RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Sunday, December 15, 2013

Harummu Semerbak

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS 10 Safar 1435/ 13 Disember 2013
PERJUANGAN ISLAM TIDAK BERAKHIR DENGAN SYAHIDNYA ABDUL QUADER MOLLA
DARI JAMAAT-E-ISLAMI BANGLADESH

Pada hari ini sejarah mencatatkan syahidnya saudaraku Abdul Quader Molla (14 Ogos 1948 – 12 Disember 2013) yang juga merupakan Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e-Islami Bangladesh di tali gantung yang tidak mengenal erti kebenaran. Perbicaraan as-Syahid adalah satu momokan terhadap sistem keadilan, apabila disabitkan kesalahan dengan fakta yang meragukan dan penuh dengan sentimen politik dalaman Bangladesh. Ianya bukan sahaja mendapat bantahan dalam negara Bangladesh sendiri tetapi juga turut dikecam oleh komuniti Islam di peringkat antarabangsa. Jelas sekali tindakan menukar hukuman asal terhadap as-Syahid dari penjara seumur hidup adalah di atas desakan politik dalaman menerusi demonstrasi jadian seperti protes Shahbag pada Februari 2013 lalu yang menjadi tulang belakang agenda jahat kumpulan sekular yang bencikan Islam. Kepada pendokong Jamaat-e-Islami Bangladesh dan ahli keluarga as-Syahid, serta bakal as-Syahid yang lainnya yakinlah bahawa kehidupan akhirat adalah kekal abadi dan syurga adalah janji dari Allah. Teruskan perjuangan menentang kezaliman, mengikut al Quran dan as Sunnah serta sirah para Nabi A.S., di mana fajar kemenangan Islam akan menyinsing jua dengan izin Allah. Allahu akbar !.
Saudaramu, Abdul Hadi Awang Presiden PAS Malaysia

Sabda Nabi Muhammad SAW didalam hadith riwayat al-Hakim:

سَيِّدُ الشُّهَدَاءِ حَمْزَةُ بْنُ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ وَرَجُلٌ قَامَ إِلَى إِمَامٍ جَائِرٍ فَأَمَرَهُ وَنَهَاهُ فَقَتَلَهُ

Maksudnya: Penghulu orang-orang yang mati syahid ialah Hamzah bin Abdul Muttholib dan lelaki yang berdiri kepada imam/pemerintah yang zalim maka ia menyuruh dan menegahnya (pemerintah) lalu ia dibunuh.

Friday, September 13, 2013

Allah yang naikkan harga barang?

Berikut adalah tulisan Prof Madya Dato Dr Mohd Asri Zainul Abidin  - Mantan Mufti Perlis (13 Sept 2013)

Apabila artikel ‘Kenaikan Harga Barang Ketetapan Allah' muncul di saat rakyat sedang merasai ancaman kenaikan harga barang akibat potongan subsidi minyak oleh kerajaan, majoriti rakyat memang tidak puas hati.

Saya tidak tahu, apakah hasrat sebenar penulis berkenaan. Mungkin niatnya hendak meredakan perasaan rakyat terhadap kerajaan ataupun meredhakan kerajaan terhadapnya, itu tidak pasti. Kata penulis, dia bercakap dalam konteks sabar. Mungkin itu maksudnya.

Menariknya saya terbaca satu komen yang menyebut: ‘Kalau begitu pegawai-pegawai penguatkuasa kawalan harga barang sedang menentang ketetapan Allahlah!' Ringkas, tapi penuh makna.

Akidah

Sebelum kita pergi kepada hadis yang diguna pakai dalam penghujah isu ini, saya suka menyebut bahawa dalam sejarah umat Islam pernah muncul aliran Jabariah yang menganggap bahawa semua perkara adalah ketetapan Tuhan, manusia sama sekali tiada pilihan.

Jabariah tidak termasuk dalam kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah, sebaliknya mereka termasuk dalam golongan Ahlul Hawa (pengikut hawa nafsu). Saya percaya penulis berkenaan tidak demikian.

Nabi Muhammad SAW mengajar kita tentang takdir dan usaha dalam masa yang sama. Apabila manusia berusaha, namun gagal disebabkan aturan perjalanan alam yang membabit pelbagai pihak; iklim, manusia, masa dan lain-lain, maka manusia hendaklah akur dengan kehendak Allah dalam hal itu.

Segala yang berlaku dalam alam ini dengan izin Allah. Tiada apapun yang boleh berlaku tanpa izin-Nya. Namun, apa yang DIA izinkan, bukan semestinya DIA redha. Demikian, apa yang DIA redha bukan semestinya DIA izinkan. Dia tidak redha kezaliman Firaun, tetapi DIA mengizinkan kewujudan Firaun atas sistem alam yang dicipta-Nya.

Dia redha hamba-hamba-Nya bersedekah, tapi bukan semua mereka DIA izinkan memiliki harta yang banyak, atas sistem alam ciptaan-Nya. Maka, di situlah adanya pahala bagi niat yang baik. Maka, DIA juga menetapkan Hari Pembalasan selepas kematian untuk membalas kebaikan dan keburukan.

Usaha

Kita disuruh berusaha kerana keizinan Allah itu sering berkaitan dengan usaha yang menuruti sunnah ataupun tabiat ciptaan alam. DIA boleh memenangkan para nabi-Nya dalam sekelip mata, namun itu tidak berlaku. Semua para nabi terpaksa berjuang dan mencari sebab musabab untuk membolehkan mereka menang.

Lihat Maryam ibu Nabi Isa, ketika dia dalam keadaan lemah hendak melahirkan Nabi Isa a.s., Allah menyuruh dia menggoncang pokok tamar. Rutab (tamar masak) pun jatuh berguguran. Firman Allah yang bermaksud:

"(Ketika Maryam hendak melahirkan Isa) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar; dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan jadilah aku dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! lalu dia diseru dari sebelah bawahnya:" janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan goncanglah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur ke atasmu buah tamar yang masak." (Surah Maryam 23-25).

Lihat, padahal Allah Pemberi Rezeki, tidak bolehkah DIA gugurkan sahaja buah tanpa perlu Maryam bersusah payah menggoncangnya? Jika pun dia goncang, sekuat mana sangat wanita yang sarat mengandung dapat menggoncang pohon tamar? Tidakkah dia sedang mengandung dengan pilihan Allah terhadap dirinya. Ya, namun, Allah mahu hidup ini berjalan menurut tabiatnya, usaha tetap disuruh dan bantuan Allah akan mengiringnya.

Takdir

Sama halnya dengan sakit demam, walaupun segalanya ketentuan Tuhan, namun Nabi SAW menyebut:

"Jika kamu mendengar taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kita kena berusaha, kita tidak boleh cakap "ini semua takdir" lalu membiarkan penyakit merebak. Allah itu al-Syafi (Penyembuh). Benar, tapi kita kena berusaha mengatasi penyakit.

Sabda Nabi yang bermaksud: "Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah." (Riwayat Muslim).

Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H) ketika mensyarahkan hadis ini memetik kata-kata al-Qadi ‘Iyadh yang menyebut:

"Hadis-hadis ini juga menolak golongan sufi yang melampau, yang membantah berubat dan berkata: "Kesemuanya dengan qada dan qadar Allah, tidak memerlukan kita berubat". Hadis-hadis ini adalah hujah para ulama dalam menolak mereka." (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 359/14, Beirut: Dar al-Khair).

Jika seseorang jaga kesihatannya, namun penyakit datang juga maka bersabarlah. Anggaplah itu ketetapan Allah. Ada hikmahnya. Ada sebab musabah di luar dari kemampuan diri. Ada pahala atas kesabaran itu. Tapi jika sendiri membahayakan diri.

Melakukan perkara yang merosakkan seperti mengambil dadah, ataupun rokok, ataupun apa-apa tindakan yang bahaya lalu terkena penyakit, maka sebelum dia menyerah kepada takdir, dia hendaklah menyalahkan sikapnya terlebih dahulu.

Allah telah ingatkan dengan maksudnya: "Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan." (Surah al-Baqarah, ayat 195).

Jika seseorang mati kerana sakit atau tanpa sebarang sakit maka kita terima sebagai takdir. Namun jika dia dibunuh, walaupun itupun takdir, pembunuh mesti dihukum. Ulama tidak boleh beritahu mahkamah ‘jangan salahkan pembunuh kerana itu takdir, Allah itulah yang menghidup dan mematikan'.

Demikian jika ada yang dirompak dan dirogol, tidak boleh kita beritahu bahawa dalam Islam penyelesaiannya ‘terimalah sebagai takdir dan bersabar, jangan salah sesiapa, rezeki ketentuan Allah'. Dalam Islam ada undang-undang jenayah dan pesalah boleh dihukum. Ada sistem keadilan yang wajib ditegakkan.

Jika anda masuk ke kedai, anda dapati pekedai menaikkan harga barang dan bila anda tanya kenapa lalu dia jawab "Allah menaikkan harga barang". Apakah anda akan berkata: ‘Masya-Allah, akidah awak terlalu teguh, awak sangat beriman'. Ataupun, ‘awak menggunakan nama Tuhan untuk ketamakan awak!'.

Dalam negara ini, ada berbilion projek yang dipersoalkan. Ada istana yang dibina dengan harga berbilion ringgit. Ada projek harta awam yang tersangkut atas pelbagai alasan berbilion harganya. Apakah jawapannya: "Semua itu takdir Allah?". Saya juga lebih tertarik dengan kerajaan sekarang, lebih dari pembangkang, tapi bukan itu cara berhujah yang betul untuk membela.

Maksud hadis

Apabila anda faham teras-teras di atas, maka fahamlah maksud hadis Anas bin Malik, dia berkata: "Harga barang telah menjadi mahal di Madinah pada suatu ketika di zaman Rasulullah SAW. Maka orang ramai pun berkata: "Wahai Rasulullah, Harga barang telah mahal, tetapkan harga untuk kami.

Jawab Rasulullah SAW: "Sesungguhnya Allah, Dialah yang menetapkan harga, yang menyempit dan melimpahkan (kurniaan), yang maha memberi rezeki. Sesungguhnya aku berharap untuk menemui Allah dalam keadaan tiada seorang pun dalam kalangan kamu yang menuntut daripadaku haknya yang dizalimi samada pada darah atau harta". (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Darimi dll. Dinilai sahih oleh al-Albani)

Ertinya, jika kenaikan itu bukan disebabkan perancangan buruk manusia, tetapi secara semula jadi yang jika ditetapkan harga barang akan menzalimi para peniaga, maka hadis ini dipakai dalam suasana yang seperti itu. Ertinya haram menetapkan harga barang.

Namun, jika naik turun harga tidak semulajadi, ada unsur permainan harga maka seperti mana peniaga tidak boleh dizalimi, demikian pembeli juga tidak boleh dizalimi. Kerajaan menjaga keadilan untuk kedua pihak.

Justeru Islam melarang monopoli yang zalim seperti ihtikar (hoarding/sorok barang). Jika kezaliman berlaku, pemerintah boleh masuk campur menetapkan harga barang. Inilah yang sarjana seperti Ibn al-‘Arabi sebut:

"Sebenarnya, harus menetapkan harga dan mengawal urusan dengan suatu undang-undang yang tidak menzalimi kedua belah pihak (peniaga dan pembeli). Apa yang disebut oleh al-Mustafa (Nabi s.a.w) adalah benar, apa yang dilakukannya adalah tepat, namun itu untuk yang betul niat dan agama mereka. Adapun kaum yang berhasrat memakan harta dan menyusahkan orang ramai, maka pintu (peraturan) Allah adalah luas dan hukum dilaksanakan". (Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 2/337. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Menariknya, Lajnah Fatwa Arab Saudi (fatwa 12076) juga membolehkan menetapkan harga barang dan tidak membenarkan seseorang sewenang-wenang menaikkan harga barang yang ditetapkan penguasa.

Kesimpulannya, hadis itu sahih. Konteks ia dikemukakan di waktu ini mungkin tidak tepat. Macam kata Saidina Ali bin Abi Talib kepada Khawarij: "Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil". (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Adapun saya, tidak tahu apakah tujuan tokoh agama parti berkenaan mengemukakannya. Saya serahkan urusannya kepada Allah.


Sunday, September 8, 2013

Hanya mendahului kalian..

 

" …Pesanan saya yang terakhir adalah, saya sangat optimis terhadap semua ujian, rintangan, pengorbanann dan darah-darah ini, kerana tiada negara di mana kebenaran tertegak di dalamnya kecuali dengan merasai kesakitan sebuah pengorbanan".

Namun Allah SWT mengurangkan kesakitan ini, dari hati-hati kita dengan berfirman :

"Jangan kamu menyangka bahawa mereka yang terbunuh di jalan Allah itu mati, bahkan mereka sebenarnya hidup di sisi Allah dan diberi rezeki (nikmat)"

Maka buat mereka yang telah kehilangan buah hati dan insan-insan kesayangan, janganlah bersedih kerana….. mereka hanya telah mendahului kamu ke syurga.

Pesanan : Syeikh Tariq Suwaidan

Beruntungnya kamu Mesir, juga Palestine….juga Syria. Dalam derita kesengsaraan dan timbunan syuhada kamu alami, tersembunyi hadiah teristimewa dari Allah yang kekal abadi iaitu Syurga .

Thursday, September 5, 2013

BERGEMBIRALAH...

Perhatikan senyuman beliau.

As Syahid biidznillah Abdullah Hasan al Banna
Cucu kepada Hasan al Banna (pengasas gerakan Ikhwan Muslimin
Firman Allah;
"dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki; (dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (Iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari kurnia Allah; dan (ingatlah), bahawa sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang Yang beriman".(Iaitu) orang yang menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya (rasul Allah dengan mengejar musuh), walaupun mereka sudah mengalami luka-luka. Pahala yang besar (diperuntukkan) kepada orang yang melakukan kebaikan."
(S. Aali Imran : 169 -172)

"dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya". (S.Al-Baqarah : 154)

RasuluLLah saw bersabda;
Seorang yang mati syahid diberi enam perkara pada saat titisan darah pertama tumpah dari tubuhnya:
1. Diampunkan semua kesalahannya.
2. Diperlihatkan tempatnya di syurga.
3. Dikahwinkan dengan bidadari.
4. Diamankan daripada kesusahan keedahsyatan yang besar(pada hari qiamat).
5. Diselamatkan daripada seksa kubur.
6. Dihiasi dengan pakaian keimanan. (Hr Imam Bukhari)


Daripada Anas bin Malik ra bahawa Nabi saw bersabda;
“ Tidak ada satu jiwa pun yang mati dan akan memperoleh kebajikan yang menggembirakannya di sisi Allah karena dia dapat kembali ke dunia bukan karena untuk memperoleh dunia serta isinya kecuali orang yang mati syahid. Karena ia berharap dapat kembali lagi lalu terbunuh lagi di dunia, melihat besarnya keutamaan mati syahid.” (Hr Imam Muslim)

Wednesday, August 21, 2013

Saudara ku Ikhwan



Berikut adalah salah satu bahagian pidato Imam As Syahid Hasan Al-Banna rahimahullah. Ucapan yang seakan-akan beliau dapat menjangkakan atau melihat suasana ketika ini.
[Petikan dari Risalah Bainal Amsi Wal Yaum, halaman 143]

Kejahilan umat tentang hakikat ajaran Islam akan menjadi halangan di jalan kalian.
Kalian akan medapati sebahagian ahli agama dan ulama 'sah' merasa asing dengan kefahaman kalian terhadap Islam serta mengabaikan jihad kalian dalam memperjuangkan kefahaman tersebut.
Pihak berkuasa, pemimpin dan orang-orang yang memiliki pengaruh serta kekuasaan akan dengki dengan kalian.
Seluruh pemerintahan (rejim) secara bersama-sama menentang kalian.
Pemerintahan (rejim) masing-masing akan berusaha menyekat aktiviti kalian dan meletakkan pelbagai halangan di sepanjang jalan kalian.
Tangan para perampas tidak akan menghentikan usaha dengan segala cara untuk menghentikan kalian dan memadamkan cahaya dakwah kalian.
Dalam mewujudkan usaha mereka, para perampas hak itu akan menggunakan pemerintahan (rejim) yang lemah dan berakhlak lemah.
Juga menggunakan tangan-tangan yang selalu menadah (mengemis) kepada mereka, sementara terhadap kalian, tangan-tangan itu membuat kejahatan dan memusuhi kalian.
Mereka semua akan melemparkan debu-debu syubhat (keraguan) dan pelbagai tuduhan keji terhadap dakwah kalian.
Mereka akan berusaha mengaitkan setiap kekurangan dengan dakwah kalian dan mempamerkannya kepada masyarakat dengan seburuk-buruk gambaran.
Semua ini mereka lakukan dengan menggunakan kekuatan dan kekuasaan mereka.
Juga menggunakan harta (kekayaan), pengaruh (lobi) dan media mereka.


"Mereka hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut-mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tidak mengkehendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir tidak menyukai," (Surah At-Taubah : 32).

Dengan demikian, tidak diragukan lagi, kalian akan memasuki era tajribah (eksperiman, percubaan) dan imtihan (tribulasi/ujian).


Kalian akan :
1) Dipenjara
2) Dibunuh
3) Ditahan
4) Diusir
5) Harta kekayaan kalian dirampas
6) Kerja-kerja kalian ditiadakan
7) Rumah-rumah kalian akan digeledah serta diawasi


Boleh jadi masa tribulasi ini akan berlangsung lama.


"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan (sahaja) mengatakan, "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji lagi ? " (Surah Al Ankabut : 2).


Sementara itu dalam Surah As Soff : 10-14 :
[10] "Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih?
[11] (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,
[12] nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga 'Adn.
[13] Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.
[14] Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong (agama) Allah sebagaimana Isa putera Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia, 'Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?' Pengikut-pengikut yang setia itu berkata, 'Kamilah penolong-penolong agama Allah,' lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan (yang lain) kafir, maka kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang."


Apakah kalian masih berkeras hati untuk menjadi penolong-penolong (agama) Allah?




HANYA...2

As Syahid Syeikh Ahmad Yasin

Di dunia ini hanya ada dua panji.
Panji Taghut (Tirani/kejahatan)
Dan Islam.
Lihatlah ke dalam diri kamu,
Atas panji yang mana kamu berdiri??

As Syeikh Ahmad Ismail Yasin
(28 Jun 1936-22 Mac 2004)
Tokoh Dakwah Islam
Pengasas HAMAS

Tuesday, August 20, 2013

[Wasiat El-Beltagi kepada anak perempuannya, As- Syahidah Asmaa]


Anakku yang tercinta yang juga merupakan guruku yang mulia,


As-Syahidah Asmaa El-Beltagi, aku tidak katakan selamat tinggal, tetapi aku akan ucapkan esok kita akan bertemu.

Engkau hidup dengan penuh kehormatan, engkau enggan menerima kezaliman dan menolak segala perkara yang membelenggunya. Engkau juga menyintai kebebasan tanpa tolok bandingnya dan dalam diam engkau mencari ufuk-ufuk baru untuk kembali membina dan membangun ummah ini bagi menempatkannya dalam ketamadunan.


Engkau tidak disibukkan dengan perkara-perkara yang telah menyibukkan pemuda-pemudi yang sebaya denganmu. Meskipun engkau sentiasa mendapat tempat pertama di dalam pelajaranmu, pelajaran yang hanya ikut-ikutan itu tidak mampu untuk memenuhi harapan dan rasa ambil berat kamu (terhadap ummah).


Aku merasa tidak puas ditemanimu dalam kehidupan yang singkat ini lebih-lebih lagi waktu aku tidak begitu banyak untuk merasa bahagia dan menikmati dampingan ini. Ketika pertemuan terakhir kita, kita duduk bersama-sama di Medan Rabaah dan engkau telah menegurku dengan berkata: “sekalipun kamu (ayah) bersama-sama kami, namun kamu tetap tidak dapat memberi perhatian kepada kami”. Aku berkata kepadamu: “nampaknya kehidupan ini begitu singkat untuk kita menikmatinya bersama-sama. Aku berdoa agar Allah membantu kita untuk berteman di dalam syurga untuk menikmati (kebahagiaan) bersama-sama.”


Sebelum engkau mendapatkan syahid, aku melihatmu di dalam mimpi dua kali berturut-turut dalam pakaian pengantin dan dalam keadaan penuh cantik dan jelita, dan tidak ada yang seumpama itu di dunia ketika engkau tidur di sisi aku. Dalam diam aku telah bertanya kepadamu: “Adakah malam ini merupakan upacara majlis perkahwinanmu?” (majlis itu akan diadakan ketika waktu zohor dan bukannya pada waktu petang). Ketika aku dimaklumkan tentang kesyahidanmu pada waktu zohor hari rabu, aku faham kebimbanganku, dan aku telah dikhabarkan dengan berita gembira dengan penerimaan Allah terhadap kesyahidanmu dan engkau menambah keyakinanku bahawa sesungguhnya kita di atas kebenaran dan musuh kita berada di atas kebatilan.


Aku ditimpa kesengsaraan yang teramat sangat kerana aku tidak berada ketika perpisahan denganmu buat kali terakhir, mata aku tidak menjadi hitam (akibat menangis) dengan pandangan perpisahan terakhir ini, aku tidak memberi ciuman terakhir di dahimu, dan aku tidak diberi penghormatan untuk melakukan solat jenazah ke atasmu. Demi Allah wahai kesayanganku, tidak ada yang menghalang aku daripada melakukan ini semua. Bukan kerana takutkan kematian, dan tidak juga kerana takutkan penjara yang zalim tetapi sesungguhnya demi untuk menyempurnakan risalah ini, yang telah kamu tawarkan dirimu dan rohmu deminya, iaitu: menyempurnakan perjalanan revolusi ini sehingga mencapai kemenangan dan sehingga tujuan-tujuannya menjadi kenyataan).


Telah berangkat rohmu dan engkau hidup dalam kemuliaan. Engkau teguh menentang penjenayah yang telah menembakmu dengan peluru-peluru khianat dan kotor di dadamu, betapa indahnya cita-citamu dan betapa sucinya jiwamu. Aku yakin bahawasanya engkau telah membenarkan Allah maka Allah membenarkanmu, dan Allah telah memilihmu dan bukannya kami semua untuk memperoleh kemuliaan syahid.


Dan akhir sekali, wahai cinta hatiku, juga guruku yang mulia,


Aku tidak akan ucapkan selamat tinggal tetapi aku akan katakan semoga kita bertemu lagi. Pertemuan yang bakal berlaku tidak lama lagi di tepi telaga bersama nabi tercinta dan para sahabat. Pertemuan yang bakal berlaku tidak lama lagi di singgahsana kebenaran di sisi Yang Maha Kuasa. Pertemuan yang bakal merealisasikan cita-cita kita untuk minum sepuas-puasnya bersama-sama, dan juga bersama orang-orang yang kita cintai, dan kita tidak akan dahaga selama-lamanya selepas itu.


Sumber : Egyptwindow
Mesirkini

I.N.G.A.T

Berikut adalah kenyataan Tn Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am, Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh : 13 Syawwal 1434H bersamaan 20 Ogos 2013M
Kebenaran Itu Milik Allah, Bukan Di Barat dan Bukan Di Timur

Saya tidak terkejut apabila bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dibebaskan daripada penjara oleh Mahkamah Mesir. Inilah tujuan sebenar rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera. Tidak perlu berlindung di sebalik alasan ekonomi dan sebagainya. Padahal kezaliman Hosni Mubarak selama 30 tahun menduduki takhta presiden satu fakta yang tidak boleh dinafikan sama sekali. Barangkali, Sheikh Al-Azhar yang kuat menyokong rampasan kuasa tentera pun sudah berpuas hati dengan pembebasan Hosni Mubarak. Saya menghormati kelilmuan yang ada pada Sheikh Al-Azhar, namun pendirian beliau dalam hal ini jelas salah seterang cahaya matahari di siang hari. Pada saya, inilah ujian berat yang sedang dihadapi oleh gerakan Islam khususnya di Mesir iaitu di saat para pemimpin mereka disumbat ke dalam penjara manakala penjenayah besar dilepas bebas.

Berpuas hatilah kerajaan Saudi yang kuat menyokong rampasan kuasa tentera. Benarlah kenyataan bahawa kebenaran itu milik Allah, tidak di Barat dan tidak Timur. Sekalipun penjaga dua tanah suci dimuliakan Allah SWT dengan tugas ini, namun belum tentu mereka memegang anak kunci kebenaran. Di samping menjaga dua tanah Suci, Saudi jugalah yang menjaga telaga minyak yang menghilangkan haus Amerika sekian lama. Inilah satu-satunya negara yang dinamakan sempena nama pemerintahnya iaitu Bani Saud.

Justeru, janganlah Saudi menyangka dengan sokongan mereka kepada tentera Mesir, mereka boleh mempengaruhi seluruh umat Islam di dunia. Jika darah Abdullah bin Zubair radhiallahuanhu pernah tertumpah akibat diperangi oleh Hajjaj bin Yusuf di Tanah Mekah, apa peliknya darah umat Islam di negara lain tertumpah angkara pemerintah Saudi hari ini? Jika kabilah Arab Jahiliyyah pun pernah bertugas untuk menjaga Tanah Suci sebelum kedatangan Islam, apakah jaminan penjaga Tanah Suci hari ini bebas dari melakukan kesilapan?


Barangkali sedikit kasar kiasan saya, tetapi ia belum apa-apa jika dibandingkan dengan sokongan Saudi terhadap tindakan tentera Mesir yang telah membunuh ribuan rakyat yang tidak berdosa. Saya menyeru kepada jiwa-jiwa yang telah dimuliakan Allah SWT dengan ilmu agama, janganlah sesekali cenderung kepada kezaliman agar tidak disambar oleh api neraka.


Hari ini Mesir ditinggalkan 'saudara-saudara'nya, bagaikan Nabi Yusuf yang pernah dibuang oleh saudara-saudaranya di dalam telaga ribuan tahun yang lampau. Tetapi Baginda akhirnya diselamatkan dan menjadi penguasa Mesir. Saya yakin Insya-Allah, Mesir akan keluar dari telaga kezaliman para tentera dan akan bangkit semula sebagai sebuah bumi yang subur dengan gerakan Islam.
Pesan saya kepada para hakim yang membebaskan Mubarak sebagaimana ahli sihir yang beriman, berpesan kepada Firaun :


فَاقْضِ مَا أَنْتَ قَاضٍ إِنَّمَا تَقْضِي هَذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا

Yang bermaksud : " Berhukumlah kamu selagi mana kamu boleh berhukum, sesungguhnya kamu hanya mampu berhukum di dalam kehidupan dunia ini sahaja.." (Surah Toha, ayat 72)

Monday, August 19, 2013

UNTUK YANG BERKUASA DI MALAYSIA

Bismillahirrahmanirrahim

Kepada semua ahli keluarga para tentera dan polis,

Daripada Prof Dr Abdul Rahman Al- Barr, Professor Ilmu Hadith di Universiti Al-Azhar dan ahli Maktab Al Irshad, jemaah Ikhwanul Muslimin(menerusi laman facebooknya ).

Wahai rakyat Mesir, wahai para ibu bapa dan anak-anak polis dan tentera yang terlibat dalam pembunuhan dan menyebabkan kecederaan ribuan rakyat Mesir yang (berhimpun) secara aman di Medan Raba'ah dan Nahdhah, di hadapan bangunan pengawal republik, di hadapan tugu peringatan, di Ramsis, di Masjid Al-Fath dan seluruh wilayah di Mesir :


Adakah kamu melihat apa yang telah dilakukan oleh ahli keluarga kamu (yang terdiri daripada polis dan tentera) terhadap saudara-saudara kamu sesama rakyat Mesir?


Adakah kamu melihat bagaimana mereka melepaskan tembakan kepada kanak-kanak, para wanita, orang-orang tua dan pemuda-pemuda?


Adakah kamu mengetahui berapa ramaikah wanita yang telah menjadi janda apabila ahli keluarga dan suami-suami mereka dibunuh?


Adakah kamu menghitung berapa ramaikah para ibu yang telah kehilangan anak mereka di tangan ahli keluarga kamu?


Adakah kamu menghitung berapa ramaikah anak yatim yang telah kehilangan ayah-ayah mereka di tangan ahli keluarga kamu?


Adakah kamu melihat bagaimana ahli keluarga kamu (yang terdiri daripada tentera dan polis) telah masuk ke dalam kereta perisai dan jentolak kemudian menggilis para wanita dan kanak-kanak yang masih hidup?


Dan bagaimana mereka membakar khemah-khemah sehingga rentung mayat-mayat yang dibakar sedangkan mereka (yang berada di dalam khemah) masih hidup?


Dan bagaimana mereka telah membakar hospital lapangan yang terdapat di dalamnya para syuhada’ dan orang-orang yang cedera, tanpa belas kasihan?


Dan bagaimana mereka menembak orang-orang yang terluka dan cedera serta orang-orang yang cuba untuk menolong mereka (yang cedera) di pusat perubatan tanpa rasa simpati?


Dan bagaimana mereka telah membakar masjid yang di dalamnya terdapat orang yang terluka dan tercedera serta jenazah para syuhada’?


Dan bagaimana mereka membiarkan jenazah para syuhada’ untuk satu jangka masa yang lama di jalan-jalan, di hadapan dan dalam bangunan dengan kekejaman yang melampau?


Adakah telah sampai kepada kamu (berita) bahawa seorang polis telah melepaskan tembakan kepada seorang wanita yang berada di samping suaminya yang cedera untuk merawatnya, dan polis itu mahu membunuhnya di depan mata suaminya?


Adakah telah sampai kepada kamu (berita) bahawa seorang polis telah melihat seorang pemuda membawa mangsa yang cedera dan kemudiannya dia (polis) telah menembak orang yang cedera itu?


Adakah kamu mengetahui bahawa polis dan tentera telah memukul para wanita dan kanak-kanak di dalam masjid dan memaki mereka dengan kata-kata kesat?


Adakah kamu mengetahui bahawa (kisah) ini dan berpuluh-puluh serta beratus-ratus kisah yang memalukan dan mengaibkan, membuktikan bahawa telah hilang segenap makna kemanusiaan daripada hati pelaku-pelakunya?

Adakah kamu redha dengan semua ini?

Dan bagaimana kamu boleh hidup bersama semua binatang buas ini?

Dan adakah kamu beriman dengan balasan Allah kepada mereka di atas jenayah mereka dan sikap berdiam diri kamu daripada menasihati, melarang, dan mengingatkan mereka?

Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya. [Al Anfal : 25]


Sumber : Akaun Facebook Abdulrahman Albarr
‪Mesirkini‬ : Tuesday 20.08.2013

Wahai orang yang berkuasa di Negara tercinta ini, bercakaplah, berbuatlah dan bertindaklah...

B.O.H.O.N.G

Di mana-mana begitulah....Pemimpin yang zalim akan berbohong. Regu yang tidak dapat berpisah selamanya. ZALIM-BOHONG, ZALIM-BOHONG, ZALIM-BOHONG...DULU, KINI & SELAMANYA.
Mereka telah memaparkan gambar-gambar ini di televisyen Mesir dan melabelkan bahawa anggota Ikhwan dan penyokong Mursi sebagai pengganas..sekarang kamu lihat gambar-gambar penuh supaya kamu tahu siapa sebenarnya pengganas.

Dalam gambar menyebut :
[Kanan]
Atas (media mesir) : Batu-bata sebagai penghadang untuk Ikhwan dalam bersemuka dengan Polis.
Bawah (sebenar) : Penghadang itu berada di pihak pasukan polis.

[Kiri]
Atas (media mesir) : Kewujudan senjata berat dan senjata kimia di dalam perhimpunan di Rabaah.
Bawah (sebenar) : Gambar berbicara sendiri dan mendedahkan pengkhianat sebenar. (polis bersama mereka)

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu" - [Al Hujurat : 6]

Sumber : كارهى باسم يوسف
‪Mesirkini‬ / ‎R4BIA‬

Kuntuman Syurga...

Habibah Ahmad Yasir, puteri kepada salah seorang penasihat akhbar Dr Mohammed Mursi, bertahan demi kebenaran di Medan Rabaah, hanya beberapa detik sebelum rohnya melayang terbang ke Syurga.

Surah As-Saff :10-13
"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?"
"Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)."
"(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar."
Akhirnya tubuhnya diratah peluru tentera As Sisi durjana, gugur sebagai kuntuman Syurga yang semerbak. Saksikan wajah tenangnya bertemu Allah dalam keadaan syahidah di jalan Allah.

Surah At Taubah : 111
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta-benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah didalam (kitab- kitab) Taurat dan Injil, serta Al Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jualbelinya itu dan (ketahuilah bahawa) jualbeli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar".

Sunday, August 18, 2013

Bagaimana...ni ?

Allahuakbar!!
Kelihatan keseluruhan Ahli Parlimen Jerman berdiri beberapa minit sebagai tanda berkabung kepada roh-roh rakyat Mesir yang syahid sekaligus mengutuk tindakan yang dilakukan oleh Jeneral As-Sisi dan tenteranya.
Tentera Mesir pula tergamak membakar mayat-mayat para syuhada!!
Ahli-ahli Parlimen Malaysia masih sibuk dengan rumah terbuka ke?
Manakala Parlimen Malaysia masih teragak-agak atau enggan mengadakan sidang tergempar.

Sedang Rasulullah saw telah memberi ingat;
" Barangsiapa yang berpagi-pagi dan fokus keutamaan dalam dirinya perihal dunia semata-mata, tiadalah Allah punyai apa-apa urusan untuknya, dan barangsiapa yang tidak mengambil tahu berkenaan urusan kaum Muslimin yang lain, tidaklah mereka dalam kalangan mereka (muslim)" ( Riwayat At-Tabrani, Majma' Az-Zawaid, 10/248 ; terdapat perawi bertaraf Matruk)

Mushtaraa....

Para pimpinan Ikhwan berada di dalam tahanan, manakala orang-orang kesayangan mereka berada di senarai teratas dalam senarai syuhada revolusi Mesir.

Dari kanan :
- Asy Syahid Ammar Muhammad Badie
(anak Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Muhammad Badie),

- Asy Syahidah Asmaa' Muhammad Baltaji
(anak pemimpin atasan Ikhwan Muslimin Muhammad Baltaji)

- Asy Syahidah Habibah Ahmad Abdul Aziz
(anak penasihat Presiden Muhammad Mursi)

- Asy Syahid Khalid Firnas Al-Banna
(cucu pengasas Ikhwan Muslimin Hassan Al-Banna)

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur'an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar". [At Taubah : 111]

Sumber : حزب الحرية و العدالة بالإسكندرية
‪Mesirkini‬



Saturday, August 17, 2013

Juara & Syuhada'



Ahli gusti Mesir yang syahid.

Abdurrahman Al Tarabilee berhempas pulas di Olimpik kerana mahu membawa pulang pingat kepada Mesir, dan hari ini tentera Mesir mengurniakan padanya 'pingat ' SYUHADA' dengan membunuhnya.

Sumber : Life is sweet
Mesirkini : Saturday 17.08.13 :6.00pm


Hebatnya....


Subhanallah, sebuah akhlak terpuji : 
Seorang wanita tercedera terkena serangan gas, namun pemuda-pemuda ini tidak mendukungnya malah mengangkatnya menggunakan kayu (untuk menjaga kehormatannya).

Sumber : خديجة بن قنا
‪Mesirkini‬ : Saturday 4.00pm 17.08.13

Beruntunglah....

Syeikh M Badie' (Mursyidul Am Ikhwan Muslimin)

Anak lelaki Syeikh M Badie' (Mursyidul Am Ikhwan Muslimin), Ammar menemui syahid akibat tembakan peluru hidup dalam peristiwa serangan beramai-ramai di Medan Ramsis petang semalam.

Innalillahi wainna ilaihi raaji'un.

Sumber : الصفحة الرسمية لقناة مصر 25 الفضائية
Mesirkini
 — with Uwais Al Qarni. Saturday 17.08.13 : 7.30pm

Berbahgialah...


Penyanyi Mohamed Bayomi telah syahid akibat ditembak oleh pasukan tentera dan polis di Ramsis.
Lagu terbaru beliau ialah Tetshal Elayadi (Allah melumpuhkan tangan mereka).
Rehatlah dalam keadaan aman, wahai As Syahid.

Lagu terakhir beliau : http://www.youtube.com/watch?v=FmqQIOfG3R8

Sumber : Egyptians Against Coup

Mesirkini : Saturday 17.08.13

AJARLAH...

Ucapan Wael Qandil, penulis tersohor Mesir.

Bilangan orang-orang Mesir yang dibunuh oleh tentera Mesir sendiri, berganda daripada yang dibunuh oleh tentera Yahudi dalam Perang Oktober.
  • ·         Tentera Mesir membunuh 750 Yahudi semasa perang enam hari 1967.
  • ·         1000 tentera Mesir dibunuh  Yahudi dalam tempoh enam tahun peperangan.
  • ·         2500 tentera Mesir dibunuh Yahudi dalam keseluruhan satu tahun perang 1973.
  • ·         Tentera Mesir membunuh lebih 5000 orang Islam Mesir dalam satu bulan semenjak rampasan kuasa bermula, termasuk lebih daripada 3000 dibunuh dan terbakar kebanyakan bahagian badan mereka dalam cuma beberapa jam di Medan Rabiatul Adawiyyah.   
Oleh itu;


Ajarlah anak-anak anda, bahawa orang-orang Mesir yang dibunuh tentera Mesir dalam satu bulan , lebih banyak daripada bilangan orang-orang Mesir yang dibunuh Yahudi, dalam tempoh lebih dari 25 tahun !


Ajarlah anak-anak anda, bahawa tentera Mesir menjaga Yahudi dan tidak menjaga orang-orang di Mesir.

Ajarlah anak-anak anda, bahawa tentera Mesir memijak rakyat Mesir, membuang mereka ke dalam tong sampah, dan membunuh orang-orang yang tunduk serta sujud kepada Allah, dan berdiri secara aman, dan mereka membakar jasad-jasad syuhada, mayat-mayat dan masjid.  

Ajarlah anak-anak anda bahawa pemerintah tentera telah mengkafirkan ayat-ayat Allah.

Friday, August 16, 2013

MALAYSIA ?

Saudi Arabia, UAE dan Syria sertai Israel restui rampasan kuasa di Mesir. Malaysia bagaimana ?

Sehingga semalam 15 Ogos 2013, hanya Turki lantang mengecam tindakan rampasan kuasa tentera ke atas Morsi di Mesir, dengan ucapan; “Kami mengecam rampasan kuasa ke atas Presiden Mesir. Turki hanya akan berurusan dengan Presiden yang dipilih oleh rakyat, Dr.Muhammad Mursi.” , tegas Erdogan
Sementara beberapa negara utama Islam lain secara terang merestui tindakan rampasan kuasa itu.

Saudi Arabia, Raja Abdullah menghantar mesej tahniah kepada ketua Mahkamah Perlembagaan Mesir, Adly Mansour, kerana dilantik sebagai ketua interim negara Mesir selepas angkatan tentera menggulingkan Presiden Mohamed Morsi, "Dengan nama rakyat Arab Saudi dan bagi pihak saya, kami mengucapkan tahniah kepada kepimpinan anda di Mesir dalam tempoh kritikal ini. Kita berdoa kepada Allah untuk membantu anda memikul tanggungjawab yang ditetapkan kepada anda untuk mencapai cita-cita saudara kami, Mesir "demikian lapor agensi berita Arab, SPA.

Benjamin Netanyahu pula mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir sambil menyifatkan rampasan kuasa itu sebagai kejayaan menamatkan kekuasaan ekstremis Islam.

Presiden Syria Bashar al-Assad memuji protes Mesir terhadap pemimpin mereka, sambil berkata Mesir telah menemui "pembohongan" Ikhwan Muslimin."Apa yang berlaku di Mesir adalah kejatuhan yang dipanggil politik Islam," ujar Assad dalam satu temu bual yang dikendalikan oleh Al-Thawra.

Tidak ketinggalan Abdullah bin Zayed al-Nahayan, Menteri Luar UAE membuat kenyataan ; " Ini adalah nasib sesiapa di dunia yang cuba menggunakan agama untuk kepentingan politik atau kelompok." Beliau juga mengalu-alukan perubahan di Mesir, memuji angkatan tentera Mesir dan melahirkan rasa penuh keyakinan beliau bahawa orang-orang hebat dari Mesir mampu untuk menyeberangi detik-detik sukar yang telah dilalui Mesir." Sheikh Abdullah berkata bahawa, "tentera Mesir yang besar dapat membuktikan sekali lagi bahawa mereka adalah pagar Mesir dan bahawa mereka adalah pelindung dan perisai yang kuat bagi menjamin Mesir kekal dalam institusi dan undang-undang," katanya. Demikian menurut agensi berita WAM.

Negara Islam lain, terutama MALAYSIA (yang terpandang dikalangan negara-negara Islam lain) sepi seribu bahasa.
Tidak ada pendirian?
Berkecuali ?
Atau bersetuju juga ?
Biarpun di Mesir kini rakyatnya sudah dizalimi dan dibunuh !!!!

Dan barang siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan adzab yang besar baginya.” (QS. Al-Nisa’: 93)

Daripada Huzaifah daripada Nabi SAW bersabda,
"Bahawasanya akan wujud (akan datang) para pemerintah yang berbohong dan berlaku zalim. Barangsiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan membantu atas kezaliman mereka, maka (mereka) bukan daripada (golongan) kami dan aku bukan daripada (golongan) mereka, dan dia tidak akan menemuiku di haudh (telaga kauthar di akhirat kelak). (Sebaliknya) sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak membantu atas kezaliman mereka, maka dia daripada (golongan) ku dan aku daripada (golongan) nya dan dia akan bertemuku di haudh".
(Riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya. Menurut Syeikh Syu'aib al-Arna'uth, sanad hadith ini sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim)

Islam tidak pernah mengambil sikap tiada pendirian, walau sekadar berkecuali, atas apa juga kezaliman.

IMAN jadi penentu. Nilailah……

Wednesday, August 14, 2013

Kata-kata hati (41) Hari Raya.


Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2 (UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan. Lapuran kejadian anda boleh dapati dibeberapa blog, antaranya http://haneefsyah.blogspot.com

Anak….

Diwaktu ini tepat jam 10.16 malam 1 Syawal 1434 Hijrah, semua adik beradik anak sudah berada dirumah kecuali Anip (Muhammad Hanif) yang waktu ini sedang berada di Besut , menyambung legasi usaha yang anak tinggalkan. Mencuba-cuba menyambut dan meneruskan tugas Baginda Rasulullah saw, memanggil manusia untuk kembali patuh, tunduk sepenuhnya kepada Sang Pencipta. Dijangkakan cuma 15 Syawal , akan dapat bersama –sama keluarga.
Tidak mengapalah….kerana waktu ini tugas dakwah lagi penting.tugas untuk mengembalikan manusia untuk kembali berpaut pada agama lebih utama.

Bukankah Baginda Ar-Rasul berpesan
“Tidak beriman seorang dari kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada yang lain-lain.” (H.R Imam Bukhari & Muslim)

Pernah Abu Razin Al ‘Uqaili bertanya: “Wahai Rasulullah. Apakah iman itu?”
Rasulullah SAW menjawab: “(Iman itu ialah) Allah dan Rasul-Nya lebih kamu cintai daripada yang lain.” (H.R Imam Ahmad)

Apatah lagi jika kita melihat peringatan Allah lewat ayat berikut ;
“Katakan: kalau bapa-bapa kamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, kekayaan yang kamu perolehi, perniagaan yang kamu khuatiri akan kerugian dan tempat tinggal yang kamu sukai; kalau semua itu lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjuang di jalan Allah, tunggulah sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang fasiq.” (Surah At Taubah : 24)

Biar tidak dapat bergembira bersama keluarga, namun mudah-mudahan Allah akan kurniakan kita semua Hari Raya yang lebih besar , lebih meriah dan dan jauh lebih menggembirakan di akhirat nanti.

Apakah erti kegembiraan hari raya waktu ini jika tidak dapat berhari raya di akhirat. Apa erti bersama keluarga di dunia jika di akhirat terpaksa terpisah dari keluarga lantaran di azab di neraka.


Friday, July 26, 2013

G.E.R.U.N


Wahai anak-anakku;
Sejak kita mula mengenal dunia, kita diajar oleh guru-guru kita untuk memohon perlindungan dari azab neraka, dalam setiap doa yang kita panjatkan. Sementara diwaktu-waktu begini (semasa Ramadhan) permohonan itu semakin kerap kita lafazkan.

Dahulu semasa kita berhingusan, pernah juga kita bertanya; gerangan apa perlu dipohon begitu kerap. Kini baru kita faham, semestinya ia diucap pohon sekerap mungkin. Jikapun setiap saat cuma permohonan untuk dijauhkan dari azab api neraka sahaja yang kita panjatkan, itupun belum cukup.

Kerana apa?
Kerana siksa dan azab neraka pastinya melampaui apa yang dapat kita dapat bayangkan dengan fikiran kita.

Wahai anak-anakku;
Pernah diriwayatkan, Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata: Jibril datang kepada Nabi saw pada waktu yang ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh nabi s.a.w.: "Mengapa aku melihat kau berubah muka?"

Jawabnya: "Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dibesarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yang mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu benar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman dari padanya."

Lalu nabi s.a.w. bersabda: "Ya Jibril, jelaskan padaku sifat Jahannam."

Jawabnya: "Ya. Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian diteruskan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum niscaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi niscaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan bahangnya. Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yang disebut dalam Al-Qur'an itu diletakkan di atas bukit, niscaya akan cair sampai ke bawah bumi yg ke tujuh.

Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa, niscaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya, Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi, dan minumannya air panas bercampur nanah, dan pakaiannya potongan-potongan api. Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang lelaki dan perempuan."

Dan seterusnya.......(dari kitab Tanbihul Ghaafilin) 

Wahai anak-anakku;
Bagaimana...selamatkah kita ?

Sunday, July 7, 2013

Rahmat untuk sekalian 'alam


Muslim Turki bukan sebarang Muslim.. Mereka masih menghayati wasiat Khalifah Umar Ibn Abdil Aziz r.a.
”انثروا القمح على رؤوس الجبال؛ لكي لا يقال جاع طير في بلاد المسلمين”

“Taburkan gandum [padi] di puncak-puncak bukit [gunung] sehingga tidak dikatakan ada burung-burung yang kelaparan di negara-negara Islam.”

Telah menjadi kebiasaan sekumpulan masyarakat Islam Turki pada setiap tahun merealisasikan wasiat agung ini. Pada setiap musim sejuk [musim salji], mereka akan naik ke puncak-puncak gunung dan menaburkan gandum [atau seumpamanya] dengan harapan tidak ada burung-burung [dan binatang-binatang yang lain] mati kelaparan..

Jiwa yang penuh kasih sayang.. Orang yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi..
Sungguh Islam rahmat untuk sekalian 'alam.
Bagaimana kita?

Via : Ustaz Amal

Friday, July 5, 2013

Bukti apa lagi yang kalian mahu?

(Terimalah Islam - Agama Allah ini)


Firman Allah dalam Surah Yunus : 92

" Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami! "

Terjemahan Abdullah Yusuf Ali

" This day shall We save thee in the body, that thou mayest be a sign to those who come after thee! but verily, many among mankind are heedless of Our Signs! "

Begitu Al-Quran berbicara sekitar 1400 tahun yang lalu.

Pada pertengahan tahun 1975, sewaktu Perancis di bawah pemerintahan Presiden Francisco Mitterand, Perancis menawarkan bantuan kepada kerajaan Mesir untuk meneliti, dan menganalisa mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal itu. Ramsess II atau Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa itu, mengakhiri hidupnya dengan tenggelam dalam Laut Merah sewaktu mengejar Nabi Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.

Mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898

Tawaran tersebut disambut dengan gembira oleh Mesir. Mumia purba itu diterbangkan ke Paris, dengan kawalan keselamatan yang ketat. Ketibaannya di sana disambut dengan meriah dengan pesta dan keramaian, serta diberikan sambutan kebesaran. Malah Presiden Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka.

Mumia diraja itu diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia diperiksa oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille. Bucaille adalah seorang pakar bedah kenamaan Perancis, dan diperakui dunia sebagai pakar di bidang gastroentorologi. Khidmat beliau pernah dimanfaatkan oleh beberapa pimpinan ternama dunia termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.

Dikesempatan itu Prof. Dr. Maurice Bucaille mengerah seluruh tenaga dan fikirannya untuk merungkai misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu. Sangat mengejutkan, Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut.

(Penemuan kesan-kesan garam air laut terdapat dalam laporan akhir beliau yang diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Dengannya (lapuran berkenaan), Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan Perancis iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis).

Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?

Persoalan :

# Mumia berkenaan hanya ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu. Bagaimana mungkin Rasulullah boleh ‘merekacipta’ cerita akan terselamatnya jasad firaun itu.

# Jika dihujahkan bahawa Rasulullah mendapatkan maklumat dari manuskrip-manuskrip lama, tidak pula ditemukan hal jasad Firaun yang diselamatkan itu, didalam manuskrip kitab-kitab lama. Di dalam kitab Injil, hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.

Seumpama dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama), yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)

Tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu.

Persoalan yang sangat besar berkisar didalam fikiran Dr. Bucaille, yakni bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut, akhirnya terjawab dengan firman Allah dalam Surah Yunus : 92

" Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar) ”.

Jasad itu masih dalam keadaan sangat baik, adalah kerana Allah menginginkannya begitu, sebagai tanda bagi orang-orang yang kemudian (supaya mereka mengambil iktibar).

Akhirnya Dr. Bucaille menerima dan memperakui keesaan Allah, mengambil nama Dr Yahya Maurice Bucaille, merumuskan bahawa Al-Quran adalah dari Allah. Kerana itu tidak adapun sesuatu fakta yang dikemukakan Al-Quran, bertentengan dengan sains yang benar. Ini disebut oleh beliau dalam tulisannya bertajuk ; The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Dr. Bucaille juga mengatakan bahawa, " Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah ". Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,”

Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi bahawa al-Quran adalah benar-benar kalam Allah.



Tuesday, July 2, 2013

Menjelang Ramadhan



Anak;

Ramadhan sudah semakin hampir. Bersamanya kehebatan, keagungan serta peluang yang tidak terhitung, yang perlu direbut. Lantaran penghujung umur kita belum pasti, justru apakah ada kesempatan untuk kita menghirup segalanya juga kita tidak tahu. Namun tetap juga menggunung doa dan harapan kita kepadaNYA, agar kita direzekikan juga Ramadhan itu.


Diwaktu-waktu seperti ini, adalah menjadi sunnah bagi Junjungan saw, memberikan motivasi, buat mempersiap manusia menghadapi Ramadhan, agar apa yang terkandung di dalamnya tidak terlepas percuma. Dengannya para sahabat Baginda saw, berjaya meraih segala manfaat serta janji Allah dan RasulNYA, yakni Taqwa.

Anak;

Peluang untuk kita melalui jejak-jejak mereka yang berjaya itu masih terbuka, kerana lontaran motivasi Rasulullah itu masih ada bersama kita.

Untuk itu mari kita dengarkan kembali pesan Baginda Rasulullah saw pada malam terakhir bulan Sya’ban, tatkala menyambut datangnya bulan Ramadhan. Mudah-mudahan kita juga terdorong sebagaimana generasi awal terdorong berbuat.

Anak;
Rasulullah saw berpesan.

"Wahai manusia!

Sungguh telah datang kepada kalian bulan Allah yang membawa berkah, rahmat dan maghfirah. Bulan yang paling mulia di sisi Allah. Hari-harinya paling utama. Malam-malamnya paling utama. Detik demi detiknya paling utama. Inilah bulan di mana kalian diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan oleh-Nya.

Pada bulan ini nafas-nafas kalian menjadi tasbih, tidur kalian ibadah, amal-amal kalian diterima dan doa-doa kalian dikabulkan. Mohonlah kepada Allah, Tuhan kalian, dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Dia membimbing kalian untuk melakukan puasa dan membaca Kitab-Nya. Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah pada bulan agung ini.

Bersedekahlah kepada kaum fakir dan miskin. Muliakanlah orang tua. Sayangilah yang muda. Sambungkanlah tali persaudaraan. Jagalah lidah. Tahanlah pandangan dari apa yang tidak halal untuk kalian pandang. Peliharalah pendengaran dari apa yang tidak halal untuk kalian dengar.

Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosa. Angkatlah tangan-tangan kalian untuk berdoa pada waktu solat. Itulah saat-saat yang paling utama ketika Allah ‘Azza wa Jalla memandang hamba-hamba-Nya dengan penuh kasih. Dia menyahut mereka ketika mereka menyeru-Nya, menyahut mereka ketika mereka memanggil-Nya dan mengabulkan doa-doa mereka ketika mereka berdoa kepada-Nya.

Wahai manusia!

Sesungguhnya diri kalian tergadai kerana amal-amal kalian. Oleh kerana itu, bebaskanlah dengan beristighfar. Belakang-belakang kalian berat kerana beban (dosa). Maka dari itu, ringankanlah dengan memperpanjangkan sujud.

Ketahuilah! Allah SWT bersumpah dengan segala kebesaran-Nya, bahawa Dia tidak akan mengazab orang-orang yang solat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri di hadapan-Nya.

Wahai manusia!

Siapa saja di antara kalian memberi makan (untuk berbuka puasa) kepada orang-orang Mukmin yang berpuasa pada bulan ini, maka di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang hamba dan diberi ampunan atas dosa-dosa yang lalu.

Jagalah diri kalian dari api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma. Jagalah diri kalian dari api neraka walaupun hanya dengan seteguk air.

Wahai manusia!

Siapa yang memperbaiki akhlaknya pada bulan ini, ia akan berhasil melalui sirath al-mustaqim pada hari ketika kaki-kaki tergelincir. Siapa yang meringankan pekerjaan orang-orang yang dimiliki tangan kanannya (pegawai atau pembantu) pada bulan ini, Allah akan meringankan persoalan-Nya pada Hari Kiamat. Siapa saja yang menahan keburukannya pada bulan ini, Allah akan menahan murka-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Siapa sahaja yang memuliakan anak yatim pada bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Siapa saja yang menyambungkan tali silaturahmi pada bulan ini, Allah akan menghubungkannya dengan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Siapa saja yang memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya.

Siapa saja yang melakukan solat sunat pada bulan ini, Allah akan mencatatkan baginya kebebasan dari api neraka. Siapa saja yang melakukan solat fardhu, baginya pahala seperti melakukan 70 solat fardhu pada bulan lain. Siapa saja yang memperbanyak selawat kepadaku pada bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangannya ringan. Siapa saja pada bulan ini membaca satu ayat al-Quran, pahalanya sama seperti mengkhatamkan al-Quran pada bulan-bulan yang lain.

Wahai manusia!

Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagi kalian. Kerana itu, mintalah kepada Tuhan kalian agar tidak pernah menutupkannya bagi kalian. Sesungguhnya pintu-pintu neraka tertutup. Kerana itu, mohonlah kepada Tuhan kalian untuk tidak akan pernah membukakannya bagi kalian. Sesungguhnya syaitan-syaitan terbelenggu. Kerana itu, mintalah agar mereka tak lagi pernah menguasai kalian.

Wahai manusia!

Sesungguhnya kalian akan dinaungi oleh bulan yang senantiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan yang mana Allah telah menjadikan puasanya suatu kefardhuan, dan qiyam pada malam harinya suatu tathawwu’

Siapa saja yang mendekatkan diri kepada Allah dengan suatu amal kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan satu kefardhuan di dalam bulan yang lain.

Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu adalah pahalanya syurga. Ramadhan itu adalah bulan memberi pertolongan dan bulan Allah memberikan rezeki kepada Mukmin di dalamnya.

Siapa saja yang memberikan makanan berbuka kepada seseorang yang berpuasa, yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya dari neraka. Orang yang memberikan makanan itu memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa tanpa sedikit pun berkurang.

Inilah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya ampunan dan akhirnya pembebasan dari neraka. Siapa saja yang meringankan beban dari hamba sahaya, nescaya Allah mengampuni dosanya dan memerdekakannya dari neraka.

Kerana itu, perbanyakkanlah empat perkara pada bulan Ramadhan: dua perkara untuk mendatangkan keredhaan Tuhan kalian, dua perkara lagi yang sangat kalian perlukan. Dua perkara yang pertama ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan mohon ampunan kepada-Nya. Dua perkara yang sangat kalian perlukan ialah memohon syurga dan perlindungan dari neraka.

Siapa saja yang memberi minum kepada orang yang berbuka puasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolam-Nya, dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya, sehingga dia masuk ke dalam syurga."
[Hadith Riwayat Ibnu Khuzaimah]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.