RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Thursday, June 30, 2011

BERSIH...walk for justice !!!

Seminggu dua ini seluruh negara sedikit hingar bingar. Semuanya berkisar atas cadangan Himpunan Bersih 2 pada 9hb Julai 2011 yang dijangka menghimpun seramai 300,000 orang.

I. Apakah tuntutan mereka?

Mereka menuntut agar :-

1. BERSIHKAN SENARAI UNDI
2. MENREFORMASI UNDI POS
3. GUNA DAKWAT KEKAL
4. MASA KEMPEN MINIMA 21 HARI
5. AKSES MEDIA YANG BEBAS DAN ADIL
6. KUKOHKAN INSTITUSI AWAM
7. HENTIKAN RASUAH
8. HENTIKAN POLITIK KOTOR

II. Apakah rasional tuntutan mereka ?
Tuntutan dan kritikan mereka terhadap kaedah pilihan raya yang diurus di negara ini ada rasionalnya. Lapan tuntutan Perhimpunan Bersih itu seakan suara hati nurani rakyat yang sudah sekian lama disuarakan melalui pelbagai saluran, tapi tidak dipedulikan. SPR sendiri berulang kali juga menyatakan bahawa sistem yang ada sememangnya banyak kelemahan. Sedang di mata rakyat SPR bukan sahaja banyak kelemahan, malah amat ketara menunjukkan sikap memihak dan gagal mengurus undi rakyat secara telus, adil dan meyakinkan.

Tuntutan utama NGO berkenaan menerusi BERSIH adalah supaya sistem pilihan raya diperbaiki, secara khusus meminta supaya SPR mengatasi masalah-masalah ketelusan undi pos, penghapusan pengundi hantu dan pembersihan daftar pengundi. Penggunaan dakwat kekal, satu kaedah yang berkesan bagi mengelak peluang sesaorang untuk mengundi beberapa kali, sangat munasabah. Penggunaannya (dakwat kekal) selepas mengundi sudah menjadi amalan di peringkat antarabangsa, termasuk di Mesir baru-baru ini. Lagi pula ia pernah dipersetujui pada peringkat persediaan pilihanraya lalu, tapi dibatalkan tanpa alasan yang kukuh.

Rasanya masa kempen minima 21 hari yang diminta, bagi memudahkan semua calon dapat menyampaikan hasrat serta tawaran mereka kepada pengundi tidaklah merugikan. Pengundi perlu masa secukupnya untuk mendengar, memahami, menilai segalanya, sebelum membuat keputusan. Mereka perlu juga sedikit ‘waktu bertenang’ sebelum mereka menzahirkannya di atas kertas undi.

Sementara kita dapat saksikan diserata dunia, dalam negara yang mengamalkan demokrasi, sekalian parti yang bertanding mendapat hak yang sama adil untuk akses media. Sedang disini, hanya parti pemerintah yang mendapatnya. Tidak akan ada sesiapa boleh menafikan bahawa pada setiap pilihan raya, parti pemerintah akan senantiasa bermula dengan kelebihan yang begitu besar keatas lawannya. Dengan kawalan penuh terhadap media arus perdana negara, sumber kewangan negara serta kemudahan awam, RTM dan Bernama yang diletak terus di bawah Kementerian Penerangan, Komunikkasi dan Kebudayaan, Utusan Malaysia, TV3, NTV7, TV9, New Straits Times, Berita Harian dan tidak terkecuali The Star dikawal oleh parti pemerintah, menghasilkan dan mempamerkan apa yang dapat semua saksikan kini. Proses pilihan raya tempang dan berat sebelah. Pertandingan bukan di atas gelanggang yang sama. Malah dapat disaksikan pertarungan berlangsung dengan lawan terpasung gari, sementara pemerintah bebas dan bersenjata lengkap.

Manakala tuntutan pengukuhan institusi awam, menghentikan rasuah dan politik kotor adalah sesuatu tuntutan ‘universal’. Hanya kaum dan masyarakat ‘cannibal’ yang tidak menyetujuinya.

Jika tuntutan itu dapat terlaksana dimana sebuah pilihan raya yang adil dan telus akan memberi kebaikan kepada semua, parti-parti yang bertanding, dan juga rakyat. Demokrasi akan subur matang, masyarakat bertamaddun tinggi akan terjelma, sistem pemilihan kepimpinan negara yang lebih utuh yang dipandang tinggi oleh rakyat dan dihormati masyarakat antarabangsa akan tercipta.

III.Bolehkah himpunan mereka itu pada sisi undang-undang?

Adalah menjadi hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan hasrat mereka sesuai dengan apa yang ada di dalam perlembagaan.
Perkara ini dibenarkan dan diperakui oleh Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam lewat kenyataan yang menyeru pihak berkuasa membenarkan Perhimpunan Bersih ini seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan.

Berikut adalah perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Artikel 10.
Kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan.
(1) Tertakluk kepada fasal (2), (3) dan (4);
(a) Tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran;
(b) Semua warganegara adalah berhak berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata;
(c) Semua warganegara adalah berhak menubuhkan persatuan.

(2) Parlimen boleh dengan undang - undang menggunakan:
(a) Ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, perhubungan persahabatan dengan negeri-negeri lain, ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan-keistimewaan parlimen atau mana-mana Dewan Negeri atau untuk mengelakkan penghinaan terhadap mahkamah, fitnah, atau perbuatan mengapi-api supaya dilakukan sesuatu kesalahan;
(b) Ke atas hak yang diberi oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau ketenteraman awam;
(c) Ke atas hak yang diberi oleh perenggan (c) Fasal (1) apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam atau akhlak.

(3) Sekatan-sekatan ke atas hak menubuhkan persatuan yang diberi oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang mengenai buruh atau pelajaran.

(4) Pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasa (2) (a) , Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan Bahagian 3, perkara 152, 153 dan 181 berhubung dengan pelaksanaannya sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang itu.

IV. Bagaimana cadangan himpunan ini pada sisi agama?



Berikut saya perturunkan petikan dari tulisan Prof. Madya Dr Asri Zainul Abidin, mantan mufti Perlis.
“ Sesuatu tindakan dalam urusan kehidupan muslim khususnya dilihat kepada dua perkara; tujuan dan cara. Jika tujuannya baik, dan caranya juga baik maka itu adalah amalan yang baik. Jika tujuannya baik, caranya salah, maka pelakunya tetap bersalah kerana mengambil cara yang salah seperti mencuri dengan tujuan hendak bersedekah. Jika tujuannya buruk atau dosa, segala langkah ke arah tujuan itu dinilai berdosa. Setiap individu yang hendak menyertai sesuatu aktiviti, hendaklah memastikan tujuannya itu halal atau mulia, dan caranya juga halal.

2.Setelah saya mendengar taklimat BERSIH dan menilainya, saya dapati tujuannya baik, menuntut hak yang sepatutnya diperolehi oleh rakyat seperti yang dijanjikan oleh perlembagaan. Jika ia berjaya, pada pandangan saya bukan untuk kemaslahatan parti tertentu sahaja, tetapi untuk keadilan berpolitik sepanjang masa, untuk semua pihak tanpa mengira parti. Maka, saya tidak mempertikaikan BERSIH di sudut tujuannya. Cuma saya bimbang jika ada parti tertentu yang cuba menzahirkannya dalam sifat kepartian, bukan untuk rakyat secara umum. Sedangkan tuntutan itu untuk semua dan baik untuk memastikan keadilan dalam pengurusan pilihanraya.

3. Adapun cara yang hendak dicapai iaitu dengan melakukan demonstrasi, pada asasnya ia sesuatu yang harus melainkan jika diiringi dengan perkara-perkara haram seperti kerosakan harta benda awam, pergaduhan dan penonjolan akhlak yang buruk. Nabi s.a.w dalam hadis pernah mengajar sahabat yang disakiti jirannya untuk membuat bantahan di jalan. Dalam hadis itu sahabat tersebut mengadu kepada Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya jiranku menyakitiku”. Sabda Nabi s.a.w: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”. Maka mereka berkata: “Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih).
Ini menunjukkan bahawa mengajak orang di jalan membantah kezaliman adalah dibolehkan. Dalam konteks politik hari ini, demonstrasi aman sebahagian dari cara pencegahan munkar politik yang telah terbukti keberkesanannya di banyak negara
.

4. Namun, oleh kerana demonstrasi itu terdedah kepada bahaya dan porak peranda, maka demonstrasi hendaklah menjadi pilihan akhir setelah tuntutan yang adil tidak ditunaikan. Perbincangan, rundingan, seruan secara langsung, bantahan bertulis dan sebagainya hendaklah di utamakan. Saya difahamkan hal-hal itu telah dilakukan. Pihak SPR hendaklah menunai tuntutan yang adil itu bagi mengelakkan rakyat turut ke jalan yang mempunyai kemungkinan yang pelbagai.

5. Jika pihak SPR enggan, menjadi hak rakyat untuk menuntutnya secara aman. Aman adalah syarat utama, jika bertukar menjadi ganas maka ia sesuatu yang diharamkan oleh syarak. Maka, sesiapa yang hendak menyertai demonstrasi BERSIH hendaklah berazam bahawa mereka tidak akan mencetuskan kemusnahan harta awam, tidak mencederakan sesiapa, tidak memaki hamun, sebaliknya melafazkan slogan tuntutan dan berhimpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa tidak puas hati.

6. Adalah haram mana-mana pihak, samada peserta demonstrasi atau polis memulakan provokasi yang boleh menyebabkan berlakunya rusuhan. Sebaliknya, pihak polis hendaklah sedar, selagi tuntutan itu baik untuk negara yang adil, polis juga termasuk dalam kalangan rakyat. Maka sepatutnya mereka memudah cara agar proses itu berjalan dengan pantas dan dilangsaikan dengan segera. Para peserta demonstrasi juga hendaklah sedar bahawa tugasan polis mengawal keamanan, maka hendaklah tidak dimulakan apa-apa provokasi yang menimbulkan kemarahan mereka selagi mereka bertugas dengan betul menurut peraturan keselamatan. Sesiapa yang memulakan atau menyertai provokasi yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa.

7. Cita-cita rakyat itu tidak akan tertunai melainkan adanya kerjasama yang baik dari semua pihak. Polis, rakyat dan golongan atasan. Semua pihak hendaklah berfikir untuk memastikan negara kita adil, aman dan teratur. Menyertai BERSIH merupakan salah satu dari usaha yang mulia itu, dan memastikan BERSIH itu bersih dari kekacauan dan provokasi adalah tanggungjawab setiap pihak yang terlibat.”

V. Menghadiri perhimpunan BERSIH wajib?


Bagi mereka yang telah menggabungkan diri mereka dengan jemaah atau gerakan Islam, jika pimpinan mereka mewajibkan kehadiran setiap ahli ke perhimpunan itu, maka wajiblah mereka patuh. (Huraian kepatuhan itu tidak perlu dijelaskan dalam ruangan ini).

Akhirnya saya ingin mengemukakan kembali akan ucapan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak beberapa bulan selepas dinobatkan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009.

"Saya menekankan supaya rakyat didahulukan kerana dalam sistem demokrasi berparlimen, suara rakyat adalah suara keramat.”


Mohon ditunaikan Datuk Seri…….

2 comments:

  1. salam...pakcik,mohon share artikel ni,di blog saya ye...

    ReplyDelete
  2. Salam,
    Silakan anak...
    Moga kita dan semuanya mendapat kefahaman yang benar, dan menetapi kebenaran itu.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.