RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Friday, September 17, 2010

Kata-kata hati (21) Itulah ketentuanNya

1 Syawal 1430

1 Syawal 1431

Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2(UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas)pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan.

Firman Allah dalam Surah Faathir : 43

" Maka sekali-kali kamu tidak akan mendapat penggantian bagi sunnah Allah, dan sekali-kali tidak pula akan menemui penyimpangan bagi sunnah Allah itu."

Anak....

Pada 28 Ramadhan 1431 (7hb Sept 2010) malam, 'Picherk' - kuching bermata satu yang anak selalu manjakan itu telah maut di jalan hadapan rumah kita. Mungkin waktu itu ia sedang cuba melintasi jalan raya (perkara yang tak pernah ia lakukan sebelum ini) yang sememangnya sudah mulai sibuk dengan kenderaan orang balik ke kampung, untuk berhari raya. Kenderaan terlalu banyak dari kedua-dua arah. Kami cuma dapat menyelamatkannya (mengambilnya) setelah empat kereta menghenyak puas tubuhnya yang sudah tidak bernyawa.

Pada 27 Ramadhan 1431 (6hb Sept 2010) malam sebelumnya, Imam-imam 'hafiz' muda yang yang mengimami solat tarawih secara bergilir-gilir di Masjid Jame' Sultan Hishamuddin , Pekan Sabak Bernam sejak awal Ramadhan, iaitu Imam Wan Hamidullah al-hafiz dan Imam Uqba bin Abdullah al-hafiz, telah mengakhiri tugas mereka dengan cemerlang. Imam Wan Hamidullah al-hafiz akan melanjutkan pelajaran ke Mesir dalam bidang Tahfiz & Qiraat, manakala Imam Uqba bin Abdullah al-hafiz, akan melanjutkan pelajaran ke UIAM dalam bidang kejuruteraan. (Semoga berjaya wahai Imam-imam muda - moga kalian akan jadi benteng-benteng kekuatan Islam) Alhamdulillah sepanjang mereka mengemudi solat-solat tarawih terutamanya dan qiyamu-al-layl diwaktu-waktu diniharinya, kami amat terkesan dengan santunan, pekerti mulia dan terlebih lagi gemersik suara dan gaya bacaan mereka yang mirip dengan suara dan bacaan syeikh Saad Said al-Ghamdi. Semuanya sangat membantu kami untuk menekuni mengisi Ramadhan dengan sebaik-baiknya.

Jika diikutkan rasa hati, biarlah mereka terus menjadi imam di Masjid Jame' Sultan Hishamuddin , Pekan Sabak Bernam, sehingga bila-bila. Namun hakikatnya tidak mungkin sampai bila-bila. Adat setiap yang bermula akan berakhir, setiap pertemuan akan ada perpisahan, dan setiap yang hidup pasti akan merasai mati dan menemui ajalnya. Itulah hukum alam, ketentuan Tuhan, sunnatullah.

Berikutnya pada 1 Syawal 1431, kami ubah sedikit kebiasaan kami. Selepas solat Eidul-Fitr, kami tidak terus menziarah rumah saudara mara kita sebagaimana kebiasaan yang kita lakukan. Tetapi kami menziarahi pusara anak. Sebab sejak malam 1 Syawal, sehingga berkereta ke masjid pada paginya, ketiadaan anak amat terasa. Dan tahlil selepas subuh tersebut, terlalu hiba dan kebanyakan kami tidak mampu menahan daripada 'hujan'. Dipusara usah disebut lagi. Doa kami moga anak bahagia di 'sana'.

Itulah anak.... namanya kehidupan. Setiap detik, saat dalam kehidupan, mengikut ketentuan dan ketetapanNya, semuanya tepat sebagaimana yang dikehendakiNya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.