RENUNG - RENUNGKAN

" Barangsiapa yang tidak menghadap Allah dengan kelembutan-kelembutan ihsan, maka ia akan diseret ke hadapanNya dengan rantai cobaan. Barangsiapa yang tidak mensyukuri beragam nikmat, maka ia menghadapi hilangnya nikmat-nikmat tersebut, dan barangsiapa yang mensyukurinya, sesungguhnya ia telah mempertahankannya dengan ikatannya."

YANG SUDI BERKONGSI IDEA, KOMEN ........ terima kasih

Thursday, July 22, 2010

Permohonanmu belum makbul...bergembiralah


Jika Allah menangguhkan pemberianNya kepada kita, seumpama ketika kita bermohon berdoa, belum berhasil, maka itu adalah suatu peringatan bagi kita bahawa diri kita fakir sementara Allah-lah yang Maha Kaya. Jika Allah memberi kita, maka itu adalah gugahan bagi kita bahawa anugerah itu adalah pemberianNya.

Hayati benar-benar keadaan serta rasa kefakiran kita itu. Kelak mudah-mudahan kita akan mencapai maqam yang tinggi dikala kita sudah merasa amat memerlukanNya, setiap masa, dalam semua keadaan.

Secara jujur, cuba kita bertanya kepada diri kita sendiri; 'Bilakah kita merasa menjadi manusia yang begitu fakir ? Sangat memerlukan dan sangat berkehendak kepada Allah setulusnya? Pastinya ketika Allah menahan atau menangguhkan pemberianNya sedang makhluk, manusia berpaling tidak peduli, dan tidak menghiraukan kita. Atau mungkin ketika kita mendatangi manusia untuk mohon bantuan atau pertolongan, pintunya tertutup rapat atau kita dihalau seperti anjing kurap. Kita sedar tiada siapa lagi yang dapat membantu kita. Waktu itu darjah pengharapan dan berkehendak kita dengan Allah pasti sangat tinggi.

Cuba kita mengambil satu contoh. Disaat kegawatan ekonomi, kita di berhentikan kerja, manakala isteri memang sejak awal tidak bekerja, sebagai suri rumah sepenuh masa. Dengan tinggal menyewa di bandar, menanggung anak-anak yang ramai, semuanya masih bersekolah bukan kerja enteng. Semuanya perlukan duit. Belanja dapur, api & air, pakaian sekolah, yuran yang berbagai, bas sekolah, duit belanja sekolah pagi dan petang dan lain-lain.

Dengan sedikit simpanan kita berniaga secara kecil-kecilan, berniaga donut di pasar-pasar malam, disamping mencuba juga beberapa peluang untuk mendapatkan kerja baru. Namun dunia perniagaan bukan semudah yang disangka. Halangannya besar. Sebagai pendatang baru, berniaga dipasar malam perlukan ketabahan. Peniaga-peniaga lama walaupun seakidah tidak membantu. Malah kita, sentiasa jadi bahan sindiran. Jika tak tabah boleh patah semangat. Berniaga kadang-kadang laku, ada waktu tak balik modal, sedang anak isteri dirumah perlu disuapkan makanan. Duit simpanan semakin menyusut, jauh sekali untuk menambah simpanan. Akhirnya semua kontang. Ada waktu untuk membeli bahan untuk berniaga pun tak cukup. Barang kemas isteri yang adalah beberapa urat semua sudah digadaikan. Bila semua sudah tidak ada, masih ada beberapa sahabat yang sudi meminjamkan duit untuk modal, tapi sehingga bila...?

Begitu juga keluarga. Merekapun ada batas keupayaan, walaupun ada sebahagiannya sudah mula mengelak untuk berjumpa, takut diminta hutangi. Yang lebih parah ada yang tidak mesra seperti dahulu. Yang perli secara terang-terang pun ada. Dirumah makanan sudah dicatu. Seekor ikan tamban goreng sebesar ibu jari terpaksa dikerat dua untuk makan anak-anak yang masih belum mengerti. Kerap makan tanpa sayur. Ada waktu kicap dan nasi kosong sudah dikira enak. Kalau masak lauk, kuahnya dibanyakkan supaya lebih berbaloi. Ayah dan emak cuma makan berkuah, sementara anak-anak makan lauknya. Pakaian sekolah abang digilirkan kepada adiknya selagi belum rabak. Kalau seluar sekolah koyak, tetapi masih dapat ditutup dengan kain samping tidak akan diganti. Kasut sekolah anak kadang-kadang sampai seperti mulut buaya, terbuka tapak. Belanja anak-anak di sekolah usah ditanya lagi. Duit lebih perlu untuk menjadikan dapur berasap dari belanja lainnya.

Suatu ketika musim hujan, perniagaan merosot teruk. Pengunjung berkurangan berlipat kali ganda. Satu hari hujan lebat turun, tapak pasar tempat berniaga banjir. Air naik mendadak. Sebahagian barangan dan donut goreng tidak dapat diselamatkan. Donut hanyut diair banjir. Kedengaran suara peniaga lain menjerit; "Hoi....pelampung siapa hanyut ?". Disambut gelak ketawa peniaga lain tanpa merasai perasaan orang lain. Ada yang bersikap lagi kejam. Donut hanyut diaraknya keliling tapak pasar malam, sambil buat jenaka, menambah pedihnya hati. Teringat dirumah beras cuma tinggal sekali masak. Duit dipoket tinggal kepingan siling. Terbayang mata anak-anak yang akan lapar.

Saat itu air mata turun sendiri. Peniaga terdekat perli lagi; " Alamat dalam lagilah.... banjir....!!!". Dalam remuk, hati berdoa kepada-Nya ...........

Cuba anda pejamkan mata, hayati kisah tadi sampai penghujung. Bagaimana agaknya saat itu, hati siayah, harapnya, rasa fakirnya kepada Allah ?

Bagi kebanyakan manusia keaadaan itu sangat menyakitkan dan menyiksakan. Namun bagi manusia yang sedar, yang sedang berjalan menuju Allah, keadaan itu menjadi suatu peringatan dan sangat bermanfaat untuk mengenal Allah. Lantaran itu ia akan merasa sangat tenteram dan gembira bersama Allah.

Maka kerana itu Ibnu 'Atha'illah mengatakan bahawa;

" Sebaik-baik waktumu adalah dikala engkau menyaksikan keperluanmu dan engkau datang ke hadirat-Nya dengan segala kerendahanmu. Manakala Allah membuat makhluk-Nya mencampakkanmu, maka ketahuilah bahawa Ia (Allah) hendak membukakan bagimu pintu untuk merasa sukacita kepadaNya."

Untuk aku dan semua, jika kita dalam keadaan itu ...bergembiralah kerana Allah sudi membukakan pintuNya untuk kita.

2 comments:

  1. "ALLAH berfirman, "tidak ada hamba Ku yang bersabar ketika Aku ambil (nyawa) orang yang dicintainya, kecuali kusediakan syurga baginya",

    ReplyDelete
  2. Salam.
    Moga kita semua termasuk dalam golongan tersebut.
    Ameen..!!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Demi Al-'Ashr : ayat 3. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan.