RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Thursday, May 30, 2013

Kata-kata hati (40) Luruskan hati..


Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2 (UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan. Lapuran kejadian anda boleh dapati dibeberapa blog, antaranya http://haneefsyah.blogspot.com


Suatu waktu sekitar tahun 2007, anak pernah melahirkan keinginan, sekiranya di takdirkan akan dipanggilNYA, anak berkeinginan untuk mati ketika berada di jalan Allah swt (ketika berjuang membela Islam). Hal tersebut terdetik setelah anak menerima perkhabaran tentang salah seorang bekas guru anak di Pahang telah juga kembali, saat berada dalam misi dakwah – memanggil manusia untuk kembali berpaut rapat pada agama, mendakap Allah, Tuhan Pencipta, Pentadbir serta Penguasa sekalian ‘alam.

Benarlah penilaian serta kaedah anak dalam meneladani sesaorang waktu itu, kerana kita sering mendengar seorang solihin berpesan, “ Apabila engkau ingin mengambil teladan, ambillah teladan orang yang telah mati kerana orang yang hidup belum tentu selamat akhirnya. ”

Sekitar dua tahun beberapa bulan kemudian Allah membenarkan serta menganugerahkan anak kematian, saat anak memikul amanah yang ditinggalkan oleh ar-Rasul saw. Saat anak menginfa’kan sebahagian dari hidup anak untuk menyampaikan risalah yang di perintahkan olehNYA.

Saat anak ingin berangkat meninggalkan Tanah Semenanjung, menuju Sandakan, anak di pesani oleh Ummi, agar anak membetulkan niat. Yang terdengar oleh Ummi, pesanan tersebut anak sambut dengan kalimah ‘insyaAllah….mi…’

Mudah-mudahan benar lurus antara hati dengan ucapan anak. Sekiranya begitu, mudah-mudahan anak juga akan termasuk dalam gambaran ayat berikut.

Firman Allah bermaksud:
“ Di antara orang-orang yang beriman itu ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam) maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran, mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka telah janjikan) sedikitpun ”. (Al Ahzab: 23)

Sebenarnya anak, sangat besar manfaat meluruskan hati (hanya sanya demi Allah) itu. Sejarah, setiap zaman banyak membuktikan hal tersebut, jika kita ingin mencari pedoman, antaranya , sebagaimana yang pernah dikatakan oleh Syadad bin Al-Hadi, berkaitan dengan seorang Arab dusun yang datang kepada Rasulullah saw lalu beriman dan mengikutinya.

Orang itu mengatakan ; “Aku akan berhijrah bersamamu.”
Maka Rasulullah saw membawa orang itu kepada para sahabatnya. Ketika berlakunya perang Khaibar, Rasulullah saw memperolehi ghanimah (harta rampasan perang) lalu baginda membahagi-bahagikannya dan menyimpan bahagian untuk orang itu seraya menyerahkannya kepada para sahabat. Orang Arab dusun itu sedang menggembalakan haiwan ternaknya. Ketika ia datang, para sahabat pun menyerahkan bahagian ghanimahnya.

Maka orang (orang Arab dusun) itu pun berkata, “ Apa ini? ”
Kemudian dia berkata lagi ; “ Aku mengikutimu bukan kerana ingin mendapatkan bahagian seperti ini. Aku mengikutimu (Rasululah) semata-mata kerana aku ingin tertusuk dengan anak panah di sini (sambil menunjuk tenggoroknya), lalu aku mati lalu masuk syurga.”
Rasulullah saw mengatakan ; “ Jika kamu jujur kepada Allah maka Dia akan meluluskan keinginanmu.”

Beberapa waktu kemudian mereka berangkat untuk memerangi musuh dan orang itu terkena panah pada tenggoroknya. Para sahabat mendatangi Rasulullah saw dengan mengusung orang berkenaan.

Rasulullah saw berkata, “ Inikah orang itu? ”
Mereka menjawab, “ Ya.”
Rasulullah saw berujar, “ Ia telah jujur kepada Allah maka Allah meluluskan keinginannya.”

Lalu Rasulullah saw mengafaninya dengan jubahnya dan mensolatkannya dan di antara doa yang terdengar dalam solatnya itu adalah :

“Allaahumma haadza `abduka kharaja muhaajiran fii sabiilika faqutila syahiidan wa ana syahidun alaihi ” (Ya Allah, ini adalah hambaMu. Dia keluar dalam rangka berhijrah di jalanMu, lalu ia terbunuh sebagai syahid dan aku menjadi saksi atasnya).” (HR An-Nasai’e)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.