RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Tuesday, March 13, 2012

Allah berlepas tangan

Lama sudah blog ini tidak dapat dimanfaatkan. Maaf banyak-banyak. Kegagalan saya untuk mengurus waktu dengan baik. Doakan saya agar dapat bangkit kembali.


AL-FATIHAH

untuk sikecil

NURUL NADHIRAH ABDULLAH

Polis sahkan rangka rentung sebagai Nurul Nadirah

Hanya esakan dan tangisan kedengaran di rumah kanak-kanak malang Nurul Nadhirah Abdullah atau Dirang di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam dekat Johor Baharu, sebaik sahaja polis mengesahkan mayat rentung yang ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Pasir Gudang di Johor Baharu 8 Mac lalu adalah kanak-kanak itu.

Tiada kata yang mampu diucapkan oleh anggota keluarga mahupun jiran untuk menenangkan ibu Dirang, Roselyn Alan, 25 yang terkejut dan menangis tidak berhenti sejak menerima maklumat berhubung perkara itu. Roselyn juga pengsan seketika selepas menangis lebih sejam sebaik dihubungi oleh pihak polis melalui telefon kira-kira 6.40 petang tadi bagi mengesahkan perkara itu setelah menerima hasil ujian DNA daripada Jabatan Kimia hari ini.

Roselyn dan suaminya Lima Medeng, 25, juga enggan ditemu bual pemberita ekoran terlalu sedih dan terkejut dengan perkembangan terbaru itu.

Nurul Nadhirah dilaporkan hilang pada 1 Mac lalu kira-kira 11 pagi ketika keluar untuk membeli mee segera dan telur di kedai runcit di kawasan flat kediamannya.


Begitu antara siri kisah dan peristiwa tragis, sedih dan sangat menyayat hati. Nurul Nadirah adalah hanya merupakan segelintir dari sekian ramai anak-anak yang menjadi mangsa kekejaman manusia yang sudah hilang rasa belas apatah lagi ehsan. Anak kecil seusianya diperlakukan sedemikian kejam, diluar batas kemanusiaan.

Walaupun semuanya tidak inginkan peristiwa ini berulang kepada sesiapa juga, namun dapatkah kita mempastikan bahawa ini adalah kejadian yang terakhir.
Bukan tiada undang-undang yang keras yang bakal menanti sipelakunya. Dan bukan sedikit juga orang atau pegawai-pegawai yang berkewajipan untuk melindungi manusia di setiap negara seluruh dunia. Peralatan canggih apa lagi yang manusia perlukan untuk membantu serta memantaunya supaya kejadian seumpama itu tidak akan terjadi lagi. Sehingga kini, segalanya (undang-undang yang sudah keras dan ketat, pegawai keselamatan yang ramai dan hebat, serta peralatan yang canggih) seakan tidak mampu mengatasi dan menghalangnya.

Akhirnya kita manusia perlu akur bahawa undang-undang keras semata-mata, atau pegawai-pegawai keselamatan yang cekap serta siaga sahaja atau peralatan bantu yang canggih tak terkira, atau semuanya ada, tidak akan dapat mengatasi semua itu, melainkan :-
i. Kita perlu dan wajib kembali menyerah kalah, bahawa kita tiada daya dan upaya, mengurus dan mentadbir alam dengan hanya mengguna pakai otak fikiran kita semata-mata.
ii. Wajib meminta pertolongan dan bantuan Allah Yang Maha Menguasai semua makhluk ciptaanNYA.
iii. Wajib kita menerima pakai kembali perintah serta aturan Tuhan, samada bagi mengurus dan mentadbir benda, apatah lagi manusia.

Bukankah Allah swt telah berfirman :-

"Ini ialah satu "surah" Yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan Yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya)."
(Surah An Nuur : 1)


"Dan orang lelaki Yang mencuri dan orang perempuan Yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan Dengan sebab apa Yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
(Surah Al Maidah : 38)


Akhirnya renungi firman Allah swt
“Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”
(Surah Muhammad : 7)

Firman Allah swt ini;
"Allah adalah pelindung bagi orang-orang yang beriman yang mengeluarkan mereka dari berbagai kegelapan kepada nur(hidayah-Nya). Dan orang-orang kafir itu pelindung-pelindung mereka ialah taghut (sandaran kekuatan selain Allah) yang mengeluarkan mereka daripada nur (hidayah Allah) kepada berbagai kegelapan".
(Surah Al-Baqarah : 257)

dan firman Allah ini :
“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya”.
( Surah Al-A’raf : 96 )

Nurul Nadhirah Abdullah adalah sebahagian dari mangsa manusia yang melupai Tuhan, dan beliau juga adalah mangsa sistem yang membelakangkan sistem aturan Tuhan.

Manusia membelakangi Tuhan, maka tidak adilkah Tuhan berlepas tangan?

Thursday, December 29, 2011

Kata-kata hati (36) Sejuk mata kami..


Catatan perjalanan akhir Muhammad Huzaifah bin Mohammed Huzazi. Pelajar tahun 2 (UMT) Kursus Ijazah Teknologi Alam Sekitar. Lahir 23 Syaaban 1409 (30 Mac 1989) Kembali menemui Rabb kita, (lemas) pada 21 J/Awwal 1431 (4 Mei 2010) semasa misi dakwah 40 hari ke Bluran, Sandakan. Lapuran kejadian anda boleh dapati dibeberapa blog, antaranya http://haneefsyah.blogspot.com

Waktu ini musim hujan. Di Selangor, walaupun bukan kawasan yang berisiko banjir, namun cuaca sama juga tidak menentu. Hujan turun saban hari. Ada waktu pagi, ada kalanya waktu petang. Jika malam tidak hujan, siang ada ketikanya hujan sepanjang hari. Hujan lebat atau renyai-renyai silih berganti. Suhu lembap, manakala bumi sentiasa basah. Halaman dan jalan ke pondok kita, becak.

Begitulah rencana dan ketentuanNYA. Semuanya berlaku dan berjalan mengikut kehendakNYA. Kita, hamba sepatutnya bersyukur terhadap apa jua keadaan, kerana semuanya (samada kita suka atau sebaliknya) adalah baik untuk kita. Cuma kita hamba tidak dapat memahami hakikat serta hikmah sebenar akan sesuatu kejadian, ciptaan Tuhan. Keimanan, keyakinan dan sudut pandang manusia juga, membezakan penafsiran terhadap semunya yang berlaku itu.

Dalam waktu begini, abah teringat suatu waktu dahulu, jika kebetulan anak berada di rumah, cuti semester atau waktu yang anak tiada program, anak sering menawarkan khidmat mencuci kenderaan (motor atau kereta) abah. Malah kerap juga sekembalinya abah dari tugas, abah sudah dapati kenderaan yang di tinggalkan di rumah sudah anak bersihkan, tanpa disuruh, apatah lagi upah.

Diwaktu-waktu yang lain memotong rumput, menjenguk dan memberi ayam serama kesayangan abah (yang cepat biak itu) makanan dan minuman. Hujung minggu anak dengan gembira sudi membantu abah membersih dusun buah-buahan kita yang sekangkang kera itu. Diwaktu ummi memasak anak juga tidak pernah berat tulang membantu. Ada waktu anak menawarkan resepi masakan yang kerap anak masak sewaktu berpergian dalam misi da’wah. Pastinya ‘simple’, tapi boleh tahan sedap. Kerap juga waktu ini kami masih merindui kari ayam masakan anak yang rasanya mengalahkan masakan kari Kassim Kader, restoran mamak ternama di Bandar daerah kita.

Apapun rasanya semua itu anak lakukan adalah untuk menyantuni dan menyenangkan hati kami, abah ummi. Setulusnya…., kami senang dan gembira.

Kepada Allah kami pohonkan setulusnya, moga anak mendapat ganjaran sebaiknya atas semua itu.

Firman Allah dalam Surah Al Israa’ : 24
“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua (ibu dan ayah) sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

Firman Allah dalam Surah Al Ahqaaf : 15
“Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkan dengan susah payah. Masa mengandung sampai bercerai susu selama tiga puluh bulan dan umurnya mencapai empat puluh tahun , dia berdoa, “Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmat-Mu, yang telah Engkau redhai yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku, dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau redhai, dan berilah aku kebaikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau, dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.”

Thursday, December 22, 2011

B.E.R.S.Y.U.K.U.R.



Saban waktu dan ketika kita menikmati kurniaan ALLAH. Setiap detik, sejak dilahirkan hinggalah penghujung nyawa, kita tidak putus-putus dikurniakan dengan pelbagai nikmat. Lantaran ianya berlaku saban masa dan menjadi sesuatu yang lumrah, lalu kita tidak perasan dan tidak mempedulikannya. Kita seolah-olah terlupa bahawa ia adalah anugerah dan kurniaan ALLAH kepada kita.
Setiap ulas nasi yang kita telan, setiap titis air yang kita minum, setiap tarikan nafas yang kita hela, apatah lagi dengan penglihatan yang dengannya kita dapat melihat sesuatu, semuanya adalah kurniaan Allah. Selagi kita bernyawa kurniaan Allah tidak putus-putusnya kita nikmati. Begitulah penyayangnya ALLAH ar-RAHMAN kepada kita, biarpun kita tidak ingat dan tidak taat kepadanya. Wajar Allah bertanya ; “Maka ni’mat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan”. (Ar-Rahman – 31 kali)
Hakikatnya, lumrah manusia hanya akan tahu nilai sesuatu, setelah sesuatu itu hilang darinya. Amat sedikit yang melahirkan rasa syukur kepadaNYA lantaran dia tidak tahu sebenarnya hakikat tanpa sesuatu anugerah itu.
“... Dan amat sedikit dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur.”
(Surah Saba’, 34: 13)
“... akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.”
(Surah al-Baqarah, 2: 243)

“Kemudian aku (Iblis) akan mendatangi mereka dari depan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka, dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan dari mereka itu bersyukur.”
(Surah al-A’raaf, 7: 17)

Begitulah saya, saat tersadai, kehilangan 50 % penglihatan, baru tersedar dan tahu apa erti sebenar nikmat mata dan penglihatan. Bertambah perasan bukan kita yang empunya. Yakin KehendakNYA mengatasi segalanya. Kita tiada kuasa melainkan KuasaNYA.



Akur bahawa……, “Maha Agung nama Tuhanmu Yang Mempunyai Kebesaran dan Kurnia”. (ar-Rahman 78)

Wednesday, December 21, 2011

H.A.R.A.P....?

Tak perlu memperincikan perihal tersadainya saya untuk beberapa minggu. Oleh kerana saya ada masalah darah tinggi, dan sejarah keluarga terdekat , emak serta abang yang masih muda, pergi menemui Tuhan, dengan asbab ‘stroke’, maka waktu-waktu terlantar itu tidak dapat tidak memperingatkan saya saat-saat akhir mereka (emak dan abang).

Kedatangan maut tidak dapat diduga, kerana ketentuannya ditanganNYA. Kedua mereka sehat pada hari sebelumnya serangan. Di ‘serang’, terlantar, dan masing-masing cuma mampu bertahan selama dua hari. Al-Fatihah…..

Di awal beberapa minggu terlantar itu, memang tekanan darah tinggi agak tidak menentu. Seakan ada gejala yang mengerikan itu. Diwaktu itu baru tercari-cari doa-doa dan zikir yang sesuai, tinggalan Junjungan saw. Tak tahu malunya diri. Bila terdesak baru mencari, padahal Ar-Rasul saw telah mempusakakannya sekian lama, tak pernah di endah dan ambil peduli.

Waktu itu baru rasa terdesak untuk mengamal sepenuh perkara yang tertinggal, atau sengaja di tinggal , dengan harapan jikapun ajal bertandang, harap-harap dalam keadaan mengamalkan sunnah. Dulu…kerap juga tertidur dalam keadaan ‘bontang’ tidak berbuat dan mengingat apa-apa sebelumnya. Namun rupanya ‘jentikan’ Tuhan itu, walaupun perit, rupanya menjadi ubat bagi saya yang lalai.

Saat sebelum terlelap, teringat juga mungkin inilah cuma beberapa tarikan nafas yang tinggal. Ngeri, kerana diri sememangnya belum bersedia. Sememangnya musibah besar yang menanti, andainya dijemput ketika itu. Perasaan bercampur baur. Takut, cemas namun berharap DIA tetap akan memberikan rahmatnya, walau sedikit, walaupun diri merasa tidak layak walau kadar sekelumit. Teringat janji Ar-Rasul saw;

Dari Anas r.a katanya: "Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi seorang pemuda yang sedang berada dalam keadaan hampir mati, lalu bertanya kepadanya: "Bagaimana Keadaanmu?" Pemuda itu menjawab: "Aku berharap kepada (rahmat) Allah - Ya Rasulullah! - dan aku takutkan (balasan buruk) dari sebab dosa-dosa ku". Mendengarkan yang demikian, Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak berhimpun dalam hati seseorang dua perkara itu (harap dan takut) pada saat yang seperti ini, melainkan Allah memberikannya apa yang diharapkan dan menyelamatkannya dari apa yang ditakuti."
(Tirmidzi, Janaa'iz, II ; Ibn Majah, Zuhd, 31)

Tapi harap yang bagaimana, kerana harap saya tidak menepati syarat. Seumpama seorang petani yang memilih dan menabur benih padi yang tidak baik, di atas tapak sawah yang belum disedia untuk ditabur benih. Tanahnya tidak subur, serta tidak pula berusaha untuk menyuburkannya dengan apa-apa jua baja. Sudahlah padi tumbuhnya tidak elok, rumput pula dibiar tumbuh melengkari anak dan pohon-pohon padi. Tidak diusahakan untuk merumput atau diracun. Sementara musuh perosak padi dibiar sewenangnya menyedut umbut pucuk padi dan batangnya yang mengandung bakal biji benih yang di cadang-cadang dituai. Dalam keadaan itu apakah yang dapat diharap dimusim tuainya nanti melainkan hampa.

Begitulah saya dengan iman yang tidak sihat, baja yang tidak cukup, musuh iman yang tidak sungguh diperangi, harapan apakah yang layak untuk saya harap. Kerana harapan waktu itu adalah merupakan mengharap redha, rahmat, kasih sayang, dan pengampunan Tuhan, yang balasannya tiada lain melainkan Syurga. Tapi wajarkah mengharap kalau segala syarat untuk mengharap tidak cukup?

Moga Allah akan berikan saya kekuatan untuk ‘bangkit’.

Bersambung…….

Monday, December 19, 2011

Tiada terkata....

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."
Q.S Ibrahim : 7
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.