RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Saturday, December 18, 2010

MUHASABAH.....diharamkan ?


Sebagaimana yang telah saya janjikan, saya akan memberikan respon terhadap komen ‘Anonymous’ pada December 13, 2010 5:54 AM dalam entry saya yang lalu, Kata-kata hati (26) Jangan seperti mereka yang.... Saturday, December 11, 2010. Untuk itu, izinkan saya mengangkat komen tersebut, sebagai sebahagian dari entry baru saya. Mohon Allah melindungi saya dari terbabas jauh dalam memperkatakan hal berkaitan dengannya. Saya mengambil masa yang agak lama untuk mempertimbangkan kewajaran untuk saya memberikan ulasan ini. Hasilnya saya tinggalkan sebahagian besar dari idea dan fakta asal yang saya ingin berikan. Saya hanya akan mengulas berkaitan maudhu’ yang saya tulis sahaja, kerana ingin mengelak dari ulasan yang terlalu panjang, yang mungkin mengundang salah faham bagi mereka yang tidak biasa dalam persoalan ini. Persoalan selebihnya yang di lontarkan oleh ‘Ananymous’ mungkin kita boleh perbincangkan dilain kesempatan, itupun jika perlu. Mohon maaf jika komen ini tidak wajar, dan saya masih terbuka untuk sebarang teguran.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Anonymous said (December 13, 2010 5:54 AM)

salam tuan...

Syukran atas perkongsian tuan kali ini. Jika tuan berkesempatan,saya syorkan tuan mencari dan membaca penulisan syeikh abu a'ala al maududi bertajuk 'syahadatul haq' utk kita sama2 memahami bagaimana seharusnya kita memandang jemaah islam lain.

Dan saya syorkan juga tuan membaca buku penulisan syeikh fathi yakan bertajuk 'ihzaaru AIDS al-haraki', utk kita sama-sama fahami akan penyakit golongan yang menyertai harakah islamiyah tanpa memerhati asapek sirah yang mendalam.

Hari ini keserabutn berlaku dalm setiap aspek kerja. Kesempurnaan sepertimana nabi saw dan sahbat sukar utk kita usahakn di zaman ini.

Jadi jika kita sibuk memerhatikan kelemahan tanpa kita sendiri turun padang dan singsing lengan mengubah dan mmperbaiki keadaan, kita sebenarnya yang ada masalah.

Ilmu adalah wajib seblum beramal, tapi perlu diingati juga ilmu yang menggunung juga tapi tidak diamal juga akan beri risiko besar di akhirt. Hari ini ramai yang melaungkan jihad qital,tapi utk melangkah seketika menanggung kepayahn dakwah pn masih ada yg berdalih malah mngeji.

Tentang masalah sestegh pndkwah yg berckap tanpa hujah yang kukuh dan dalil yng shahih,,msalah ini berlaku hampir kesemua jemaah cuma bentuknya berbeza. Beza bagaimana x perlu utk dinukilkan disini.

Cuma mari kita ingatkn sama2 diri kita bahawa, hidayah bukn terletak setiggi ilmu yng kita miliki,sekuat hujah yng kita lontari dan selantang suara yang kita sanggupi. Ia terletak pada pengorbann kita utk cari redha Allah. Ada orng ilmu bnyk tapi amalannya agak tpis. Sukar utk kita lihat hariini orng yang mmpu 'balance kedua2 aspek ini,ilmu dan amal seiring.

Mgkn sesetgh mereka seblum ini baru sahaja mngenali jalan dakwh ini yang mana seblum ini mereka belum pernah mahir dgn quran dan hadis. Jadimapa sahaja yang mereka dgr dari mulut ulama mereka terima seolah budak tadika yang baru balaj dari guru yang masih perlu masa memahami. Cuma mari kita berlapang dada dan sama2 bantu mereka memperbaiki hal keadaan ini supaya menjadi semakin baik dari hari ke hari. Cukuplah kita merendah2kan kerja orng lain.Kita sudh bayk habis masa dgn keadaan saling mencarti kelmahan ini. Musuh smakin bersork dgn keadaan ini, remaja samikn parah akhlaknya. Jadi buat kerja yang kita mmpu lakukn dan sntiasa sibuk dgn tugas kita itu shgga Allah jemput kembali pulng padaNYa.Wallahualam.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sebagai mukaddimah, cetusan idea saya menulis blog ini sudah agak lama. Cuma saya tergagah memulakannya hanya selepas pemergian anak kedua saya, almarhum Muhammad Huzaifah, yang perihal beliau banyak saya tulis dalam label kata-kata hati. Apa yang saya catitkan dalam semua ‘entries’ kata-kata hati itu sebenarnya adalah luahan perasaan saya. Sekilas pandang seperti bicara dengan anak yang sudah pergi itu. Namun hakikatnya, saya berkeinginan dan saya tujukan luahan hati saya itu untuk dibaca, diselami dan dimengerti oleh anak-anak serta anak-anak angkat saya yang semuanya masih menuntut di beberapa buah negara dan di beberapa IPTA tempatan. (Berbetulan mereka sekaliannya bersama dengan arus kebangkitan Islam). Menantikan mereka sekaliannya balik dan semuanya berkumpul untuk saya bicarakan semua iktibar yang dapat diraih dari peristiwa pemergian almarhum Muhammad Huzaifah itu agak sesuatu yang agak sukar dan tidak pasti ketika ini. Maka begitulah saya memanfaatkan blog saya sebagai antara saluran bicara saya dengan dengan mereka sekaliannya. Jika dibaca oleh orang lain, terpulanglah untuk mereka menilainya. Kalau ada manfaatnya ambillah, dan jika tidak, tinggalkanlah dan beri teguran. Saya manusia yang jauh dari sempurna.

Berbalik pada entry saya yang lalu dalam tajuk Kata-kata hati (26) Jangan seperti mereka yang.... Saturday, December 11, 2010 yang diberikan komen oleh ‘Anonymous’, suka saya mengutip kembali sedikit dari apa yang saya tulis. Saya menyatakan;
“Sebenarnya abah teringatkan beberapa waktu dahulu, abah sering mengingatkan anak akan hal-hal yang berkait rapat dengan dakwah ini. Abah tidak mahu memaksakan anak berada dalam uslub dakwah yang abah-ummi bergabung di dalamnya. Anak lebih selesa dengan uslub dakwah yang sedikit berbeza. Tak mengapa…. berlapang dadalah, asalkan semuanya masih dalam batas yang diizinkan syara’ dan masih utuh berpegang pada prinsip pokok agama. Perbezaan dalam pendekatan dakwah abah-ummi dan anak adalah juga hasil perbezaan ulama’-ulama’ dalam menanggapi persoalan dakwah dan dalam hal-hal yang bersangkut paut dengannya. Kita pengikut sewajarnya memiliki sikap terbuka, dan sentiasa beranggapan semuanya bersifat saling lengkap-melengkapi, serta perlu memerlukan.”
Dan seterusnya…..(yang mungkin dianggap sebagai mencari kelemahan dengan ungkapan “ Cukuplah kita merendah2kan kerja orng lain. Kita sudh bayk habis masa dgn keadaan saling mencarti kelmahan ini ”).

Mencari kelemahankah saya.?

Rasanya perlu kita mendalami sesungguhnya pengertian, maksud dan ciri-ciri perlakuan manusia yang mencari kelemahan. Lumrahnya manusia, bilamana kita katakan ia mencari kelemahan, maka kebiasaannya bersertanya maksud yang tidak baik seumpama bagi tujuan menjatuhkan, melemahkan, merendah-rendahkan, menghancurkan, menghalangi manusia untuk datang menghampiri dan tidak rela melihat orang lain bergabung di dalamnya (kalau dalam konteks jamaah). Jika ditemuinya sesuatu kelemahan, dia tidak sekali-kali akan memberikan cadangan jalan penyelesaian. Ketika itu langkahnya sehala. Padanya, sesuatu yang dicarinya kelemahan itu, (jika ia jamaah) tidak diperlukan wujudnya. Jika ia adalah jamaah Islam apakah mungkin dibiarkannya orang yang dia sayang (dalam konteks saya, dia adalah anak-anak saya) bersama dengan jamaah yang dicarinya kelemahan itu.

Padahal saya merelakan anak-anak saya (bukan seorang) menekuni secara sungguh-sungguh dalam semua gerak kerja jamaah mereka. Diwaktu saya ada kelebihan saya menginfakkan duit untuk keperluan kerja-kerja dakwah mereka. Malah di kesempatan lain saya juga bersama dalam sebahagian aktiviti dakwah mereka. Ummi mereka (isteri saya) tidak pernah gagal untuk menghidupkan apa yang dikenali dalam jamaah anak saya sebagai taalim setiap lepas solat Asar atau Maghrib atau Isyak. Tetapi isteri saya mengisinya dengan bahan yang tidak ‘rigid’, mengikut keperluan. Anak saya dan kami yang tidak dalam jemaah yang sama, masing-masing menerimanya, tidak ada persoalan. Kami tidak pernah janggal untuk saling mengambil apa-apa jua yang bermanfaat diantara kami dan dari orang lain, selain saling ingat memperingat serta tegur menegur.

Manakala saya sebagai ketua keluarga, andai ada sesuatu yang tidak cocok, dan perlu di tegur maka teguran itu saya berikan, lebih-lebih lagi kepada anak-anak saya. Usah dipersoalkan teguran saya nadanya bagaimana, sebab saya InsyaAllah memahami keperluan anak saya, dan pendekatan yang bagaimana harus saya gunapakai. Tidak terkecuali dalam isu yang saya utarakan yang dipersoalkan oleh “Anonymous’. Itu adalah teguran. Dalam bahasa lain muhasabah.

Apakah tidak wajar saya bermuhasabah dengan anak-anak saya. Jika kepada orang lain pun, saya kira masih ada kewajarannya. Kalau boleh saya bertanya, sejak bila muhasabah tidak diizinkan. Bolehkah kita mengatakan bahawa tuntutan Surah Al-Ashr sudah tidak digunapakai? Begitu juga suri teladan yang terlalu banyak sejak kehidupan Ar-Rasul dan kemudiannya para sahabat sudah tidak berguna? Apakah kita ingin memadam budaya bermuhasabah yang telah hidup subur sejak sekian lama? Bukankah Allah telah menetapkan dalam Surah Adz-Dzaariyat : 55
Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”

Kemudian, benarkah bila saya bermuhasabah dengan anak saya, ‘ Musuh semakin bersorak ‘ sebagaimana yang dikatakan dalam komen ‘Anomymous’ (yang saya bold dan 'Italic'kan, seperti di atas).

Jika begitu logiknya, terbahak-bahakkah Rom dan Farsi sewaktu Rasulullah ditegur lewat Surah ‘Abasa ; “ Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa), atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya. Padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau dia tidak membersihkan diri (beriman). Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran), sedang ia takut kepada (Allah), maka kamu mengabaikannya. Sekali-kali jangan (demikian) ! Sesungguhnya ajaran–ajaran Tuhan itu adalah suatu peringatan……..(dan seterusnya).”

Dan ketawa hingga keluar air matakah Abu Jahal dan seluruh kafir Quraish sewaktu Rasulullah diperingatkan oleh Al-Khabbab bin Al-Munzir berkenaan dengan pemilihan kedudukan tentera Muslimin semasa persiapan perang penentu, Badar Al- Qubra ?
Juga bagaimana, ketika Saidina Umar ditegur oleh seorang wanita dalam hal penetapan mahar . Ketawakah musuh-musuh Islam ?

Apakah apabila saya menegur anak saya, maka saya berpenyakit, sebagaimana ungkapan ini; “ Dan saya syorkan juga tuan membaca buku penulisan syeikh fathi yakan bertajuk 'ihzaaru AIDS al-haraki', utk kita sama-sama fahami akan penyakit golongan yang menyertai harakah islamiyah tanpa memerhati aspek sirah yang mendalam.”
Tidak mengapa saya dikatakan ada penyakit, asalkan anak saya tidak terkena dan kekal dengan penyakit kebanyakan orang yang jumud. Ternyata almarhum Huzaifah berubah dan berusaha keras untuk keluar dari kejahilan. Beliau selamat dari menjadi fitnah pada jamaahnya dan lebih penting Islam. Bahkan beliau menjadi aset yang baik untuk jamaahnya, dan rakan sejemaahnya gembira dengan kehadiran beliau....alhamdulillah. Sekali lagi bukankah benar firman Allah; “ Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Adz-Dzaariyat : 55)

Penyakit saya menegur anak saya almarhum Huzaifah, rasanya tidak sangat memudharatkan berbanding kemudharatan yang mungkin berlaku jika kita tidak berbuat apa-apa untuk perbaikan saudara seagama, membiarkan mereka (anak-anak saya terutamanya) tenggelam dengan kejahilan sehingga ada yang tidak perasan mereka jahil.

Dan dikatakan ; “ Jadi jika kita sibuk memerhatikan kelemahan tanpa kita sendiri turun padang dan singsing lengan mengubah dan mmperbaiki keadaan, kita sebenarnya yang ada masalah.”

Saya telah lakukan yang apa yang saya mampu, dan ternyata berhasil, dengan izin Allah. Begitu juga sebahagian rakan-rakan anak saya. Apakah masih juga saya tergolong dalam kata-kata; “kita sebenarnya yang ada masalah.” itu ?

Terima kasih pada ‘Anonymous’ kerana seruan untuk saya membaca buku-buku saranan beliau. Akhirnya saya mendapati hampir kesemua mereka yang mengutarakan topik ini, yang berkisar sekitar kepelbagaian jamaah dan bagaimana kita menanggapinya samada melalui tulisan yang khusus, perbicaraan umum dan sebagainya seperti Syeikh Mustafa Masyhur, Syeikh Said Hawwa, Maulana Abul Hasan Ali An Nadwi, Tuan Guru Dato Hj Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Dato Hj Nik Aziz Nik Mat, Utz Dato Hj Harun Taib, Tuan Guru Utz Yahya Othman, Ustaz Alias Othman, semuanya meyimpulkan lebih kurang maksud agar kita berlapang dada, memiliki sikap terbuka, dan sentiasa beranggapan semuanya bersifat saling lengkap-melengkapi, serta perlu memerlukan asalkan semuanya masih dalam batas yang diizinkan syara’ dan masih utuh berpegang pada prinsip pokok agama. Tidak pula kedapatan mereka mengatakan tidak boleh kita memberikan peringatan, teguran serta menjauhi muhasabah. Wallahu’alam.

7 comments:

  1. Salam.
    InsyaALLAH anak, jika Allah berikan kekuatan.
    Moga Allah berikan kita keikhlasan sentiasa.

    ReplyDelete
  2. Assalamu'alaikum
    Izinkan saya mencelah. Mengikut kefahaman saya penulis blog ni tidak ada sebut jamaah mana. Tapi kalau tanpa disebut pun ia difahami, maka itu bererti fenomena itu sudah meluas dan hampir merata. Jika tuan 'Anonymous' berada dalam jamaah berkenaan, kena berbuat sesuatulah... Atau muhasabah dah diharamkan?

    ReplyDelete
  3. Biasalah....En. Amir.
    Kdng2 ada jg org, br baca 1 @ 2 buku gerakan Islam, dah rasa mcm tau semua. Masaalah juga eeek......!

    ReplyDelete
  4. Tuan,
    teruskan menulis. Usah terpengaruh dengan komen berbaur emosi dari anonymous.

    Saya melihat tulisan Tuan hanya bersifat umum namun barangkali beliau terasa.

    atau apakah mereka langsung tidak boleh ditegur?

    ReplyDelete
  5. Salam.
    Saya mohon keikhlasan sentiasa dariNYA. Moga dengannya (keikhlasan itu) segala sesuatu, hanya keranaNYA, tidak kerana yang lain. Terima kasih tuan. Kita perlukan juga orang lain seperti tuan dan yang lainnya untuk 'check & balance'.

    ReplyDelete
  6. Salam.
    Orang tua-tua kata " Sebelum bercakap tengadah dulu" dan ada juga yang kata " Sebelum bercakap menganga dulu". Bermaksud kita digalakkan berfikir dulu sebelum bercakap. Sebab jika sudah terlajak cakap, dan silap.....susah jadinya. Pengajaran juga untuk 'Anonymous' dan kita semua.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.