
Diriwayatkan apabila Saidina Bilal akan wafat, isterinya telah berkata : “ Sungguh sedihnya aku.” Lalu Bilal menjawab : “ Bahkan sebutkanlah sungguh gembiranya, kerana esok kami akan menemui orang-orang yang dikasihi Muhammad saw dan kumpulannya.”
Apabila Abdullah Abnul-Mubarak hampir wafat, dia membuka matanya sambil berkata : “ Untuk inilah maka beramalnya orang-orang yang beramal.”
Diriwayatkan oleh Imam Malik bin Anas dan sahabat-sahabatnya ra., Khalifah Umar bin Abdul Aziz sewaktu wafat menghampirinya, beliau waktu itu dikelilingi oleh Maslamah bin Abdul Malik, isterinya Fatimah dan seorang pengawal. Lalu beliau berkata : “ Pergilah kamu semua dari sini kerana aku melihat makhluk-makhluk yang kian bertambah ramai, bukan manusia dan bukan jin.” Kata Maslamah; “ Kami pun bangun meninggalkannya dan terdengar suara orang berkata ;
“ Itulah Negeri akhirat yang Kami sediakan bagi orang-orang yang tiada menginginkan ketinggian (menyombongkan diri) dan tiada melakukan bencana kerosakan di muka bumi, dan kesudahan (baik) adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”
(Al-Qashash : 83)
Kemudian suara itu hilang. Kami pun bangun dan masuk serta mendapati Umar telah memejamkan mata dengan tenang.”
Ketika didatangi wafat, Syeikh Abdul Kadir al-Jailani berkata kepada anak-anaknya ; “ Jauhilah dariku kerana pada zahirnya aku bersama-sama kamu, tetapi pada batinya aku bersama-sama selain kamu. Pihak selain kamu itu telah datang kepadaku, perluaskanlah tempat untuk mereka dan bersopan-santunlah kepada mereka. Ini adalah rahmat yang besar. Janganlah kamu sempitkan tempat bagi mereka.” Kemudian dia mengangkat tangan sambil berkata : Wa’alaikumus-salam warahmatullahi wabarakatuh, semoga Allah mengampuniku dan kamu, dan Allah menerima taubatku dan kamu.” Dia berkata-kata demikian sehari-semalam.
Sementara itu diriwayatkan juga seorang sufi wanita iaitu Rabiah al-Adawiyyah, semasa dihampiri wafat, telah dikelilingi oleh beberapa orang yang soleh dan dia berkata kepada mereka : “ Bangun dan keluarlah kamu serta lapangkanlah jalan untuk utusan-utusan Allah Ta’ala.”
Orang-orang soleh itupun bangun dan keluar. Setelah menutup pintu, mereka terdengar suara Rabi’ah menuturkan syahadat kemudian dijawab oleh suatu suara lain : “ Wahai jiwa yang tenang tenteram ! Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan puas lagi redha dan diredhaiNya. Maka masuklah kedalam jama’ah hamba-hambaku yang soleh. Dan masuklah ke dalam SyurgaKu.”
(Surah al-Fajr : 27-30)
Aduhai, bahagianya mereka.
Bersambung……………………