RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Tuesday, July 26, 2011

Pengajaran dari BERSIH 2.0 (7) Untuk hati....

Berikut ingin saya kongsikan surat terbuka Prof. Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin untuk sekalian anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Warkah buat saudaraku anggota polis
Dari Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Assalamualaikum warahmatuAllahi wabarakatuhu,

Terlebih dahulu, pohon kemaafan jika warkah ini terbuka. Saya harap ia dapat dibaca oleh semua. Jika ada kebaikan, ambillah darinya. Jika tidak, campaklah ia ke tepi dan lupakan sahaja.
Ia hanya satu coretan dari seorang rakyat bawahan. Tanda cinta dan kasih kepada saudara yang saya lihat tercegat di segala penjuru negara atas tanggungjawab menjaga keamanan kita semua. Mata memandang, hati merintih dan berdoa agar tugasan saudara benar-benar diberikan pahala di sisi Tuhan dan diiktiraf di sisi rakyat.

Saudaraku anggota polis,

Kerja polis adalah satu kerja yang mulia kerana menjaga keamanan dalam negara. Penat lelah anggota polis dalam memastikan negara kita aman dan adil adalah pahala yang amat besar di sisi Allah jika pengamalnya jujur dan ikhlas.

Sepatutnya, tiada seorang pun rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan akan membenci polis. Sebaliknya, perasaan fitrah; sayang dan menghargai akan tertanam dan mekar sebaik sahaja mendengar nama polis, melihat anggota atau apa sahaja perlambangan polis. Itulah perkara sewajarnya berlaku.
Cegah kemungkaran

Saudaraku anggota polis,

Tugas seorang anggota polis - sebelum tugasan kenegaraan- sebenarnya adalah tugasan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya iaitu 'Menyuruh Kebaikan, Mencegah Kemungkaran'.
Itu moto asal pasukan polis. Sekalipun, tumpuan terbanyaknya kepada bahagian kedua iaitu 'Mencegah Kemungkaran'. Hakikatnya, polis berperanan menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah dengan dipastikan setiap penzalim akan dihalang, dicegah dan dihukum.
Jika itu tidak berlaku, masyarakat akan porak peranda dan menerima hukuman dari Allah. Allah berfirman: (maksudnya): “Telah dilaknat mereka yang kufur daripada Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka kerjakan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).
Nabi s.a.w pula bersabda: “Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih).

Kami sebagai rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis yang telah menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah, kezaliman dan kerosakan.

Bahaya kuasa

Saudaraku anggota polis,

Namun, dalam masa yang sama, bidang tugas dan kuasa saudara yang menghalang kezaliman itu jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang sebaliknya.
Ia boleh bertukar dari melindungi yang tidak bersalah kepada menginayainya, menghalang yang zalim kepada memberi peluang kepadanya, memberi hak kepada yang berhak kepada merampas hak dari tuannya.
Jika itu berlaku, rosaklah masyarakat, hilanglah neraca keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas. Lantas, kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui.

Saudaraku anggota polis,
Ingin saya sebut di sini suatu tazkirah yang harapnya boleh memberikan manfaat kepada semua, khususnya mereka yang berkuasa seperti saudara.
Saudaraku, kezaliman itu adalah suatu racun. Ia bukan sahaja menyakitkan yang dizalimi, tetapi suatu hari akan membawa sengsara, bahkan mengorbankan si zalim itu sendiri.
Pada hari kita memukul orang yang tidak bersalah, melukai atau menfitnahnya, kita mungkin rasa selamat di balik peruntukan kuasa yang ada. Mungkin juga rasa selamat di balik pakaian lengkap kita yang mungkin gagal mangsa mengenali pelakunya.
Namun Tuhan tidak lupa. Akan ada harinya yang menanti kita di hadapan. Tangan yang memukul orang lain dan kaki yang menendang mangsa itu tidak akan terpadam catatannya sehingga kemaafan diberikan.
Ketika saudara pulang ke rumah berjumpa keluarga, si mangsa mendongak ke langit mengadu kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Doa orang dizalimi
Dengarlah baik-baik apa yang yang disabdakan Nabi SAW: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya" (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).
Dalam riwayat Ahmad yang lain: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Saudaraku anggota polis,

Tiada siapa antara kita yang dapat menyelamatkan dirinya dari hukuman Tuhan. Seseorang mungkin telah melupai orang yang dizaliminya, atau si mangsa juga mungkin terlupa, atau pergi menemui Ilahi terlebih dahulu.
Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu, ia tetap datang bertandang dalam kehidupan si zalim; meragut kebahagiaannya, ketenteraman hidupnya dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa.
Mungkin si zalim ketika itu terpinga dan bertanya 'apakah salah saya?'. Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat sana.

Saudaraku anggota polis,

Dunia ini sementara. Setiap kita akan ada hari akhirnya. Akan berakhirlah sebuah kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan.
Tunggu balasan
Tiada kuasa yang dapat membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua tunduk menunggu balasan. Firman Allah (maksudnya): “Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang ketika itu terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar), mereka terburu-buru (menyahut panggilan) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas)”. (Surah Ibrahim 42-43).

Saudaraku anggota polis,

Sekali lagi pada hari itu si zalim akan bertemu dengan semua mereka yang telah dimangsakan, di hadapan mahkamah yang Maha Adil.
Tiada bukti yang dapat disembunyikan, diputarbelit dan ditipu kepada masyarakat manusia yang berkumpul ketika itu. Tiada media yang boleh diperguna dan tiada kuasa kerajaan yang boleh melindunginya.
Adil seadil-adilnya. Bak kata Nabi s.a.w: "Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk" (Riwayat Muslim).
Sabda baginda juga: "Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tiada dinar dan dirham (tiada harta iaitu pada Hari Kiamat).
Arahan atasan
Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya" (Riwayat al-Bukhari).

Saudaraku anggota polis,

Saya tahu, kadang-kala ada keadaan yang sukar sebagai anggota polis yang terpaksa melaksanakan arahan 'atasan'. Maka, mungkin ada yang berkata 'kami hanya menjalankan tugas'.
Sudilah saudara mendengar nasihat tokoh Islam yang agung al-Imam Hasan al-Basri r.a. kepada Gabenor Iraq dan Khurasan iaitu 'Umar bin Hubairah. Ketika itu zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul Malik.
Kata 'Umar bin Hubairah: “Sesungguhnya khalifah Yazid bin Abdul Malik kadang-kala menyuruhku melaksanakan perkara yang aku rasa tidak puas hati dari segi keadilan. Apakah jika aku melaksanakannya menjadi sutu kesalahan di sisi agama?
Kata Hasan al-Basri: “Wahai Umar bin Hubairah! Takutlah Allah mengenai Yazid, jangan engkau takutkan Yazid mengenai Allah. Ketahuilah sesungguhnya Allah azza wajalla dapat menghalang Yazid daripada bertindak ke atasmu, tetapi Yazid tidak dapat menghalang Allah daripada bertindak ke atasmu.
Wahai 'Umar bin Hubairah! Sesungguhnya akan turun kepadamu malaikat yang bengis dan keras, dia tidak akan menderhakai apa yang Allah perintahkannya. Dia akan mengambil engkau dari tempat dudukmu ini, dan memindahkan engkau dari istanamu yang luas, ke kubur yang sempit.
Tanggungjawab kepada Allah
Di sana tiada Yazid, hanya yang ada amalanmu yang menyanggahi Tuhan Yazid. Wahai 'Umar bin Hubairah! Sekiranya engkau bersama Allah dan ketaatan kepadaNya, ia boleh menghalangmu dari kejahatan Yazid di dunia dan akhirat.
Jika engkau bersama Yazid dengan menderhakai Allah, sesungguhnya Allah akan menyerahkanmu kepada Yazid. Ketahuilah wahai 'Umar bin bin Hubairah! Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta”. Maka menangislah Gabenor 'Umar bin Hubairah”. (rujukan: Mir at al-Jinan wa 'Ibrah al-Yaqzan)

Saudaraku anggota polis,

Kita boleh bertugas kepada sesiapa pun, tetapi jangan lupa tanggungjawab kita di hadapan Allah. Tiada cacatnya menjadi anggota polis. Saudara bukan musuh rakyat. Sebaliknya, saudara diperlukan rakyat.
Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian awam adalah tindakan kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan keamanan. Jika itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada saudara.

Ingatlah kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: “Benar adalah amanah, bohong adalah khianat”. Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa pun menjelang. Jika saudara bohong rakyat benci, Allah juga benci. Rezeki tidak halal, hidup tidak bahagia.

Saudaraku anggota polis,

Inilah pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya. Tiada kebencian antara rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak.
Rakyat awam bukan sahaja mahukan keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara, tetapi keadilan yang dapat difahami oleh semua. Bukan sahaja adil dari segi bicaranya, tetapi hendaklah kelihatannya juga adil.
Semoga Allah merahmati saudara dan tugas saudara. Diberikan rezeki yang halal. Bebas dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama menyanjungi saudara! Selamat bertugas!

Friday, July 15, 2011

Pengajaran dari BERSIH 2.0 (6) Kuning Emas







Hujan emas di negeri orang,
Hujan peluru pemedih mata di negeri sendiri.
Hujan emas di negeri orang,
Hujan air warna emas di negeri sendiri.

Hujan emas di negeri orang,
Hujan peluru pemedih mata di negeri sendiri.
Kuning emas di negeri orang,
Di negeri sendiri apatah lagi.

Hujan emas di negeri orang,
Hujan air warna emas di negeri sendiri.
Kuning emas raja di negeri orang,
Di negeri sendiri pun masih lagi.

Di negeri orang, di negeri sendiri
Katanya sama menganut demokrasi..

Di negeri orang, di negeri sendiri
Maaflah kalau terasa hati

Thursday, July 14, 2011

Pengajaran dari BERSIH 2.0 (5) Belajarlah....







Hari itu terlihat juga satu tubuh, di sekitar Jalan Petaling (Petaling Street) yang sudah dimakan usia memakai ‘T-shirt’ kuning, ditangannya sejambak bunga kekwa putih, hadir sebagai menyatakan sokongannya kepada himpunan aman BERSIH 2.0. Melihat lenggok jalannya, rasanya dia bukan merupakan ancaman kepada keselamatan negara. Rasanya untuk mengangkat dan menghempas sebuah pasu bunga yang bersaiz ukuran garis lintang sekitar 12 inci pun dia tidak akan larat. Tidak mampu juga rasanya dia untuk meruntuhkan bangunan di sekitar laluannya atau untuk menterbalikkan sebuah kereta. Malah kalau disuruh membaling ‘bom cocktail’ pun hanya larat untuk beberapa hasta sahaja. Dia kelihatan pendiam , tidak langsung kelihatan sikap dan perangai ‘hooligan’, yang boleh membuat onar.

Rambut dan pakaiannya sedikit basah , mungkin menempuh hujan yang turun sekitar 2.30 petang , 9 Julai itu. Hati kecil saya berkata….wanita tua ini sepatutnya tidak perlu menempuh hujan , apatah lagi semburan air asid dan pemedih mata. Pada usia seumpamanya, kebanyakan orang lain hanya bermain dengan cucu atau hanya melayan kucing-kucing atau haiwan lainnya, lantaran kesunyian ditinggalkan anak-anak. Namun itulah manifestasi kemerdekaan jiwa dan fikirannya. Diperahnya sisa-sisa kudrat yang ada untuk menzahirkan rasa hati. Biar mungkin dia tidak akan memperoleh apa-apa, namun biar semangatnya akan dapat dirasai oleh generasi bawahannya. Semangat yang tidak merelakan diri diperbodohkan orang apatah lagi membiarkan hak dan kebebasan kita dicabul dan dizalimi.

Kalau beliau adalah seorang Muslim, maka tindakannya itu adalah termasuk dalam ruang ringkup jihad juga dan diberi pahala.

Namun saya tidak mengendahkannya selepas itu. Cuma saya tersentak bila beberapa hari kebelakangan ini kisahnya tersebar merata di alam siber dan akhbar. Beliau kini mendapat jolokan sebagai 'Makcik BERSIH' ataupun 'Lady of Liberty' Malaysia.

Rupa-rupanya beliau adalah Anne Ooi, 65 sorang bekas guru bahasa Inggeris, yang terkena pancutan air berkimia polis di luar bangunan Hospital Tung Shin di ibu negara Sabtu lalu itu.

Dalam wawancara Malaysiakini dengannya, Makcik Anne berkata ; " Saya sudah tua tetapi terus berjalan kerana mereka merampas kebebasan saya. Sekarang saya tak boleh pakai baju kuning sekalipun,” katanya.

"Semasa muda saya tidak berbuat apa-apa. Saya dalam perkhidmatan pendidikan dan terpaksa menerima apa sahaja (arahan kerajaan) kerana mereka bayar gaji saya.”

Akhirnya, kepada Makcik Anne Ooi , dan semua yang seusia makcik, seumpama Pak Samad yang sanggup mengkesampingkan kesakitan orang-orang berusia, turut meredah semburan ‘hadiah’ air kuning dan gas pemedih mata tempohari, Terima kasih.....kalian manambah bakar semangat kami.

Kepada mereka yang disebelah sana, yang meng ' hadiah ' kan kami air kimia dan gas pemedih mata, selain kalian belajar disiplin, ketangkasan dan kecekapan, rasanya perlu juga belajar erti sopan santun, erti kemanusiaan, erti hak, erti keadilan, erti kedaulatan undang-undang, erti timbang rasa dan yang terpenting kalian perlu tahu dan faham bahawa gaji kalian semuanya dibayar oleh siapa….





Maaf la....kalau terkasar bahasa.

Tuesday, July 12, 2011

Pengajaran dari BERSIH 2.0 (4) Anda harapan baru Malaysia.

Pujian harus diberikan kepada rakyat Malaysia, terutama kepada seluruh peserta himpunan aman BERSIH 2.0 kerana bersikap amat professional, matang dan berkelakuan sangat terpuji.


Majoritinya adalah anak muda yang saya kira telah terdedah dengan berbagai maklumat. Dan mereka turun adalah dengan kefahaman, azam dan semangat yang bukan lantaran upah, apatah lagi projek. Bahkan mereka mungkin berhadapan tindakan AUKU andai mereka pelajar, berbagai ancaman jika mereka kakitangan awam, atau bila-bila masa boleh tertangkap dan ‘disimpan’. Dari atas stesyen LRT, saya lihat mereka tidak tumpah seakan pemuda-pemuda Palestin yang berada dijalanan menghadapi Yahudi laknatullah.

Di sekitar Chow Kit, mereka sudah di buru oleh anggota PDRM yang siap membawa ‘cable tight’di tangan. Namun menakjubkan… saat azan dilaungkan mereka sekaliannya (yang Muslim) sama berbondong ke Masjid Pakistan yang terletak berhampiran pasar Chow Kit. Tidak pula kelihatan anggota PDRM yang turut serta. Bersangka baik… mungkin mereka sembahyang jama’, atau ‘uzur’. Se usai sembahyang dan doa mereka bersegera bingkas untuk misi yang di atur. Sekali lagi terpesona, kerana biarpun mereka tiada ‘field commander’ namun gerak mereka teratur. Tiada tolak menolak, pentingkan diri sendiri, seakan pasukan yang sudah terlatih.

Kelompok semakin membesar sepanjang perjalanan melalui pasar basah Chow Kit. Sehingga di hadapan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kelompok kami sudah melaut. Demi mengelak sekatan si topi merah kami melencongkan sedikit laluan sekitar kawasan letak kereta. Penuh disiplin mengikut giliran melepasi pagar yang berada disekitarnya. Yang wanita di dahulukan, yang tua di bantu melepasi pagar besi, separas pinggang atau mungkin lebih. Namun semuanya bergerak laju dan pantas. Hujan mulai turun, agak lebat. Sebahagian menyasar ke tepi laluan mencari bag, bungkusan plastik untuk membungkus handphone masing-masing.. Dalam situasi itu keutamaan adalah handphone, kerana ia adalah nadi perhubungan. Sebahagiannya membantu yang lain untuk tujuan itu. Ukhuwwah bisa saja terjalin walaupun keadaan sangat kritikal…syukur.

Saya berada dalam kelompok tengah gelombang manusia yang bergerak itu. Sebagaimana yang saya sudah catitkan dalam entri saya yang lalu, rasa kebersamaan, keharmonian dan semangat yang ditunjukkan oleh sekalian bangsa yang bergandingan benar-benar mengatasi semangat 1 Malaysia yang dicanangkan oleh pemerintah.

Tidak pula saya ternampak pasu bunga dilanggar, atau pecah atau apa-apa pun yang rosak sebagaimana yang dibimbangkan. Berjalan aman. Mereka bukan ‘hooligans’ pemusnah harta benda awam apatah lagi mencederakan orang lain. Saya kira mereka lebih sayangkan semuanya, kerana mereka tahu itu semua adalah hasil dari cukai yang mereka bayar juga…duit mereka. Cuma suasana sedikit tegang kerana tidak tanduk pasukan topi merah yang tidak ‘friendly’.

Di jalan-jalan utama ada sahaja peserta yang sudi secara sukarela mengarahkan peserta lain untuk memberi laluan jika bertembung dengan apa-apa kenderaan. Meskipun tanpa bantuan pihak berwajib, semuanya lancar…

Dari ‘Melacca Street’ membelok menuju menara May Bank. Di situ berlaku pertembungan. Perjalanan disekat. Akhirnya gas pemedih mata dilepaskan…..
Berlakulah sebagaimana yang saya coretkan dalam entri yang lalu.

Akhirnya peserta himpunan BERSIH 2.0 sekalian….anda adalah harapan baru Malaysia.

Monday, July 11, 2011

Pengajaran dari Bersih 2.0 (3) Satu hati...

Dalam keadaan mata yang masih merah selepas menerima tembakan gas pemedih mata, tak sempat mengira berapa semuanya, kami masing-masing menghulur air mineral untuk dicurahkan pada bahagian mata. Sebahagian memberikan lebihan garam untuk disapukan pada anggota yang perlu.


Waktu itu kami sudah seumpama adik beradik, saling membantu, walaupun ada yang bermata sepet, dan ada yang berkulit gelap. Albert Chua memberi saya garam, sementara John Silvam mengajar kami membuat urutan tangan untuk meredakan kepedihan mata kami. Ditunjukkannya beberapa titik ‘point’ yang perlu di picit atau urut untuk tujuan memberikan kelegaan segera pada mata kami yang masih merah berair. Sebelum itu kami saling berpegangan tangan sambil melaungkan slogan yang sama; tuntutan BERSIH. Padahal kami pun tidak pernah berjumpa, apatah lagi berkenalan.

Dalam derita itulah kami saling bersalaman dan berkenalan, walaupun serba rengkas, kerana kami masih perlu melepasi deretan benteng si topi merah, sedang destinasi masih jauh.
Dengan John Silvam kami sempat lagi selepas itu beriringan meneruskan perjalanan, (melencongkan arah perjalanan, selepas disekat) bersama puluhan ribu yang lain melintasi sekolah lama saya ST. JOHN INSTITUTION di Bukit Nanas (sekarang dikenali sebagai ST. JOHN INTERNATIONAL SCHOOL)

Saya beritahu John Silvam ; “ John, ini sekolah lama saya…”
Dalam terkejut John Silvam berkata; “ Aaaaaa…….Saya pun bersekolah disini…” (Panjang lagi cerita kami selepas itu).

Yang pasti Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak, pernah juga bersekolah disitu….

Rupanya BERSIH 2.0, berjaya membuktikan bahawa rakyat Malaysia boleh bersatu hati dan berganding bahu, sama-sama merasai perit getir perjuangan atas asas kebenaran dan keadilan, yang umumnya di inginkan oleh sekalian manusia yang waras akal.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.