RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Saturday, July 31, 2010

Indahnya ukhuwwah



Imbasan ukhuwwah yang sejati, tiada luntur.

" Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada dibumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
Surah Al-Anfal : 63

Hari Sabtu, 19 Sya'aban 1431 bersamaan 31hb Julai 2010 rupanya telah menjadi salah satu diantara hari-hari yang sangat indah dan nikmat dalam hidup ini. Selain hari-hari sewaktu kanak-kanak yang terpenuhkan dengan kegembiraan tanpa beban masalah dahulu, dan tahun-tahun indah semasa hidup dalam suasana keberkatan berjemaah (sekitar Gombak dan Padang Balang), rupa-rupanya hari Sabtu semalam juga sangat indah dan nikmat. Selain dapat menyaksikan majlis walimatul urus anak lelaki sahabat akrab ku, Roslan Yusuf, anakanda Muhammad Nasrullah bin Roslan al-hafiz, pelajar Universiti Madinah, Arab Saudi, dengan pasangan pilihannya Siti Nurul Nadia (hafizah) dalam satu majlis 'simple', praktikal, nampak tidak membebankan, tetapi tetap ceria dan meriah. Iktibar kepada sebahagian masyarakat diluar sana yang mempopularkan 'trend' bermewah-mewah, membebankan, kadang-kadang sukar untuk menghindar rasa ria', bermegah-megah serta ingin dipuji

Tenteram dan sejuk perut melihat redup wajah kedua mempelai. Terlihat diwajah mereka sinar taqwa yang telah di canai oleh kedua orang tuanya sekian lama, semenjak kedua orang tuanya masing-masing masih dalam zaman remaja. Kemudian benih iman dan taqwa itu terus dibajai dengan zikir dan amalan yang tiada putus. Setiap awal dan penghujung siang dilangengi dengan amalan bacaan Al Ma'thurat tanpa gagal. Al-Qur'an menjadi irama yang senantiasa didendangkan, malam yang hidup dengan munajat kepadaNya, taubat yang tiada henti-henti, terutamanya diwaktu-waktu dinihari dengan banjir air mata, selain fikiran yang senantiasa sarat dengan hal-hal gerak kerja jamaah dan kepentingan ummah...subhanallah.

Dalam hati berkata-kata; " Munasabah anak yang lahir sebegini hebat ........"

Kepada anakanda Muhammad Nasrullah dan Siti Nurul Nadia, mudah-mudahan dari kalian akan tumbuh benih-benih Islam yang subur rimbun dan berbuah enak. Moga akan lahir mujahid-mujahid sehebat pahlawan Badar, atau generasi seumpana generasi teras awalan Islam.

Sememangnya tidak silap aku sisihkan semua agenda lain yang mendatang, semata-mata bagi membolehkan aku serta dalam pertemuan semalam. Perjalanan sejauh hampir 180km dari Sabak Bernam, serasa bukan beban dan halangan. Seawal pagi dengan hati menguntum senyum, memeriksa bahagian apa-apa yang perlu pada kereta, bagi persediaan perjalanan jauh yang lancar. Sempat mendail nombor beberapa sahabat, semata-mata ingin mengingatkan mereka, jika terlupa.

Sampai selepas solat zohor. Syukur kehadiran sudah agak reda, kemungkinan peluang untuk lebih masa berbicara cerah. Sampai hampir beriringan dengan akh Johari dan isteri Che Yang serta keluarga. Nampak masih hebat, sebagaimana kehebatan waktu menjadi penjaga gol setiap pagi Ahad dahulu, walaupun masih cedera lantaran 'accident'. Sempat bertemu dengan akh Salehuddin yang masih 'maintain' dengan susuk tubuh tegasnya dan isteri ukh Rosnah serta anak-anak, akh Sharif Md Din, kelihatan semakin mancho dan isteri. Menyusul akh Imran yang masih 'ganteng', handsome, nampak seakan sebaya dengan menantu, dan isteri Hafizah, diiring anak beliau Afifah yang pun dah bersuami (suaminya Helmi turut juga hadhir). Tuan rumah akh Roslan, walaupun sebahagian janggutnya sudah 'bercahaya', dan mendukung cucu, tapi tetap berseri wajahnya bersama isteri ukh Rokiah.

Yang datang sebelah pagi dan berkirim salam, ialah akh Malik Moghee, akh Omar Satari dan akh Hasanuddin. Sempat bercakap di telefon dengan akh Baharul Azman Omar dan akh Kamaruzzaman Ripin. Semuanya rindu untuk bertemu, namun kerana halangan tak dapat bersama.

Selepas belasan tahun terpisah, dan tidak lagi dalam usrah yang sama, namun kemesraan perasaan rindu untuk bertemu tetap membara. Mengingat sahabat yang terpisah jauh benar-benar terasa kehilangan, sunyi dan sepi. Sesuatu yang tidak dapat di beli dengan kekayaan dunia (sebagaimana maksud ayat Surah Al-anfal : 63) Terasa waktu sangat pantas berlalu, sedang terlalu banyak cerita yang ingin dikongsi. Jika mungkin, tidak ingin berpisah selamanya. Semuanya lambang ikatan ukhuwwah fillah yang masih utuh yang sama-sama dibina sewaktu menggerakkan kerja-kerja jamaah di sekitar Padang Balang, Gombak dan Kuala Lumpur. Persekitaran yang didalamnya berlangsung suasana sangat akrab, sama-sama merasa dan menjiwai setiap denyut nadi, susah senang kehidupan berjamaah, mengharung ujian halangan dan tribulasi, membina dan menyatu fikrah, menyusun gerak kerja padu yang tersusun rapi, bak sebuah bangunan. Satu suasana ideal yang pernah dilalui, yang agak sukar ditemui lagi dimana-mana. Seumpama ikatan Ansar dan Muhajirin di Madinah, walaupun tidak sehebat dan seutuh mereka.

Sukar ditemui lagi suasana dimana berlangsung didalamnya seorang sahabat yang senantisa disambut tangannya waktu terjatuh, sahabat yang senantiasa hadir membantu waktu tiba masa-masa kelesuan, kelalaian, kelekaan, kelupaan ataupun teralpa dengan bujukan syaitan, sahabat yang menjadi perisai waktu seorang sahabatnya yang lain hanyut terdedah kepada kehancuran dan kebinasaan, segalanya ikhlas kerana Allah.

Hati sangat merindui suasana dimana penat lelah dan perit getir perjuangan tidak membekas lantaran sahabat-sahabat sentiasa tampil meringankan kepenatan dan kesusahan itu. Dimana ada lagi kita dapat temui apabila seorang sahabat berjalan di atas jalan da'wah, kelihatan seolah-olah dibawanya bersama hati-hati sahabat-sahabatnya yang lain. Diwaktu berdoa seluruh sahabatnya tidak pernah terlepas dari didoakan dengan doa-doa yang baik dan mustajab.


Mudah-mudahan pertemuan-pertemuan dahulu dan terkini pada hari Sabtu 31hb Julai 2010, Allah akan terima sebagai sebahagian 'amal-'amal soleh untuk bekalan kita 'di sana'.

Sabda Rasulullah saw, dari Abu Hurairah ra

" Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah di hari yang tiada naungan kecuali naungan Allah. 1. Pemimpin yang adil. 2. Pemuda yang masanya dihabiskan dengan beribadat kepada Allah. 3. Pemuda yang hatinya sentisa terpaut dengan masjid. 4. DUA LELAKI(ORANG) YANG BERKASIH SAYANG, BERTEMU DAN BERPISAH KERANA ALLAH......" (dan sterusnya)
Hadith riwayat Muslim.

Apakah ada lagi hari-hari seumpama itu diwaktu yang mendatang nanti ?

Alangkah bahagianya kita dengan nikmat Islam dan dengan nikmat persaudaraan pada Allah, kerana Allah. Wajib kita memelihara nikmat-nikmat ini dengan segala kemampuan dan upaya.

Saudara sekalian.......


Carilah sahabat-sahabat yang soleh, kekal bersahabat dengan persahabatan yang baik, kerana ia merupakan penolong dan bekalan yang berguna disepanjang perjalanan.

Ya Allah, benarlah dalam berjamaah ada nikmat dan dalam ukhuwwah persahabatan ada nikmat. Tanpa keduanya hati terasa gersang, tiada indah.
Ya Allah izinkan lagi kami menghirup nikmat keindahan ukhuwwah ini.

Ameee...!!!

4 comments:

  1. YA ALLAH, kami daif untuk mentaatiMu Ya ALLAH.Sering kami tersasar dari mengingati di kala kami berjuang ataupun tidak ya Allah.Kami mohon ya Allah, satukan hati kami atas iman kepadaMu dgn sebenar2nya iman.Kami diuji zaman yang sangat dasyat fitnahnya tuhanku.Kami bertaubat padaMu ya Allah ats sebb kami lalai dalm perjuangan ini.Dalam masa kami masih dalam berjuang pun, kami masih ada maksud dan cinta dunia dalam hati kami yang memungkinkan pertolonganMu masih KAU tangguh untuk beri kemenangan kepada ummat ini.

    ReplyDelete
  2. Subhanallah, kenangan bersama sahabat yang amat sukar dilupa. Makan bersama, susah dan senang diharungi dengan petunjuk Ilahi. Moga kita dapat bersua lagi. Moga Allah SWT terus pelihara kita dengan limpahan petunjuk dan hidayahNya.
    Akh Huzazi dan Ukht Khuzaimah, dan semua sahabat, selamat beribadah di bulan Ramadhan.

    ReplyDelete
  3. Saya dan suami sangat gembira dapat berjumpa sahabat -sahabat lama. semoga persahabat ini kekAL selamanya , saya juga masih di jalan yang sama ..dulu kini dan selamanya..... selamat menyambut bulan ramadan yang di tunggu-tunggu..

    ReplyDelete
  4. Salam
    Macam biasa dengar ayat tu. Tak pelah...serupa tapi tak sama.
    Mudah2an pertemuan yang lebih besar dapat menjadi realiti suatu masa nanti...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.