RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Thursday, August 12, 2010

RAMADHAN - khazanahnya.... ambillah

Ramadhan amat menakjubkan. Didalamnya tercipta tak terbilang sejarah gemilang, dilakar manusia hebat cemerlang. Mereka merobah dunia, meninggalkan tinta-tinta emas sejarah yang sukar diulang. Mereka digeruni walau hanya sekadar disebut nama. Dan kecemerlangan itu juga sebahagiannya tercipta kerana Ramadhan.

Sejarah tidak pernah lupa
peperangan penentu, berakhir atau masih ada lagi benih dan tunas Islam, yakni BADAR AL-QUBRA , pada tanggal 2 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah. Kemenangan gilang gemilang 313 mujahidin pemburu syahid pimpinan Rasulullah saw menghancurkan 1000 tentera kuffar Makkah. Demi kegemilangannya Allah rakamkan dalam Surah Ali Imran : 123-127

" Sungguh Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mensyukuriNya."
"(Ingatlah) ketika kamu mengatakan kepada orang mu'min; Apakah tidak cukup bagi kamu Allah membantu kamu dengan tiga ribu malaikat yang diturunkan (dari langit) ?"
" Ya (cukup), jika kamu bersabar dan bertakwa dan mereka datang menyerang kamu dengan seketika itu juga, nescaya Allah menolong kamu dengan lima ribu Malaikat yang memakai tanda."
"Dan Allah tidak menjadikan pemberian bala bantuan itu melainkan sebagai khabar gembira bagi (kemenangan)mu, dan agar tenteram hatimu kerananya. dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
"(Allah menolong kamu dalam perang Badar dan memberi bala bantuan itu) untuk membinasakan segolongan orang-orang yang kafir, atau untuk menjadikan mereka hina, lalu mereka kembali dengan tiada memperoleh apa-apa."

Begitu juga kempen Rasulullah saw ke Tabuk diwaktu musim panas dengan kekuatan 30,000 mujahidin, sehingga Herkulis (Maharaja Rom Timur) terpaksa mengundurkan tenteranya, juga dalam bulan Ramadhan.

Tidak kurang dengan kejayaan Islam membuka kota Makkah tanpa tentangan pada Ramadhan tahun ke 6 Hijrah.

Diikuti oleh peristiwa Khalid Al Walid menghancurkan patung al Uzza atas perintah Rasulullah saw pada Ramadhan tahun ke 9 Hijrah.

Kemudian pada tahun ke 10 Hijrah, kejayaan Saidina Ali Kw. membuka Yaman, atas perintah Rasulullah saw, dan berakhir dengan kesemua penduduk Yaman menerima Islam cuma dalam tempoh 1 hari.

Terkemudian dari itu, pada 28 Ramadhan tahun ke 92 Hijrah, Tariq bin Ziyad membakar kapal armadanya dengan mengumandangkan kata-kata membakar semangat; " Wahai tentera Muslimin dihadapan kamu sudah terbentang Syurga, sedang kapal armada kita telah terbakar hangus. Sekarang kita cuma ada 2 pilihan, samada syahid atau kemenangan." Akhirnya Andalusia berjaya ditawan dengan jayanya.

Pada 15 Ramadhan 1294 Hijrah, bala tentera Dinasti Uthmaniah yang dipimpin oleh Ahmad Mukhtar Basya dengan kekuatan cuma 34,000 mujahidin, menumpaskan sejumlah 740,000 tentera Rusia, dengan pihak Rusia mengalami korban seramai 10,000 orang tentera.

Begitu juga keupayaan mujahidin pimpinan Imam Masjid bandar Suez, Al Marhum Syeikh Hafiz Salamah, yang berhasil menewaskan yahudi Israel dalam perang Yon Kippur, pada 10 ramadhan tahun1390 Hijrah, bersamaan 6 Oktober hingga 24 Oktober 1973.

Demikian sebahagian dari sekian banyak kejayaan yang tercipta di dalam Ramadhan. Kejayaan demi kejayaan mereka didalam Ramadhan itu adalah kerana mereka berupaya mengutip seluruh khazanah dan manfaat yang Allah sediakan dalam Ramadhan.

Bermula dengan keikhlasan yang dituntut pada setiap orang yang berpuasa, kerana puasa adalah merupakan rahsia diantara hamba dengan Tuhannya. Sesaorang bisa saja membohongi orang lain tentang puasanya, namun keikhlasanlah yang menjadikan sesaorang berpuasa sebenar-benarnya. Jika demikian latihan keikhlasan yang disediakan dalam Ramadhan pasti besar manfaatnya dalam semua amal lainnya, dan terlebih bermanfaat keikhlasan waktu sesaorang berada dalam medan jihad, lantaran Allah hanya akan menerima hanya yang ikhlas keranaNya. Pujian sebagai pemberani tidak membekaskannya, apatah lagi maksud lain seumpama inginkan harta rampasan perang. Keikhlasan di medan jihad adalah 'vital', kerana diwaktu itu maut bisa datang bila-bila, dan keikhlasan adalah penentu samada mendapat anugerah syahid atau sekadar mati 'konyol'. Dengan keikhlasan bisa mengundang bantuan dari Allah.

Dalam Ramadhan juga terhidang mujahadah, perjuangan memerangi keinginan hawa nafsu, keselesaan diri, menahan diri dari yang halal saban hari sepanjang Ramadhan. Jika yang halal mampu ditahan, betapa lagi yang haram. Kelak kebiasaan ini sangat berguna terutama waktu kritikal seumpama jihad fi-sabilillah. Bagaimana mungkin jadi mudah meninggalkan keseronokan tinggal di istana bersama yang dicintai, atau seumpamanya untuk berangkat ke medan jihad yang serba payah, mengharung risiko kematian. Persiapan jihad sukar, perjalanannya sukar, apatah lagi bila sudah di medan.

Selain itu di madrasah Ramadhan tidak kurang disajikan latihan kesabaran yang sangat penting bagi para dai, pendokong da'wah dan terlebih penting mereka yang sedang berjihad fi-sabilillah. Sabar menghadapi kesulitan dan kesusahan, sabar mengharung tribulasi, mehnah dan fitnah, gangguan serta halangan yang bukan kepalang. Tidak merasa lemah atau mundur menghadapi ujian yang tidak berkesudahan.
Firman Allah Surah Ali Imran : 146

" Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar."

Dan dengan kesabaran mampu mengundang pertolongan dariNya.

Firman Allah Surah Al-Anfaal : 65-66

" Hai Nabi Kobarkanlah semangat para mu'min itu untuk berperang. Jika ada duapuluh orang yang sabar diantara kamu, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang (yang sabar) di antaramu, mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang-orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti."

" Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan Dia telah mengetahui bahawa padamu ada kelemahan. Maka jika ada diantaramu seratus orang yang sabar, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang; dan jika diantaramu ada seribu orang (yang sabar) , nescaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang dengan seizin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar."

Firman Allah Surah Al-Anfal : 46

" Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar."

Ramadhan juga mencerna manusia menjadi penyantun, sentiasa berlapang dada, berjiwa besar serta pemaaf, sebagaimana yang ditunjukkan oleh An-Nasr Solehuddin Al Ayubi tatkala perang salib masih memuncak, masih sanggup menziarah dan merawat musuh yang sedang sakit. Cocok dengan Firman Allah Surah Ali Imran : 158

" Maka disebabkan rahmat Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari kelilingmu."

Di dalam Ramadhan disunatkan beriktikaf, atau dengan erti kata lain sebentar melakukan 'uzlah dan khalwat, waktu yang sangat bermanfaat bagi hati. Waktu itu hati dapat memasuki wilayah 'fikir'. Sebentar diupayakan mengosongkan hati dari segala cerminan 'alam, di gantikan dengan segala jalan menuju Tuhan, akrab dan bercengkerama denganNya.

Syaikh Ibnu 'Atha'illah mengatakan;

"Bagaimana mungkin hati bersinar, sementara gambaran-gambaran 'alam terlukis dicerminnya."
"Bagaimana mungkin ia pergi menuju Allah, sementara ia terpasung oleh syahwatnya."
"Bagaimana mungkin ia berhasrat masuk ke hadhiratNya, sementara ia belum mampu meninggalkan kelalaiannya."

Benar, selama gambaran-gambaran 'alam ini terlukis di cermin hati kita, maka hati itu tidak akan bersinar. Lalu bagaimana caranya agar cermin hati kita terang, beragam lukisan 'alam tidak kelihatan, dan cahayanya bersinar memancar, melainkan dengan 'uzlah dan khalwat waktu 'iktikaf. Begitu juga hati tidak akan dapat berpindah kepada Allah selagi ia terpenjara dan menjadi hamba syahwat. Lalu bagaimana caranya agar boleh bebas dan tidak bergantung kecuali hanya kepada Allah. Hati lalai dari Allah, bagaimana ia dapat memasuki gerbang hadhirat Allah, melainkan dengan 'uzlah dan khalwat waktu 'iktikaf. Bagaimana pula sesaorang dapat keluar dari kelengahan, berbuat keliru dan kesalahan, lalu dapat merasakan kehebatan dan keagungan nama-nama dan sifat-sifat Zat Allah, melebur diri dengan kehendakNya Yang Mutlak melainkan dengan 'uzlah dan khalwat sewaktu 'iktikaf.

Jika hati dapat dibentuk selama Ramadhan, maka bekalan yang mampu dibawa dalam kehidupan, dalam medan da'wah dan dalam medan jihad, pasti ia mendatangkan impak yang bukan kepalang.

Selain itu adalah menjadi galakan Ar-Rasul untuk memperbanyak bacaan Al-Quran, berzikir, dan perkara-perkara yang seumpamanya. Rasulullah saw sendiri bertadarrus bersama Jibril as. sepanjang Ramadhan. Dengannya, curahan nurNya akan bisa melimpah, beroleh hikmah, hidayah, pengajaran dan penawar segala penyakit jiwa, manakala hati tidak akan bisa kering dan gersang. Latihan sepanjang Ramadhan pasti akan menjadikan diri terbiasa dengan segalanya itu, sepanjang waktu, dalam susah dan senang. Bagi yang berada dalam medan da'wah dan jihad kebiasaan ini menjadi lebih mustahak, kerana Allah berfirman dalam Surah Al-Anfaal : 45

" Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung."

Lagi, sepanjang Ramadhan dengan puasanya, perut dikosongkan dari makanan dan minuman. Sewaktu perut kosong tubuh menjadi ringan untuk beramal, jiwa meningkat tinggi, manakala hati menjadi jernih dan hijab tabir diantara hamba dengan Rabbnya bisa disingkap luas. Jiwanya jadi bersih , sedang hatinya mampu menerima sinaran CAHAYA ILAHI. Lalu jiwanya mampu melazimi serta mengambil manfaat dari segala zikir, pembacaan Al-Quran, istighfar, taubat dan doa. Itulah kebahagiaan yang hakiki, kelazatan rohani yang qudus dan mengecap kenikmatan berdampingan dengan Allah.

Sebenarnya masih terlalu banyak lagi yang dapat dihirup dari Madrasah Ramadhan, seumpama galakan memburu Al-Qadr, disiplin waktu yang ada dalam amalan puasanya, kekuatan ikatan jamaah, kesedaran manusia dengan 'alam cakerawala, selain manfaat yang tidak terjangkaukan oleh akal manusia. Dan pastinya hikmah sebenar hanya Dia (ALLAH) Yang Maha Mengetahui



1 comment:

  1. MasyaAllah, kalaulah dapat dihayati Ramadhan sepenuhnya....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.