RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Monday, December 6, 2010

Al - Aqsa menangis (5)

Baitul Muqaddis dibawah penguasaan Islam


Al-Aqsa dilihat dari dinding selatan

Semasa pemerintahan Khalifah kedua, Khalifah Umar Ibn al-Khattab, bala tentera Islam di bawah pimpinan Abu Ubaidah, mengepung Baitul muqaddis sejurus selepas menguasai Damsyik dalam Pertempuran Yarmuk. Penguasa kota Baitul Muqaddis, Patriark Sophronius, menegaskan bahawa ia hanya akan berunding dengan Khalifah Umar dan tidak sesiapa dibenarkan masuk ke Baitul Muqaddis sebelum Khalifah Umar. Mendengar hal ini Khalifah Umar bergegas ke Baitul Muqaddis bersama seorang pelayan. Mereka hanya mengenderai seekor unta ke Baitulmuqaddis walaupun beliau boleh sahaja membawa angkatan besar yang boleh membuat gementar sesiapa sahaja yang melihatnya. Beliau melakukan semuanya itu semata-mata untuk menunjukkan kesederhanaan dan memastikan bahawa Allah sahaja yang layak menerima semua kemuliaan

Sewaktu tiba di kota Baitul Muqaddis, giliran pelayan untuk menunggang unta. Sebagai menghormati dan untuk memastikan bahawa orang ramai melihat Khalifah Umar, sipelayan menginginkan agar khalifah menaiki unta. Namun Khalifah Umar menolak dan tetap memasuki Baitulmuqaddis dengan berjalan kaki sementara pelayan naik unta. Pemandangan itu sangat mengejutkan semua orang, termasuk Patriark Sophronius. Beliau meneruskan perjalanan dengan berkaki ayam, sedang sepatu beliau dijinjing ditangan, menjadikan yang melihat bertambah takjub. Sementara kaum Muslimin yang melihat perilaku Khalifah tersebut, spontan mengucapkan takbir, tasbih dan tahmid, sebagai tanda takjub akan kebesaran Allah dan kehebatan ciptaan dan kehendakNYA.

Khalifah Umar berjalan ke arah pasukan tentera Islam yang kelihatan hebat sedangkan beliau sendiri mengenakan pakaian yang agak usang. Sementara orang-orang Kristian yang menyaksikan semua peristiwa tersebut melalui celah-celah tembok Baitulmuqaddis kagum kaget pada kesederhanaan Khalifah yang memukau, seakan tidak mempercayai akan apa yang mereka saksikan bagaimana mungkin seorang yang begitu sederhana boleh menjadi menjadi pemimpin bala tentera hebat yang digeruni.

Abu Ubaidah yang tidak boleh menahan diri saat melihat peristiwa yang belum pernah terjadi sebelumnya ini, yakni kerendahan hati khalifah, bergegas ke sisi Umar sambil mengatakan " hari ini anda telah melakukan suatu perbuatan yang membanggakan di hadapan orang.” Saidina Umar menepuk dada Abu Ubaidah sambil mengherdik; " Aku berharap orang lain selain daripada anda, mengatakan yang demikian. Kita adalah umat yang hina, lalu Allah muliakan kita dengan Islam. Kita adalah lemah lalu Dia memberi kita kekuatan ".

Patriark Sophronius yang melihat peristiwa yang mengagumkan itu, lalu berkata kepada pengikutnya; “ Tidak ada seorang pun di dunia akan mampu mengatasi mereka ini, oleh itu menyerahlah supaya kalian selamat.” Perundingan berlangsung dan sebuah perjanjian termeteri, terkenal sebagai ' Perjanjian Umariyya ". Perjanjian ini masih kekal tersimpan di dalam Gereja ‘ The Holy Sepulchre ‘ di Baitulmuqaddis.

Orang-orang Kristian meminta agar orang-orang Yahudi, yang tidak ada sebelum penaklukan itu, dilarang untuk memasuki Baitulmuqaddis dan Umar menerimanya. Namun di pihaknya Umar menawarkan keselamatan dan perlindungan keatas semua penganut agama-agama lain untuk tinggal Di Baitul Muqaddis, dan keselamatan tempat-tempat suci mereka, serta melarang dari menodai atau merobohkannya.

Setelah perjanjian ditandatangani kunci untuk bandar itu secara rasmi diserahkan, bertepatan pada tahun 637 M. Pintu-pintu gerbang Baitulmaddis telah dibuka dan Khalifah Umar masuk melalui lorong pejalan kaki, yang menyebabkan beliau terdorong ke Gereja The Church of the Holy Sepulchre. Sewaktu Khalifah Umar berada di dalamnya Patriark Sophronius berkata kepadanya " bersembahyanglah ". Namun Khalifah Umar menolak, bimbang ia dianggap sebagai isyarat berkuatkuasanya tempat sembahyang yang mungkin akan mengancam penggunaan terus gereja sebagai tempat ibadat penganut-penganut Kristian. Sebaliknya beliau bersembahyang di suatu kawasan di sebelah selatan gereja, sekarang lokasi berkenaan dikenali sebagai Masjid Umar di bahagian kiri, 150 meter dari mimbar al-Aqsa sekarang. Beliaulah orang pertama di kalangan para Sahabat memulakan sembahyang di masjid yang mulia ini.

Dalam melakukan hal tersebut Khalifah Umar menunjukkan kepada dunia makna toleransi dan kemurahan hati dalam kemenangan dan kekuatan. Itu adalah menifestasi kebesaran Islam yang bersinar, terpancar keluar dari dalam roh dan ini tercermin dalam etikanya walaupun dia adalah orang yang terkenal kerana keteguhan dan keberanian.
Khalifah Umar kemudian meminta untuk dibawa ke lokasi Masjid Al Aqsa. Ia ditunjukkan oleh Patriark Sophronius .

Bersama-sama dengan beratus-ratus umat Islam, beliau menemukan daerah tanah kosong yang diliputi debu dan puing-puing, kesan runtuhan. Pada tahun 70 masihi, seorang panglima Rom bernama Titos telah menghanguskan seluruh kota Jerusalem dan menghambat keluar Yahudi dari kawasan ini Beliau menggulung lengan bajunya dan segera menyapu membersihkan masjid berkenaan. Pada melihat hal keadaan itu, umat Islam yang lain termasuk jeneral tentera dan askar bergabung dengannya dalam kerja pembersihan. Setelah selesai Khalifah Umar melepaskan jubahnya, lantas bersembahyang. Itu adalah doa pertama umat Islam di Masjid Al-Aqsa selepas Nabi Muhammad (SAW).

Khalifah Umar segera memerintahkan kerja-kerja pemulihan masjid. Sebuah masjid kayu besar, dikenali sebagai Masjid Al Marwani, dengan keupayaan menampung 3000 jemaah. Didirikan di atas tapak di dinding selatan ‘Noble Sanctuary’. Mereka kemudian mulai bersembahyang di masjid suci itu. Inilah peristiwa penguasaan yang paling aman serta damai ke atas Baitulmuqaddis, dan status keagungan masjid ini telah dikembalikan setelah sekian lama dihinakan oleh orang-orang Kristian.

Dengan kemurahan hati Khalifah Umar, mereka yang ingin meninggalkan Baitulmuqaddis dibenarkan untuk melakukannya bersama dengan segala harta milik mereka sementara yang lain yang memilih untuk tinggal, dijanjikan perlindungan nyawa, harta dan tempat beribadat. Kemudian Khalifah Umar menarik larangan yang telah berlanjutan empat ratus tahun Kristian terhadap orang-orang Yahudi, membolehkan mereka untuk kembali ke Baitulmuqaddis dan orang-orang Kristian diberikan keizinan menggunakan tempat-tempat suci mereka. Dengan demikian beliau telah mengubah menjadikan kota baitu Muqaddis sebagai kota damai dan harmoni di mana orang-orang Yahudi, Kristian, dan Islam hidup dalam toleransi.


Bahagian dalam Musalla Al Marwan

Peristiwa ini telah membuka pintu kepada orang Yahudi yang selama ini tidak diberi kebenaran memasuki Baitul Muqaddis. Sepanjang pemerintahan Islam ke atas Baitulmuqaddis, dari tahun 637 hingga 1917 Baitul Muqaddis berjaya mengekalkan status sah, 'The Holy City'.

Di bawah kuasa Islam tidak ada pembunuhan, tidak ada pembakaran dan penjarahan dan tidak ada penodaan tempat-tempat suci seperti yang dilakukan orang-orang Yahudi Zionis sekarang. Jika ada pun hanyalah konflik diantara pelbagai mazhab Kristian untuk mengawal tempat-tempat suci mereka. Itu pun dapat dikawal selia dengan baik oleh pemerintah Islam, sehingga tidak berlaku konfrontasi kekerasan, diantara mereka.

Sebaliknya ketika Baitulmuqaddis jatuh ke tangan Tentera Salib pada tahun 1099 para penjajah pergi memasuki kota Baitul Muqaddis dengan semua perlakuan biadab serta zalim. Mereka membunuh sesiapa sahaja yang mereka temui, tanpa mengira usia, muda atau lanjut usia, laki-laki atau perempuan dan sihat atau yang sakit. Sebahagian besar penduduk kota berlindung di masjid Baitulmuqaddis yang ketika itu dipenuhi dengan dengan sekitar 100,000 orang. Gabenor penjajah salib tidak menemukan peluang yang lebih baik dari itu untuk memenggal kepala kesemua mereka dan benar mereka semua dibunuh.

Tentera salib menduduki Yerusalem selama 91 tahun sebelum angkatan An Nasr Salahudin berjaya merebut kembali kota BaitulMuqaddis. Kenyataan dan catatan sejarah ini, sebenarnya memberikan isyarat serta harapan kepada umat Islam hari ini, di seluruh dunia bahawa Baitul Muqaddis boleh direbut kembali, walaupun ia mungkin memerlukan masa yang panjang.

Dengan demikian sejarah Baitulmuqaddis bukanlah satu sejarah biasa. Di dalamnya kehendak Allah dimanifestasikan dalam cara yang sangat khusus. Menurut beberapa ulama peristiwa yang telah terjadi di Baitul Muqaddis dalam beberapa tahun lalu atau yang sekarang, semuanya membawa mesej Ilahi. Ia seakan memperingatkan semua kita bahawa kita belum menyempurnakan tanggung jawab kita sebagai umat Islam, supaya berusaha untuk meninggikan kalimah Allah. Ia juga membawa masej bahwa disana perlu disiapkan untuk satu pertembungan yang menentukan, samada ketenteraan atau ideologi, diantara tauhid dengan syirik, diantara penyembahan terhadap Allah yang Esa dengan berhala-berhala, Zionism, negara, bangsa dan tanah air.

Bersambung.......................

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.