemban kalimatullah, dengan memasukkannya kedalam Syurga atau Allah mengembalikannya ke rumahnya dengan pahala atau harta rampasan."
Hadith riwayat Bukhari & Muslim.

" Debu-debu sabilillah dan asap Jahannam selamanya tidak akan dapat berkumpul dalam lubang hidung seorang hamba Muslim."
Hadith riwayat An Nasai, Ibn Majah & Tirmidzi.

" Dinampakkan padaku tiga macam orang yang pertama masuk Syurga dan tiga macam orang yang pertama masuk Neraka. Tiga orang yang pertama masuk Syurga ialah orang yang mati syahid, hamba sahaya yang taat beribadat kepada Allah dan suka menasihati majikannya, dan orang yang rajin berusaha dan tidak suka meminta-minta, meskipun dia mempunyai tanggungan keluarga. Dan tiga orang yang pertama masuk neraka ialah pengusa yang zalim, orang kaya yang kedekut, dan orang miskin yang tak tahu diri."
Hadith riwayat Tirmidzi.

" Satu hari mengawal perbatasan di jalan Allah, lebih utama dari seribu hari lainnya. Maka setiap orang dari kamu sekalian hendaklah memperbaiki dirinya."
Hadith riwayat Tirmidzi.

" Sesiapa yang mukanya telah berlumuran debu di jalan Allah, pada hari kiamat nanti Allah akan memelihara muka itu dari api Neraka. Dan sesiapa yang kedua-dua belah kakinya telah berlumuran debu di jalan Allah, Allah akan memelihara kakinya dari api Neraka."
Hadith riwayat Baihaqi.

" Barangsiapa yang keluar di jalan Allah, walau untuk satu petang, maka sebanyak mana debu yang melekat padanya, dia akan diberi kasturi sebanyak itu dihari kiamat nanti."
Hadith riwayat Ibnu Majah.

Bersambung...............

Monday, July 12, 2010

kata-kata hati (12) bidadari sebanyak helaian janggut..?




Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita,(lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Dalam setiap amalan sunnah pasti ada kejayaan
Saat akhir abah menatap wajah anak di tanah perkuburan (di belakang Masjid Makmuriah, Sg. Besar) sebelum anak disemadikan, abah perhatikan muka anak masih kemerah-merahan , (seumpama mempelai lelaki waktu tersipu-sipu malu dipelawa oleh mentua memasuki kamar pengantin perempuan) berpeluh, terpejam seperti tidur, tubuh lembut (tidak kaku) dengan janggut anak yang agak kemas sejemput.

Dalam sebak abah menyimpul senyum, kerana teringat kata-kata anak (abah kira gurauan) kepada abang (Muhammad Hafiz bin Muhammed Huzazi) bahawa anak tidak akan mencukur janggut, kerana ingin menjaga sunnah. Kata anak lagi di akhirat kita akan mendapat bidadari sebanyak bilangan helaian janggut kita sekurang-kurangnya.

Walaupun abah masih belum menemui hadith tentang itu, namun percaya bahawa menyimpan janggut adalah sunnah, dan DALAM SETIAP AMALAN SUNNAH PASTI ADA KEJAYAAN

Abdullah bin Umar berkata, bahawa rasulullah saw bersabda. "Janganlah kamu menyerupai orang-orang musyrikin, peliharalah janggut kamu dan tipiskanlah misai kumis) kamu."
Hadith riwayat Bukhari, Muslim dari Anas ra.
Dari Aisyah berkata, bersabda Rasulullah saw. "Sepuluh perkara dari fitrah (dari sunnah nabi-nabi),diantaranya ialah mencukur misai dan memelihara janggut."
Hadith riwayat Ahmad,Muslim, Abu Daud, Turmizi, An-Nasaii & Ibn Majah.

Dari Abi Imamah, bersabda Rasulullah saw. "Potonglah misai kamu, dan peliharalah janggut kamu, tinggalkan (jangan meniru) Ahl-al Kitab."

Hadith riwayat Ahmad dan At-Thabrani.

Mudah-mudahanlah anak.......mendapat ganjarannya. .....Ameen..!!!

Thursday, July 8, 2010

kata-kata hati (11) Penghargaan & terima kasih.

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita,(lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Budi kalian tidak terbalas.

Assalamu'alaikum wrt. wkt.

Kepada semuanya,


Oleh kerana masih terlalu banyak yang ingin saya tuliskan tentang arwah, dan mungkin akan mengambil masa yang agak lama lagi untuk saya sudahkan semuanya, maka saya kira elok saya dahulukan bahagian ini, walaupun pada perkiraan awalnya saya ingin menjadikan bahagian ini sebagai penutup.

Sebenarnya tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa kami sekeluarga sangat terharu dengan semua sokongan dalam berbagai bentuk, apatah lagi tidak mampu kami balas semua budi, jasa dan segala yang telah di berikan sebelum, semasa dan setelah selesai urusan keperluan arwah. Termasuk juga segala yang terserlah semasa arwah masih hidup lagi. Saya mohon maaf jika ada nama-nama yang tercicir. Manakala yang tercatit dipenghujung tidak bermakna kurang berbanding dengan yang tercatit diawal. Yang pasti saya tidak berupaya untuk menjadikan semuanya yang pertama.

'Makcik' Hafizah Imran kerana datang dari jauh, bermalam, bersama dalam semua keadaan sehingga ke Masjid Sri Petaling.

Al-akh Malik Moghee dan Kak Aishah, al-akh Kamaruzzaman dan isteri, al-akh Omar dan isteri, al-akh Roslan dan isteri, al-akh Shamsuddin, al-akh Sulaiman Kaiat dan al-akh Jamali kerana menanti dengan sabar di masjid Sri Petaling, memberikan sokongan serta turut merasai pilu. Gambaran ukhuwwah yang masih utuh.

Kekanda YB Yaakub Hussein yang membuat panggilan khusus dari jauh menghulurkan simpati.

Al-akh Baharul Azman, al-akh Zul Salleh, al-akh Afandi Manaf, al-akh Ghazali Sulaiman dan al-akh Mohd Daik yang mengirim ucapan lewat SMS.

Penghargaan khusus buat Tuan Hi Mohd Zain, Tn Hj Shamsuddin, Tn Hj Lakariba dan sahabat-sahabat di Sandakan kerana pengorbanan, keikhlasan membantu semua urusan serta penghantaran jenazah dengan lancar.

Sdr Azhar yang melancarkan urusan di MASKARGO walaupun dalam keadaan tidak sihat.

Ustaz Riswadi, pegawai dari HEP UMT dan rombongan yang datang dari jauh, ziarah kami di Sabak Bernam

Tuan Hj Bakar, Tuan Hj Suhail serta sahabat-sahabat kerana bantuan yang luar biasa hebat.

Tuan Hj Osman Ngah dan keluarga, atas ziarah, sokongan, bantuan yang tak ternilai dan jadi 'ayah' pada arwah

Dr. Shamsuri kerana sokongan, bantuan serta menjadi sumber inspirasi arwah

Tuan Hj Muhamad Embong kerana jadi 'ayahanda' arwah dalam misi da'wah di Sandakan, dan mengambil sebahagian pilu kami.

Abdul Wafi kerana menjadi kawan serta 'abang' yang banyak membantu arwah

Ebit Irawan bin Ibrahim Lew kerana menjadi mentor arwah.

Mohd Salleh & Mohd Danial (rakan sekuliah) kerana berusaha mencari kami, walaupun banyak kali tersasar ke tempat lain.

Semua yang pernah sudi menjadi kawan kepada Muhammad Huzaifah

Sahabat karib arwah (pelajar Universiti Pertahanan Malaysia-maaf nama saya tak ingat) kerana bermotosikal dari jauh dan 'mengiring' van jenazah sehingga ke tanah perkuburan

Ahmad kerana menjadi kawan pencetus jiwa agama, dan kejayaan dalam pelajaran serta kawan yang soleh.

Fadhil kerana menemankan arwah berenang hingga ke tengah sungai dan menghantar arwah sehingga ke Sabak Bernam.

Hj abdul Ghani kerana menjadi amir terakhir misi da'wah arwah

Muzammil kerana tekun mendengar ' Bayan Subuh terakhir ' arwah (jangan lupa berikan saya catitan tentang bayan tersebut) dan mengingat pesanan terakhir arwah dalam bayan tersebut agar kita dapat meneruskan usaha da'wah ini sampai akhir hayat kita.

Mohd Romzi kerana teliti mendengar azam arwah untuk menghidupkan usaha da'wah di Maktab, dalam perjalanan ke sungai (kiranya cuma beberapa minit lagi sebelum di jemput Allah Tuhan kita).

Cikgu Juswan kerana tolong membantu mengirimkan 'Warkah Da'wah' arwah (walaupun sehingga kini warkah tersebut belum sampai...hilang?

Siti Husna Izzati kerana banyak membantu arwah semasa di MRSM dan selepasnya, dan 'hadiah' yang sangat bernilai untuk keperluan semasa da'wah arwah.

Semua yang tak dapat saya ingat satu persatu

Seluruh keluarga yang tiada kata-kata dapat diucapkan.

Dan terakhir, tanpa kurang, yang dimuliakan Maulana Abdul Hamid dan seluruh jamaah, Imam Masjid Makmuriah dan jamaah, Imam solat jenazah di Sandakan dan jamaah kerana menghantar arwah ke ' sana ' dengan DOA.

Saya mohon semoga Allah membalas jasa kalian semuanya.


Tuesday, July 6, 2010

kata-kata hati (10) Mengapa tersenyum ?


Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Pada 4.5.2010 (Selasa) salah seorang rakan seusaha anak dari Markas Sandakan, Cikgu Juswan menghantar satu pesanan rengkas (SMS) kepada Anip (Muhammad Hanif bin Mohammed Huzazi) yang kemudian di'forward'kan kepada abah, yang kandungannya seperti berikut :-

" Pd pagi arwah br sampai d Sandakan, beliau tlh mengirim sepucuk surat melalui sy. Pg tu jg sy poskan. Sy ingt lg dia kata " warkah dakwah utk mak dan ayah " dan dia mtk spy sy doa sama utk ksjahteraan ayah bondanya. Tp mgkn surat tu blum sampai. Smoga rohnya dcucuri rahmatNYA. Jenazah seakan2 senyum dan tenang ketika d bw kluar dr sungai. "

Warkah anak itu sehingga kini masih belum sampai......

Dari lapuran beberapa rakan anak, termasuk Fadhil (yang turut serta menghantar jenazah anak ke Semenanjung tempohari) mereka mengatakan begini :

" Rakan mereka menyangka arwah bergurau kerana kali terakhir, mereka melihat sebelum arwah tenggelam, dia masih kelihatan tersenyum seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Setelah dua minit berlalu, barulah mereka risau kerana tidak melihat arwah (arwah tidak muncul). "

Anak.....

Apakah anak telah diperlihatkan olehNYA akan bakal tempat kembali anak di 'sana' nanti, sehingga disaat yang begitu kritikal (diambang maut itu) anak mampu tersenyum dan senyuman anak itu terbawa-bawa selepas anak dibawa keluar dari sungai. Waktu itu menurut engineer Hj Abd Ghani (amir anak semasa misi dakwah ke Sandakan tempohari) nadi anak sudah tiada.

Firman Allah Surah Qaaf : 22

" Kami membuka (menyingkap) daripadamu tutup (yang menutupi) pemandangan kamu selama ini, lalu kamu dapat melihat dengan jelas pada hari itu (hari ketika hampir dekat kematian atau waktu nazak)."

Selari dengan itu ialah apa yang dikatakan oleh Saidina Umar Ibnul Khattab; (Ehya Ulumuddin)

" Kamu hadirilah kepada orang yang hampir mati dan ingatlah, ketika itu mereka dapat melihat perkara yang ghaib yang kamu tidak dapat melihatnya."

Sabda Rasulullah saw;

" Barang siapa suka bertemu dengan Allah, maka Allah pun suka bertemu dengannya. Barangsiapa yang tidak suka bertemu dengan Allah, maka Allah pun tidak suka bertemu dengannya." Mendengar sabda tersebut, Siti Aisyah pun berkata ; "Adapun mengenai mati, kamu pun tidak menyukainya." Rasulullah saw lalu bersabda; " Bukan begitu, sesungguhnya orang mu'min itu apabila ia hampir mati, didatangkan berita gembira kepadanya, bahawa ia akan mendapat keredhaan Allah dan mendapat kedudukan yang mulia. Maka ketika itu ia merasa amat suka dan gembira untuk bertemu dengan Allah dan Allah pun suka untuk bertemu dengannya. Adapun orang kafir, apabila ia hampir mati, didatangkan berita buruk bahawa ia akan diseksa dan diazab oleh Allah swt. Maka ia pun tidak mahu bertemu dengan Allah, maka Allah pun tidak mahu bertemu dengannya. "

Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Subhanallah...Alhamdulillah....Allahu Akbar.



Friday, July 2, 2010

Jihad : kewajipan yang diabaikan (3)

Hukum Jihad.

Sebenarnya , para ulama telah berselisih pendapat mengenai hukum jihad pada asalnya. Jika dirujuk pada kitab-kitab fekah yang muktabar, kita akan dapati mereka telah bercanggah pendapat kepada tiga;

1. Sunat - pendapat Ibnu Umar, Ata', Ath Thaury dan Ibnu Syabirmah
2. Fardhu Kifayah - pendapat jumhur ulama.
3. Fardhu Ain - iaitu pendapat Said bin Musaiyib dan sebahagian ulama mazhab Syafi'e.

Dikatakan pendapat pertama dan ketiga (sunat dan fardhu ain) adalah pendapat yang dhaif. Adapun jumhur ulama termasuk keempat-empat imam mazhab, Ibnu Taimiyah dan lain-lain berpendapat bahawa hukum jihad pada asalnya adalah fardhu kifayah. Apabila ada pasukan mujahidin keluar berjihad maka, tidak lagi diwajibkan ke atas orang-orang Islam yang lain untuk berjihad. Tetapi jika sebaliknya maka semua umat Islam akan menanggung dosa.

Hukum fardhu kifayah ini berlaku ketika mana wujudnya negara Islam dan tiada negara Islam yang dijajah oleh golongan kuffar. Tetapi apabila keadaan telah berubah, maka hukumnya juga akan berubah.

Bilakah jihad menjadi fardhu ain?

Jumhur ulama sepakat mengatakan bahawa fardhu kifayah itu akan berubah menjadi fardhu ain atau wajib ke atas setiap individu muslim dalam beberapa keadaan.

1. Apabila bertemu secara berhadapan dengan musuh yang menyerang.

Firman Allah Surah Al Anfal : 15-16

" Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang , maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka. Dan sesiapa yang berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu, kecuali jika ia bergerak kearah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya dia (berpaling undur itu) tetaplah mendapat kemurkaan dari Allah dan tempatnya ialah neraka Jahannam, sedang neraka Jahannam ialah seburuk-buruk tempat kembali."

2. Apabila diminta atau diperintahkan oleh pemerintah sesebuah negara Islam supaya keluar berjihad.

Firman Allah Surah At-Taubah : 38 - 39

" Wahai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu; "Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah" kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal keni'matan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit."

" Jika kamu tidak berangkat untuk berperang , nescaya Allah menyiksa kamu dengan siksa yang pedih, dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudharatan kepadaNya sedikitpun. Allah Maha kuasa atas segala sesuatu."

Firman Allah Surah At-Taubah : 44 - 45.

"Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak ikut) berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang bertaqwa.

"Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian, dan hati mereka ragu-ragu, kerana itu mereka selalu bimbang dalam keragu-raguannya."

Sabda rasulullah saw.

" Tiada lagi hijrah selepas pembukaan kota Mekah. Yang ada hanyalah (kewajipan) jihad dan niat. Dan apabila kalian diseru supaya keluar berperang pada jalan Allah, maka pergilah (berjihad)."

3. Apabila musuh (orang-orang kafir) berusaha membinasakan, menceroboh, merampas dan mengotori kehormatan serta kesucian umat dan negara Islam. Dikala itu menjadi fardhu ain ke atas setiap umat Islam di negara berkenaan bangun mengangkat senjata dan berjihad, membela negara Islam dan mempertahankan kesuciannya dengan darah dan harta, sehingga negara berkenaan bebas dari penjajahan tersebut.

Untuk melaksanakan tugas tersebut, anak-anak tidak perlu meminta keizinan dari orang tuanya, isteri tidak perlu keizinan suaminya (tetapi mestilah keluar bersam muhrim), orang-orang yang mempunyai hutang tidak perlu meminta izin dari orang yang dihutanginya, murid-murid tidak perlu meminta izin dari gurunya dan begitulah seterusnya, sesuai dengan kaedah fiqhiyah :

" Tidak perlu keizinan untuk melaksanakan perkara-perkara yang hukumnya fardhu ain."

Sekiranya penduduk negeri berkenaan tidak bangun berjihad dan mereka tidak mampu menghadapi musuh yang kekuatan dan bilangannya lebih besar, dan sebagainya, maka hukum fardhu ain itu akan terus berkembang pula ke negeri-negeri yang berhampiran. Sekiranya penduduk di negeri-negeri yang berhampiran itu juga tidak keluar berjihad, maka hukum itu terus berkembang luas ke atas setiap umat Islam dari yang paling hampir hinggalah yang paling jauh. jika tiada umat Islam yang bangun menghalau musuh-musuh Allah itu dari negeri tersebut, maka seluruh umat Islam (yang tiada uzur syara'ie) berdosa.

Jumhur ulama juga telah bersepakat (selain daripada Imam Ahmad dan Hambali) bahawa apabila jihad sudah menjadi fardhu ain, maka ianya tidak ada beza dengan fardhu ain dalam melaksanakan sembahyang dan puasa. Bererti dosa meninggalkan jihad dan dosa meninggalkan sembahyang lima waktu adalah sama. Juga tiada bezanya antara mereka yang meninggalkan jihad dengan mereka yang meninggalkan puasa dengan sengaja. Ibu bapa yang melarang anak-anaknya daripada berjihad juga samalah dengan mereka yamg melarang anak mereka dari melakukan sembahyang dan puasa.

Oleh hal yang demikian kebanyakan ulama mutakhir seumpama As-Syahid Dr abdullah Azzam berpendapat bahawa umat Islam kini semuanya berdosa kerana tidak bangun berjihad tanpa sebarang keuzuran. Sesungguhnya jihad pada zaman ini telahpun menjadi fardhu ain kerana dimana-mana sahaja kita dapati negara umat Islam dijajah dan penduduknya ditindas.

Bumi suci Palestin sudah sekian lama dinajisi oleh Yahudi, hinggakan tiada lagi tercatat kalimah Palestin di atas peta dunia. Kashmir dirampas oleh kufar sejak beberapa lama. Mindanao, Bosnia, Crotia dalam cengkaman siapa? Arakan, Bukhara, Kemboja, Tajikistan dan Pattani bagaimana? Terakhir Iraq dan Afghanistan juga dibawah penguasaan siapa ?


Bersambung.......................

Thursday, July 1, 2010

kata-kata hati (9) Mudah-mudahan-lah anak.

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2 (UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita,(lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Sekembalinya abah dari tugasan di Seoul, Korea pada 26hb June 2010, abah agak tak sabar untuk kembali menulis tentang anak di ruangan semacam ini. Agak sedikit tersentak ada 'comment' dari rakan anak.

Kandungannya begini :

"Assalamu'alaikum.....Alhamdulillah, Allah swt pertemukan juga dgn ayah arwah Huzaifah, sy tcari2 bgmne nak ucapkan rs tq......utk pengetahuan pcik, arwah ad dtg ziarah sy di UMD kampus KUSZA, waktu di campus sy tlalu aktif sehinggakan x de mse utk KELUAR ke jln Allah. so arwah dtg bsama abg Wafi mberi sdikit nasiht n pndgn mseh hangat lg nasihat yg dibrikn kpd sy n tringt senyuman arwah n lambaian tgn ketika hdk pulang smula ke UMT yg terletk bseblhn dgn UMD. sy dpt tau brite kematian arwah agak lewat iaitu pd 24May 2010 mlalui salh seorng rakan seusaha. linangan air mata tatkala dikhabarkan brite pemergian arwah, sy sgt tkjot. asbab dr brite tsebut sy trus ke sri petaling utk klua 40 hari. kini sy bru 1 hari pulang dr "KELUAR". Apa yang sy ingin ucapkan skirenye arwah mseh ad "TQ bebyk, asbab ziarah anta ,Allah pilih saya utk wat usaha ni smula." tp arwah dh x de, jd ucapn ni sy tujukan kpd pcik sbg pganti kpd arwah huzaifah. Sy......................... doa sy moga2 huzaifah ditempatkan disisi para syuhada' AMIN >>> from ABU HANIFAH B. SHAHRIL
JUNE 23, 2010.9:28 AM

Dari nombor telefon, dan alamat email yang ditinggalkan abah sempat berhubung dengannya , dan sempat juga meninjau blog teman anak itu. Ternyata disana dimuatkan juga kisah anak berserta beberapa foto anak, seperti yang banyak serta mudah ditemui di puluhan blog-blog lain, samada melalui engine carian Yahoo atau Google.

Walaupun kami sekaliannya, (abah, ummi, abang, adik-adik dan keluarga) masih sangat terasa akan pemergian anak, namun disana terselit rasa bangga kerana anak menjadi asbab orang lain dapat melaksanakan tugas para Nabi dan para Rasul disaat dunia diselubungi fasad yang hampir merata. Dalam kehilangan, kami gembira kerana dengan sedikit usaha anak itu, mudah-mudahan anak mendapat limpahan pahala yang berterusan mengalir asbab anak mengajak orang lain melaksanakan tugas ma'ruf, sehingga hari qiamat. Ameen...!!!

Begitu juga dari beberapa teman anak di MRSM, Matrikulasi dan terkhir di UMT, mereka mengkhabarkan bahawa dengan asbab usaha anak, telah memungkinkan tidak sedikit teman-teman sepengajian anak yang sehingga kini masih kekal gigih dalam kerja-kerja dakwah ini.

Sabda Rasulullah saw.

"Apabila mati seorang anak Adam, maka terputus darinya amalnya, kecuali dari 3 perkara; sedeqah jariyah atau ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang berdoa baginya. "
Hadith riwayat Muslim 14-(1631)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.