RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Monday, August 23, 2010

Anugerah Al-Qadr - rebutlah

Firman Allah Surah Al-Qadr (Kemuliaan) : 1-5

" Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu ? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar."

Firman Allah Surah Al-Dukhan : 1-6

" Haa Miim. Demi Kitab (Al-Quran) yang menjelaskan, sesunguhnya Kami menurunkan Al-Quran pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dibuat ketentuan segala urusan dengan penuh hikmah, (iaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami yang mengutus rasul-rasul, sebagai rahmat dari Tuhanmu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar Lagi maha Mengetahui."

Sabda Rasulullah saw dari Abu Hurairah ra.

" Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan kamu berpuasa pada bulan ini. (Dalam bulan ini) Pintu-pintu syurga dibuka. Pintu-pintu neraka pula akan ditutup. Syaitan-syaitan dibelengu. Pada malamnya terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan. Maka barangsiapa yang dijauhkan dari kebaikan dan kelebihan pada malam berkenaan, maka ia benar-benar rugi."
Hadith riwayat Imam Ahmad & An Nasai.

Sabda Rasulullah saw dari Abu Hurairah ra.

" Barangsiapa yang mendirikan solat (qiyamu-al-layl) pada malam Al-Qadr dengan penuh keimanan dan kesungguhan, maka akan diampunkan dosa yang telah dilakukannya."
Hadith riwayat Imam Bukhari & MUslim.

Menurut Dr Wahbah Al-Zuhaily malam Al-Qadr adalah malam kesejahteraan dan keselamatan, malam kebaikan dan keberkatan dari Allah SWT. Allah tidak akan menentukan sesuatu yang lain kecuali keselamatan. Malam itu adalah malam yang serba selamat, aman, sejahtera, baik dan berkat, malam ketentuan rezeki dan mendapat manfaat agama serta manfaat keduniaan. Tidak ada sebarang keburukan, bermula dari gelincir matahari sehinggalah terbit fajar. Pada malam itu diturunkan kabaikan dan keberkatan yang tidak putus-putus, para mu'min dan mu'minah selamat dari gangguan syaitan, manakala malaikat rahmat turun secara berkumpulan sehingga fajar menyinsing.


Tambah beliau lagi , beramal dan berbuat kebajikan pada malam Al-Qadr adalah lebih baik dari beramal dalam seribu bulan yang tidak ada malam Al-Qadr, kerana pada malam tersebut Allah Swt menyediakan kebaikan yang banyak, yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain. para malaikat akan turun dari tujuh petala langit dan dari Sidrah al-Muntaha, begitu juga malaikat Jibril akan turun dari tempat tinggal perdananya ke bumi. Mereka akan mengaminkan doa orang-orang yang berdoa kepada Allah SWT sehingga fajar menyinsing dengan perintah Allah SWT.

PERSOALANNYA....bilakah malam Al-Qadr itu ?

Dalam menjelaskan perkara ini, terdapat satu riwayat dari 'Ubadah Ibn al-Samit, bahawa bersabda Rasulullah saw;


" Malam al-Qadr berlaku pada sepuluh malam terakhir. Barangsiapa yang menghayati (dan memakmurkan) malamnya dengan penuh kesungguhan, maka Allah akan mengampunkan segala dosa yang telah lalu dan akan datang. Malam al-Qadr berlaku pada malam yang witir; malam kesembilan, malam ketujuh, malam kelima atau malam ketiga atau malam terakhir."
Hadith riwayat Imam Ahmad.

Menurut Dr Wahbah al-Zuhaily lagi, kebanyakan ulama' berpendapat bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 27 Ramadhan setiap tahun. Ini berdasarkan hadith Zirri Ibn Hubaish yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan al-Tarmizi, (hadith hasan sahih).

Berkata Zirri; " Aku telah bertanya Ubay Ibn Ka'ab: Sesungguhnya saudara kamu 'Abdullah Ibn Mas'ud berkata: Barangsiapa yang berterusan mengerjakan ibadah (malam Ramadhan), dia akan bertemu malam al-Qadr. Jawab Ubay: Moga-moga Allah mengampunkan Abu Abdul Rahman ('Abdullah Ibn Mas'ud) ! Sesungguhnya dia mengetahi bahawa malam al-Qadr adalah malam dalam lengkongan sepuluh malam terakhir dan dia adalah malam 27 Ramadhan. Akan tetapi dia tidak mahu orang ramai hanya beribadah pada malam itu sahaja. Kemudian beliau bersumpah secara biasa (tanpa ucapan Insya' Allah) . Bahawa masa berlakunya ialah pada malam 27 Ramadhan. lalu aku bertanya: " Apakah alasan anda berkata demikian, wahai Abu Munzir ? " Jawabnya: " Berdasarkan ayat yang telah disampaikan oleh Rasulullah saw atau melalui tanda bahawa matahari muncul pada pagi tersebut dalam keadaan redup."

Jumhur ulama' berpendapat bahawa malam al-Qadr adalah malam yang akan berulang saban tahun. Ianya
berlaku hanya pada bulan Ramadhan.

Namun demikian menurut Imam Nawawi dalam Majmu' & Fatawa, beliau menegaskan bahawa al-Qadr tidak tetap, bahkan bertukar-tukar, tetapi turut mengemukakan jangkaan panduan tarikh jatuhnya malam al-Qadar mengikut tarikh awal jatuhnya hari puasa sebagaimana berikut :-

Awal puasa hari Jumaat, al-Qadr malam 29
Awal puasa hari Sabtu, al-Qadr malam 21
Awal puasa hari Ahad, al-Qadr malam 27
Awal puasa hari Isnin, al-Qadr malam 29
Awal puasa hari Selasa, al-Qadr malam 25
Awal puasa hari Rabu, al-Qadr malam 27
Awal puasa hari Khamis, al-Qadr malam 21

Tanda-tanda Malam al-Qadr

Dari Ibn Abbas ra. bahawa Rasulullah saw bersabda;
" Malam al-Qadr adalah malam yang penuh nyaman dan penuh ketenangan, tidak terlalu panas juga tidak terlalu sejuk, matahari muncul di waktu paginya dalam suasana kemerahan yang samar-samar."
Hadith riwayat Abu Daud al-Tayalisi.

Dari Jabir Ibn Abdilla ra. bahawa Rasulullah saw bersabda;

" Sesungguhnya akau telah melihat malam al-Qadr, tetapi aku lupa masanya. ia berlaku (sekitar) sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Ia adalah satu malam yang tenang, nyaman, tidak terlalu panas dan juga tidak terlalu sejuk, malamnya cerah bagaikan berbulan. Para syaitan tidak keluar pada malam tersebut sehinggalah cahaya fajar menyinsing."
Hadith riwayat Ibn Abi Asim al-Nabil

Bagi pecinta yang sangat merindui al-Qadar, pasti mengidam untuk bertemu dengannya. Oleh itu demi al-Qadr, jika kita jayakan Ramadhan sepenuhnya dari awal sehingga akhirnya, apakah mungkin al-Qadr akar terlepas juga ?


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.